September 9, 2016

KELAHIRAN ISTILAH TASAWUF


BBB, 06 Dzul Hijjah 1437H. = 08 September 2016 (Khamis):
Telah dibicarakan konsep tasawuf dapat difahami dari penggunaan istilah `Al-Zuhd` pada peringkat awal sebagaimana digunakan oleh  Abdullah al-Mubarak di dalam kitabnya yang berjudul `Kitab al-Zuhd wa al-Raqa`iq` dan sebagaimana digunakan oleh Al-Imam Ahmad bin Hanbal dengan kitabnya yang berjudul `Al-Zuhd`.
Bilakah sebenarnya lahir istilah tasawuf dan popular digunakan ?
Abu Nasr al-Sarraj dengan kitabnya `Al-Luma`` adalah merupakan pengarang kitab yang mula membicarakan secara lengkap tentang asal usul istilah tasawuf dan penggunaannya.
Berhubung dengan pendapat bahawa istilah tasawuf adalah istilah baharu yang lahir pada zaman kerajaan `Abbasiyyah di Baghdad, Al-Sarraj menjawab bahawa istilah tasawuf ini sudah wujud sejak zaman tabi`in, iaitu dirujuk kepada zaman Hasan Basari (m.110H./728M.). Kata Al-Sarraj Hasan berkesempatan dengan jama`ah daripada sahabat Nabi s.a.w. r.`anhum.
Sesungguhnya diriwayatkan daripada sahabat yang berkata:
``Aku melihat seorang sufi  sedang tawaf, maka aku memberinya sesuatu, tetapi dia tidak mengambilnya dan dia berkata, ``Bersamaku ada empat duit yang cukup bagi keperluanku.``
Al-Sarraj menghujahkan lagi bahawa sebagai bukti kedua, bahawa diriwayatkan daripada Sufyan al-Thauri (m. 246H./860M.) yang juga dari kalangan tabi`in pernah berkata bahawa, ``Kalaulah tidak kerana Abu Hashim al-Sufi, (m. 150H./761M.) maka aku tidak tahu secara halus tentang konsep riya`.
Ini bererti sejak pertengahan abad ke 2H., bukan saja  istilah sufi sudah diketahui, tetapi juga disebut sifat yang negatif yang seharusnya dihendari  oleh orang yang digelar sufi, bahawa seharusnya tidak ada sebarang elemen riya`  di dalam diri dan jiwa sufi. Ertinya seorang  sufi adalah seorang yang seharusnya berjiwa bersih dan mempunyai akhlak dan peribadi yang  mulia.
Namun ada maklumat yang menunjukkan istilah ini wujud lebih awal daripada itu.
Menurut Al-Sarraj, ``Sesungguhnya tersebut di dalam kitab yang dihimpun di dalamnya berita-berita tentang Makkah yang dipetik oleh Muhammad bin Ishaq bin Yasar dan lain daripadanya menyebut satu berita, bahawasanya sebelum Islam, telah sunyi Makkah pada satu waktu dari waktu-waktu, sehingga tiada seorang yang tawaf di Ka`bah, maka pada masa itu datang dari negeri yang jauh seorang lelaki sufi dan tawaf di Ka`bah dan berlalu.``
Berkata  Al-Sarraj, jika sahlah  penggunaan istilah sufi itu, maka bererti istilah berkenaan telah wujud sebelum  Islam lagi.
Namun wujud  istlah sufi sama ada sebelum dan sesudah Islam satu maklumat, dan penggunaannya satu hal yang lain. Memandangkan konsep tasawuf adalah aspek kerohanian yang hanya digunakan khusus di kalangan umat dan keilmuan Islam, maka jika benar wujud istilah `sufi` sebelum Islam, maka ianya merupakan sebagai kebetulan. Ini kerana Islam melalui Nabi Muhammad belum lahir dan belum ada amalan dan pengisian secara Islam, walaupun pembawaan mungkin bersesuaian dengan Islam. Misalnya sifat zuhudnya, tetapi belum  boleh dinisbahkan klepada Islam.
Kita cenderung kepada pendapat yang dikaitkan dengan  Hasan Basari dan Sufyan al-Thauri dari zaman tabi`in yang memang pada zaman itu sudah bercambah amalan-amalan ketasawufan – walaupun tidak disebut sebagai tasawuf secara popular sebagaimana dihuraikan oleh `Abdullah al-Mubarak dan Al-Imam Ahmad bin Hanbal melalui istilah zuhd. Ini sesuai dengan pekembangan tasawuf pada pertengahan abad ke 2H. tidak popular dan sehinggalah pada abad ke 3H. barulah istilah ini digunakan sebagaimana dikesan oleh  Abu Nasr al-Sarraj.
Sesungguhnya  pengertian tasawuf sebenarnya hendaklah melalui pengisian terhadap keilmuan tersebut. Wujud istilah sahaja tanpa pengisian yang mengidentitikan keilmua tersebut, sebagai wujud sebuah peti yang kosong dari perbendaharaan di dalamnya. Popularnya penggunaan istilah tasawuf dari akhir abad ke 2H. hingga akhir abad ke 3H.  ( Contoh lahirnya kepimpinan tasawuf Sunni  seperti  Al-Fudhayl bin `Iyadh m. 187H. Sari al-Saqati m. 251H.Al-Imam Abu al-Qasim al-Junayd al-Bahgdadai m. 297H.) menandakan bahawa kesufian  (ilmu dan amalan) menuju kematangan.
Kematangan ini sudah tentulah melalui penggalian dan kefahaman terhadap kandungan Al-Qur`an yang merupakan sumber keilmuan Islam. Misalnya fahami, hayati dan mesrai kandungan  Surah Al-Fatihah necaya dapat difahami aspek-aspek pujian  dan pengakaun  terhadap Allah Subhanahu wa Ta`ala yang Maha Pencipta dan Pemilik kewujudan ini termasuk hari akhirat. Begitu juga terbetiknya kerendahan diri dan hati terhadap kekuasaanNya  membawa kepada pengakuan dan penyerahan terhadap Nya – dengan  pengibadata, Dan diikuti dengan permohonan daripada Allah agak memberi pertunjuk kepada jalan yang lurus yang selamat dunia akhirat dan tidak jalan yang sesat. Sesungguhnya elemen kerohanian terdapat di dalam Surah al-Fatihah dan tentulah begitu banyak di dalam Al-Qur`an yang merupakan prinsip keilmuan dan kerohanian. Penggalian terhadap Al-Qur`an makin mematang dimensi kerohanian, di samping dimensi-dimensi yang lain.
Penggalian yang sama juga terhadap Hadith Rasulullah s.a.w. sebagai sumber dan model keilmuan tasawuf seperti  sabda-sabda Baginda yang melibatkan aspek ehsan, kasih sayang dan aspek-aspek keakhlakan yang Baginda sendiri menjadi model kerohanian, keakhlakan dan ketasawufan.Kelahiran tasawuf adalah selari dan sesuai dengan perkembangan keilmuan-keilmuan yang lain, lantaran dalam tempoh yang sama lahirnya bidang fiqh yang  seperti kelahiran imam dan Madzhab Maliki, Shafie, Hanbafi dan Hanafi. Ia juga selari dengan pertumbuhan keilmuan akidah yang dipelopori seperti oleh Ash`ari, Maturidi dan Al-Tahawi. Maka demikianlah dengan kelahiran bidang-bidang kerohanian yang diterokai seperti oleh `Abdullah bin al-Mubarak, Al-Imam Ahmad bin Hanbal. Al-Muhasibi,  Fudhayl bin `Iyadh , Al-Junayd dan berbagai-bagai lagi.
Dalam proses transisi dan perkembangan keilmuan-keilmuan in, khususnya bidang tasawuf, maka skop dan bidangnya dikenalpasti dan pengolahan dari segi kerohanian terus di tereoka dan diperdalami.
 Tasawuf sesungguhnya satu bidang keilmuan Islam yang berkait dengan kerohanian dan nilai-nilai keakhlakan. Ia tidak lain dari membina insan dan umatnya dengan nilai-nilai Islam, khususnya akhlak sehingga bukan saja keilmuan, tetapi pendukungnya terdidik dengan  nilai-nilai dan peribadi murni yang masyarakatnya berciri dan berintegriti dengan ciri-ciri dan niali-nilai murni Islam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment