September 4, 2016

PENDEKATAN AKHLAK AL-MUHASIBI JAMBATAN KEPADA AL-GHAZALI: KESIMPULAN


BBB, 01 Zulhijjah  1437 =  03 September  2016 (Sabtu):
Dari Al-Qur`an dan Al-Hadith bersumber  keilmuan Islam, bahkan segala keilmuan. Tidak terkecuali dengan ilmu tasawuf. Namun pada peringkat awal Abdullah bin Al-Mubarak al-Maruszi mengambil pendekatan  secara zuhud sebagaimana karangannnya berjudul `Al-Zuhd wa al-Raqa`iq ,  juga Al-Imam Ahmad bin Hanbal (164-241H./780-855M.) mengambil pendekatan kerohanian berasaskan konsep Al-Zuhd sebagaimana terbukti di dalam kitabnya berjudul al-Zuhd juga kitabnya yang berjudul al-Wara`.
Al-Muhasibi (m. 243H.) yang datang berikutnya, walaupun juga membicarakan aspek tasawuf berdasarkan zuhd sebagaimana dibicarakan sebagai sebahagian daripada kandungan kitabnya yang berjudul Al-Masa`il fi Aa`mal al-Qulub wa al-Jawarih, tetapi Al-Muhasibi dari awal  mengambil pendekatan tasawufnya berasaskan akhlak. Sebagaimana disebutkan beliau amat teroja dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang beliau  menjadi salah seorang sanad bagi Hadith Rasulullah s.a.w. ``Athqalu ma yudha`u fi al-mizan husnu al-khuluq` - Bermasud:  Seberat-berat apa yang diletak di dalam neraca timbangan ialah elok akhlak.``
Aspek keakhlakan inilah menjadi dasar dan pendekatan bagi ilmu tasawuf Al-Muhasibi. Dasar dan pendekatan Al-Muhasibi adalah kukuh, lantaran baginda Rasulullah s.,a.w. juga bersabda bermaksud, ``Aku dibangkitkan bagi menyempurnakan kemuliaan akhlak.``.
Dasar dan pendeklatan ini diperkukuhkan dengan ayat-ayat Al-Qur`an antaranyanya bermaksud:
``Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sungguh mulia.`` (Al-Qalam: 4) .                         Dan ayat  bermaksud:
``Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu menjadi contoh ikutan yang baik.`` (Al-Ahzab: 31).
Dalam pendekatan Al-Muhasibi bagi pendekatan akhlaknya bermodelkan Rasulullah s.a.w. tetapi bertolak bagi prinsip dan dasar tasawufnya adalah berasaskan kuasa tertinggi, bermaksud ialah Allah Subhanahu wa Ta`ala, kerana nilai keakhlakan adalah merupakan manifestasi terhadap keyakinan terhadap  Yang Maha Tertinggi. Tiada tempat tegak nilai akhlak tanpa berasakan kepada keyakinan tertinggi yang bagi Islam adalah berfalsafahkan tauhid.
Lantaran itu  sandaran bagi konsep `Al-Ri`ayah Li Huquq Allah adalah kepada Allah. Dengan kepercayaan kepada Allah, maka segala perintahNya dipatuhi dan larangan dijauhi. Menjaga atau Meraikan Haq-Haq Allah beerti mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-laranganNya. Secara muhasabah beliau membicarakan persoalan taqwa, wara`, muhasabah dan berbagai-bagai huquq kepada Allah Ta`ala.
Di dalam karangannya ini (Al-Ri`ayah), beliau dengan secara jelas mengambil pendekatan akhlak. Jika Al-Ri`ayah lebih mengarah kepada Allah, manakala dari aspek-aspek akhlak yang bermoodelkan kepada Rasulullah s.a.w. adalah tertuju kepada individu dan masyarakat Islam.
Beliau membicarakan sifat-sifat mazmumah dan muhlikat yang seharusnya dijauhi seorang Islam bagi membina integrasi dan reputasi dirinya, khususnya dalam kehidupan dan pergaulan dengan masyarakat umat yang juga bererti menjaga haq-haq Allah dari segi kemanusiaan. Sifat-sifat keji yang dibicarakan yang harus dihindari ialah seperti kekejian riya`, iaitu topik yang paling panjang yang dibicarakan di dalam Al-Ri`ayah dikiuti dengan persoalan dan pecahan di bawah al-Ri`ayah.
Aspek-aspek keakhlakan lain yang dibicarakan ialah tentang al-Ikhwan  - pergaulan dengan kawan dan masyarakat, persoalan yang berhubung dengan nafs yang persoalan berhubung dengannya dapat dibicarakan secara meluas. Berbagai-bagai peringatan dalam kehidupan sebagai panduan. Dibicarakan juga mengenai sifat `ujub, takabbur, tertipu daya oleh kesombongan diri dan persoalan hasad dengki.
Jelas dari apa yang dipaparkan di atas, bahawa Al-Muhasibi dengan sedar mengambil pendekatan tasawufnya  berasaskan akhlak. Beliau mengambil skop yang lebih luas dan konkrit, tidak terhad kepada  al-zuhd dan al-wara` sebagaimana diambil oleh Abdullah al-Mubarak dan juga oleh Al-Imam Ahmad bin Hanbal, tetapi keduanya adalah sebahagian daripada pendekatan keakhlakannya.

Pendekatan akhlaknya diperkukuhkan lagi oleh Al-Muhasibi dengan karangannnya yang berjudul Al-Masa`il fi Aa`mal al-Qulub wa al-Jawarih. Dengan kitab ini Al-Muhasibi memperluaskan pendekatannya dengan melihat secara lebih khusus mengenai aspek `Hati` yang padanya bersumber niat dan sumber persoalan  yang bersifat dalaman seperti perasaan zuhd, ghina, syukur, faqr dan zikir. Beliau membicarakan sifat-sifat buruk yang bersarang pada hati yang buruk seperti, waswas,  takabbur, hasad, hawa nafsu, megah, sombong dan sebagainya. Ini adalah merupakan masalah-masalah hati – dari segi baik dan buruknya.
Dari segi lahir beliau membicarakan perlakuan-perlakuan yang terhasil dari anggota diri dan pekerjaan-pekerjaan yang dilakukan. Sebagaimana telah disebutkan bahawa Al-Muhasibi amat mementingkan kebersihan bukan sahaja terhadap nilai-nilai dan keakhlakan, tetapi juga dari aspek lahir terutama dari segi halal dan haram. Halal dan haram di sini bukan sahaja  dari segi makan minum, tetapi juga dari kerja yang dilakukan atau apa saja sumber perusahaan yang menghasilkan dapatan hendaklah secara bersih.
Jelaslah dari pemaparan dan pembicaraan tentang pendekatan tasawuf Al-Muhasibi adalah mengambil pendekatan akhlak, walaupun kelihatan masih kurang kemas, tetapi dengan dua karya yang kita bicarakan adalah jelas beliau adalah mengambil pendekatan akhlak yang dikira sebagai Pendekatan Sunni. Beliau menghuraikan pendapatnya dengan karangan secara prosa atau nathar menyimpang  dari karangan sebelumnya yang menulis gaya Hadith.
Sesungguhnya  Abu `Abdullah al-Harith bin Asad al-Muhasibi  dengan karangan-karangan  dan  karangan beberapa tokoh lain selepas Al-Muhasibi, menyediakan pendekatan akhlak yang kukuh yang kelak diperkemaskan dan diperkukhkan oleh Al-Ghazali di dalam karangannya, terutama yang berjudul Ihya` `Ulum al-Din, Minhaj al-`Abidin  dan beberapa karangannya yang lain.


Sekian.

No comments:

Post a Comment