June 29, 2017

MA`RIFAT : PENDAPAT-PENDAPAT


BBB,  04 Ramadhan 1438H. = 28 Jun 2017M. (Rabu):
Tajuk yang utama di dalam ilmu tasawuf. Ianya menjadi puncak bagi perjalanan kualiti rohani dan pada peringkat ini dibicarakan aspek-aspek kerohanian yang dicapai.
Ada yang melihat bahawa ma`rifat di dalam tasawuf adalah sebagaimana ma`rifat di dalam akidah usuluddin, sebagaimana kata Al-Kalabadzi di dalam Al-Ta`arruf, ma`rifat ialah ma`rifat bahawa Allah Ta`ala  adalah Esa. Dengan dalil-dalil.  Sebenarnya menurut Al-Nuri tidak berhajat kepada dalil, kerana na`rifat Allah ialah Allah itu sendiri.
Dan berkata Al-Junayd, ma`rifat ada dua ma`rifat;
Ma`rifat yang engkau tahu dan ma`rifat dari segi ta`rif.
Ma`rifat dari segi ta`arruf, bahawa engkau memahami Allah Ta`ala diriNya.
Dan ma`rifat dari segi ta`rif, engkau melihat kesan qudratNya di ufuk-ufuk, pada diri dan segala kejadian yang mencetuskan kefahaman dan kehalusan rasa yang menunjukkan sesuatu adalah ciptaan Tuhan. Ma`rifat ini adalah ma`rifat umum di kalangan orang mu`minin dan yang pertama tadi ialah ma`rifat khas. Inilah yang diungkapkan, ``Aku tidak melihat sesuatu melainkan aku melihat Allah padanya (Al-Kalabadzi, al-Ta`arruf: 79).
Berhubung dengan ma`rifat ini Al-Qushairy bertolak dari firman Allah;
``Wama qadaru Allah haqqa qadrih.`` (Al-An`am: 91).
Kalangan mufassirin memberi maksud: Mereka tidak mengetahui (ma`rifat ) Allah dengan haqq (sebenar) ma`rifatNya.
Dari segi Hadith:
Mengkhabarkan kami `Abdul Rahman bin Muhammad bin `Abdullah al-`Adl berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin al-Qasim al-Makki berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin Ashriman berkata, bercakap kepada kami, Sulaiman bin `Isa al-Shajari, daripada `Abbad bin Kathir daripada Hanz*alah bin Abi Sulaiman daripada al-Qasim bin Muhammad daripada A`ishah  r.`anha, bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda (bermaksud):
``Bahawa binaan bagi sebuah rumah ialah asasnya, dan binaan bagi agama ialah ma`rifat dengan Allah Ta`ala dan yakin dan akal yang teguh.``
A`ishah lalu bertanya,. ``Demi  ayah dan ibuku menjadi tebusanmu, ``Apakah akal yang teguh itu ? Beliau sendiri menjawab, ``Menjaga dari ma`siat terhadap Allah dan bersemangat dalam menanti Allah Ta`ala.`` (Hadith dikeluarkan oleh Al-Daylami).
Berkata Al-Ustadz, Ma`rifat adalah di atas lisan para `ulama`, iaitu ilmu, maka tiap-tiap ilmu adalah ma`rifat dan tiap-tiap ma`rifat ialah ilmu. Tiap-tiap yang alim dengan Allah Ta`ala, maka dia adalah `arif, dan tiap `arif, maka dia adalah alim. Pada kalangan kaum ini:
`Ma`rifat ialah sifat siapa yang mengetahui perkara yang benar. Subhanahu wa Ta`ala dengan nama-namaNya dan sifat-sifatNya. Kemudian Allah Ta`la membenarkannya pada muamalatnya dan dia menafikan daripada akhlak-akhlaknya yang keji dan hina dan dia berterusan di pintu wuqufnya (istiqamah) dan berterusan dengan hatinya i`tiqafnya, maka dengan kebaikannya diterima  dan dibenarkan  Allah Ta`ala dengan segala ahwalnya dan terputus darinya lintasan-lintasan keji  dan dia tidak melayan dengan lintasan di hatinya yan tidak membawa kebaikan.``
Aku mendengar Al-Ustadz Aba `Ali al-Daqqaq. r.h.a.t. berkata,
``Daripada tanda-tanda ma`rifat dengan Allah terhasil haibat daripada Allah Ta`ala, siapa yang bertambah haibat bertambah ma`rifatnya.``
Dan aku mendengarnya berkata, ``Ma`rifat membawa ketenangan di dalam hati sebagaimana ilmu juga membawa kepada ketenangan. Siapa yang bertambah ma`rifatnya bertambah ketenangannya.``
Aku mendengar Al-Shaykh Aba `Abdil Rahman al-Sulami  berkata, aku mendengar Ahmad bin Muhammad bin Zaid berkata, aku mendengar Al-Shibli berkata,
``Tiada bagi `arif `ilaqah, tiada  bagi yang mencinta aduan, tiada  bagi hamba dakwa, tiada bagi yang takut tetap, dan tidak bagi seorang hamba  daripada Allah `azza wa Jalla qarar.``
Aku juga mendengarnya juga berkata,  berkata Muhammad bin Muhammad bin `Abdul Wahhab berkata, aku mendengar Shibli berkata,. Dan dia disoal tentang ma`rifat, maka katanya:
Awalnya   ialah Allah dan  akhirnya  ialah Allah  !
Aku mendengarnya berkata, aku mendengar Aba al-Husain al-Farisi berkata, aku mendengar Ibn `At*a` berkata, ``Ma`rifat ada tiga rukun: al-haibah, al-haya` (malu) dan al-uns (mesra, jinak).
Dan aku mendengarnya berkata, aku mendengar  Muhammad bin `Abdullah bin Shadzan berkata, aku mendengar Yusof bin al-Husain berkata, dan dikatakan kepada Dzu al-Nun al-Mis*ri:
``Dengan apakah engkau mengenali Tuhan engkau ?`` Maka katanya, ``Aku mengenali Tuhanku dengan Tuhanku ! Dan kalau tidak dengan Tuhanku aku tidak mengenali Tuhanku.``
Dan aku mendengarnya berkata, aku mendengar `Ali bin Bundar al-S*airafi berkata, aku mendengar Al- Jariri berkata,, disoal Abu Turab daripada sifat `Arif, maka katanya,, Dia yang tidak dikeruhi oleh sesuatu dan bersih dengannya tiap-tiap sesuatu.``
Dan aku mendengar dia berkata, aku mendengar Aba `Uthman al-Maghribi berkata, ``Al-Arif diterangi oleh cahaya ilmu, maka dilihat dengannya keajaiban-keajaiban yang ghaib.``
Ma`rifat juga dikenali dengan ilmu. Ianya ditanggapi oleh yang alim dan arif melalui akal dan hati rohani atau semua elemen berkenaan secara rasional. Intuisi – wajdan hati rohani. Dari pengalaman berbagai persepsi dan penghayatan, rasional dan wajdan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment