September 7, 2016

POLEMIK KESUFIAN: AL-SARRAJ MENJELASKAN


BBB, 4 Dzulhijjah 1437 = 06 September 2016 (Selasa):
Telah disebutkan bahawa pada permulaan, tasawuf lebih dikenali dengan zuhud, wara`, muhasabah dan ri`ayah. Meskipun istilah tasawuf sudah dikenali sejak pertengahan abad ke 2H. , tetapi hingga ke akhir abad tersebut belum begitu popular digunakan.  Abdullah bin al-Mubarak (m. 181H.)  dan Ahmad bin Hanbal (m. 241H.)  menggunakan istilah zuhd.
Pada zaman Junayd al-Baghdadi (m. 297H.) istilah tasawuf sudah popular digunakan termasuklah oleh Al-Junayd  sendiri sebagai pemuka tasawuf Sunni, tetapi persoalan tasawuf ini masih tidak terhenti dari polemik dan perbahasan sehingga Abu Nasr al-Sarraj menjelaskan kedudukan ilmu tasawuf. Beliau memberi penjelasan seawal kitab Al-Luma`, iaitu selepas muqaddimah, kata Abu Nasr al-Sarraj,
``Berkata Shaykh Abu Nasr, bertanya kepadaku oleh seorang penanya tentang ilmu tasawuf dan madzhab ilmu tasawuf. Berbagai pendapat mengenainya. Ada yang teroja dengan keilmuan tersebut dan meletakkannya melebihi dari martabat sepatutnya. Ada yang melebihi dari rasional akal. Ada yang melihatnya sebagai satu jenis kelalaian . Sebalik daripada itu ada yang menisbahkannya sebagai jalan taqwa dengan gaya pakaian yang melambangkan kezuhudan. Manakala ada yang menuduhnya sebagai zindiq dan sesat.
Al-Sarraj menjelaskan bahawa tasawuf tidak lain dari berasaskan  kitab Allah `Azza wa Jalla dan menurut Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah hasanah. Juga bermodel sama dengan akhlak para sahabat dan tabi`in dan beradab dengan adab-adab para ibadullah al-salihin.
Sesungguhnya Allah Tabaraka wa Ta`ala menurunkan asas hukum melalui agama dan menghilangkan shubhah dari hati-hati pada mu`minin dengan apa yang disuruh mereka itu berpegang teguh dengan kitabNya, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
``Dan berpegang teguhlah kamu sekalian  kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam). Maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu,  ayat-ayat keterangannya supaya kamu mendapat pertunjuk hidayatNya.`` (Ali `Imran: 103).
Menurut Al-Sarraj seaula-aula ilmu yang mengukuhkan kebenaran ialah ilmu yang mereka warisi daripada nabi yang mereka berpegang teguh kepada Kitab Allah Ta`ala dan bermujahadah pada mengikut jejak perjalanan Rasulullah s.a.w., mengambil contoh dari para sahabat dan tabi`in dan yang menjalani dijalan para awliya` yang muttaqin dan hamba-hamba yang salihin.
Menurut Al-Sarraj  (dalam konteks zamannya) ada tiga jenis  kalangan ilmuan dan bidang, iaitu:
Ashab al-Hadith, Fuqaha` dan Sufiyyah.
Mereka ini menurut Al-Sarraj (tiga jenis) adalah dari kalangan orang-orang yang mempunyai ilmu yang berdiri teguh dengan kebenaran dan mereka adalah warathatil anbiya`.
Dari berbagai-bagai ilmu pula, maka ada tiga bidang ilmu agama, iaitu:
`Ilmu al-Qur`an, ilmu al-Sunan dan al-Bayan dan ilmu  Haqiqat keimanan.
Ilmu-ilmu ini tidak keluar daripada ayat-ayat daripada Kitab Allah Subhanahui wa Ta`ala.
Khabar daripada Rasulullah s.a.w. atau hikmat yang diistinbat oleh lintasan di atas hati wali daripada wali-wali Allah.
Dan asal Hadith tentangnya, kerana Rasulullah s.a.w. ditanyai oleh Jibril a.s. tentang tiga usul penting, iaitu tentang Islam, iman dan ihsan – zahir, batin dan hakikat.
Kata Al-Sarraj, Islam adalah zahir, iman zahir dan batin dan ihsan hakikat zahir dan batin. Iaitu sabda Nabi s.a.w. bermaksud:
``Ihsan itu, bahawa engkau menyembah  Allah seolah-olah engkau melihatNya, maka jika engkau tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihat engkau.``   Dan membenarkan yang demikian  oleh Jibril.
Adapun  ilmu hendaklah disertai dengan amal dan amal hendaklah disertai dengan ikhlas. Dan ikhlas itu bahawa menghendaki hamba dengan ilmunya dan amalnya semata-mata kepada wajah Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Ketiga jenis ini (ilmu, amal dan ikhlas) adalah berimbangan dan berlebihkurang maksud dan darajat sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Dan mereka yang dikurniai ilmu mencapai darajat-darajat.`` (Al-Mujadalah: 11)
FirmanNya bermaksud:
``Dan bagi setiap mereka darajat mengikut amalan mereka.`` (Alk-Ahqaf: 19).
Dan firmanNya yang bermaksud:
``Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain.`` (Al-Isra`: 21).
Dan sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Manusia itu berkufu`, hampir bersamaan seperti mata-mata sikat, tidak ada kelebihan bagi satu ke atas yang lain, melainkan dengan ilmu dan taqwa.``.
Demikianlah Al-Sarraj melihat kedudukan kalangan ahlu al-Hadith, fuqaha` dan sufi bahawa mereka adalah di atas jalan yang benar. Pendekatan dan huraian mereka adalah bersumberkan Al-Qur`an, Al-Hadith, ijma` `ulama`, mencontohi, sahabat dan tabi`an. Tiap-tiap mereka mempunyai kaedah dan pendekatan keilmuan  yang menciri dan mengidentitikan keilmuan masing-masing.

Sekian.

No comments:

Post a Comment