BBB,
02 Dzul Hijjah 1437 = 04 September 2016 (Ahad):
Madrasah Al-Imam Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi
bertempat di Nisabur adalah madrasah kedua pentingnya yang menjadi kitab
termasuk Al-Luma` sebagai sumber pengajaran bagi dakwah, menyampaikan risalah, menyebarkan
keilmuan dan ma`rifah secara dzauq dan wujdan. Abu Nasr al-Sarraj terkenal dan
mempunyai pendukung yang ramai yang melanjutkan pengajaran tasawuf Sunninya. Mereka ialah seperti Al-Hujwiri dengan
kitabnya Al-Kashf al-Mahjub yang berguru dengannya pula seperti Abdul Rahman al-Sulami dengan kitabnya Tabaqat
al-Sufiyyah dan berguru dengan Al-Sulami pula ialah Abdul Karim bin Hawazin
dengan kitab terkenalnya Al-Risalat al-Qushayriyyah.
Abu Nasr al-Sarraj telah meletakkan asas
tasawuf Sunni yang menjadi panduan kesufian sepanjang zaman yang mendasarkan
ketaatan kepada Allah, kehidupan beribadah, munajat mereka dengan rasa cinta
dan kedekatan dengan Allah.
Menurut pengantar bagi kitab Al-Luma`, bahawa Madrasah Abi Nasr al-Sarraj adalah madrasah ma`rifat
kesufian yang murni yang bendera bagi madrasah ini dibawa oleh Al-Sarraj,
Al-Qushayri, Al-Hujwiri, Al-Sulami dan Al-Kalabadzi. Dia adalah madrasah yang memerangi dengan
gigih dan keras terhadap penyelewengan yang dibawa oleh falsafah atau satah
dzauqi yang meresap ke dalam jauhar tasawuf Islami. Mereka ini selalu
mengingatkan pada awal karangan tasawuf mereka agar tidak terjatuh ke dalam
perangkap wahdatul wujud. Dan berterusan mengingatkan bahawa Allah yang Tunggal
berlainan dari yang baharu, bersalahan yang jelas. Sebarang konsep sama ada secara
ittisal atau al-hulul dari Dzatnya adalah kufur dan sesat !
Yang mendepani dari segi ingatan sedemikian
ialah Al-Imam al-Sarraj al-Tusi. Berkata Al-Sarraj pada muqaddimah bagi kitab
ini,
``Ketahuilah pada zaman kita ini ramai yang
mengharungi di dalam keilmuan puak ini dan banyak pula yang berselindung dan
mengelirukan sebagai ahli tasawuf yang mengisyarat kepadanya dan berbincang dan
berbahas berkenaan tasawuf dan setiap orang membuat dakwaan berdasarkan kitab
yang dihiasi pendapat dan cakap diungkap yang sebenarnya tidak menepati dengan para mashayikh
yang mujahadah dan dengan tartib
keilmuan. Para mashayikh ini mencapai
tahqiq pada amalan dan mereka menghimpunkan antara hakikat dan amal.
Tentang kedudukan kitab Al-Luma` dia adalah
dikatakan sebagai `Ibu` (Al-Umm)
bagi kitab-kitab tasawuf dan seawal kitab tasawuf yang menggalurkan
tentang sejarah ketasawufan. Bahkan berdasarkan kepada pembicaraan kita
terhadap kitab Al-Zuhd wa al-Raqa`iq
oleh `Abdullah al-Mubarak, kitab Al-Zuhd dan kitab Al-Wara` oleh Al-Imam Ahmad
bin Hanbal, bahkan kitab Al-Ri`ayah dan kitab Al-Masa`il fi A`mal al-Qulub wa al-Jawarih oleh Al-Muhasibi
, kita tidak dapati penggunaan istilah tasawuf di kalangan mereka. Istilah yang
diguna pada peringkat permulaan ialah Al-Zuhd, manakala pada Al-Muhasibi
menggunakan istilah `Al-Muhasabah` dan Al-Ri`ayah`. Pada kitab Al-Luma`` oleh Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi ini baru dengan
jelas penggunaan istilah tasawuf baik di
dalam bab-bab bagi kitab ini apa lagi di dalam pembicaraan-pembicaraan keilmuan
tersebut. Lantaran itu dikatakan kitab Al-Luma` adalah seawal-awal kitab tempat
rujukan tasawuf yang kandungannya diyakini dengan maklumat-maklumat yang banyak.
Dapat dikatakan bahawa Al-Lima` bukan
setakat mengandungi bahan tasawuf, tapi sejarahnya, tariq dzauq, penunjuk bagi salikin, bahkan
madrasah yang mengeluarkan kalangan sufi berwibawa yang melanjutkan ketasawufan
Sunni yang berdasarkan ruh al-Qur`an dan
permata Hadith Junjungan.
Kitab Al-Luma` bukan saja kitab yang jelas
membincangkan persoalan tasawuf dan penggunaan istilah tasawuf dan ketasawufan,
tentang membedakannya dari segi dzauq dan wujdan berbanding dengan kitab secara
prosa seperti yang dihasilkan oleh Al-Muhasibi. Bahasanya dapat dikatakan
biasa, tetapi membaca kandungan kitab Al-Luma`, maka adalah bahasanya lembut,
membawa dzauq kerohanian. Indah dan menawan. Ianya adalah merupakan pancaran
jiwa kesufian yang gemerlap dengan cahaya kerohanian, maka ianya keluar ke
dalam lafaz kata yang menagndungi ciri-ciri kerohanian berkenaan.
Bahkan dalam kata pengantar kitab ini
diungkapkan bahawa,
``Bahawa
Al-Luma` mengufuk kerohanian Al-Sarraj, halus dan menawan,
basirah mendalam, membuka jalan bagi pencinta tasawuf tentang ciri tasawuf
sebenar. Adalah jelas jalan direntas yang boleh diikuti yang sebelum ini bagi
kebanyakan tidak jelas manhaj, kabur kandungan. Dengannya maka wajah tasawuf
dapat dikenali dengan simber kepastian dari Al-Qur`an dan diperjelas dengan
Hadith-Hadith Junjungan dan menjadi pembawaan para sahabat sebagai ikutan.``
Namun perlu diingat bahawa tempoh antara
Al-Muhasibi dengan Al-Sarraj adalah memakan masa lebih dari satu kurun, maka tasawuf
yang telah dikenali sejak abad ke 2H.
telah m,elalui proses perkembangan dan pemantapan. Sudah begitu ramai pendukung-pendukung
yang memantapkan keilmuan berkenaan melalui dakwah dan amalan, jika pun
tidak melalui penghasilan karangan seperti Al-Muhasibi. Jadi Al-Sarraj bukan
keseorangan, dia dan karangan `Al-Luma` nya adalah merupakan sebagai buah hasil
dari semaian dan pemupukan kalangan pendukung kerohanian yang dari pokok
yang dijaga dengan subur ini menghasilkan buah yang ranum, iaitu kitab
`Al-Luma` itu sendiri. Dia adalah anugerah Ilahi sebagai pengolah rohani yang
merupakan sebagai dimensi keislaman itu sendiri.
Sekian.
No comments:
Post a Comment