September 19, 2016

MAQAM AL-WARA`


BBB, 16 Dzul Hijjah 1437H./18 September 206M. (Ahad):
Al-Sarraj meletak dan menyusun maqam al-wara` sebagai maqam kedua selepas al-taubah daripada maqam-maqam. Membicarakan tentang wara` mengingatkan kita terhadap karangan Al-Imam Ahmad bin Hanbal (154-241H./780-855M.) yang salah satu karangannya ialah Al-Wara` di samping kitabnya yang berjudul Al-Zuhd. Ini memberi isyarat bahawa wara` adalah berkedudukan penting di dalam skema kerohanian bagi Al-Imam Ahmad (pada masa itu  belum popular penggunaan istilah tasawuf). Wara` bukan sekadar judul kitab tetapi amalan dan peribadi Al-Imam Ahmad bin Hanbal.  Berkata Al-Imam al-Shafie r.a.,
``Tidak aku dapati di Baghdad orang yang lebih faqih dan tidak ada  orang yang terlebih wara` dan tidak ada orang yang terlebih alim daripada Ahmad.`` (Kitab al-Wara`: 1403/1983: hlm. B).
Tentang wara`, kata Al-Sarraj bahawa ``Maqam wara` ialah maqam mulia.``. Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: `Milikilah agama kamu dengan wara`.
Wara` adalah peribadi mulia yang terbina pada diri seseorang oleh sifat waspada dan prihatin diri seseorang agar ianya sentiasa mengawal diri – berada di atas jalan yang betul dan mengelak diri daripada perkara yang shubhah dan jauh sekali daripada yang haram. Ini mengingatkan kita kepada Hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu `Abdullah al-Nu`man bin Bashir. r.`anhuma  bahawasanya katanya, ``Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itu pun nyata (terang), dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barang siapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan barang siapa jatuh ke dalam perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakan) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah larangan Allah ialah segala yang haramnya. Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah, inilah yang dikatakan hati. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Berkata  Al-Sarraj, bahawa Ahlu al-Wara` tiga bahagan:
Pertama:  Yang wara` daripada segala yang shubhah yang mengshubhahkannya. Iaitu antara perkara halal yang nyata dan yang haram yang nyata.
Kata Ibn Sirin r.h.a. , ``Tiada suatu yang lebih mudah kepadaku daripada wara`, apabila meragukan daku oleh sesuatu, aku tinggalkannya.``
Kedua  wara`, iaitu apabila menyekat dengannya hatimu dan debaran dadamu, ketika mencapai sesuatu - tertegah. Ini tidak dicapai, melainkan oleh yang mempunyai sentuhan hati dan orang yang tahqiq.
Al-Sarraj memetik Hadith Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Yang berdosa itu apa yang meragukan oleh dadamu.``
Berkata Abu Sa`id al-Kharraz r.a., Wara` ialah engkau membersih daripada menzalimi makhluk daripada kotoran hingga tidak ada berdepan merasa dizalimi, tidak ada dakwaan dan tuntutan.
Ketiga: Wara` oleh orang-orang arif dan wujdan. Sebagaimana kata Abu Sufyan al-Darani r.a.
``Setiap apa yang mengganggu engkau daripada Allah adalah kekejian bagimu.
Pertama ialah wara` `am, kedua Wara` al-Khusus dan ketiga wara` Khusus al-Khusus.
Beberapa cerita yang berkait dengan shubhah:
Diceritakan tentang Al-Harith al-Muhasibi  r.a. yang amat bernuhasabah, bahawa  ia tidak menghulur tangan kepada makanan yang shubhah. Dan kata Ja`afar al-Khuldi r.a, bahawa pada jari tengah Al-Muhasibi ada urat (mengisyarat) yang apabila ia menghulur tangan kepada makanan yang shubhah, maka urat berkenaan bergerak sebagai menandakan bahawa makanan berkenaan shubhah dan ia mengelak dari mengambilnya.
Diceritakan juga tentang Bishr al-Hafi r.a. bahawa apabila beliau di bawa ke tempat dakwah, apabila dihidang makanan. Maka bila ia cuba menyentuh makanan, tetapi tidak sampai tangan dan dia bersungguh beberapa kali, maka dikatakan kepadanya tangannya tidak sampai kepada makanan yang ada shubhah. Ini mengingatkan yang mau menghidangkan jamuan perlu mempastikan hendaklah makanan yang halal dan tidak ada unsur shubhah.
Dan cerita halal daripada Sahl bin Abdullah al-Tustari, berkata Ahmad bin Muhammad bin salim di Basrah,  aku mendengar Sahl ditanya tentang halal, katanya, ``Al-Halal ialah yang tidak melakukan dosa dengannya terhadap Allah.``  Pada kali lain beliau juga ditanya tentang halal yang bersih, katanya, ``Al-Halal ialah yang tidak melakukan dosa terhadap Allah dengannya dan halal yang bersih ialah yang tidak melupai Allah dengannya.
Demikian dari apa yang telah dibicarakan dapat difahami, tujuan ketasawufan tidak lain dari membersih diri, lahiri dan batini agar kehidupan dan perjalanan bersih dari kesalahan dan kotoran. Dosa dan kotoran mengganggu perjalanan diri bagi mendepani Allah. Sebab itu perlu dipastikan termasuk yang lahiri seperti  sumber makanan yang didapati hendaklah dari sumber dan usaha yang halal, tidak ada unsur shubhah padanya, kerana ianya merupakan kotoran yang menutup permukaan hati yang tidak dapat menerima cahaya dan terlindung dari hidayah.
Kaedah maqam dan hal yang disusun bagi melihat dan praktik dan amal agar semua langkah adalah betul dan tidak menyeleweng. Ia bermula dari peringkat awal, sebelum bermula perjalanan kualiti, iaitu dengan taubah, sebagai  persediaan paling awal diikuti dengan konsep wara` sebagaimana dibicarakan. Tujuan ketasawufan tidak lain dari menjadikan manusia insan yang baik dan bersih dengan Allah, manusia dan alam. Insan sebegini memberi kesan yang baik bagi masyarakat dan jika masyarakat terdiri dari insan-insan yang murni sedemikian dapat mewujudkan masyarakat yang baik dan insaf serta minimum dari masalah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment