June 26, 2017

TENTANG SAHABAT - PERLU KEJUJURAN


BBB, 01 Syawal 1438H. =  25 Jun 2017M. (Ahad):
Bersahabat bererti mempunyai teman di dalam kehidupan. Bersahabat pada dasarnya memberi kebaikan baik bersifat perseorangan atau ramai. Dengan  bersahabat dapat diajak berunding mengenai  sesuatu persoalan, baik berhubung dengan kepentingan salah seorang daripada sahabat atau melibatkan kepentingan bersama. Dengan bersahabat dapat meyelesaikan persoalan-persoalan yang dihadapi dan sahabat dapat memberi pertolongan langsung, misalnya dengan meminjamkan keperluan-keperluan atau secara tidak langsung misalnya melalui nasihat. Makin banyak sahabat makin baik. Tetapi di sebalik sahabat ada yang dikenali dengan musuh. Musuh biasanya membawa kepada kemusnahan. Lantaran itu musuh hendaklah dijauhi. Kata pepatah:
Bersahabatlah biarlah sampai beribu
Tetapi jangan bermusuh walaupun satu
Kerana satu lebih banyak dari yang diperlu.
Dalam sejarah banyak peristiwa-peristiwa yang mencerminkan penting bersahabat seperti sahabat Nabi dengan Sayyiduna Abu Bakar di dalam memperkembangkan agama Islam. Juga dengan sahabat-sahabat yang lain.
Di dalam membicarakan tentang sahabat Al-Qushairy memetik firman Allah yang bermaksud:
``Ketika  dua mereka berdua di dalam gua, maka dia berkata kepada sahabatnya, ``Janganlah engkau dukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.`` (Al-Taubah: 40).
Ayat di atas merujuk kepada Rasulullah s.a.w. semasa bersembunyi di Gua Thur dalam rangka berhijrah ke Madinah, sedang musuh menjejaki mereka hingga menghampiri gua berkenaan.
Tentang Hadith Nabi:
Mengkhabarkan kami `Ali bin Ahmad al-Ahwazi berkata, bercakap kepada kami Ahmad bin `Ubaid al-Bas*ri, berkata, bercakap kepada kami Yahya bin Muhammad al-Jiyani berkata, bercakap kepada kami `Uthman bin `Abdullah al-Qurashiyy daripada Na`im bin Salim daripada Anas bin Malik berkata, bersabda Rasulullah s.a.w., ``Bilakah aku bertemu kekasih-kekasihku ?``  Maka kata sahabat-sahabat, ``Demi ayah, engkau dan ibu kami, tidakkah kami kekasih-kekasih engkau. Maka bersabda Baginda, ``Kamu adalah sahabat-sahabatku dan kekasih-kekasihku, kaum yang tidak melihatku, mereka beriman denganku, dan kepada mereka aku terlebih rindu.``   (Riwayat Abu al-Shaykh dalam bab al-Thawab).
Aku mendengar Al-Ustadz Aba `Ali al-Daqqaq berkata, berkata Ahmad bin Abi al-Hawari, aku katakan kepada Abi Sulaiman al-Darani, bahawa fulan tidak memberi kesan pada hatiku, maka kata Abu Sulaiman dia tidak menyentuh hatiku juga, akan tetapi wahai Ahmad, sepatutnya kita datang sebelum itu, sebab itu kita tidak terjumlah dari kalangan salihin, sebab itu kita tidak mengasihi mereka.``
Dikatakan bersahabat seorang lelaki dengan Ibrahim bin Adham dan tatkala hendak berpisah, lelaki itu berkata kepada  Ibrahim, ``Kiranya engkau melihat apa-apa keaiban, maka peringatkan daku. Maka kata Ibrahim, Tiada sebarang kecacatan, bahkan aku melihat dengan rasa kasih sayang.. Lantas dia berpuisi:
Dengan mata kerelaan menghilangkan sebarang kelemahan
Tetapi dengan mata merendahkan hilang sebarang kenerkatan.``
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Muhammad bin al-Hasan al-`Alawi berkata, bercakap kepada kami `Abdul Rahman bin Hamdan berkata, bercakap kepada kami Abu al-Qasim bin Munabbih berkata,, aku mendengar Bish bin al-Harth berkata:
``Bersahabat dengan orang yang jahat membawa kepada buruk sangka dengan berita-berita.``
Aku mendengar Al-Ustadz Aba `Ali berkata, ``Pokok apabila tumbuh dengan sendirinya,  dan tidak dijaga, dia berdaun, tetapi tidak berbuah, begitulah murid bila tidak berguru, keluar daripadanya yang tidak berfaedah.``
 Kata Al-Ustadz Abu `Ali aku mengambil tariqat daripada Al-Nas*r Abadzi,, dan Al-Nas*r Abadzi mengambail daripada Al-Shibli, dan Al-Shibli mengambil daripada Al-Junayd, dan Al-Junayd mengambil daripada Al-Sari, dan Al-Sari mengambil dari Ma`ruf al-Karkhi, dan Ma`ruf al-Karkhi mengambil daripada Da`wud al-T*a`i, dan Da`wud al-T*a`i menemui  para al-Tabi`in.  Dan aku mendengar r.h.t. berkata, tidak berlaku khilaf di dalam majlis Al-Nas*r Abadzi semata-mata kerana mandi sebelumnya.
Aku mendengar Aba  `Abd al-Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar `Abdullah bin al-Mu`allim berkata, aku mendengar Aba Bakr al-T*amastani berkata: ``Bersahabatlah kamu dengan Allah Ta`ala, kalau kamu tidak mampu, maka bersahabatlah bersama dengan orang yang bersahabat dengan Allah Ta`ala yang boleh memberi kamu berkat dari persahabatan dan menyampaikan persahabatan dengan Allah Ta`ala.
Persabatan adalah penting di dala kehidupa dan ia adalah dituntut, tetapi untuk bersahabat hendaklah mempunyai syarat-syarat, antaranya:
Hendaklah jujur di alam persahabatan.
Seeloknya sama mempunyai aliran fikiran yang boleh mengelak dari percanggahan
Mempunyai ilmu pengatahuan dan pengalaman
Nasihat menasihati kepada perkaa yang baik dan kebajikan.
Tegur menegur secara ikhlas jika berlaku kesilapan dan satu pihak menerima  secara  rela.
Ziarah menziarahi dari masa kesemasa menurut kesesuaian
Jujur mengekalkan persahabatan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment