September 17, 2016

JIWA AL-MARHUM TG DATO` DR. HARON DIN BEGITU RAPAT DENGAN MASJID AL-UMM


BBB,  14 Dzul Hijjah 1437H. = 16 September 2016 (Jumaat):



Berita kembalinya ke Rahmatullah TG Dato` Dr. Haron Din pagi ini di Stanford University California , USA dierima dengan sayu bersama ucapan Inna lillahi wa inna ilaihi raji`un dengan do`a semoga Allah merahmati roh al-Marhum dan di tempatkan di kalangan para  auliya` dan salihin.
Sebelum itu  sekembalinya Penulis  ke rumah dari pejabat selepas masuk kerja sekembali dari  solat subuh di Surau Al-Umm, jam 8.00 pagi  isteri bertanya, ``adakah Penulis mendapat sebarang maklumat ? . Penulis bertanya balik, ``Maklumat apa ?``, katanya tentang Dato` Dr. Haron Din. Namun pada masa itu belum ada berita jelas. Kami menunggu berita dari TV (Saluran 501) dan berikutnya  ada berita menyatakan bahawa Dato` Dr. Haron Din berada di dalam ICU di sana  dengan diiringi keluarga terdekat.



Jam 11.00 pagi Penulis masuk pejabat kembali dan ketika Penulis sedang menaip, Penulis menerima berita confirm kembalinya ke rahmatullah Dato` Dr. Haron Din. Berita yang diketahui adalah melalui anak bungsu Penulis yang bercakap terus dengan saudara Hamdi anak Dato` Dr. Haron Din  di California yang mengesahkan kematian Dato` Dr. Haron Din  bapanya. Hamdi adalah kawan sepersekolahan anak bungsu penulis di sekolah Rendah BBB dan menengah di Ma`had Hamidiah. Perkembalian Dato` Dr. Haron Din bukan saja kehilangan yang tak dapat dicari ganti bukan saja bagi penduduk  Bangi, tetapi  bagi negara, agama dan bangs.



Bagi Penulis dan AJK Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi kembalinya ke rahmatullah Dato` Dr. Haron Din bererti  hilangnya satu tenaga dinamik dan aktif dalam usaha membangun dan menyiapkan  Masjid Al-Umm. Dato` Dr. Haron Din adalah menjadi Penaung dan Penasihat bagi Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi. Perlantikannya sejak dari 6 Julai 2013.
Pada peringkat pelancaran dana bagi membina Masjid Al-Umm beliau yang dijemput merasmikan Penetapan Arah Kiblat pada 30 Safar 1435 = 2 Januari 2014,  telah menggerakkan Tabung Pembinaan Masjid yang masih kecil jumlah dana dengan menambah derma sebanyak RM1.52 juta yang membolehkan permulaan pembinaan Masjid Al-Umm digerakkan  yang mula dibina pada 10.12. 2013 memerlukan pada masa itu sebanyak RM12 juta. Walau bagaimana dengan dana yang ada tidak sampai tiga juta Masjid tidak dapat membangun dengan cepat. Usaha dilakukan oleh Dato` Dr. Haron Din bagi mendapat sumbangan dari pihak institusi kewangan (PNB) bagi menyalurkan sebahagian daripada wang zakatnya kepada Masjid Al-Umm. Dari usaha beliau dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor pihak Masjid mendapat peruntukan dari Lembaga Zakat Selangor pada 24 April 2014 sebanyak RM1.8 juta ringgit.



Bukan setakat itu sahaja, tatkala Masjid menghadapi kekurangan kewangan bagi melicinkan pembangunan masjid, di samping mendapat derma terus dari masyarakat Dato` Dr. Haron Din sanggup memberi pinjaman kewangan kepada Masjid Al-Umm dari Tabung Birrul al-Walidayni keluarga beliau sebanyak RM1 juta ringgit.
Satu sumber kewangan yang diharapkan oleh Masjid ialah sumbangan dari Kerajaan Negeri Selangor dan janji telah dibuat bagi sumbangan kepada masjid sejak 6 Januari 2013. Dato` Dr Haron Din memimpin pertemuan antara AJK Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm menemui Dato` Menteri Besar Selangor Y.A.B. Mohamed Azmin bin Ali pada 8 Julai 2015 di Pejabat Menteri Besar dan mendapat peruntukan dari  Kerajaan Negeri Selangor. Setelah melalui beberapa proses pengurusan, maka pihak Y.A.B. Dato` Seri Mohamed Azmin Ali Dato` Menteri Besar Selangor sudi turun ke Masjid al-Hasanah Bandar Baru Bangi pada  Juma`at  9 September 2016 bersamaan 7 Dzulhijjah 1437 menyampaikan cek sebanyak RM4 juta kepada Masjid Al-Umm yang diterima oleh Dato` Dr. Haron Din sebagai Penaung dan Penasihat AJK Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm. Inilah tugas rasmi dan terakhir Dato` Dr. Haron Din berhubung dengan Masjid Al-Umm biarpun dalam keadaan uzur beliau sanggup ke Masjid al-Hasanah bagi menerima cek tersebut. Keesokan harinya (Sabtu 10 September 2016) beliau dan keluarganya bertolak ke California bagi mendapat rawatan sakit jantungnya di Stamfor University di sana. Mengenang peristiwa ini sayu rasanya hati dengan peristiwa terakhir dengan beliau, namun merasa kagum di atas kegigihan Dato` Dr. Haron Din yang sanggup menunggu  Majlis Penyerahan Cek oleh Y.A.B. Dato` Seri Menteri Besar itu.
Dapatlah dikatakan daripada hasil  kewangan yang didapati termasuk dari kerajaan negeri Selangor maka hampir separuh daripada dana yang didapati adalah dari usaha dan inisiatif Dato` Dr. Haron Din sendiri dan  juga bersama AJK Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm. Dengan usaha beliau  dapat melengkapkan keperluan bagi pembinaan Masjid Al-Umm yang tertangguh sekejap  itu.



Masjid Al-Umm begitu rapat dengan hati dan jiwa Dato` Dr. Haron Din. Beliau sering melawat dan melihat Masjid semasa dalam pembinaan sama ada mengiringi pelawat-pelawat terhormat yang mau melihat masjid berkenaan bagi tujuan menderma dan lawatan secara peribadi beliau secara persendiriasn.


Rancangan bagi menggunakan Masjid Al-Umm dijangka sebelum bulan Ramadhan 1437/2016. Dalam perancangan Dato` Dr. Haron Din adalah orang pertama yang akan menyampaikan khutbah Jumaat dan imam pada hari penggunaan. Beliau sendiri telah diberitahu tentang perancangan tersebut dan beliau sendiri telah menyatakan persetujuan untuk menyampaikan khutbah dan imam berkenaan. Walau bagaimana pihak AJK Pembangunan dan Pengimarah Masjid al-Umm terpaksa memohon maaf kepada beliau oleh kerana jangkaan penggunaan Masjid Al-Umm tidak dapat dilaksanakan.



Namun walaupun hasrat Ybhg. Dato` Dr. Haron Din untuk bersama pada permulaan penggunaan tidak kesampaian, tetapi jasa-jasa beliau di dalam membangunkan Masjid Al-Umm, khususnya dari segi mendapat sumber kewangan tetap terpahat di dalam ingatan dan kenangan, segala usaha beliau memberi tenaga dan urusan bagi mendapatkan kewangan tetap tidak dapat dilupakan, bahkan ianya menjadi amal jariah beliau berterusan insya Allah.
Sesungguhnya ada kesayuan di dalam hati melihat jasa Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din terhadap Masjid Al-Umm dan harapan beliau untuk turut sama menggunakan peringkat permulaan masjid tidak kesampaian, namun bangunan masjid yang tersergam indah itu adalah manifestasi jasa beliau yang terakam pada masjid Al-Umm berkenaan.
`Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang yang membuat kebajikan. (Al-Taubah: 120).



Semoga Allah menempatkan roh Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din  bersama dengan para auliya` dan salihin.`` Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment