September 21, 2016

SEMUA KITA ADALAH FAQIR KEPADA ALLAH


BBB, 18 Dzul Hijjah 1437 =  20 September  2016  (Selasa):
Seperti istilah wara` dan  zuhd, demikianlah dengan istilah faqr  mempunyai kontroversi, khususnya dilihat secara umum. Tanggapan umum `faqir` ialah orang yang berada di bawah taraf miskin dan hidup di dalam kesusahan dan perlu kepada bantuan dan pembelaan. Yang termasuk di bawah faqr ini , kerana kedaifannya, maka dia adalah menjadi asnaf yang layak menerima zakat. Firman Allah bermaksud:
``Adapu sadaqat (zakat) itu  hanyalah untuk  orang-orang faqir, orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hati mereka itu, dan untuk hamba-hamba  yang hendak memerdekakan diri mereka dan orang-orang yang berhutang, dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang yang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. Adalah kefardhuan dari Allah Dan Allah itu Amat Mengetahui lagi Amat Bijaksana.`` (Al-Taubah: 60).
Bermaksud faqir dalam konteks di dalam ayat di atas adalah golongan yang lemah terutama dari segi ekonomi, juga kedudukan sosial.
Apakah kesufian dituntut  berada di dalam kategori  lemah ekonomi dan kehidupan sosial ?
Sebelum pergi lebih jauh perlu difahami maksud istilah faqr itu.
Pertama: Faqr dengan makna umum (lahiri) bermaksud kefaqiran yang tidak memiliki harta. Daripada 100% keperluan dia hanya dapat berusaha memenuhi keperluannya sebanyak 20% sahaja.
Kedua Faqr dari segi maknawi dan rohani. Seseorang yang terlibat di dalam aspek kerohanian, tetapi ditakdir dia tidak dapat mengatasi kemelut hidup, tetapi dia redha dan berikhtiar. Dia  berusaha menyembunyikan kefaqirannya dari diketahui umum.
Ketiga adalah faqr dari segi hakikat. Dalam hal ini tiada siapa yang sempurna dan semuanya faqir kepada Allah.
Faqir menurut al-Sarraj, sebagaimana wara` dan zuhd, maka faqr adalah maqam yang mulia.
Namun tentu kita tidak mau masyarakat umat berada pada kategori faqir dalam makna umum, kerana ia melemahkan masyarakat, walaupun kewujudan kategori masyarakat pada tahap  faqir  tidak dapat dibasmikan, maka bantuan dan pertolongan perlu dilakukan sebagaimana di saran oleh Al-Qur`an.
Saranan daripada Al-Qur`an ini diolah dengan mengadakan berbagai skim dan program seperti yang dilakukan oleh lembaga-lembaga zakat bagi menaikkan taraf mereka yang faqir dan miskin agar mereka dapat berdikari. Program-program sedemikian termasuk konsep waqaf dapat meningkatkan taraf mereka yang faqir dan miskin kepada berdikari bahkan mencapai kejayaan di dalam lapangan-lapangan yang mereka diberi bimbingan.
Walau bagaimana kita tidak dapat mengatasi takdir dan mengelak dari ketentuan-ketentuan walau berbagai ikhtiar, misalnya mereka yang ditimpa sakit berkekalan seperti sakit buah pinggang, penyakit jantung,  menghadapi bencana besar seperti kebakaran dan berbagai kemusnahan, Mereka berusaha dan berikhtiar mengatasi, tetapi tidak mampu mengatasi. Mereka seperti ini walaupun mereka tidak meminta tetapi berkewajipan bagi pihak berkuasa dan masyarakat membantu meringankan bebenan mereka melalu skim bantuan dan berbagai cara pertolongan.
Daripada jenis kesusahan yang dihadapi di dalam hidup ada yang berusaha keras bagi mengatasi dan ada yang makin susah makin mendekati Ilahi  melalui pendekatan-pendekatan rohani dan mereka yang sedemikian berusaha menyembunyikan kesusahan diri dengan ikhtiar dan mengharapkan hanya kepada Allah Ta`ala. Mereka yang seperti ini dipuji oleh Allah dengan firmanNya yang bermaksud:
``(Pemberian sedekah itu), ialah bagi orang-orang faqir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam) yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya). Mereka itu disangka kaya oleh orang-orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing. Mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah) apa jua yang kamu belanjakan daripada harta yang halal, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya.`` (Al-Baqarah: 273).
Ini mencerminkan jiwa kesufian yang sebenar yang mempu menghadapi hidup dengan cekal. Berbagai ujian yang dihadapi merupakan ujian yang meningkatkan jiwanya yang membawanya makin mendekati Allah.
Al-Sarraj memetik pendapat tentang konsep faqir, iaitu orang tidak memiliki sesuatu dan dia tidak meminta kepada seseorang. Dia tidak menuntut dan tidak menunjuk. Jika dia diberi sesuatu tanpa masalah dia ambil.
Sesungguhnya di soal Al-Junayd tentang al-faqir, dia berkata, ``Daripada alamat faqir yang benar, bahawa dia tidak meminta, dia tidak menunjuk dan kalau ditunjuk  oleh orang tentangnya, dia mengambil sikap diam..
Demikian diriwayatkan dari Sahl bin Abdullah, bahawa dia ditanya mengenai faqir yang sebenar, katanya, ``Dia tidak meminta, dia tidak ditolak dan dia tidak mengasing diri.
Dan demikian disoal Ibrahim al-Khawass tentang alamat  faqir sebenar, maka katanya, Dia tidak mengadu, dia menyembunyikan kesan kesusahan dan dikatakan ini adalah maqam bagi yang dikenali sebagai  `Maqam al-Siddiqin`
Demikian sifat sufi yang jika dia benar-benar mengalami kefaqiran , dia menyembunyi dan tidak menunjuk-nunjukkan kefaqiran. Sebaliknya ia berusaha, tetapi menerimanya sebagai ujian yang memantapkanm jiwa dan kedudukan. Sifat sedemikian mencerminkan keluhuran jiwa kesufian yang cekal menghadapi ujian Allah, tetapi tidak menolak dari berusaha dan mengharapkanNya.
Demikianlah pada kenyataan umum ada manusia kaya, ada yang miskin dan ada yang faqir, tetapi dari segi hakikatnya semua kita adalah faqir. Yang dikatakan kaya adalah faqir, yang hidup sederhana juga faqir apa lagi yang faqir tentulah faqir. Kekayaan walau berapa banyak, nisbinya sedikit. Kita semua faqir. Kita faqir kepada Allah untuk hidup, jika ditarik daripada kita kemampuan bernafas, nescaya kita mati. Udara yang kelihatan murah dan tidak berharga jika ditarik kita mati.  Kita faqir kepada Allah. Untuk membesar pada masa kecil, bahkan hingga kini kita faqir kepada Allah dari kurniaan makan dan minum. Jika ditarik daripada kita kemahuan makan dan minum kita boleh mati.  Kita faqir kepada Allah dan mengharapkan sihat daripadaNya, berapa daripada orang yang dianggap kaya ditimpa sakit jantung, buah pinggang, lumpuh dan sebagainya, harta tidak dapat menyembuhkan. Kita sebenarnya faqir kepada Allah dari permulaan hidup hingga mati. Faqir dari segi hakikat mengajar kita supaya insaf. Walau dalam apa keadaan  kita adalah faqir kepada Allah, hidup adalah pinjaman, yang membahagiakan ialah mereka yang patuh dan  banyak membuat kebajikan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment