BBB, 09 Dzul-Hijjah 1437H. = 11 September 2016 (Ahad):
Al-Sarraj bukan saja antara pengarang
memulakan penggunaan kalimah tasawuf, tetapi juga membicara dan merakamkan
secara tertulis mengenai pendapat tentang asal usul istilah tasawuf, maksud dan
makna istilah tersebut yang umumnya mencerminkan sifat dan pembawaan
ketasawufan itu.
Sebagaimana disebut tasawuf pada peringkat
permulaan dalam mana istilah ini belum lahir, atau kalau ada tetapi tidak
terkenal, maka maknanya bersifat
gambaran hal, bukan dari kata secara langsung berhubungan dengan istilah
tasawuf.
Pada peringkat awal tasawuf adalah
bermaksud zuhud sebagaimana dikatakan
oleh Abdullah Al-Mubarak dan Al-Imam Ahmad bin Hanbal.
Juga dimaksudkan sebagai `Al-Ri`ayah` sebagaimana di maksudkan oleh
Al-Muhasibi dan juga bermaksud `Al-Muhasabah` yang kemudian dinisbahkan kepada
Al-Muhasibi.
Menurut Al-Sarraj, pada peringkat permulaan Ahlu al-Sham
menamakan kalangan sufi sebagai `fuqara` - `Orang-orang faqir`. Faqir di sini
bukan semata bermaksud tiada harta benda, tetapi lebih memaksudkan mereka
adalah orang yang faqir dan berhajat serta bergantung kepada Allah. Bahkan
Allah menamakan mereka sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan bagi orang-orang faqir yang berhijrah
yang mereka itu dikeluarkan daripada negara mereka dan harta benda mereka untuk
mencari lempah kurnia daripada Allah dan keredhaanNya.`` (Al-Hashr: 8).
Dan firman Allah yang bermaksud:
(Pemberian sedekah) ialah bagi orang-orang
faqir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau
berjuang) pada jalan Allah (membelakan Islam). `` (Al-Baqarah: 273).
Seterusnya pada peringkat penggunaan
kalimah tasawuf, maka timbul berbagai pendapat tentang maksud istilah
tasawuf berkenaan.
Antara pendapat yang popular, sebagaimana
yang dicatat oleh Al-Sarraj bahawa Abu al-Hasan al-Qanad ditanya mengenai
`al-sufi`, katanya, ianya diambil dari kalimah `al-safa` yang bererti `bersih`
dengan maksud orang sufi berusaha menjalani kehidupan dengan melakukan
kewajipan yang ditentukan Allah pada setiap waktu dengan erti ia menunaikan
semua suruhan.
Maksud safa juga menurut huraian Al-Sarraj,
bahawa seseorang hamba itu tahqiq dengan ubudiyyah dan bersih daripada kotoran
bashariyyah, hakikatnya bersamaan dengan shari`at dan bersih amalannnya.
Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa
istilah tasawuf adalah berasal dari perkataan `suf` ertinya bulu, lantaran bulu
adalah ringan dan mudah dibawa angin ke sana ke mari, lantaran dimaksudkan seorang sufi di sisi Allah seperti bulu yang
bergerak menurut kehendakNya, lantaran penyerahan dirinya kepada Allah
sepenuhnya.
Dalam maksud `suf` bererti bulu, juga dimaksudkan pakaian sufi dibuat dari bulu yang
kasar, tahan dan dapat melindungi diri sufi terutama dari kesejukan. Pakaian
dari jenis yang kasar adalah mencerminkan sifat kezuhudan mereka. Sifat lahir
pakaian juga melambangkan jiwa mereka yang kental dalam menghadapi ujian Allah.
Kata sufi atau tasawuf juga ada yang
berpendapat berasal dari perkataan `Al-Suffah` bermaksud `Anjung Lindungan`,
iaitu merujuk kepada sejarah permulaan Hijrah al-Rasul s.a.w. dan
sahabat-sahabat ke Madinah. Sebahagian daripada mereka pada permulaan tidak
mempunyai tempat perlindungan. Maka buat
sementara mereka berlindung di bawah anjung (al-suffah) Masjid
Madinah yang baru dibina oleh Rasulullah s.a.w. Kehidupan mereka adalah daif,
tetapi mereka adalah sabar dan cekal. Mereka adalah patuh kepada suruhan Allah.
Sifat, sikap dan pembawaan mereka menjadi lambang kerohanian dan menjadi contoh
teladan kesufian.
Dikatakan tasawuf berasal dari perkataan
`al-sifat`, yakni merujuk kepada sifat-sifat terpuji, lantaran seorang sufi
seharusnya seorang yang mempunyai sifat terpuji dan ianya merupakan pembawaan
hidup dan amalan sepanjang.
Tasawuf juga dikatakan berasal dari
perkataan saff (barisan), dimaksudkan sebagai barisan hadapan di dalam solat
berjamaah, kerana ahli sufi diibaratkan sebagai orang yang berada pada saf
hadapan dari segi hati mereka terhadap Allah Subhanahu wa Ta`ala dan dari segi
mendahului mereka dari segi taat kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Dikatakan juga tasawuf berasal dari istilah
safwi bererti cerah dan jernih, kata ini
apabila dinisbahkan kepada seseorang (ism fa`il) maka dipanggil sufi. Dalam
maksud hati seorang sufi adalah cerah dan jernih.
Seterusnya ada yang berpendapat istilah tasawuf berasal dari
perkataan `saufanah` yang dinisbahkan
kepada sejenis tumbuhan bebawang yang tahan panas tumbuh di celah batu di
padang pasir, walaupun tanpa hujan. Ketahanan ini dinisbahkan kepada jiwa
`sufi` yang tahan dan kental dari segi
fizikal dan jiwa di dalam menghadapi ujian daripada Allah.
Terdapat pendapat yang dikira dari luar dan
lebih ditampil terutama dari kalangan orientalis yang menampilkan pendapat
Al-Biruni, bahawa istilah tasawuf adalah
dipinjam dari perkataan Greek, selepas bertembung budaya Islam dengan budaya
Greek, khususnya selepas berlakunya kegiatan terjemahan pada zaman kerajaan
Abbasiyyah. Tasauf menurut pendapat ini berasal dari perkataan `sophia` yang
bererti `hikmat` dan falsafah`. Bererti tasawuf melibatkan kalangan sufi yang membicarakan
persoalan kerohanian secara hikmat dan falsafah. Pendapat ini dianggap baharu ditampilkan
dan ianya merupakan usaha para orientalis yang cuba mengaitkan perkataan tersebut dengan pemikiran
Greek, maka dengan itu dapat dikaitkan bahawa ilmu tasawuf bukan asli di dalam
Islam, tetapi diambil dari luar. Walaupun hujah sedemikian ditimbulkan, ianya
tidak dapat menafikan bahawa sumber-sumber tasawuf adalah asli dari tradisi Islam lebih
banyak dan jelas dari tradisi Islam (Al-Qur`an,
Al-Hadith, Pembawaan sahabat dan sebagainya) sebagaimana telah dibicarakan.
Sesungguhnya dari huraian-huraian tentang asal istilah
tasawuf dan maksud tasawuf semuanya memberi erti yang menunjukkan tentang
keluasan makna tasawuf dan semuanya mencerminkan ciri dan sifat-sifat tasawuf serta
keluasan gambaran dalaman dan kerohanian dalam Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment