BBB, 20 Ramadhan 1438H. = 15 Jun 2016M.
(Khamis):
Secara lahir, seorang yang berilmu dan
berpengalaman dapat melihat dan menjangkakan seorang anak remaja yang cergas,
pintar dan petah bercakap mempunyai
potensi untuk berkembang pada masa
hadapan sebagai anak muda, jika dibekalkan dengan ilmu pengetahuan, menjadi
anak muda yang berkemampuan memimpin dan sebagainya pada masa hadapan. Ini
merupakan tilikan lahiri, berdasarkan bukti-bukti lahir yang dapat dibuat
jangkaan akan kemungkinan-kemungkinannya pada masa hadapan.
Lebih dari itu, ada tilikan dan jangkaan di
samping petanda-petanda lahir ditambah dengan pertanda-pertanda rohani - mata
lahir dan mata batin dapat dikenali oleh yang mendalam akan perwatakan dan
kemampuan batin dan dibuat jangkaan oleh yang arif akan kebolehan dan potensi
sesuatu. Penelitian sedemikian dikenali dengan `Firasat`.
Di dalam membicarakan tentang firasat ini,
Al-Qushairy bertolak dari firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya pada yang demikian itu menjadi
tanda-tanda bagi mereka yang memperhatikan tanda-tanda bagi yang mutawassimin ` (Al-Hijr: 75)– Maksud menurut Al-Qushairy,
al-Mutawassimin adalah mereka yang
mendalam dari segi firasat (al-mutafarrisin).
Dari segi Hadith Al-Qushairy mengangkat
riwayat secara bersanad:
Mengkhabarkan kami Al-Shaykh Abu
`Abdul Rahman al-Sulami r.h.a., katanya mengkhabarkan kami Ahmad
bin `Ali bin al-Husain al-Razi berkata,,
mengkhabarkan kami Muhammad bin
Ahmad al-sakani berkata, bercakap kepada
kami Musa bin Da`wud berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin al-Kathir
al-Kufi, berkata, bercakap kepada kami `Amru bin Qays daripada `It*iyyah
daripada Abi Sa`id berkata,
Bersabda Rasulullah s.a.w. (bermaksud):
``Takutlah kamu daripada firasat orang
mu`min, kerana ia melihat dengan nur Allah Ta`ala.``
Berkata Al-Ustadz, ``Firasat ialah lintasan
yang bertapak di dalam hati yang menafikan apa yang bertentangan dalam hati
dengan hukum. Ia mencerminkan ketajaman firasat yang melihat secara firasat.
Dia bergantung pada kekuatan iman, siapa yang kukuh dari segi keimanan semakin
tajam dari segi firasatnya. Dan berkata Abu Sa`id al-Kharraz,
``Siapa yang melihat dengan cahaya firasat
dia melihat dengan nur al-haqq.``
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain
berkata, aku mendengar Muhammad bin `Abdullah berkata, aku mendengar Al-Kattani
berkata,
``Al-Firasah ialah mukashafah al-yaqin dan
pertolongan ghaib. Dia adalah dari maqam-maqam iman .``
Aku mendengar Al-Shaykh `Abdul Rahman
al-Sulami berkata, aku mendengar Datukku Aba `Amrin bin Majid berkata, adalah
Shah al-Karmani seorang yang tajam firasat dan tidak berlaku kesilapan. Dia
berkata, ``Siapa yang merendahkan penglihatannya daripada perkara-perkara haram
dan menahan nafsunya daripada syahwat, menjaga batin dengan berterusan
muraqabah dan zahrnya mengikut Sunnah dan menjadi adat memakan makanan halal,
maka dia tidak silap dari segi firasat.``
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain
berkata, aku mendengar Mansur bin `Abdullah berkata, aku mendengar l-Khuldi
berkata, aku mendengar Aba Ja`far al-Haddad berkata,
``Firasat ialah lintasan awal dengan tidak
ada halangan yang menghalang dari haknya, dia adalah lintasan dan ungkapan.``
Berkata Abu Hafs* al-Naisaburi, ``Tidak ada
seorang boleh mendakwa sebagai berkebolehan di dalam firasat, akan tetapi dia
berlindung dan takut dari firasat daripada yang lain, kerana Nabi s.a.w.
bersabda, ``Takut dari firasat orang mu`min, dan tidak dikatakan, hendaklah
berfirasat, bagaimana sah dakwaan berfirasat bagi siapa yang sepatutnya berada
di bawah lindungan dari takut kepada firasat (orang mu`min).
Firasat
adalah pemberian Allah terhadap seorang mu`min yang berkelayakan dari segi kerohanian dan
ditambah dengan keilmuan dan pengalaman yang dapat dia membuat jangkaan dan
telahan terhadap seorang, terhadap sesuatu dan kemungkinan-kemungkinan sesuatu
berdasarkan bukti, kenyataan dan persepsi batin
akan sesuatu kemungkinan. Dan perkara ini adalah realiti yang mungkin
berlaku dan ada yang berkelayakan – di atas pemberian Allah.
Di dalam kehidupan moden konsep firasat ini
diperkukuh dengan kaedah ilmiah dan pengukuran tertentu. Misalnya bagaimana mau
memilih calon terbaik untuk diberi biasiswa bagi memasuki ke satu-satu
pengajian yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Ini dilakukan oleh
pakar-pakar yang menginterview bagi memilih calon yang benar-benar layak.
Pakar-pakar di dalam berbagai bidang ini melihat misalnya dari segi minat, kelayakan,
psikologi, ujian tertentu dengan berbagai kaedah sehingga mampu meilih dari
kalangan terbaik dipilih yang paling terbaik dari kalangan mereka.
Walau bagaimana firasat bagi tokoh ilmu dan
rohani adalah kelayakan dan pemberian dari Allah bagi mereka yang layak dan bagi
yang ditelah juga ada pertanda dan kelayakan sehingga ia difirasatkan, tetapi sebagaimana dikatakan oleh Abu Hafs* al-Naisaburi,
firasat bukanlah bidang yang dicari dan diusahakan, tetapi adalah pemberian.
Sebab itu katanya, tidak ada seorang yang boleh mendakwa bahawa dia
berkelayakan apa lagi berkebolehan dari segi firasat, tetapi tidak menafikan
dari wujudnya mereka yang berkelayakan. Kita hanya mohon perlindungan dari elemen negatif dari firasat. Tetapi bukanlah
menjadi tujuan untuk menjadi ahli firasat. Terpulang bagi yang berkelayakan
dari segi kerohanian, keilmuan dan pengalaman.
Sekian.
No comments:
Post a Comment