June 20, 2017

WALI - KURNIAAN BUKAN PENCARIAN


BBB, 24 Ramadhan 1438H. = 19 Jun 2017M. (Isnin):
Wali aalah istilah atau konsep popular di dalam tasawuf. Ianya merujuk kepada orang yang mempunyai kedudukan tinggi dari segi kerohanian. Wali  ertinya, menguasai, memerintah, mempunyai ruang dan kawasan seperti diistilah juga dari pecahannya kepada istilah wilayah.  Wali di sini lebih kepada mempunyai kelebihan dan kemampuan dari segi rohani.
Al-Qushairy merujuk istilah ini kepada maksud ayat Al-Qur`an, sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Ingatlah bahawa wali-wali Allah, mereka tidak takut dan mereka tidak berdukacita.`` (Yunus:  52).
Adapun dari segi Hadith:
Mengkhabarkan kami Hamzah bin Yusof al-Sahmi berkata, bercakap kepada kami `Abdullah bin `Adiyy al-Hafiz* berkata, bercakap kepada kami Abu Bakar Muhammad bin Harun bin Hamid berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin Harun al-Maqri, berkata, bercakap kepada kami Hammad al-Khayyat* daripada `Abd al-Wahid bin Maimun Maula `Urwah daripada `Urwah daripada A`ishah r. `anha, bahawa Nabi s.a.,w. bersabda (bermaksud):
``Berfirman Allah Ta`ala, Siapa yang menyakiti bagiku akan seorang wali, maka sesungguhnya dia membuka jalan (menghalalkan) memerangiku. Dan tidaklah mendekatiku seorang hamba dengan seperti menunaikan apa yang aku fardhukan ke atasnya dan sentiasalah hamba itu mendekati kepadaKu dengan amalan nawafil sehingga aku mengasihinya dan tidak aku ragukan pada sesuatu yang aku lakukan seperti ku teragak-agak untuk mengambil roh hambaku yang mu`min, kerana dia membenci mati dan aku membenci apa yang tidak disukainya dan maut itu tidak dapat tidak daripadanya.`` (Hadith riwayat Ahmad, Hakim dan Tirmidzi).
Berkata Al-Ustadz Abu al-Qasim, ``Wali ada dua makna, salah satu daripadanya wali sebagai ism fa`il bermaksud maf`ul, iaitu seorang yang ditauliahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta`ala apa yang disuruhnya. Sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:  `` Dialah yang mentauliahkan kepada orang-orang salih.`` (Al-A`raf: 196). Maka tidaklah menyusahkannya dalam urusan dengan makhlukNya haq Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Keduanya, bermakna fa`il  daripada ism fa`il, iaitu Dia mentauliahkan hamba Allah Ta`ala dengan ketaatan kehambaannya berlaku secara berturut-turut dengan tidak diselang seli oleh sebarang perlakuan maksiat.  Kedua yang disifatkan adalah wajib, hingga adalah wali itu wali yang wajib melakukan hak-hak Allah Ta`ala atas  penunaian dan penafian dan dia berterusan dipelihara oleh Allah Ta`ala kepadanya sama ada pada masa senang dan juga masa susah.
Dan daripada syarat wali, bahawa dia memelihara diri, sebagaimana syarat bagi Nabi ialah ma`s*um.. Tiap  apa yang ditentu shara`, jika ada tentangan bererti dia ghurur dan tertipu daya.
Sebagai contoh, aku mendengar Al-Ustadz Aba `Ali al-Daqqaq berkata, dikatakan Abu Yazid berkunjung ke satu tempat yang dikatakan di sana ada kalangan wali, beliau menuju ke masjid di situ, tetapi bila dia berdepan dengan seorang lelaki daripada mereka itu, dia keciwa  dan tidak jadi menemui mereka. Katanya jika seorang lelaki dianggap wali tidak menepati dengan kehendak shari`at, bagaimana boleh diharap dia menepati kehendak  asrar hakikat.
 Berssalahan pendapat di kalangan sufi adakah wajar seorang wali diketahui oleh dirinya dan orang lain. Mereka berpendapat tidak wajar, kerana ianya boleh membawa kepada sifat ghurur dan fitnah. Wali hanya diketahui oleh orang yang layak mengetahuinya dan lebih baik  yang mempunyai kriteria wali, tidak mengetahui yang dirinya ada ciri-ciri kewaliyan. Namun  Al-Imam Abu Bakar bin Furik berpendapat, bahawa harus mengetahui seorang wali, bahawa dia adalah wali dan tidak semestinya kewalian berlaku dalam hal segera dan semasa. Walau bagaimana seorang tidak mungkin mengakui dirinya wali , namun dianya diketahui atau tidak diketahui, bahkan tidak penting untuk diketahui. Bahawa ahlu haqiqat itu mereka ini kata Al-Qushairy, mereka bukan pada tahap khalayak biasa, bahkan terhapus dari disifatkan sebagai kalangan mereka.
Berkata Yahya bin Mu`adz r.a.:
``Wali itu adalah wangian Allah Ta`ala di muka bumi, wangiannya tercium oleh para siddiqun, bahkan wangian ini semerbak di taman-taman hati mereka, bahkan menjadi rinduan mereka kepada pohon-pohon kewalian yang mengeluarkan wangi-wangian berkenaan.
Dikatakan alamat wali itu tiga: Sentiasa sebok dirinya dalam hubungan dengan Allah Ta`ala, taqrirnya kepada Allah Ta`ala dan  himmahnya kepada Allah Ta`ala.
Berkata Al-Kharraz, ``Apabila Allah Ta`ala menghendaki mewalikan seorang hamba daripada hambanya, maka terbuka baginya pintu dzikir, maka bila dia lazat dengan dzikirnya maka terbuka baginya pintu qurb, kemudian diangkat dalam Majlis al-Uns, kemudian didudukkan di atas kerusi tauhid, kemudian diangkat darinya hijab dan dia tiba pada `Dar al-Fardaniyyah, dan terbuka baginya tentang perkara-perkara halal dan dikurnia dengan kelebihan-kelebihan tanpa dakwaan-dakwaan dari dirinya.
Demikian gambaran secara intutif proses kewalian yang pastinya bukan tahap yang boleh dicapai manusia biasa.
Pendek kata, kewalian wujud, tetapi bukan dia sebagai pencarian. Ia adalah kurniaan Allah terhadap seorang dipilihnya, dirinya  diberi kelebihan-kelebihan, antaranya diistilahkan sebagai karamah. Namun kewalian bukan dakwaan, siapa yang mengakui wali menandakan dia bukan wali.  Kurniaan terhadap individu pilihan tidak disedari, khususnya bagi yang dianggap wali, tetapi ianya mungkin diketahui wali atau mungkin tidak diketahui. Dia berada pada tahap tersendiri sebagai `Wali`.
Wali bukan pencarian, tetapi kurniaan.

Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment