September 18, 2016

KONSEP MAQAM DAN HAL DALAM TASAWUF: TAUBAH


BBB,  14  Dzul Hijjah  1437H. =  16 Septembewr 2016 (Jumaat):
Bertasawuf adalah merupakan usaha pembersihan dan tahdzib serta tarbiah diri dan jiwa yang terpinggir di lembah kotoran dan karatan, bergerak kepada landasan (tariq) yang betul menurut shari`at dengan ibadat dan nilai akhlak yang membersih diri dan  hati hingga bertukar menjadi  logam emas yang bercahaya dan mencahayakan (bersinar). Ia ialah tarbiah yang melalui pra-syarat, iaitu berilmu – murid dan guru, adab-adab, mujahadah nafsu dan pembersihan, memastikan diri dengan halal dan menjauhi diri dari perkara-perkara haram, beribadah dan dzikir serta  pengasingan dari nilai-nilai negatif.
Di dalam tarbiah berlaku pergerakan kualiti misalnya dari tidak beradab kepada beradab, dari tidak berilmu kepada berilmu, dari percakapan yang kosong dan sia-sia kepada hikmat kata. Ia merupakan perjalanan kualiti yang menambahbaikkan diri bagi yang mengharungi kerohanian dan ketasawufan. Pergerakan dan perubahan kepada yang lebih baik ini dari segi maknawi dan realiti pada hakikatnya dapat disukat dan dinilai ke tahap penambahbaikan tersebut. Namun aspek-aspek yang subjektif sedemikian adalah sukar untuk diukur dan disukat. Dalam  ukuran biasa mungkin  dinilaikan dengan kategori, buruk, baik, lebih baik, terbaik dan amat baik.
Di dalam tasawuf pendekatan dan ukuran kerohanian ini disukat secara subjektif dengan neraca yang diistilahkan sebagai `Maqam` dan `Hal`. Neraca penilaian ini kita dapati digunakan oleh Al-Sarraj di dalam kitab Al-Luma`nya. Apa bezanya antara maqam dan  hal ?
Menurut Al-Sarraj, makna maqam ialah, tempat hamba di sisi Allah Subhanahu wa Ta`ala yang dilihat pada apa yang didirikan dari segi ibadat, mujahadat, latihan dan tumpuannya kepada Allah `Azaa wa Jalla.  Al-Sarraj mengambil contoh dari firman Allah  `Azza wa Jalla tentang maqam bermaksud:
``Adalah bagi orang-orang yang takut – maqami, akan sikap keadilanKu (menghitung amalnya) dan takut akan janji-janji azabKu.`` (Ibrahim: 14).
Dan firman Allah Subhanahu wa Ta`ala bermaksud:
``Dan tidak ada sesiapa di kalangan kami, melainkan ada baginya darajat kedudukan yang tertentu`` (Al-Saffat: 164).
Al-Sarraj juga mengambil contoh daripada sabda Rasulullah s.a.w. bahawa Abu Bakar al-Wasiti disoal dari maksud sabda Rasulullah s.a.w, (al-Arwah junudun mujannadah – Roh-roh tentera yang bersenjata.``. Katanya maksud mujannadah ialah maqamat.
Maqam dimaksudkan keberadaan pada suatu maqam `station atau hentian`.
Al-Sarraj menyebut maqam-maqam ialah seperti taubah, al-wara`, al-zuhd, al-faqr, al-sabr, al-ridha, al-tawakkal dan lain-lain.
Antara ciri bagi maqam difahami bahawa ada kesampaian `tempat` dari usaha dan mujahadah yang dilakukan. Dan ada elemen tetap yang menyebabkan ianya dipanggil `maqam`. Berlainan dengan hal, ialah situasi yang berlaku kepada hati dan tidak kekal seperti muraqabah, khauf, mahabbah dan sebagainya.
Sebagai contoh bagi maqam ialah al-taubah. Menurut Al-Sarraj yang memetik pendapat Abu Ya`qub Yusuf  bin Hamdan al-Susi. ``Maqam terawal daripada maqam-maqam orang yang menumpukan diri ialah taubah. Menurut al-Susi, Taubah ialah kembali daripada tiap-tiap suatu yang dikeji oleh ilmu kepada tiap-tiap suatu yang dipuji oleh ilmu.
Ini bererti ada pergerakan – sekurang-kurangnya kesedaran dari tahap keji kepada menetap dan memakamkan diri pada tahap `keinsafan` yang ada padanya elemen keberadaan pada tahap taubah.
Disoal Sahl bin Abdullah al-Tustari tentang taubat katanya, ``Engkau tidak lupa akan dosa engkau.``. Disoal Junayd al-Baghdadi  juga tentang taubah. Beliau menjawab secara terbalik yang juga betul, bahawa taubah ialah engkau melupakan dosa engkau yang telah lalu !``.
Disoal Ruym bin Ahmad r.h.a. tentang taubah, katanya, ``Taubah daripada taubah !.``
Disoal pula Dhu al-Nun al-Misri  r.h.a.tentang taubah, jawabnya, taubah ada dua, iaitu taubah awam dan taubah khas. Taubah awam ialah taubah daripada dosa, adapun taubah khas, ialah taubah daripada lalai.
Maksud taubah bagi Al-Hasan al-Nuri ialah taubah engkau daripada tiap-tiap sesuatu selain daripada Allah.
Secara halus pula dilihat taubat ada klasifikasi dan dikatakan,
``Riya` kalangan arifin ialah ikhlas kalangan murid.` Bermaksud bahawa ada rasa bimbang di dalam lintasan jiwa arifin, kalau-kalau  taubatnya tidak sebenarnya ikhlas, tetapi mungkin disebab oleh sebab tertentu atau dikerana oleh kerana tertentu. Kebimbangan juga daripada timbulnya ujub terhadap keinsafan diri daripada taubah. Bagi tahap murid yang pada tahap permulaan mungkin tidak sampai kepada aspek-aspek halus sedemikian. Bermaksud bahawa betapa halusnya konsep taubah sehingga dibimbangi timbul rasa `ujub terhadap diri yang mulai insaf dan taubah hingga taubahnya tidak ikhlas dan bukan taubah.
Dilihat secara halus juga bahawa ada klasifikasi antara yang bertaubah. Ya`ni ada perbezaan antara seorang yang bertaubah dengan yang lain, sebagaimana ada degree kesalahan yang membawa kepada orang yang bertaubah itu taubah.
Sebab itu ada perbezaan antara seorang yang bertaubah dan seorang yang lain yang juga bertaubah.
Ada pentaubah yang bertaubah daripada dosa dan kejahatan
Ada pentaubah yang bertaubah dari kegelinciran dan kelalaian
Ada pentaubah yang melihat diri dari  kebajikan dan ketaatan (takut timbul ghurur).
Demikian mulai daripada maqam pertama dari maqam-maqam dalam perjalanan ketasawufan timbul persoalan-persoalan yang begitu halus yang dipersoalkan. Ianya tidak lain untuk mengelak timbul dalam diri bahawa di dalam usaha perkembalian itu, tidak sebenarnya berlaku perkembalian, tetapi ada  kesilapan-kesilapan yang tidak memurnikan taubah.
Firman Allah bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman ! Bertaubatlah kamu kepada Allah (mintalah dihapuskan dosa kamu) dengan taubat nasuha. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.`` (Al-Tahrim: 8).

Sekian.

No comments:

Post a Comment