September 6, 2016

LATAR BELAKANG ABU NASR AL-SARRAJ: KELAINAN DAN KEISTIMEWAAN


BBB,  03 Dzul Hijjah  1437  =  05  September  2016 (Isnin):
Nama  lengkapnya  ialah  Abu  Nasr  `Abdullah  bin `Ali al-Sarraj al-Tusi  (m. 378H.). Dari penisbahan tempat kepadanya dapatlah difahami bahawa beliau berasal dari Tusi, Azerbaijan,  iaitu kawasan wilayah timur negara Islam yang subur dengan ilmu pengetahuan. Dari wilayah ini dan sekitaran seperti Samarqand melahirkan ramai tokoh-tokoh Hadith seperti Bukhari, Tirmidzi dan Nasa`i, tokoh ilmu usuluddin seperti Maturidi dan tokoh-tokoh sufi seperti Abu Nasr al-Sarraj sendiri, Al-Hujwiri dan Imam Al-Ghazali. Selain dari penisbahan nama kepada Al-Sarraj al-Tusi, Abu Nasr al-Sarraj digelar sebagai  `Tawus al-Fuqara` `Merak Fuqara``.Mungkin dimaksudkan  kecemerelangan  ilmunya, khususnya kepimpinannya  dalam budang kerohanian.
Dengan kedudukan pentingnya di dalam menampilkan ilmu tasawuf secara lebih lengkap, namun namanya tidaklah begitu dikenali. Misalnya namanya tidak disenaraikan di dalam Tabaqat al-Sufiyyat oleh `Abdul Rahman al-Sulami dan tiada kedapatan di dalam kitab Jamharat Awliya` wa A`lam  Ahl   al-Tasawwuf oleh Al-Sayyid Mahmud Abu al-Fayd al-Manufi al-Hasani. Ini menyukarkan sedikit bagi mendapat maklumat bagi Abu Nasr al-Sarraj.  Walau bagaimana yang menjadi ukuran bukan dari segi populariti, tetapi adalah tentang kandungan pengajaran yang terdapat di dalamnya.
Terdapat petikan-petikan dari kitab-kitab yang memperkatakan tentang Abu Nasr al-Sarraj.
Berkata pengarang kitab al-Nafahat:
``Dia adalah `Abdullah bin `Ali bin Muhammad bin Yahya al-Sufi al-Zahid, pengarang bagi `Kitab al-Luma` `  tentang   al-Tasawuf. Dan katanya dia mempunyai beberapa karangan yang lain yang tidak sampai kepada kita.``
Berkata pengarang Tadzkirat al-Huffaz*.
``Abu Nasr al-Sarraj `Abdullah bin `Ali al-Tusi al-Zahid ialah Shaykh Sufi dan pengarang bagi  (`Kitab al-Luma`) dalam bidang tasawuf.  Meriwayat daripadanya Ja`afar al-Khuldi dan Abu Bakar Muhammad bin Da`ud al-Daqqi. Berkata Al-Dzahabi, ``Dia tumpuan perhatian dalam bidang ketasawufan, menjadi jurucakap kaumnya dan kukuh dengan ilmu shari`at.``
Berkata Al-`Allamah al-Sakhawi,
``Dia adalah menurut jalan Ahlu al-Sunnah.``
Berkata Nicholson seorang orientalis yang mengkaji bidang tasawuf Islam, ``Bahawa terlalu sedikit maklumat kita tentang Abu Nasr al-Sarraj. Ramai dari kalangan sufi sezaman lebih bersikap mendiam diri. Yang menyebut tentangnya terlalu ringkas dan terhad kepada persoalan ilmu seperti yang disebut oleh Abu al-Mahasin al- Dzahabi di dalam Tarikh al-Islam dan oleh Abu al-Falah di dalam Sha dzarat al-Dzahab dan lain-lain pengarang di dalam Safinat al-Awliya`.`
Tambah Nicholson, Amat menghairankan pengarang-pengarang tasawuf melupainya, tidak dicatat tentang tarikhnya, latar dan keadaannya, pada hal dia hanya satu-satu pengarang pada zamannya, mendalam keilmuan rohani dan guru bagi kalangan zuhhad tasawuf.``
Keadaan ini boleh terjadi, oleh kerana gaya kepengarangan yang ditampilkan oleh Abu Nasr al-Sarraj agak lain. Persoalan kerohanian misalnya dipersembahkan dengan intuisi kerohanian dengan bahasa yang mendalam dan bercabang, Ianya berlainan dengan bahasa akidah atau fiqh. Sebagai contoh:
``Daripada sebesar-besar nikmat yang dukhaskan bagi  mereka yang berkekalan di dalam muraqabah ialah mendapat tahqiq pada Maqam Ihsan.``
Contoh, ``Tasawuf adalah logam bagi semua ilmu, tempat bagi semua ahwal yang mahmudah dan akhlak shari`ah  sama ada yang telah lepas dan mendatang. `
Contoh mengenai tasawuf.  Kata  Al-Sarraj bahawa  Muhammad bin `Ali al-Qassab guru kepada Al-Junayd ditanyai tentang tasawuf, katanya,
``Ia adalah akhlak yang mulia, yang lahir pada zaman mulia dari seorang yang mulia di dalam kalangan kaum yang mulia.``
Al-Junayd juga disoal tentang tasawuf, katanya , ``Engkau bersama Allah tanpa `ilaqah.``
 Disoal Ruim bin Ahmad tentang tasawuf, katanya, ``Engkau menghantar diri bersama Allah Ta`ala mengikut apa yang Dia kehendaki.``.
Dan Samnun al-Muhibb ditanya tentang  tasawuf, katanya, ``Engkau tidak memiliki sesuatu dan engkau tidak dimiliki oleh sesuatu.`` Dan  Abu Muhammad al-Jariri ditanya tentang tasawuf, jawabnya, ``Masuk kepada setiap akhlak yang tinggi dan keluar daripada segala akhlak yang keji.``
`Amri bin `Uthman al-Makki ditanya tentang tasawuf, katanya, ``Bahawasanya seorang hamba itu pada setiap waktu dengan apa yang terbaik baginya  daripada waktu.`` Dan ditanya `Ali `Abd al-Rahman bin al-Qanad tentang tasawuf, katanya, ``Memperluaskan  maqam dengan   berterusan berhubungan.``
Jelas dari ungkapan-ungkapan di atas ada yang secara langsung dan ada yang berlapisan dan bercabang makna. Ungkapan sedemikian adalah lahir dari jiwa bergemerlapan langit rohani, lantaran permata tidak keluar dari kilang kaca. Contoh kata-kata Hikam Ibn `Ata` Allah yang tinggi dan mendalam maknanya mencerminkan ketinggian rohani dan keilmuan pengungkapnya. Kata-kata sedemikian tidak keluar dari orang biasa lantaran intan permata hanya dapat dikeuarkan dari lombong intan permata.
Mungkin bagi kebiasaan ungkapan-ungkapan di atas yang bersifat seni rohani agak berlainan dari ungkapan keilmuan akidah dan fiqhiyyah, lantaran itu ada yang mengambil sikap berdiam diri dari memperkatakannya, lantas tidak meluas dari segi  maklumat, maka perbendaharaan atau turath tasawuf berkenaan buat sementara tersekat penyebarannmya.
Menurut Al-Hujwiri di dalam Kashf al-Mahjub, bahawa Abu Nasr al-Sarraj seorang yang kuat beribadat, pada bulan Ramadhan dia ke Baghdad dan beribadat di Jami`Al-Shuniziyyah. Dia mengkhatamkan Al-Qur`an lima kali dalam solat tarawih. Dan berkata `Abdul Rahman al-Sulami, Abu Nasr al-Sarraj adalah dari kalangan zuhhad pada zamannya  yang meninggalkan  turath tasawuf yang amat berharga sebagai pancaran keilmuan dan kerohanian zamannya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment