September 16, 2016

KONSEP ILMU DAN MA`RIFAT


BBB,  06 Dzul Hijjah  1437H. =  08 September 2016 (Khamis):
Konsep ilmu dan ma`rifat adalah dua istilah  penting di dalam pembicaraan, khususnya keilmuan tasawuf. Secara biasa mungkin dianggap bahawa ilmu dan ma`rifat adalah mempunyai maksud yang bersamaan yang melibatkan tahu (ilmu) terhadap sesuatu. Tetapi secara khusus dari segi istilah mempunyai perbezaan. Ilmu adalah mempunyai makna yang luas yang melibatkan segala ilmu dan apa yang diketahui atau ingin diketahui, tetapi ma`rifat mempunyai makna yang lebih khusus. Kedua-dua istilah terdapat penggunaannya di dalam Al-Qur`an.
Contoh  ayat-ayat yang bermaksud bagi ilmu:
·          Allah mengajar manusia apa (ilmu) yang tidak diketahui. (Al-`Alaq:  5).
·         Allah mengangkat orang yang beriman dari kalangan kamu dan diberikan ilmu kepada darajat-darajat (Al-Mujadalah: 11).   
·         Dan padanyalah kunci-kunci keghaiban yang tidak mengetahuinya melainkan Dia. Dia mengetahui apa yang di darat dan di laut.`` (Al-An`am: 59).
Manakala ayat-ayat bermaksud dari perkataan ma`rifat:
·         Mereka yang didatangkan kepada mereka al-Kitab mereka mengenalnya sebagai mengenal anak-anak mereka.`` (Al-An`am: 20).
·         Dan Kami jadikan kamu berbangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenalan`` (Al-Hujurat: 13).
·         Hendaklah wujud di kalangan kamu satu puak yang menyeru kepada perkara yang baik dan menyuruh kepada  yang ma`ruf (baik)  serta melarang-perkara yang munkar (salah). (Ali `Imran: 104).
Ilmu Meluas
Dapat diambil kesimpulan bahawa ilmu adalah meluas ianya merangkumi segala yang lahir dan batin yang nampak dengan jelas dan yang tersembunyi.
Ilmu ialah hasil maklumat melalui  minda yang menghasilkan tahu. Daripada kalimah ilmu menghasilkan istilah-istilah yang berhubung dengan tahu seperti alim, maklumat, alam, ilmiah dan allamah.  Ia melibatkan tahu yang bersifat lahir dan tahu yang melibatkan yang bersifat batin dan rahsia. Seperti ayat Al-Qur`an ketiga di atas  (Al-An`am: 59) yang Allah mengetahui yang ghaib sebagaimana Dia juga mengetahui yang shahadah.
Bagi istilah ma`rifat  ada kaitan dengan kata `uruf, iaitu sesuatu yang telah terbiasa dikenali dan diketahui serta terbiasa yang merujuk maklumat yang terbiasa ini adalh sesuatu yang baik.
Namun istilah ini diangkat kepada makna yang terlebih khusus yang merujuk kepada s bidang kerohanian. Orang yang arif, ialah orang yang mengetahui bidang kerohanian secara mendalam. Misalnya klitab bidang tasawuf berjudul, Lata`if al-Minan oleh Al-`Arif bi Allah Ibn `Ata` Allah al-Sakandari,  Iqadz al-Humam fi Sharh al-Hikan dikarang oleh Al-`Arif Bi Allah Ahmad bin Muhammad bin `Ajibah al-Hasani. Contoh lagi ialah kitab Minhaj al-`Abidin ila Jannati Rabb al-`Alamin pada bicara al-tasawwuf yang menterjemah dengan bahasa Melayu oleh al`Alim al`Allamah al-`Arif al-Rabbani Maulana wa Qudwatuna al-Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani.
Pada kitab terakhir ini kita lihat dirangkum sama antara `Al-`Alim al-`Allamah al`Arif al-Rabbani.
Sesungguhnya  Al-Sarraj di dalam kitab Al-Luma` merujuk istilah ma`rifat kepada keilmuan yang bersifat rohani.
Pada permulaan pembicaraan tentang ma`rifat dikatakan Abu Sa`id al-Kharraz ditanyai tentang ma`rifat katanya, ma`rifat  datang atas dua wajah, iaitu kebaikan (al-jud) dan melakukan dengan kesungguhan dan disoal Abu Turab al-Nakhshabi tentang  sifat orang yang `arif, katanya,
``Dia yang tidak mengeruhinya oleh sesuatu dan bersih dengannya oleh sesuatu.``
Dan berkata Ahmad bin `Ata` r.h.a. ``Al-Ma`rifat terbahagi dua, iaitu ma`rifat Haqq dan ma`rifat Haqiqat. Maka ma`rifat Haqq ialah ma`rifat tentang keesaan Allah yang jelas bagi makhluk dari nama-nama dan sifat-sifat. Dan ma`rifat Haqiqat bahawa tidak ada jalan kepadaNya kerana tertegah dengan sifat samadaniyyahnya dan tahqiq Rububiyyah kerana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari ilmunya melainkan apa yang Allah kehendaki.`` (Al-Baqarah: 255).
Dalam huraian  lanjut oleh Al-Sarraj mengenai Ma`rifat, katanya,
``Daripada alamat ma`rifat bahawa dia melihat dirinya dalam genggaman  yang Maha `Izzah, dan berlari di atasnya larian qudrat.``
Tambahnya ``Dan alamat ma`rifat ialah al-mahabbah, kerana siapa yang mengenalNya m,engasihiNya.``
Jelas daripada contoh-contoh di atas, bahawa golongan sufi mengambil istilah m`rifat sebagai istilah  yang merujuk kepada yang bersifat rohani yang membezakannya dari istilah ilmu yang bermaksud kepada sekalian ilmu yang menghasilkan maklumat, yang biasanya merujuk kepada akal sama ada tentang alam fizikal dari langit, bumi, dan segala cakerawala, juga merujuk kepada konsepsi dan bersifat abstrak sebagaimana yang banyak dibincangkan di dalam keilmuan akidah dan juga yang bersifat kerohanian. Walaupun kerohanian tidak terkeluar dari ruanglingkup [lmu secara menyeluruh, tetapi  ma`rifat secara kerohanian mempunyai bidang yang khusus. Ma`rifat juga adalah istilah yang digunakan di dalam pendekatan yang dikenali dengan tariqat. Di dalam susunan pendekatan tariqat ini, kedudukan ma`rifat ialah berkedudukan tertinggi yang jalan menuju kepadanya seharusnya melalui shariat, tariqat, hakikat dan ma`rifat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment