September 22, 2016

HIDUP ADALAH UJIAN, MAQAM SABAR: KEPAHITAN ADALAH KEMANISAN !


BBB, 19 Dzul Hijjah 1437H. = 21 September 2016 (Rabu):
Kesufian adalah tarbiyah kerohanian.  Sabar adalah salah satu sifat dalaman yang dinisbahkan kepada diri manusia yang dapat menanggung berbagai ujian. Kesabaran ada yang  bersifat fizikal, mental, jiwa dan kerohanian. Apa yang dialami mungkin lebih dari satu aspek berkenaan secara serentak atau bersama. Sabar yang bersifat fizikal dapat dicontohi dari sabarnya petani bekerja disawah atau ladang membanting tulang menyediakan tapak tanaman dan menanam dan sabar menghadapi musuh yang boleh merosakkan tanaman dan sabar menunggu hasil tanaman untuk dituai. Hasil pula mungkin menjadi dan mungkin tidak menjadi, ia adalah nasib dan risiko yang terpaksa ditanggung.
Demikian sabar boroh yang bekerja sebagai boroh binaan yang menggunakan tenaga dalam membina binaan. Sabar dari segi mental, ialah sebagaimana sabarnya pelajar  menghadapi pelajaran dan menguasainya secara bertahap, terpaksa memeras otak bagi memahami dan menguasai pelajaran, terpaksa menghadapi peperiksaan tahunan. Ada yang lulus dengan baik, atau   kurang baik atau gagal, sabar dari segi jiwa dan emosi bagi yang terpaksa mendepani dan menghadapi tekanan hidup, tidak kecukupan perbelanjaan untuk diri dan keluarga. Bagi yang tidak mampu menghadapi tekanan, boleh menyebabkan masalah  dan tekanan jiwa. Kesabaran dari segi fizikal, mental dan jiwa mungkin dapat dikurangkan jika seseorang itu mempunyai bekalan didikan keagamaan dan mengamalkan nilai-nilai Islam.  Semua kejayaan seharusnya  mempunyai ramuan kesabaran. Pemimpin tidak akan menjadi pemimpin kalau tidak melalui kesabaran bahkan melalui ujian berterusan. Seorang ilmuan dan ulama` tidak mencapai darajat ilmuan dan `ulama `  tanpa melalui kepahitan ujian dalam belajar dan menghadapi cabaran keilmuan dan masayarakat semasa. Seorang usahawan tidak berjaya, tanpa kesabaran – jatuh bangun dalam perusahaan. Apa jua kejayaan yang tampak pasti dibelakangnya ada berbagai ujian dan permasalahan yang perlu dihadapi dan cuba mengatasi dengan kesabaran yang insya  Allah dapat di atasi dan mencapai kejayaan.
Demikianlah sabar dari segi rohani yang lebih dekat dengan ketasawufan. Beban yang dihadapi ialah keperluan hidup biasa, memerlukan tarbiah kerohanian dan amalan-amalan kerohanian yang dapat mencanai jiwa ke arah kerohanian yang tinggi. Sabar adalah salah satu maqam yang dilalui oleh sufi di dalam perjalanan rohani.  Berkata Al-Sarraj:
``Sabar ialah maqam mulia yang dipuji oleh Allah dan menyebutnya di dalam Al-Qur`an yang bermaksud:
``Sesungguhnya dibalas orang-orang yang sabar itu dengan pahala secara tidak terhisab.`` (Al-Zumar: 10).
Sesungguhnya sabar adalah ujian yang  dengannya layak mencapai kejayaan atau sebaliknya  (tidak sabar). Dengan tekun dan sabar dibalas Allah dengan ganjaran yang dapat disaksikan di dunia dan apa lagi di akhirat
Sesungguhnya  Allah berfirman bermaksud:
``Demi sesungguhnya kamu akan diuji pada harta benda kamu dan diri kamu dan demi sesungguhnya kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang musyrik. Banyak (tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati, dalam pada itu jika kamu bersabar dan bertaqwa, maka sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang dikehendaki (diambil berat) (Ali `Imran: 186).
Tentang sabar berkata beberapa tokoh sufi.
Disoal Al-Junayd tentang sabar, kataya, ``Sabar melaksanakan perintah Allah menurut kaedah dan waktu-waktu ditentukan.``
Kata Ibrahim al-Khawass, ``Lari kebanyakan orang dari menanggung berat beban kewajipan dan mereka mengelak dengan berbagai hujah dan sebab-sebab.`` - Tidak sabar.
Kata Al-Sarraj, disoal al-Qanad tentang sabar, katanya: ``Melazimkan diri dengan kewajipan ditentukan Allah walaupun ada rintangan dan berterusan dengan apa yang disuruh. Dan orang yang sabar kerana Allah dan tidak resah, tidak ada kejutan dan tidak ada aduan.
Hikayat dari Dzu al-Nun al-Misri bahawasanya dia berkata, ``Aku mengunjungi seorang pesakit dan sambil aku bercakap dengannya ia mengaduh kesakitan. Maka kataku kepadanya, ``Bukanlah sahabat yang sebenar yang mencintainya siapa yang tidak sabar dengan pukulannya (ujiannya).`` Lantas dia menjawab dengan lebih dalam kiasan, ``Bahkan tidaklah  sebenar sahabat yang mencintai, jika dia tidak merasai nikmat dan lazat  dari pukulan yang dikasihi !``.
Dan adalah Shibli r.h.a. sering menjawab dengan puisi berikut tentang sabar bila dia ditanyai mengenai sabar:
Tanda derita bergaris di dahi terentang
Dapat dibaca walau oleh yang lemah bacaan
Sesungguhnya suara kekasih derita cinta
Bimbang berpisah mewaris duka lara
Yang sabar dengan kesabaran diselamatkan
Meninggi suara pencinta oleh sabarnya kesabaran.

Sabar adalah benteng kekukuhan jiwa oleh keimanan dan keyakinan. Sabar adalah pengawal dari lempah keluar  derita yang dialami dan dipendam sehingga kiranya ia dapat padam sendiri dalam kawalan dan yang dapat dilihat dari permukaan hadapan adalah kecekalan dan kegigihan. Dengan sabar hakikatnya bahawa segala pahit penderitaan bertukar manisnya sebagai buah ujian. Dalam kata yang lain kepahitan perjalanan kerohanian dan ujian dari maqam ke maqam seperti taubah, wara`, zuhud, faqr dan lain-lain merupakan kepahitan ujian rohani yang dari permukaan lahir  sebagai ujian, tetapi dari segi rohani ianya merupakan kemanisan rohani yang memesra dan membahagiakan. Lantaran sebagaimana kata Dzu al-Nun al-Misri.
Tidaklah bermakna cinta siapa yang tidak mesra dengan pukulan yang dicinta
Bahkan pukulan yang diterima  adalah  mesra, bahkan lebih  lazat yang dirasa.

Sekian.

No comments:

Post a Comment