June 12, 2017

BENAR PAKSI KEILMUAN


BBB,  16 Ramadhan 1438H. = 11 Jun 2017M. (Ahad):
Bab seterusnya yang dibicarakan oleh Al-Qushairy di dalam Al-Risalat al-Qushairiyyah dari segi konsep tasawuf ialah `Benar`  (Al-S*idq).
Menyebut benar, bahawa dari segi akidah, dia adalah salah satu sifat yang wajib bagi Rasul s.a.w. Konsep benar ini juga menjadi  asas ilmu. Benar adalah sesuatu yang betul dan tidak salah dari segi hakikat dari segi zahir dan batin. Benar adalah sesuatu yang boleh diyakini dan dipercayai. Benar adalah mengukuhkan ilmu.
Di dalam membicarakan tentang benar ini Al-Qushairi bertolak dari ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Wahai orang-orang beriman, takutlah kamu kepada Allah dan jadikanlah kamu bersama dengan orang-orang yang benar.`` (Al-Taubah: 119).
Dari segi hujah Hadith:
Mengkhabarkan kami Al-Imam Abu Bakar Muhammad bin Furik r.h.a. berkata, mengkhabarkan kami `Abdullah bin Ja`far bin Ahmad al-As*bahani berkata, bercakap kepada kami Abu Bishr Yunus Ibn Habib berkata, bercakap kepada kami Abu Da`wud al-T*ayalisi berkata, bercakap kepada kami Shu`bah daripada Mansur daripada Abi Wa`il  daripada `Abdullah bin Mas`ud daripada Nabi s.a.w. bahawasanya Baginda bersabda (bermaksud):
``Sentiasalah hamba itu bercakap benar, dan berteguh akan kebenaran sehingga dia ditulis di sisi Allah Ta`ala sebagai orang yang benar. Dan sentiasalah yang berdusta dan mengukuh dengan kedustaan, sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai orang yang dusta.`` (Riwayat Abu Da`wud dan Al-Tirmidzi).
Dan berkata Al-Ustadz, ``Kebenaran adalah tiang perkara, dengannya  menyempurnakan dan berperaturan dan dia mengiringi darjat kenabian sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Maka  mereka itu bersama orang-orang yang diberi ni`mat oleh Allah ke atas mereka itu daripada para nabi dan s*iddiqin. `` (Al-Nisa`: 69).
Menurut Al-Qushairy, benar adalah nama yang lazim daripada kebenaran. Dan orang yang benar (al-siddiq) nama mubalaghah (melebih-lebih)  bermaksud banyaknya benar. Benar melibatkan pada segala perkataannya, perbuatannya dan segala halnya.
Dan berkata Ahmad bin Khadhrawaih, siapa yang mau Allah Subhanahu wa Ta`ala bersamanya, maka hendaklah dia melazimkan benar. Lantaran sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang benar.
Dan dikatakan, benar ialah kata yang haqq, walaupun berada pada tempat yang membahayakan.
Aku mendengar Ahmad bin al-Husain berkata, aku mendengar Aba al-`Abbas al-Baghdadi berkata, aku mendengar  Ja`far bin Nusair berkata, aku mendengar Al-Jariri berkata, aku mendengar Sahl bin `Abdullah berkata,
``Tidak mencium bau kebenaran pada hamba yang melebih-lebih dari kebenaran dan  meyelewengkan.``
Dan berkata Abu Sa`id al-Qurashiyy, ``Orang yang benar bersedia menghadapi maut dan tidak malu dari sirrnya atau kashaf tentangnya. Firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Maka bercita-citalah untuk kematian, jika sekiranya kamu orang-orang yang benar.`` (Al-Baqarah: 94).
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Mansur Ibn `Abdillah berkata, aku mendengar Ja`far ibn al-Khawass berkata, aku mendengar Ibrahim al-Khawass berkata,
``Orang yang benar tidak melihat melainkan kepada kefardhuan yang patut ditunaikannya, atau kelebihan amalan kepada Tuhannya.
Dan aku mendengarnya berkata, aku mendengar Aba al-Husain bin Muqassam berkata,, aku mendengar Ja`far al-Khawass berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata,,
``Haqiqat benar bahawa adalah pada perkara-perkara yang diperkatakan yang tidak memberikan engkau sebarang kepentingan. Benar adalah bercanggah dengan dusta.
Aku mendengar Al-Ustadz Aba `Ali al-Daqqaq berkata, ``Benar ialah sebagaimana engkau lihat tentang kebenarannya.``
Berkata Al-Harith al-Muhasibi, ``Benar adalah   seperti hakikat sesuatu yang benar dan tidak mampu dipengaruhi yang lain bagi mengubah kebenaran berkenaan.
Benar adalah inti dan tempat bertolak segala persoalan dan ialah tapak keyakinan. Jika tempat bertolak adalah dusta, maka dari awal lagi tidak dapat diterima dan tertolak.
Benar ialah fakta bagi ilmu. Apa yang dicari dan dipelajari ialah benar. Jika sesuatu yang dipelajari itu tidak benar, maka dia adalah bukan ilmu.
Benar  adalah realiti yang dapat disaksi, tetapi benar juga melibatkan perkara yang bukan benda – ghaib dan terbukti dengan bukti dan dalil yang membenarkannya. Benar juga melibatkan perkara konsepsi yang dapat dibuktikan misalnya dengan logik akli.
Kebenaran adalah yang dicari manusia. Berasaskan kebenaran mereka membina ilmu dan kebenaran berasaskan ilmu ini dikembangkan yang tegaknya nilai tamadun dan peradaban.
Benar adalah cahaya yang terang yang menyuluh perjalanan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment