September 15, 2016

TAUHID AKLI DAN TAUHID SENI ROHANI: LANJUTAN


BBB,  05 Dzul Hijjah 1437H. = 07 September 2016M. (Rabu):
Di dalam pendekatan di dalam kedua-dua bidang keilmuan ada tabaqat (lapisan) atau martabat.
Bagi tauhid ilmu akidah ada martabat. Di dalam sharah terhadap Matan Jauharat al-Tauhid oleh Ibrahim al-Laqani misalnya dibicarakan tentang  tauhid dari segi wahdaniyyah Allah.
Tahap bawah ialah tahap taqlid yang ditolak, kerana tahap ini berlaku tardid yang berbolak balik dari segi kepercayaan.
Tahap kedua ialah tahap tahqiq, iaitu sebagaimana  huraian terhadap erti wahdaniyyah di dalam Matan  Jauharat al-Tauhid:
``Ya`ni tiada yang menduai dalam DzatNya dan sifatNya dan af`alNya.``
Wahdaniyyah  di dalam dzat itu dua perkara, iaiu menafikan sesuatu yang muttasil  seperti tersusun dalam dzatNya dan menafikan yang munfasil iaiu menafikan  barang yang menduai di dalam dzatNya. Demikian juga menafikan tersusun dalam sifat Allah Ta`ala dan menafikan  barang yang mendua dalam sifat Allah Ta`ala. Dan wahdaniyyah dari segi af`al menafikan yang menduai akan af`al Allah Ta`ala di dalam mengada atau meniadakan. Dan menafikan yang lain dari Allah dari memberi bekas.
Hujah-hujah di atas dapat ditambahkan dengan dalil naqli dan akli bagi aspek-aspek ketauhidan Allah dari dari segi dhat, sifat dan af`al. Hujah sedemikian dapat ditegakkan bagi sifat-sifat Allah yang lain sama ada dari sharah terhadap Matan Jauharat al-Tauhid atau kitab-kitab akidah yang lain.
Demikian hujah secara teknikal dan mantap bagi  membuktikan tauhid Allah dan sifat wahdaniyyahnya.
Bagi golongan sufi, mereka tidak menolak pendekatan akidah di atas, bahkan ianya menjadi piawayan bagi  segala keilmuan dan pegangan. Tetapi di sana ada persepsi  dan tanggapan yang Penulis berpendapat lebih tepat menggunakan istilah `Seni Rohani` dari menggunakan `Dzauqi` atau wujdan``. Kerana tanggapan kesufian tidak bersifat dzauqi dan wujdan semata-mata, tetapi ada kehalusan dan seni rohani yang terpancar dari ketepuan kerohanian tersebut. Aspek ini agak sukar untuk disukat dari segi maratib kerohanian yang dapat ditanggap dan diungkapkan. Tetapi sebagaimana diulaskan oleh Al-Sarraj terhadap  jawapan Al-Junayd tentang tauhid Allah ada perlapisan, maka adalah difahami tahap  seni  rohani juga ada perlapisan. Sebagaimana kata Al-Sarraj:
1)      Tauhid  Zahir 
Kata Al-Junayd, ``Mengesakan oleh yang  mengesakan (al-muwahhid) dengan tahqiq keesaan Allah dengan sempurna keesaanNya bahawasanya Dia yang Esa yang tidak beranak dan tidak diperanakkan dengan menafikan lawan dan persamaan dan penyerupaan dan tidak disembah selain daripadaNya, tidak ditashbih dan tidak bagaimana, tidak digambar dan tidak ditamsil. Dialah Tuhan Yang Esa Tiada seumpamaNya sesuatu. Dia amat mendengar lagi amat melihat.``
2. Tauhid  Khas
Juga kata Al-Junayd:
``Adalah seoramg hamba itu bayangan (shabhan) berdepan dengan Allah, berlari di atasnya larian taqdir menurut larian hukum-hukum qudratNya di dalam gelombang laut tauhidnya dengan fana dirinya, tanpa dakwaan sebarang penciptaan dan tiada dari sebarang istijabah dengan hakikat wujud keesaanNya dan kedekatan dengan hilang rasa dan gerakan, dengan berdiri hak menurut kehendakNya. Iaitu kembalinya akhir hamba kepada awalnya. Maka adalah Dia sebagaimana  berlalu dan kini.
Dan tahap pertengahan seperti kata Al-Junayd, bahawa tauhid ialah keluar daripada kesempitan garisan zaman kepada keluasaan kefanaan yang sarmadaniyyah.
Menurut Yusuf bin al-Husayn tentang tauhid ada tiga tahap, iaitu:
Tahap Am, iaitu mentauhidkan Allah tanpa  persamaan dan lawan
Tahap pertengahan:, iaitu menunggalkan yang Esa tanpa melihat dan mengaitkan  dengan sebab nusabbab.
Tauhid Khas: Bahawa seorang hamba dengan sirr, wujdan dan hatinya seolah berdiri di hadapan Allah `Azza wa Jalla dan berlari di atasnya larian tadbirNya dan berlari ke atasnya hukum-hukum qudrat di dalam lautan tauhidNya dan fana daripada dirinya dan hilang dirinya dengan Haqq menurut kehendakNya.
Dengan demikian dapatlah dikiaskan pada tahap mana tergambar di dalam ungkapan-ungkapan sufi. Seperti contoh kata-kata Shibli, bila ditanya dengan hakikat tauhid (khas). Dia menjawab,
``Wahai engkau,  Siapa menjawab tentang tauhid dengan iktibarnya, boleh terbawa kepada mulhid, siapa yang mengisyarat kepadanya bagai mengganda, siapa yamg senyap daripadanya dia jahil, siapa yang menyangka dia sampai, sebenarnya dia tidak berhasil, siapa yang mengisyarat dibimbangi menyeleweng,   siapa  yang bercakap tentangnya bahawa dia lalai, siapa yang menyangka dia mendekati, sebenarnya dia jauh, siapa berwujdan dia luput. Setiap kamu membezakanNya dengan waham kamu dan menanggapinya dengan akal kamu dia adalah tertolak lantaran kamu mengada-adakan.  Bermaksud Allah adalah bersalahan dari segala makhluk.
Contoh yang lain seperti kata Ruaym bin Ahmad bin Yazid al-Baghdadi, ketika beliau ditanya tentang  tauhid, katanya:
``Terhapus kesan manusia,Wujud  Ketunggalan Uluhiyyah semata.` (tahap pertengahgan)`.
Berkata yang lain,
~`Tauhid lupa yang lain dari tauhid dengan tauhid.`` (pertengahan).
Daripada apa yang dibicarakan jelas bahawa bahasa dan ungkapan tasawuf lebih-lebih lagi bersifat seni rohani adalah jauh berbeza dari bahasa akidah standard. Bahasa tasawuf yang bersifat seni rohani diungkap secara kreatif, indah dan berlainan dari kebiasaan. Kerana kreativiti seni itu selalu mencari yang baharu, segar dan mengkagumkan. Namun, walaupun sifat kreativiti  seni –termasuk tasawuf  menuntut kebebasan dari segi pencarian dan dapatan, ia hendaklah dikawal dari segi akidah dan nilai agar tidak  terkeluar dari landasan kebenaran, jika tidak akan berlaku kemabukan ungkapan yang boleh membawa kepada fitnah dan kesalahan seperti yang berlaku pada Al-Hallaj dan yang seumpama dengannya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment