September 20, 2016

MAQAM AL-ZUHD: PERLU KEWASPADAAN


BBB, 17 Dzul Hijjah  1437H. =  19 September 2016 (Isnin):
 Menyebut tentang al-Zuhd mengingatkan kita kepada Abdullah al-Mubarak (m. 181H.) yang memulakan pendekatan kerohanian dengan al-zuhd dengan kitabnya yang berjudul Kitab al-Zuhd wa al-Raqa`iq dan juga Al-Imam Ahmad bin Hanbal (164-241H. =780-855M.) dengan karangannya al-Zuhd.
Al-Sarraj meletakkan  al-Zuhd di bawah kategori maqam , secara seturutnya selepas  taubah dan wara`. Kata Al-Sarraj bahawa maqam al-Zuhd adalah maqam yang mulia.  Zuhud lebih halus dan mendalam daripada wara`. Sebagaimana wara` demikian zuhud  adalah manifestasi kejiwaan sufi yang mau membersih diri lahiri dan maknawi agar tidak tercemar oleh shubhah dan jauh dari yang haram dan rasuah.
Mungkin ada kontroversi tentang wara` dan zuhud yang selalu dikaitkan dengan meninggalkan dunia yang sebenar   `dunia`   lebih kepada maksud apa yang merosak dan  melalaikan , tetapi  tidak daripada yang halal, bahkan diperlukan di dalam kehidupan yang dengannya  satu cara bagi mencapai kebajikan dan pahala. Pokoknya orang yang berusaha hidup dengan baik, tidak mengganggu orang lain, tidak merosakkan yang lain sebenarnya kehidupan yang baik dan memberi kebaikan kepada orang lain.
Dari maqam zuhd ini kata Al-Sarraj dia adalah asas bagi aspek ahwal yang berkedudukan tinggi, bahkan dikatakan oleh Al-Sarraj, zuhd yang melambangkan jiwa yang bersifat qana`ah dan memada dan tidak tamak adalah langkah awal bagi perjalanan bagi mereka yang menuju kepada Allah, tertumpu dan bersifat redha dengan ketentuan Allah dan bertawakkal kepadaNya.
Kata Al-Sarraj siapa yang tidak mempunyai asas dengan zuhd` tidak sah bagi maqam-maqam dan hal-hal selepas itu, bayangkan kepimpinan dan watak seorang yang tamak -  lawan zuhud yang sentiasa mencari kesempatan untuk mendapat peluang dan habuan diri yang kadang-kadang sanggup menggunakan berbagai kaedah yang tidak wajar bagi mewajarkan kepentingan bagiu dirinya terlaksana. Ia sanggup  melanggar tata dan norma hatta rasuah sekalipun. Dengan watak, imej dan dalaman sedemikian yang kotor sesungguhnya dia tidak layak bagi melangkah ke bidang kerohanian.Watak yang kontra zuhd sedemikian sesuai dengan ungkapan kesufian, bahawa:
Cinta kepada dunia adalah induk bagi segala kesalahan dan membenci keduniaan seperti di atas adalah induk bagi kebaikan dan ketaatan. Bermaksud segala kejahatan dikeji dan kebaikan dipuji.  Sesungguhnya segala perkara yang haram dan shubhah wajib ditinggalkan dan segala yang halal dan baik adalah di tuntut. Tujuan didikan kerohanian agar terpupuk jiwa dengan nilai-nilai terpuji.
Al-zuhd sebenarnya proses latihan diri yang pada tahaf hewan tamak terhadap sesuatu yang dapat menjaga kepeningan dan penguasaan diri sehingga sanggup bersengkita dan perang bagi mempertahankan kedudukan. Zuhud melatih diri supaya menyedari, bahawa bukan diri sendiri saja berkepentingan, tetapi semua mereka yang lain juga ada hak dan kepentingan. Zuhud adalah bermaksud antaranya ialah mensedikitkan kepentingan kepada tahap keperluan. Melalui pendidikan dan kesedaran keagamaan, bahkan kemanusiaan, bahawa mengurangkan kepentingan bermaksud zuhud terhadap kepentingan kepada tahap yang tinggi, misalnya ketamakan menyebabkan orang lain susah , menderita memerlukan keperluan yang kita mungkin mengawalnya dan hakikatnya bukan sesuatu keperluan yang mesti, maka jiwa yang mulia dan terdidik dengan rasa keagamaan seharusnya mengecilkan keperluan bagi keperluan orang lain juga memerukan. Dalam hal ini konsep sedekah, derma dan bantuan adalah manifestasi mengeluarkan kepentingan diri bagi membantu kepentingan orang lain. Pada hakikatnya apa yang  dibantu tidak mengurangkan hak diri, bahkan ia sauatu nikmat kerana dapat menolong orang lain dengan menimumkan kepentingan diri. Sebenarnya ia satu jenis kebahagian yang dialami jiwa yang meminimumkan kepentingan diri.
Tahap lebih tinggi ialah timbulnya kesedaran, bahawa selama ini ia dengan gigih berusaha m,enghimpun kepentingan diri, contoh dari aspek harta, pada akhirnya disedari, bahawa selama ini ia begitu lokek dan mempertahan kepentingan, pada hakikatnya yang diperlu tidak lebih dari apa yang dimakan, pakai dan digunakan selebih daripada itu, ianya sebenarnya menyekat dan mengawal sepatutnya sama dapat dinikmati , lantas menimbulkan kesedaran yang menjadi pemurah, membuat kebajikan dan berbagai-bagai amalan yang baik.
Pada tahap yang lebih tinggi aspek zuhud menjelma dan timbul dari hakikat kesedaran diri yang fana dan tidak dapat membantu diri melainkan dari amalan baik yang dilakukan atau dari perjuangan baik yang dihasratkan sebagaimana zuhud di dalam kehidupan Abu Bakar yang hatinya tidak diikat oleh kesayangan harta dan baginya ada dan tiada adalah sama, sebab itu untuk kepentingan dia sanggup menderma seluruh hartanya. Di dalam konteks kehidupan semasa juga bagi yang berada yang menyedari bahawa hartanya yang banyak tidak memberi faedah kepadanya, kecuali diwarisi oleh warith, timbul dari keinsafan dan kezuhudan jiwanya untuk menderma bagi tujuan sesuatu yang baik sebahagian daripadanya dengan keinsafan bahawa dia dapat menolong keperluan pihak-pihak tertentu, misalnya bagi yayasan pendidikan, badan kebajikan dan pembinaan masjid, surau dan sebagainya.
Firman Allah bermaksud: Tidakkah akhirat (kesudahan) itu lebih baik dari  permulaan (hidup kini) ? (Al-Dhuha: 5).
Walau bagi tujuan yang baik dan betapa zuhud seseorang Islam  diingatkan tentang kepentingan hak, hak individu, hak keluarga dan hak masyarakat. Konsep zuhud terhadap dunia, adalah bermaksud terhadap perkara-perkara yang tidak bermanfaat, lalai, lagha dan berdosa. Tetapi tidak terhadap perkara yang baik, kerana mencari rezeki dan harta menjadi tuntutan diri untuk hidup dan keluarga untuk kepentingan dan keperluan merka. Dengan harta juga membolehkan seseorang membuat kebajikan dan menolong mereka dan poihak-pihak memerlukan, termasuklah terhadap mereka yang ditinggalkan apabila diri mati. Adalah lebih baik seorang mati mempunyai harta yang diwarisi dari faqir yang tidak meninggalkan harta bagi kemudahan hidup keturunannya.
Ibn Kathir mencatat dalam Tafsir Ibn Kathir yang Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Bahawa engkau yang mewariskan waris-waris engkau sebagai orang-orang yang senang (kaya) dengan harta pusaka yang ditinggalkan adalah lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka dalam keadaan papa hingga meminta-mita daripada orang ramai.
Dalam maksud konsep zuhud perlu difahamkan bukan bererti  tidak mencari nafaqah dan harta benda untuk keluarga, zuhud terhadap dunia – bermaksud zuhud terhadap perkara-perkara yang dilarang, shubhah  dan berdosa. Adalah tidak dilarang dari memiliki harta, tetapi harta bukan untuk menyiksa diri, tetapi dengan harta, selain dari keperluan diri dan keluarga, maka dengan harta banyak peluang dan ruang untuk berbuat kebajikan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment