September 27, 2016

KONSEP DEKAT - INTUISI HATI NURANI


BBB, 24 Dzul Hijjah 1437H. =  26  September  2016 (Isnin):

Kita biasa mendengar dan memahami misalnya ungkapan `Dekat di hati`, Jauh hati, `Jatuh hati`, `Sakit hati` dan sebagainya yang kata-kata tersebut adalah sebagai metafora, tetapi bukan bermaksud dengan makna asalnya yang sebenar. `Dekat di hati bererti rapat hubungan, walaupun dari segi fizikalnya jauh, manakala Jauh hati, melambangkan sifat merajuk, atau tidak sehaluan walaupun misalnya dekat dari segi fizikal, manakala `Jatuh hati bererti merasa kasih atau mesra dengan seseorang. Dan `Sakit hati, mencerminkan ketidaksenangan terhadap seseorang lantaran sikapnya tidak menyenangkan bagi diri tertentu.
Konsep `Al-Qurb ila Allah` atau bermaksud `Dekat dengan Allah` adalah tashbih maknawi` yang tidak dari segi realiti fizikal, walaupun betul  dari segi hakikat ! Lantaran Allah tidak bertempat. Beberapa ayat Al-Qur`an membawa makna hakikat sedemikian, seperti ayat yang bermaksud:
``Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu mengenai aku, maka (beritahu kepada mereka), sesungguhnya aku (Allah), sentiasa hampir (dekat) (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdo`a, apabila ia berdo`a kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu). Dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, supaya mereka menjadi baik serta betul.`` (Al-Baqarah: 186).
Sebagaimana difahami di dalam akidah Tuhan tidak bertempat, kerana dengan menggambarkan Tuhan bertempat adalah syirik. Tetapi dari segi hakikat Tuhan adalah dekat dengan manusia dan segala kejadian. Kedekatan adalah dari segi hakikat dan persepsi terhadap kedekatan ini adalah secara intuisi  seni rohani.
Manusia boleh disifatkan jauh dari Tuhan, sebagai gambaran bahawa dia seorang yang derhaka dan tidak taat kepada Allah dan mungkin akan menerima balasan siksa dari Allah. Al-qurb adalah aspek hal sebagai gambaran jiwa dan hati nurani dekat dengan Allah, Atau gambaran seorang yang sebelumnya tidak begitu patuh kepada Allah, naka dengan keinsafan, maka bermula perjalanan kualiti rohani seseorang mentaati perintah Allah, mengamalkan amalan-amalan kerohanian, seperti melakukan solat-solat sunat, berzikir, bertilawah Al-Qur`an dan berbagai-bagai amalan kebajikan yang memberi kesan kerohanian dan ia merasa intim, kasih mesra dan cinta kepada Allah dan berlaku peningkatan-peningkatan dari segi rohani, menjadikannya lebih dekat kepada Allah. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.`` (Qaf: 16). 
Atau ayat yang bermaksud:
``Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat.`` (Al-Waqi`ah: 85). 
Menghurai maksud al-qurb, kata Al-Sarraj, ``Hal al-qurb bagi hamba ialah menyaksi dengan hatinya kedekatan Allah daripadanya, maka dia mendekati Allah Ta`ala dengan ketaatannya dan dengan segala himmah dirinya di hadapan Allah Ta`ala dengan berterusan menzikirnya sama ada secara terang  atau sembunyi.
Menurut Al-Sarraj, kedekatan ada tiga hal.
Pertama:  Mereka yang mendekatiNya dengan berbagai-bagai jenis ketaatan dengan mereka itu mengetahui  ilmu Allah Ta`ala dengannya dan kedekatanNya dengan mereka itu dan kekuasaanNya ke atas mereka itu.
Kedua:  Kedekatan dengan tahaqquq sebagaimana kata `Amir bin `Abd al-Qays r.h.a., ``Aku tidak melihat kepada sesuatu, melainkan aku lihat Allah Ta`ala lebih dekat kepadaNya daripadaku. Sebagaimana kata puisi menggambarkan situasi ini:
Dan tahaqquq engkau secara rahsia munajat kepada Engkau lisanku
Terhimpun dua kilatan cahaya, tetapi berpisah dari segi makna
Jikalau adalah ghaib engkau sebagai membesar daripada lintasan mata batinku
Maka jadilah Engkau Wujdan daripada kedekatan tanggapan padaNya.
Berkata Junayd r.h.a., ``Ketahuilah bahawa Dia lebih dekat daripada hati-hati hambanya mengikut sebagaimana apa yang dilihat daripada kedekatan hati hamba-hambanya daripadanya. Maka lihatlah  apakah kedekatan daripada hati engkau.
Ketiga: Allah mengurnikan kedekatan  yang dia dengannya merasa dekat.  Walau bagaimana konsep kedekatan ialah  manifestasi `al-qurb dan wujdan` yang sejak dari awal; disebut ia adalah pengalaman rohani yang seni yang menanggapi persoalan hakikat yang pada hakikatnya tidak mungkin berdekat dari segi fizikal.
Al-qurb adalah  penanda aras sebagai tanda kedekatan dari segi intuisi rohani yang tidak  mungkin kesampaian dari segi realiti fizikal. Namun dari segi hakikat bahawa semua kita datang daripada Allah, ingin kembali kepada yang mengada dan mencipta kita dengan segala tindakan dan kepatuhan yang diharap hamba dalam penerimaan.  Namun dalam ungkapan biasa dikatakan, walau bagaimana bangkitnya kerinduan antara yang baharu terhadap  Yang Abadi,  adalah terbakar fana dan tidak mungkin bertemu. Tetapi dengan kebakaran cinta menyala, tidak pernah padam keinginan kedekatan dan pertemuan maknawi yang merupakan lazat rohani.

Sekian.

No comments:

Post a Comment