September 1, 2016

LALAI DAN LUPA - GANGGUAN


BBB, 28 Zulkaedah 1437 = 31 Ogos 2016 (Rabu):
Di sebalik konsep ma`rifat (mengenal  diri) dari segi maratib nafsnya ialah konsep yang bertentang dan sebaliknya, iaitu  lalai (ghaflah)  dan lupa  (nisyan). Berlakunya lalai dan lupa bukan kerana seseorang itu bodoh atau tidak berilmu secara umum atau dari segi ma`rifat kerohanian, tetapi diakibatkan oleh – Lalai kerana kealpaan dan – Lupa kerana cuai. Lalai dapat dikatakan disebabkan oleh unsur dari luar yang mengganggu  dan hilangnya tumpuan, misalnya lalai terhadap tanggungjawab keluarga kerana adanya keseronokan mengejar harta, begitu juga terhadap ibadat kerana dilalaikan oleh keduniaan dan hiburan. Manakala lupa hilang ingatan dan terkeluar dari peta maklumat yang selama  ini ada di dalam fikirannya. Lupa lebih diakibatkan oleh faktor dalaman dalam diri. Misalnya malas dan hilang konsentrasi menyebabkan lupa. Misalnya  makin berkurang kesungguhan melakukan zikir dan ibadat dan menjadi lupa. Contoh kesungguhan menumpukan perhatian terhadap Al-Qur`an hingga menyebabkan apa yang dihafal hilang dari ingatan. Kedua-duanya adalah masalah dan gangguan dari segi kerohanian dan juga masalah bagi konsep zuhud Al-Muhasibi.
Menurut Al-Muhasibi  lalai ada dua perkara dan lupa pula ada dua perkara.
Adapun yang pertama ialah lalai biasa yang akibatnya kurang tumpuan. Lalai ini dapat dikategorikan sebagai lalai fizikal. Sebagai contohnya seorang yang sudah biasa memandu dan kurang memberi tumpuan terhadap pemanduannya atau dilalaikan oleh gangguan kerana berkomunikasi dengan pihak luar. Akibat dari kelalaian berlaku kemalangan. Dalam kata lain ada elemen cuai – bukan kerana tidak mahir dan tidak berilmu menyebabkan berlaku kemalangan.
Adapun lalai kedua, ialah lalai yang lebih parah dan banyak berlaku. Misalnya tiada siapa dapat menafikan bahawa setiap diri akan mati dan bukti kematian sering berlaku dan turut berlaku di hadapan mata. Tetapi walaupun bukti berlaku di hadapan mata,  sering  terlintas dalam ingatan, bahawa tubuh masih sihat segar dan masa masih banyak, maka secara langsung atau tidak langsung menjadikan diri bertangguh-tangguh untuk  bersungguh di dalam melakukan ibadat dan kebajikan. Dalam kelalaian dan tertipu dengan faktor-faktor luaran tiba diri mengejut mengalami penyakit, atau berlaku kemalangan menyebabkan kematian atau mengganggu diri dari memberi tumpuan terhadap ibadat dan kebajikan. Firman Allah bermaksud:
``Demi sesungguhnya engkau di dunia dahulu berada di dalam keadaan lalai akan (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelas perkara-perkara hari akhirat). (Qaf: 22)
Demikianlah lalai ibarat kata ungkapan madah:
Dari pagi sampai petang
Siang  beredar bertukar malam
Umur bertambah kurang amalan
Maut menjemput bersama kesalan.
Adapun  persoalan lupa yang lebih bersifat dalaman dapat dilihat kepada dua skala yang sempit dan yang lebih luas. Lupa dalam erti yang lebih luas, bererti tidak tahu. Tidak berilmu. Dalam hal ini proses bagi menjadikan kita tidak lupa, faham dan ketahui serta mengerti ialah usaha mengisi diri dengan berbagai-bagai keilmuan, khususnya ilmu-ilmu berhubung dengan Ketuhanan, keakhiratan, bahkan segala keilmuan. Orang yang banyak ilmu orang yang banyak mengurangkan ketidaktahuan dan kelupaan. Dalam proses mengisi dengan keilmuan,  ada peringkat yang memerlukan  kepada ingatan dan tidak lupa. Bayangkan pada peringkat anak-anak kita diorientasikan oleh ibu dan masyarakat disekeliling dengan berbagai-bagai istilah untuk diingati – tidak lupa yang membolehkan kita berkomunikasi dengan ibu bapa. keluarga dan masyarakat sekeliling.
Dalam pengajian formal ada proses mengingati – tidak lupa. Misalnya proses mengenal huruf abjad dan ejaan yang memboleh kan membaca Al-Qur`an dan juga pada peringkat yang lebih tinggi mengenali angka-angka-angka sehingga boleh mengira. Konsep menghafal dan mengelak dari tidak lupa misalnya menjadi antara kaedah pengajian tradisi. Misalnya menghafal Al-Qur`an, menghafal matan-matan keilmuan seperti nahu, saraf dan keilmuan yang lain yang dengannya menjadi asas keilmuan. Pada peringkat tinggi juga orientasi mengiungati dan mengelak dari lupa ialah dengan berterusan belajar dan faham. Dengan kefahaman bererti mengingati apa yang dipelajari.

Mengingati adalah proses berterusan agar dapat dihendarkan dari kelupaan. Satu konsep kerohanian di dalam Islam ialah `Zikir`, ialah mengingati Allah agar tidak lupa. Jika tidak diulangi. diingati dan difahami nescaya ia akan lupa dan hilang. Lupa adalah simpton diri yang mengganggu zikir dan ingatan. Bagi mengatasi `Lupa` perlu kepada kombinasi amalan, iaitu faham, mesra, sebut, berulang, orientasi pandangan (pandangan dan pegangan). Di dalam amalan ibadat ada amalan-amalan  yang dilakukan berterusan dan berulang yang secara langsung atau  tidak  langsung dapat mengatasi lupa. Misalnya kita digalakkan terus bertilawah ayat-ayat Al-Qur`an, bahkan menghafalkannya. Bagi yang dihafal, bagi mengelak dari lupa, maka kita sewajarnya mengulanginya dari masa ke semasa. Bersolat fardhu kita lakukannya secara berulang dan terus menerus yang secara tidak langsung mengelak kita dari lupa bacaan, khususnya yang melibatkan hafalan, dan yang lebih penting dengan bersolat berterusan mengingat dan mendekatkan diri kepada Allah.
Antara ibadat yang dituntut secara sunat adalah dengan banyak berzikir. Zikir itu sendiri bererti ingat, sebut dan berulang. Ianya bukan setakat mengulangi apa yang kita zikir dan sebutkan, tetapi adalah agar kita terus mengingati Allah. Pengingatan bukan bererti ingat satu perkataan, perkataan semata-mata, tetapi peringkat tinggi ianya mengorientasikan diri dengan kefahaman yang bagai melekatkan dalam minda dan jiwa memanjang dan berterusan. Walau bagaimana ada konsep lupa yang bersifat penyakit yang dikenali dengan nyanyok oleh kerana ketuaan. Lupa sedemikian dapat dikurangkan dengan adanya aktiviti minda dengan pembacaan berterusan seperti terhadap Al-Qur`an dan juga berterusan menumpukan perhatian dan pengajian terhadap keilmuan, insya Allah dapat menghindari daripada nyanyuk.
Al-Muhasibi membicarakan tentang lalai (ghaflah) dan lupa (nisyan) lebih berfokos di dalam ibadat dan kerohanian. Namun kita perluaskan skop berkenaan untuk lebih meluaskan pembicaraan dan kefahaman. Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment