June 28, 2017

TENTANG KEMATIAN: YANG PENTING PERSEDIAAN AMALAN


BBB,  03 Syawal 1438H. =  27 Jun 2017M. (Selasa):
Secara lengkap bagi judul di atas diberi oleh Al-Qushairy ialah, ``Bab Ahwal Mereka Itu Ketika Keluar Daripada Dunia``  yang kita ringkas kepada  ``Kematian``. Sesungguhnya kematian adalah kepastian, bahawa setiap yang hidup pasti menemui kematian. Firman Allah bermaksud:
``Tiap diri yang hidup akan merasa kematian. Dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu siapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.`` (Ali `Imran: 185).
Memulakan pembicaraan bagi  ahwal orang yang keluar dari dunia ini Al-Qushairy memetik ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Mereka yang diwafatkan oleh malaikat di dalam keadaan yang baik. Mereka berkata, ``Selamat ke atas kamu`, Masuklah ke dalam syurga, sesuai dengan apa yang telah kamu amalkan.`` (Al-Nahl: 32).
Adapun dari segi Hadith:
Mengkhabarkan kami `Abdullah bin Yusof al-As*bahani berkata, nengkhabarkan kami Abu al-Hasan `Ali bin Muhammad bin `It*iyyah al-Shaybani di Kufah berkata, bercakap kepada kami Al-Hudhar bin Abban al-Hashimi berkata, bercakap kepada kami Abu Hadbah daripada Anas bin Malik berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud,
``Bahawa seorang hamba mengalami dugaan kesusahan  mati, dan sesungguhnya sendi-sendinya  mengucap salam setengahnya kepada setengah yang lain. Dia berkata, Selamat ke atasmu, engkau berpisah denganku dan aku berpisah denganmu hingga kepada hari kiamat..
Juga Hadith yang diriwayatkan oleh Anas, mengkhabarkan kami Al-Shaykh Abu `Abdul Rahman al-Sulami berkata, bercakap kepada kami Abu al-`Abbas al-As*amm berkata, bercakap kepada kami Al-Khudhar bin Abban al-Hashimi berkata bercakap kepada kami Siwar berkata, bercakap kepada kami Ja`far daripada Thabit daripada Anas, bahawasanya Nabi s.a.w. masuk kepada seorang pemuda yang di dalam keadaan maut, maka kata Nabi, bagaimana engkau dapati, maka katanya, `Aku bermohon kepada Allah Ta`ala dan aku takut daripada dosa-dosaku.`` Maka bersabda Rasulullah s.a.w. ``Tidak berhimpun dalam satu hati, seorang hamba di tempat ini, melainkan diberi Allah Ta`ala apa yang diharap dan diamankannya daripada apa yang ditakuti.``
Berkata Al-Ustadz, ``Ketahuilah bahawa keadaan mereka  itu dalam keadaan naza` berbagai-bagai keadaan. Setengahnya  mengalahkan oleh keadan haibat dan setengah mengalahkan oleh al-raja` (harap), setengahnya terbuka (kashaf) baginya dalam keadaan sedemikian yang membawa kepada ketenangan dan  keyakinan.``
Aku mendengar Aba H*atim al-Sijistani berkata, aku mendengar Aba Nas*r al-Sarraj berkata, sampai kepadaku dari Abi Muhammad al-Hariri bahawasanya ia berkata,
``Aku bersama Al-Shibli pada malam yang dia mati padanya, maka dia mengungkap sepanjang malam ini dua bayt:
Setiap rumah engkaulah yang mendiami
Tidak berhajat kepada pemasangan api
WajahMu adalah fokus bagi hujjah kami
Pada hari datang manusia  berhujah sendiri.
Adalah dikatakan, apabila hadir bagi Hasan bin `Ali bin Abi Talib kewafatan dia menangis,, maka ditanyakannya, apa yang menyebabkan dia menangi s. Katanya, ``Aku mendahului tuan yang aku tidak tahu.``
Dan tatkala hadir kewafatan Bilal Ibn Rabah berkata isterinya, ``Alangkah dukacitanya,``tetapi dia  (Bilal) berkata, ``Alangkah gembiranya, besok aku berjumpa dengan orang yang aku kasihi Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya.``
Berkata kepada Al-Junayd bahawa Abu Sa`id al-Kharraz banyak berwajdan ketika hampir kematian. Maka dia berkata, ``Tidaklah menjadi keheranan bahawa terbang rohnya oleh kerinduan !``.
Dan kata setengah mereka itu, semasa kami bersama Mimshad al-Dinuri, maka datang seorang faqir, lalu dia berkata, al-salam `alaikum. Maka dijawab salamnya secara beramai-ramai, maka dia bertanya, ``Adakah di sini tempat yang bersih  yang membolehkan seseorang mati padanya ? Maka mereka itu menunjukkan tempat kepadanya. Dia mengambil (memperbaharui) wudhu`nya dia bersolat, kemudian dia berbaring dalam keadaan menelentang dan mati.
Dikatakan kepada Al-Junayd, `` katakan `La ilaha illa Allah !`` maka katanya, ``Aku tidak pernah melupainya   dan aku terus berdzikr dengannya, dan dia berpuisi:
Dia hadir di dalam hatiku seumurku
Aku tidak melupai terus jadi dzikirku
Dialah Tuan bagiku tempat pergantungan
Tiada yang lain dariNya tempat harapan.
Saat kematian adalah saat puncak kehidupan. Banyak peristiwa dapat dirakamkan  berhubung dengan kematian. Yang lebih penting apakah persediaam yang dibuat bagi menghadapi kematian ini. Amalan kebaikan bekalan utama semoga kematian di dalam husnu al-khatimah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment