September 3, 2016

AKAL PENGUKUH KEILMUAN DAN KEROHANIAN


BBB,  30 Zulkaedah 1437 =  02   September 2016 (Jumaat):

Di dalam memahami diri dan tindakan  Al-Muhasibi pada bahagian akhir dari kitabnya `Al-Masa`il  Fi  A`amal al-Qulub wa al-Jawarih` membicarakan tentang `Akal`, iaitu setelah membicarakan tentang hati dan  nafs (diri). Satu lagi tidak dibicarakan secara langsung (tanpa bab baginya ialah ruh). Sebagai hati dan nafs, maka  akal adalah pemangkin keilmuan, bahkan juga kerohanian.
Persoalan akal dan penggunaan istilah akal banyak digunakan di dalam Al-Qur`an di samping  beberapa istilah yang lain yang merujuk kepada akal seperti  tatafakkarun, tubsirun, ta`lamun, tanzurun, al-bab dan beberapa yang lain. Pokoknya elemen `Akal` banyak terdapat di dalam  Al-Qur`an. Sebenarnya elemen akal dan istilah-istilah yang lain juga menjadi saluran bagi tanggapan jiwa, hati, rohani. Dalam kata lain `Akal` selain membawa elemen rasional, juga merupakan saluran bagi tanggapan hati dan rohani. Bahkan membawa semua elemen secara bersama.
Banyak ayat-ayat Al-Qur`an yang boleh dihayati secara rasional dan intuisi jiwa dan rohani. Antaranya bermaksud:
·         Engkau menyuruh manusia membuat kebajikan sedang engkau melupakan diri kamu, sedang kamu membaca Kitab, apakah kamu tidak memikirkan (secara akal) ? (Al-Baqarah: 44).
·         Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya semoga kamu berakal (Al-Baqarah: 242).
·         Dan baginya bertukar malam dan siang, apakah kamu tidak berakal ? (Al-Mu`minun: 81).
·         Dan bintang-bintang beredar dengan perintahNya, sesungguhnya pada yang demikian itu menjadi tanda-tanda bagi kaum yang berakal. (Al-Ra`d: 4)
·         Apakah tidak mereka itu berjalan di muka bumi, maka sepatutnya bagi mereka hati-hati yang mereka itu memahami dengan akal.
Pendek kata akal adalah elemen yang ada pada diri manusia yang dengannya mereka berfikir dan melaksanakan berbagai fungsi, berfikir, menimbangkangkan sesuatu perkara dengan  rasional, ia adalah alat yang penting bagi belajar dan menjalankan berbagai-bagai kegiatan. Akal juga membezakan manusia dan kejadian yang lain seperti binatang dan lain-lain yang tidak berakal.
Menurut Al-Muhasibi akal ada tiga makna:
1)      Sebagai elemen yang ada pada diri manusia
2)      Akal yang beraktiviti dan berfungsi bagi berfikir
3)      Akal ialah pemberian istimewa bersifat gharizah (naluri) yang diletak Allah pada diri manusia dengannya manusia berfikir, membeza dan membuat pilihan, menilai  dan bertanggungjawab dengan pilihan yang dengannya dia ditaklif.
Berkata sebahagian daripada al-mutakallimun yang mengagungkan rasional akal, bahawa akal adalah juga sebagai pancaran rohani. Mereka berhujah, bahawa setiap sesuatu ada intiutama, maka intiutama  akal ialah `al-Lubb`, seperti firman Allah bermaksud:
``Adapun  yang mengambil ingatan ialah yang mempunyai al-bab.`` (yakni yang mempunyai akal) (Al-Ra`d: 19).
Berkata yang lain, ``Akal ialah cahaya yang diletak Allah Ta`ala bersifat tabi`i dan naluri, dia melihat (berfikir) dengannya, mengambil iktibar. Dia adalah nur pada `hati (qalb) sebagaimana cahaya pada mata, iaitu penglihatan. Dia adalah naluri, maklumat yang menerima peningkaan dan pertambahan bagi akal (ilmu, maklumat dan pengalaman).
Ada pihak yang mengatakan bahawa akal ialah `Ma`rifat` yang dijadikan Allah pada manusia. Ianya bertambah dan meluas dengan usaha mencarinya dan dengannya dapat dikenali apa yang memberi manfaat dan apa yang memberi mudarat.
Ciri akal adalah bersifat rasional. Dengan akal dapat ditanggapi sesuatu yang bersifat material dan konsepsi dan abstrak, bahkan subjektif, sebagaimana dapat difahami dalam ilmu matematik. Ianya dapat ditegak kebenaran melalui kaedah dalil dan burhan yang dikenali sebagai kaedah logik. Dengan akal dibicarakan persoalan-persoalan yang bersifat falsafah yang kadang-kadang tidak digemari oleh pihak-pihak yang mendokong pendekatan kerohanian.
Akal sebenarnya adalah kurniaan yang amat penting bagi diri. Rasionalnya dapat menjambatani kepada wilayah rohani secara lebih kukuh, bukankah melalui kefahaman rasional membawa kepada kekaguman dan penghayatan kerohanian terhadap Yang Maha Pencipta ?  Allah.
Askal mempunyai fungsinya iaitu sebagai ukuran kematangan seseorang dari segi baligh dan kemampuan mendapat ilmu. Dengan akal memandu manusia di dalam kehidupan misalnya dari segi kewajipan keagamaan, pekerjaan, kedudukan di dalam masyarakat dan kepimpinan. Kemajuan masyakat bergantung kepada ramai mana golongan berpelajaran yang dapat memandu dan memajukan negara di dalam berbagai bidang.
Fungsi hati lebih bersifat kerohanian, ianya adalah wasilah  yang dapat meningkat  `ubudiyyah  dan  kecintaan kepada Allah, manakala dari segi nafs wasilah yang banyak ujian dan rintangan. Iaitu pendidikan dari perjalanan kualiti diri yang seharusnya mengatasi garis nafs ammarah, mulhamah dan lawwamah kepada yang bersifat mutmainnah, radiayah dan mardiyyah. Al-Muhasibi tidak membicarakan dari aspek roh. Ini ialah kerana persoalan roh hanya  Allah jua yang mengetahuinya sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
``Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang roh, katakanlah ` Roh itu dari perkara urusan Tuhanku. Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit  sahaja. ``(Al-Isra`: 85).
Walau bagaimana, miskipun nafs, akal, hati dan roh adalah berlainan, ada yang berpendapat  pada peringkat puncak semuanya tiba pada peringkat titik yang sama, iaitu sebagai jalan kepada `Ma`rifat Allah`.
Lantaran itu,  Al-Muhasibi membicarakan aspek-aspek di atas, kecuali roh, bagi mengenali dan  membersih  diri dari halangan-halangan perjalanan, khususnya dari segi kerohanian.

Sekian.

No comments:

Post a Comment