BBB, 22 Dzul Hijjah 1437H. = 24 September 2016 (Sabtu):
Pendekatan yang melihat kepada pentahapan
kerohanian yang berganding dengan maqam (pluralnya maqamat) ialah hal yang
jamaknya ialah ahwal. Jarang kitab tasawuf yang membicarakan tentang maqam dan
hal begitu detail. Agak mengkagumkan sebagai kitab yang awal membicarakan
tentang maqam dan hal dapat membicarakan
aspek-aspek kedua berkenaan dengan detail.
Oleh kerana
pentahapan agak relatif yang pada hakikat bukan bererti satu persatu
maqam itu berlaku secara seturut – ertinya boleh berlaku yang didahulu
terkemudian atau berlaku pertindihan. Begitu jugfa tiada perbezaan jelas dan
tuntas bagi maqam dan hal juga tidak secara konkrit, maka ada pendekatan yang
lebih kemudian merangkum aspek-aspek maqam dan hal kepada satu kategori yang
diberi judul. Jalan Menuju Kepada Allah. Misalnya `Abdul Qadir bin `Isa di
dalam bukunya yang berjudul Haqa`iq `an al-Tasawwuf mensenaraikan kedua aspek
di atas sebagai Jalan Menuju Kepada Allah terdiri dari 12 perkara:
Al-taubah, al-muhasabah, al-khauf,
al-raja`, al-sidq, al-ikhlas, al-sabar,
al-wara`, al-zuhd, al-ridha, al-tawakkal dan al-shukr.
Bagi Al-Sarraj 6 daripada 12 di atas adalah
maqam - iaitu, al-taubah, al-sabar, al-wara`, al-zuhd, al-ridha dan al-tawakkal
(Al-shukr sepatutnya termasuk di bawah maqam, tapi tidak dibicarakan).
Bagi Al-Sarraj judul: Al-Qurb, al-mahabbah,
al-khauf, al-raja`, al-shauq, al-uns, al-tama`ninah, al-mushahadah dan al-yaqin
berjumlah 9 judul adalah tergolong di
bawah al-ahwal, iaitu lebih banyak dari maqamat yang disusun dan
dibicarakan oleh Al-Sarraj. Ianya berjumlah lebih banyak dari apa yang
disusun oleh `Abdul Qadir bin `Isa di dalam Haqa`iq `an
al-Tasawwuf (12) sedang bagi Al-Sarraj, 6 bagi maqamat dan 9 bagi ahwal
berjumlah 15 judul persoalan.
Apakah konsep hal atau ahwal ?
Hal dalam maksud biasa ialah suasana, keadaan, situasi dialami
jiwa yang dilalui oleh berbagai-bagai aspek keahwalan. Bandingan hal
- contoh dalam fenomena biasa situasi berlaku, misalnya pada hari panas terik dalamana semuanya kepanasan dan
kekeringan. Bertiup angin membawa awan
hitam hingga ke perbatasan dan gugur di pergunungan, bukit bukau, hutan lembah,
padang, kampung, bandar dan kota maka berlaku bukan saja perubahan cuaca,
tetapi pokok kembali segar, sungai dipenuhi larian air, pokok mengeluarkan bunga dan buah-buaham
bendang padi segar menghijau, kegiatan di mana-mana saja lancar oleh cuaca yang
baik dan menyamankan.
Demikian kejiwaan dengan keinsafan hamba dan mendekati Allah,
maka jiwanya yang selama ini kering kontang dan selama ini jauh dari Tuhan,
dengan amalan kebaikan dan kerohanian membawa dirinya mendekati Allah. Kalau
selama ini dia selalu resah gelisah, maka dia mulai rasa tenang, dia rasa dekat
dengan Tuhan, lebih mengharap kepadaNya, timbul rasa mesra dan cinta kepada
Allah yang membawa jiwanya jinak, shauq dan cinta dan menjadikannya tenang, yaqin
dan merasa sentiasa berdepan dengan secara mesra.
Berkata Shaykh al-Sarraj r.h.a, ``Adapun
makna ahwal ialah apa yang turun atau singgah di hati atau yang terkesan di
hati berbagai lintasan ingatan (dhikr)
oleh kebersihan permukaannya.
Berkata Al-Junayd: r.h.a, `Al-hal ialah
sesuatu yang turun di hati dan bersifat bertahapan, tetapi tidak berkekalan.
Pada masa yang lain Al-Junayd juga berkata,
bahawa al-hal ialah dzikir yang khafi (sembunyi) sebagai gerak dihati (konsep
hati termasuk juga minda). Dalam kata yang lain sentiasa dalam ingatan kepada Allah. Ini berdasar
kepada Hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, ``Sebaik-baik dzikr ialah dzikir
khafi.``
Menurut Al-Sarraj, ``Hal adalah berlainan
dari al-maqam. Hal tidak dicapai secara
mujahadat, ibadat dan riyadhiyyat seperti al-maqamat, tetapi ia adalah bersifat
mendatang mungkin secara spontan atau lintasan seperti kesan dari muraqabah,
kedekatan (al-qurb),, cinta, takut, harap, shauq, al-uns, tama`ninah,
mushahadah, yaqin dan sebagainya.
Sifat-sifat dan ciri-ciri di atas mendatang
oleh sesuatu sentuhan yang quddus, seperti mendengar tilawah al-Qur`an dihening malam yang menyentu qalbu menimbulkan
rasa qurb, uns, kasih mesra dan cinta. Demikian misalnya melalui ibadat seperti
solat membawa kedekatan dan mi`raj diri kepada Allah atau melihat
kemusnahan yang dahsyat seperti gempa bumi, banjir atau kemalangan yang
memakan kurban yang membawa keinsafan dan terjelma di dalam tanggapan tentang kekuasaan Tuhan dan taqdir ketentaunnya yang membawa diri lebih
mendekati Allah.
Tentang antara gambaran situasi yang
dialami hati, dihikayatkan daripada Sulaiman al-Darani berkata, ``Apabila hati
dilawati lintasan hati (bermuamalah), tumpuan kepadanya dan anggota istirahat.
Menurut Al-Sarraj ada dua maksud dengan apa
yang diungkapkan oleh Al-Sulaiman al-Darani.
Pertama: Rehat anggota bermaksud tumpuan
diberi terhadap muamalah jiwa yang lebih mesra dan intim, maka terhenti atau
tertangguh kegiatan yang bersifat anggota.
Kedua:
Boleh bermaksud tumpuan kepada hati selepas dan akibat dari mujahadah,,
amalan-amalan, ibadat yang meningkatkan cita rasa kerohanian, hingga bertukar
dari kegiatan lahir yang maqamat kepada kelazatan jiwa yang ahwaliyyat.
Di dalam hal ini kata al-Junayd r.h.a.,
``Tidak seorang sampai kepada ri`ayah al-huquq, melainkan dengan menjaga hati,
dan siapa yang tiada di dalam sentuhan halus kerohanian, dia terus dalam
kedangkalan dan tiada kejernihan yang meluangkan.
Apakah ramuan yang membina hal ?
Adalah hasil dari mendekati diri kepada
Allah dengan ibadat yang membawa
kepada pengalaman ta`abbudiyyah
yang mendalam berbaur dengan mesra cinta yang intim dan diliputi seni rohani yang halus dan berlaku ahwal ke atas diri.
Sekian.
No comments:
Post a Comment