September 14, 2016

TAUHID: ANTARA TAUHID KEFAHAMAN DAN PENGHAYATAN


BBB, 11 Dzul Hijjah 1437H, = 13 September 2016 (Selasa):
Baik ilmu tasawuf, lebih-lebih lagi ilmu akidah, bahkan semua keilmuan Islam menerima ilmu akidah yang juga dikenali dengan keilmuan tauhid adalah menjadi falsafah bagi semua keilmuan. Inti akidah ialah pengakuan  tentang ketauhidan Allah. Sebab itu keilmuan ini terkenal dengan ilmu tauhid. Sebagai satu ilmu ,  tauhid mempunyai pendekatan dan kandungan keilmuannya yang tersendiri. Ianya berasaskan kepada ayat-ayat Al-Qur`an, khususnya tentang sifat-sifat Allah di dalam Al-Qur`an seperti:
Allah Esa (Katakanlah Dia Allah Tunggal: Al-Ikhlas: 1)
Allah Mengetahui  (Sesungguhnya Engkau Mengetahui lagi Hakim: Al-Baqarah: 12)
Allah Mendengar (Sesungguhnya Allah Mendengar lagi Maha Mengetahui: (Al-Baqarah: 181).
 Sifat-sifat  ini dan yang lain lagi diolah di dalam keilmuan berkenaan yang dikenali dengan sifat 20. Pembicaraan dan pengolahan terhadap sifat-sifat Allah berdasarkan dalil naqal dan juga akal. Begitulah juga pemecahan dan kelompok-kelompok sifat berkenaan sebagaimana pendekatan Ash`ari dan Maturidi. Perbahasan adalah bersifat rasional dan perlu menggunakan hujah akliah secara rasional. Namun di samping pendekatan popular ini ada yang tidak menyetujui pendekatan berkenaan dan membawa pendekatan yang lebih rasional yang didukung oleh Mu`tazilah dan Qadariyyah seperti perbincangan mereka tentang sifat Allah, Al-Qur`an, qadha` dan qadar yang membahaskannya secara pendekatan rasional akal.
Walau bagaimana  di samping pendekatan rasional, tanpa menolak pendekatan ini (Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah), di sana ada pendekatan yang kita namakan pendekatan yang bersifat penghayatan. Ianya sama ada bersifat mesra,  kasih cinta, kagum dan sebagainya.  Pendekatan ini juga berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Qur`an.
Sebagai contoh penghayatan terhadap ciptaan Allah ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan takutlah kamu hari (Kiamat) yang kamu dikembalikan padanya kepada Allah, kemudian dimatikan setiap yang bernyawa, setiap orang menurut apa yang dusahakan. Dan mereka iru tidak dizalimi (Al-Baqarah: 282).
Tentang kasih cinta. Ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutkanlah daku, nescaya Allah mengasihi kamu.`` (Ali `Imran: 31).
Menghayati cipaan Allah, ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang adalah tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan nikmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Ali `Imran: 191).
Ayat-ayat di atas dari satu segi adalah menganjurkan penghayatan terhadap apa yang diciptakan Allah. Ia bukan saja menggerakkan akal tetapi jiwa dan hati nurani terhadap apa yang difirmankan Allah.
Kaum sufi, di samping mereka memahami pendekatan akidah yang konvensional dan mantap dan kelihatan sebagai lambat dari segi perkembangannya – kerana sudah mantap, adalah bersifat menghayati, memesrai, mengkagumi, bahkan menggeruni terhadap kandungan firman-firman Allah dan kelihatan ianya lebih berkesan. Ungkapan-ungkapan kesufian kelihatan bukan saja bersifat penghayatan, tetapi kental dan mengesankan. Sebagai contoh apa yang dicatatkan oleh Al-Sarraj:
``Telah sampai kepadaku daripada Yusuf bin al-Husayn al-Razi r.h.a. bahawasanya ia berkata: ``Berdiri seorang lelaki di hadapan Dhu al-Nun al-Misri r.h.a. Dia berkata, ``Khabarkan daku tentang tauhid, Apa Dia ?  Katanya, ``Engkau mengetahui bahawa kudrat Allah Ta`ala pada sesuatu tidak bercampur (dengan yang lain), ciptaanNya tentang sesuatu tanpa `ilaj dan `illah, tiap-tiap sesuatu yang dicipta tanpa `illah bagi ciptaanNya. Tidak ada di langit tinggi dan di bumi rendah Pentadbir lain daripada Allah Ta`ala. Apa yang tertasawwur pada waham  engkau Allah Ta`ala bersalahan, demikian yang lain daripada itu.``
Jelas cara jawapan lain dari ungkapan cara biasa, tetapi berbaur bersama penghayatan dan intuisi kerohanian, bahkan mesra dan mendalam.
Sebagai contoh lagi Shaykh Junayd al-Baghdadi disoal tentang tauhid, maka katanya,
``Ialah mentunggalkan yang mentauhidkan secara tahqiq keesaanNya  dengan sempurna ketunggalanNya. Dialah yang Esa yang tidak diperanak, tiada lawan dan persamaan dan tiada penyerupaan dan tidak disembah selain daripadaNya.. Dia tidak diserupai, tidak bagaimana, tidak digambarkan, tidak ditamsilkan. Dialah Tuhan Yang Esa, tertumpu kepadaNya kesegalaan Tunggal yang tidak ada bagi Nya umpama oleh sesuatu. Dia Amat Mendengar dan Amat Melihat.``
Pada ketika lain Al-Junayd al-Baghdadi sekali lagi ditanyai tentang tauhid. Dalam suasana dan masa berlainan juga intuisi, penghayatan dan tanggapan yang berlainan, dia berkata:
``Makna tauhid ialah terhapus segala pernyataan rakaman, segala di bawah IlmuNya. Allah adalah sebagaimana sediakala dan berterusan (lam yazal).
Jelas dimensi yang ditanggapi dan dihayati oleh al-Junayd adalah berlainan dari tanggapan dan ungkapan biasa. Ungkapannya dipengaruhi intuisi kehalusan jiwa dan rohani ketasawufan.
Menurut  Abu Nasr al-Sarraj apa yang dijawab oleh Dhu al-Nun al-Misri dan Shaykh al-Junayd  adalah merupakan jawapan dari segi maksud tauhid zahir sahaja, Dalam maksud ada tanggapan tauhid kerohanian yang lebih dalam daripada itu yang tentunya lebih mendalam dari segi kerohanian dan tanggapan yang kita boleh menndengar dan mengerti, tetapi tidak sama dengan apa yang dihayati dan ditanggapi oleh kalangan sufi berkenaan.
Walau bagaimana tahap akidah biasa dan konvensional, tetap diperlukan bagi menapis dan menjelaskan agar tidak timbul kekeliruan yang bukan kesalahan sufi, tetapi kita tidak dapat memahami.

Sekian.

No comments:

Post a Comment