June 25, 2017

BERMUSAFIR: MELUASKAN PENGALAMAN DAN KEILMUAN


BBB, 29 Ramadhan 1438H. = 24 Jun 2017M. (Sabtu):
Tentang bermusafir tidak saja dibicarakan di dalam bidang fiqh, khususnya yang berkait dengan ibadat, tetapi juga berkait dengan tasawuf.
Membicarakan persoalan bermusafir ini, Al-Qushairy bertolak dari firman Allah yang bermaksud:
``Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di lautan.`` (Yunus: 22).
Dari segi Hadith:
Mengkhabarkan kami `Ali bin Ahmad bin `Abdan, berkata, mengkhabarkan kami Ahmad bin `Ubaid al-Mis*ri berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin al-Farji al-Arzaq berkata, mengkhabarkan kami Hajjaj berkata, berkata Ibn Juraij, mengkhabarkan kami Abu al-Zubair, bahawa di atas kami Al-Azdi, mengkhabarkannya bahawa Ibn `Umar mengajar mereka itu, bahawa Rasulullah s.a.w. adalah apabila Baginda hendak menunggang unta keluar untuk bermusafir Baginda bertakbir tiga kali, kemudian baginda membaca, ``Mahasuci Tuhan yang telah menjalankan kami ini dan tidaklah kami menguasainya, dan sesungguhnya kami kepada Tuhan kami akan kembali.`` (Al-Zukhruf: 13 – 14).
Kemudian Baginda bersabda (bermaksud):
``Wahai Tuhanku, bahawasanya kami memohon kepada Engkau dalam musafir kami ini kebajikan dan taqwa dan daripada amalan yang Engkau redha, permudahkan musafir kami. Wahai Tuhanku Engkaulah Teman dalam persafiran dan yang menjaga keluarga dan harta. Wahai Tuhanku aku berlindung dengan Engkau daripada kesukaran musafir, kejemuan yang berbalik-balik, huduh pada  harta dan keluarga dan apabila kembali maka sempurkanlah mereka lindugan, taubat dan bagi Tuhan kami adalah kepujian.``
Al-Ustadz Abu `Ali   al-Daqqaq berkata,  perbezaan  mereka yang bermusafir dengan berbagai tujuan, tetapi musafir kalangan sufi bertujuan kerana Islam, seperti yang dilakukan oleh Al-Junayd, Sahl bin `Abdullah,  Abu Yazid al-Bist*ami dan Abu Hafs*  dan yang lain-lain Ada kalangan mereka bermusafir bagi keluar dari dunia seperti Abu `Abdullah al-Maghribi, Ibrahim bin Adham dan yang lain-lain. Kata Al-Ustadz, bermusafir ada dua jenis:
Satu jenis ialah musafir secara badan dengan berpindah dari satu tempat ke satu tempat, dan
Kedua musafir secara hati, iaitu peningkatan kualiti diri dari satu sifat kepada sifat yang lain, engkau melihat ribuan yang musafir dengan tubuh diri, tetapi kurang yang bermusafir dengan hati.``
Bernusafir tidak semestinya ke tempat yang exklusif, ianya mungkin ke luar bandar seperti ke kawasan desa dan perkampungan sebagaimana diceritakan oleh  Al-Shaykh Abu `Abdul Rahman al-Sulami yang mendengar Muhammad bin `Ali al-`Alawi berkata, dia mendengar Ja`far bin Muhammad berkata, aku mendengar Ahnaf al-Hamadani , ``Aku berada diperkampungan berseorangan, lantaran itu  aku berdo`a dan memohon berbagai-bagai permohonan. Pokoknya dengan berada di perkampungan dia dapat menikmati kedamaian dan kesunyian yang dapat mendekatkan diri kepada Tuhan. Dia juga dapat berinteraksi dengan penduduk secara tenang dan damai seperti di surau dan di tepi sawah dan  lain-lain.
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar `Abdullah  bin `Ali berkata,  Aku mendengar `Isa al-Qassar berkata,  ditanya Ruym daripada adab bermusafir,  katanya dia hendaklah tidak melebihi dari keberadaannya, dimana engkau berhenti di situlah tempat bermalam.
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar `Abdullah bin Muhammad al-Dimashqi berkata, aku mendengar Ibrahim bin al-Maulid berkata, aku mendengar Ibrahim al-Qas*s*ar berkata,, ``Aku bermusafir selama tiga puluh tahun. Permusafiran membaiki jiwaku bersama orang ramai, khususnya dari kalangan al-fuqara`.``
Seorang lelaki menziarah Da`wud al-T*a`i, maka katanya, Wahai Aba Sulaiman, adakah diriku khuwatir untuk menemuimu sejak  sekian lama, maka katanya , `Tidak mengapa, apabila badan menziarah, maka hati tenang, sesungguhnya pertemuan lebih mudah dari khuwatir dan bimbang.``
Sesungguhnya bermusafir pada dasarnya memberi kebaikan sebagaimana kata pepatah, ``Jauh perjalanan banyak pengalama dan lama hidup banyak dirasa.``
Orang bermusafir pada dasarnya orang yang mempunyai keberanian dan azam, sebaliknya orang yang tetap  dan penakut akan berada di tempat asal dan sukar mengalami perubahan.
Bermusafir adalah digerakkan oleh berbagai tujuan dan untuk menghasilkan memerlukan pengorbanan.
Ada yang bermusafir dengan tujuan murni, misalnya bagi mencari  ilmu pengetahuan, sebagaimana yang dilakukan oieh al-Imam Shafie yang walaupun di dalam keadaan kemiskinan, maka dengan restu ibunya dia keluar dari tanah Ghazzah bermusafir dengan menempuh berbagai kesusahan, antaranya dirompak dalam perjalanan yang menginsafkan perompak-perompak dan menjadi orang yang baik. Al-Imam Shafie belajar hingga ke Iraq dan Mesir dan menjadi  tokoh yang berkelyakan memberi fatwa dan dia menjadi tokoh mazhab bagi pengikut-pengikut bagi Mazhab Shafie. Dia pernah mengungkapkan secara berpuisi (dia juga sebagai penyair),
Jangan bimbang untuk meninggalkan kampung halaman
Bermusafirlah engkau dapat ganti lebih baik dari yang hilang.
Ada yang bermusafir semata-mata atas nama melancung, kiranya dapat ditimba pengalaman dan pengajaran maka ada juga pulangan, kalau tidak menghabiskan perbelanjaan.
Ada pula yang bermusafir kerana perniagaan. Jika tujuannya adalah untuk mencari keuntungan, maka keuntunganlah yang dapat dihasilkan, jika tidak kerugian.
Apa pun bermusafir adalah baik, dengan dapat melihat ciptaan Tuhan  dan memberi peluang untuk menimba pelajaran dan pengetahuan yang membuka minda dan jiwa yang dapat memberi perubahan pada diri dan juga memberi kesan kepada mereka yang terlibat dengan pengalaman dan pengajaran yang dapat merubah kelilingan kepada  lebih kebaikan.
Hakikatnya  kita adalah musafir menuju ke destinasi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment