BBB, 05 Dzul Hijjah 1437 = 07
September 2016 (Rabu):
Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi menghasilkan
kitab penting dari segi kesufian (Al-Luma`) dan beliau dengan jelas menggunakan
istilah tasawuf, ta`rif dan berbagai lagi berkaitan dengan istilah tersebut.
Lebih daripada itu kita ingin mengetahui tentang pandangan ketatasawufannya
dalam kitabnya setebal 646 halaman ini.
Di dalam membicarakan tentang Tabaqat
al-Sufiyyah Al-Sarraj menegaskan bahawa tidak timbul pertentangan di antara
kalangan sufi dengan kalangan fuqaha` , ashab al-Hadith dan akidah. Bahkan
mereka menerima keilmuan mereka dan i`tiqad mereka. Tetapi andainya berlaku
perselisihan pendapat menurut Al-Sarraj, maka yang menjadi keutamaan kesufian ialah mengambil yang lebih terbaik, terawla
dan tersempurna sebagai ihtiyat kepada agama dan mematuhi apa yang disuruh oleh
Allah kepada hamba-hambanya dan menjauhi daripada apa yang ditegah oleh Allah
daripadanya’
Kata Al-Sarraj, bukanlah dari madzhab
(tasawuf) kami turun kepada aspek-aspek rukhsah atau mencari takwil-takwil,
mempermudah atau memberi ta`wll terhadap sesuatu yang ragu dan shubuhat
kerana yang demikian membawa kepada mempermain dan mempersendakan agama. Apa
yang ditekankan bahawa penekanan dalam
tasawuf antaranya mengusaha membaiki
diri dengan banyak ibadat dengan berbagai jenis ibadat dan cuba menghendar diri
dari perkara-perkara yang tidak berkenaan, kerana ianya sebagai mencari
mnasalah dan membeban diri dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.
Antara adab-adab dalam ketasawufan, kata
Al-Sarraj:
Ialah al-qana`ah, iaitu sederhana dari
segala hal dan tidak menampilkan kemewahan di tengah masyarakat sama ada dari
segi makan minum, berpakaian dan hiasan
tempat tinggal.
Di samping al-qana`ah hendaklah bersifat
tawadhu` sama ada terhadap orang tua dan
juga terhadap orang muda dan memberi pertolongan terhadap yang berhajat,
seperti jiran tetangga.
Bagi pendukung pendekatan kami amat menjaga
hati yang menjadi rujukan diri. Berkata Al-Sarraj. Didikan qalbu menghasilkan
tiga jenis hati:
1) Hati
yang redha` dengan segala qadha` Allah
yang ditentukan
2) Berterusan sabar dan berterusan mujahadah dan
mukhalafah (menentang) kehendak nafsu.
3) Menjaga diri dari lintasan-linasan nafsu dan
keji
Dari kekhususan sufi ialah mengenal sifat
loba yang mungkin bersarang di dalam jiwa, panjang angan-angan yang melalaikan
dan mengenal tanda dan kehalusan sifat
riya` yang mungkin bercambah di dalam diri, syahwat yang seni dan syirik yang
khafi dan bagaimana melepas diri dari terjebak ke dalam jaringan yang
memerangkap diri kepada unsur-unsur berkenaan.
Dari usaha melepaskan diri dari
jaringan-jaringan yang memerangkap tersebut
ialah berusaha melalui tarbiah kepada mentawajjuh diri kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala dengan sebenar-benar
ittijah dengan berkekalan iftiqar dan penyerahan terhadap Allah.
Al-Sarraj berulang kali menekankan bahawa
tidak ada pertentangan antara tasawuf dengan fiqh, Hadith dan akidah. Yang
berlainan, jika dianggap berlainan ialah
tumpuan bidang dan pendekatan.
Bidang fiqh penumpuan kepada perlakuan zahir seperti tergambar di dalam
amalan-amalan bagi menunaikan solat yang melibatkan amalan lahir, demikian
dengan zakat, puasa dan haji yang perlakuan dan tindakan dapat disaksikan
dengan mata kepala.
Hadith sebagaimana dimaklum adalah sumber
kedua hukum dan ianya menjadi sumber ketasawufan dan tidak ada pertikaian. Cuma
kaedah pengajian dan penurunan mempunyai kaedah dan keilmuan khusus bagi bidang
berkenaan. Bagi fuqaha` lebih mengambil faedah dari sudut keilmuan fiqhnya.
Adapun dari segi akidah mempunyai kaedah perbahasannya yang selain dari
menggunakan dalil naqli, turut membahaskan secara akli dan rasional serta
logik, khususnya berhubung dengan rukun-rukun iman. Di sana terjadi perbezaan
pendapat yang melahirkan berbagai-bagai aliran yang setengahnya tidak
menyenangkan. Tetapi sebagaimana kata Al-Sarraj, bagi tasawuf menerima kesemua
dan mengikut mana yang terbaik.
Kelainan fokus persoalan dan penekanan
tidak berarti penyelewengan, lantara fokus ketasawufan kepada yang bersifat
dalaman rohani dan akhlak. Sebagai contoh sebagaimana ciri yang digambarkan
oleh Al-Qur`an istilah-istilah yang ciri-ciri yang menjadi arah yang dituju
bagi peningkatan rohani, iaitu seperti istilah al-saddiqin wa alsadiqat,
al-qanitin wa al-qanitat, al-khashi`in, al-muqinin, al-mukhlisin, al-muhsinin,
al-kha`ifin, al-rajin, al-wajilin, al`abidin, al-sa`ihin, al-sabirin,
al-radhin, al-mutawakkilin,, al-mukhbitin, al-awliya`, al-muttaqin,
al-mustafin, al-mujtabin, al-abrar dan al-muqarrabin.
Demikian dihimpun oleh al-Sarraj tentang
istilah-istilah yang menggambarkan sifat-sifat kerohanian yang terdapat di
dalam Al-Qur`an. Kesemuanya seolah-olah kuntum-kuntum rohani yang kembang indah
menawan berada di dalam tanam rohani yang menarik diri menikmati dan
sebaik-baiknya dapat memetiknya dan dapat disemat di dalam jiwa.
Tetapi bagi mendapat, bahkan bagi
menyampaikan kepadanya atau berpeluang menghidu keharuman bau bagi bunga-bunga
kerohanian ini tidak mudah dicapai, bahkan lagi tidak mudah bagi menjamah satu
daripada jenama kuntum-kuntum berkenaan, dan tentulah jauh sukar bagi kesemua.
Demikianlah bagi setiap bidang ada arah dan
matlamat – fiqh dengan ibadat bagi mencapai keikhlasan dari segi kepatuhan terhadap suruhan dan
menjauhi larangan. Bagi akidah mencapai keyakinan dan ketenangan dari segi
pegangan yang melibatkan penyelarasan pandangan terhadap bidang-bidanbg yang
lain. Dan bagi bidang tasawuf mencapai kebersihan yang memesra jiwa dan merasa
manis dan lazat di dalam mendekati dan mentaati Allah. Himpunan semua aspek
baik dari segi kepatuhan ibadat melalui padangan fiqhiyyah dan kekukuhan dan
kekuatan aqidah dan kelembutan dan kemanisan jiwa tidak bercanggah, bahkan
menguatkan antara satu sama yang lain.
Sekian.
No comments:
Post a Comment