June 11, 2017

TENTANG IKHLAS : BEGITU HALUS MAKNANYA


BBB,  15 Ramadhan 1438H. =  10 Jun 2017 (Sabtu):
Ikhlas ialah perkataan yang berasal dari akar kata `khalasa` yang bererti bersih dan tidak bercampur dengan unsur yang lain. Dari segi istilah  ialah merujuk hal hati yang murni dan tidak bercampur dengan tujuan yang lain. Misalnya ikhlas dari segi ibadat kepada Allah, tidak bertujuan menunjuk-nunjuk. Ikhlas di dalam memberi pertolongan, misalnya bersadaqah membantu faqir miskin tidak mengharapkan pujian dan balasan. Ikhlas adalah sifat hati yang murni dan bersifat dalaman yang mudah disebut, tetapi tidak mudah mencapai hakikat ikhlas yang sebenarnya. Ianya mencerminkan ketinggian peribadi dan sifat yang amat terpuji.
Di dalam membicarakan tentang ikhlas Al-Qushairy membawa ayat Al-Qur`an dengan firman Allah : ``Ala li Allahi  al-Dinu al-khalis`` (Al-Zumar: 3).
Bermaksud: ``Ingatlah bagi Allah agama yang bersih (dari syirik) – (Al-Zumar: 3).
Dan ayat  yang lain Al-Qur`an bermaksud:
``Dan mereka tidak disuruh melainkan menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya.`` (Al-Bayyinah: 5).
Dari segi Hadith pula:
``Mengkhabarkan kami `Ali bin Ahmad al-Ahwazi berkata, mengkhabarkan kami Ahmad bin `Ubaid al-Basri berkata, bercakapkan kami Ja`far bin Muhmmad al-Qurbani berkata, bercakap kepada kami Abu T*alut berkata, bercakap kepada kami Hani` bin `Abdil Rahman bin Abi  `Aylah al-`Uqaili daripada Ibrahim bin Abi `Aylah, berkata bercakap kepada kami `It*iyyah bin Rashah daripada Anas bin Malik berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Tiga yang tidak masuk ke dalam hati seorang muslim, ikhlas `amal kepada Allah Ta`ala, memberi nasihat yang tulus kepada penguasa dan melazimi jama``ah orang Islam.`` (Dikeluarkan Ahmad daripada Abi Bakrah).
Berkata Al-Ustadz:  Ikhlas ialah menunggalkan haqq Allah Subhanahu wa Ta`ala dari segi ketaatan dengan secara qasad. Dan dikehendaki taat ialah bagi mendekati Allah subhanahu wa Ta`ala tanpa yang lain darinya. Siapa yang pura-pura atau mencari pujian daripada manusia atau kasih puji dari makhluk atau apa jua maksud selain dari taqarrub kepada Allah Ta`ala.
Aku mendengar Al-Shaykh Aba `Abdul Rahman al-Sulami berkata, ``Sesungguhnya aku telah menyoal daripada ikhlas, apakah dia ? Maka katanya, ``Aku mendengar `Ali  Bin Abi Sa`id dan Ahmad bin Muhammad bin Zakariyya dan aku menyoal keduanya tentang ikhlas,, maka keduanya berkata, ``Kami telah mendengar `Ali bin Ibrahim al-Shaqiqi, sesungguhnya kami berdua telah bertanya tentang ikhlas, maka katanya kami mendengar  Muhammad bin Ja`far al-Khasafi, dan aku bertanya tentang ikhlas, maka katanya, aku telah menyoal Ahmad bin Bashshar tentang ikhlas, apa dia ? Katanya aku bertanya Aba Ya`kub al-Sharit*i daripada ikhlas, apa dia, katanya, katanya aku bertanya Ahmads bin Ghassan tentang ikhlas, apa dia. Katanya aku bertanya kepada `Abdul Wahid bin Zaid tentang ikhlas, apa dia, maka katanya, aku bertanya al-Hasan tentang ikhlas, tentang apa dia, katanya aku bertanya kepada Al-Hudzaifah tentang ikhlas, apa dia, maka katanya , ``Aku bertanya Nabi s.a.w. tentang ikhlas, apa dia, maka Sabda Baginda, ``Aku bertanya Jibril a.s. tentang ikhlas, apa dia ? Katanya, aku bertanya Rabb al-`Izzah tentang ikhlas, apa dia. FirmanNya, Dia adalah rahsia dari rahsiaKu yang aku simpan di dalam hati siapa yang aku kasihnya daripada hambaku`. (Dikeluarkan oleh Al-Qazwini daripada al-Hudzaifah).
(Catatan, sanad yang agak berlainan dari sanad dan riwayat biasa).
Aku mendengar Al-Ustadz Aba  `Ali al-Daqqaq berkata,
Ikhlas ialah menjaga diri dari campur tangan makhluk dan benar ialah menjaga diri dari nafsu. Dengan mengawal diri dari nafsu riya` dan yang bersifat benar tidak bersifat `ujub.``.
Berkata Dzu al-Nun al-Mis*ri, ``Ikhlas tidak sempurna melainkan dengan klebenaran padanya dan sabar padanya. Dan benar juga tidak sempurna, melainkan dengan ikhlas padanya secara berterusan.
Dan berkata Abu Ya`qub al-Susi, ``Apabila engkau saksikan ikhlas pada keikhlasan mereka, maka ikhlas sebenarnya tidak bertujuan melainkan ialah ikhlas.
Berkata Dzu al-Nun al-Misri, tiga alamat ikhlas:
Yang ikhlas tidak berpihak kepada puji dan keji.
Lupa dari melihat amal dan menilainya (ikhlas atau sebaliknya)
Lupa dari melihatnya dari segi balasan amal di akhirat.
Aku mendengar Al-Shaykh Aba `Abdul Rahman al-Sulami berkata, dia mendengar Aba `Uthman al-Maghribi berkata, ``Ikhlas ada tahap:
Tahap awam, sesuatu yang tidak ada kepentingan diri.
Tahap khas; Ikhlas memancarkan ketaatan yang tidak dipersoalkan  dari ganjaran.
Tahap khusus – Tidak melihat pada perbuatannya, tapi adalah penyerahan.
Dan berkata  Abu Bakar al-Daqqaq, kekurangan dari segi ikhlas, apabila seorang itu menilai tentang keikhlasan dirinya.
Apabila Allah  Ta`ala, mau keikhlasan hamba, dia tidak melihat tentang keikhlasan diri.
Demikian betapa halusnya maksud ikhlas. Apa yang dilakukan kerana Allah dan keikhlasannya bukan dikerana oleh sebarang kerana.
Keikhlasan adalah dari kesucian rohani. Allah jua yang mengetahui sejauh mana ikhlasnya seseorang atau sebaliknya..

Sekian.

No comments:

Post a Comment