June 15, 2017

FUTUWWAH KINI WAJAH GENERASI MASA DEPAN


BBB, `19 Ramadhan 1438H. =  14 Jun 2017M. (Rabu):
Futuwwah dapat diertikan sebagai  `Kepemudaan` , mereka prehatin,  beri  perhatian,  cakna  dan bertanggungjawab. Tercermin di dalam aspek futuwwah ini adalah seorang yang berkeperibadian tinggi dan mulia. Dia tidak bersifat mementingkan diri, sedia dan rela memberi pertolongan kepada yang memerlukan dan penuh bertanggungjawab.
Membicarakan topik `Futuwwah` ini Al-Qushairy bertolak dari ayat Al-Qur`an ( berhubung dengan  pemuda yang berwatak ideal) bermaksud:
``Mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan  Tuhan mereka itu dan Kami tambahkan mereka dengan pertunjukan.`` (Al-Kahfi: 13).
Menurut  Al-Ustadz,  asal futuwwah bahawa seorang hamba itu sentiasa melaksanakan tugas untuk orang lain. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.  bermaksud:
``Sentiasalah Allah Ta`ala menunaikan hajat hamba, selama hamba itu menunaikan hajat hambanya yang muslim. (Riwayat Abu Hurairah, diterbitkan oleh Al-T*abarani).
Aku mendengar AL-Ustadz Aba `Ali al-Daqqaq berkata,
``Di dalam makhluk ini tidak ada yang sesempurna Rasulullah s.a.w. kerana tiap-tiap seorang dari pimpinan berkata, nafsi !  nafsi ! Dan Dia s.a.w. berkata, uamtku ! Umatku!.``
Aku mendengar Al-Shaykh Aba `Abdil Rahman r.h.a. berkata, aku mendengar Muhammad bin Al-Husain berkata, aku mendengar Aba Ja`far al-Farghani berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata,
``Al-Futuwwah berada di Sham dan Lisan berada di `Iraq dan Kebenaran di Khurasan.``. Ia adalah gambaran masyarakat pada  zamannya.
Dan aku mendengarnya berkata, aku mendengar `Abdullah bin Muhammad al-Razi berkata, aku mendengar Muhammad bin Nus*air bin Mans*ur al-S*a`igh berkata, aku mendengar Ibn Mardawayh al-S*a`igh berkata, aku mendengar Al-Fadhl berkata,
``Al-Futuwwah ialah memaaf daripada kesalahan kawan-kawan, dan dikatakan,
``Al-Futuwwah, engkau tidak melihat diri engkau mempunyai kelebihan  berbanding dengan orang lain.``
Dan berkata Abu Bakar al-Warraq, ``Al-Futuwwah, siapa yang tidak ada musuh baginya.``
Dan berkata Muhammad bin `Ali  al-Tirmidzi, ``Al-Futuwwah engkau mengawal diri engkau kerana Tuhan engkau.``
Dan dikatakan, ``Al-Futuwwah, orang yang tidak bermusuh dengan sebarang orang.``
Aku mendengar  Al-Ustadz  Aba `Ali al-Daqqaq berkata,  aku mendengar Al-Nas*r Abadzi berkata,  ``Dinamakan As*hab al-Kahfi `Fityatun` kerana mereka itu beriman dengan Allah Ta`ala. Tanpa wasit*ah.``
Disoal Al-Junayd tentang al-futuwwah, maka katanya, ``Jangan engkau mengabaikan terhadap orang faqir dan jangan engkau menghalang tujuan baik orang muda.``
Berkata Al-Junayd, ``Al-Futuwwah, ialah menahan  perkara yang menyakitkan terhadap seseorang dan berusaha mencegah dari berlaku terhadapnya.``
Berkata Sahl bin `Abdullah, ``Al-Futuwwah ialah mengikut Sunnah.``
Dapat difahami dari berbagai pendapat di atas, bahawa `Al-Futuwwah` nenpunyai kaitan antara pemuda dan sifat-sifat yang baik seperti beriman, berilmu dan tidak mementing dan menonjol diri. Berusaha memberi kesenangan  dan kemudahan kepada orang lain. Mereka ialah orang-orang muda yang insaf dan berkorban  bagi kebaikan masyarakat dan orang ramai.``
Dapat difahamkan mengapa tema yang berhubung dengan orang muda yang menjadi contoh ini ditampil, bahawa   bagi sesuatu masyarakat ada generasi-generasi yang terus bergerak dan berkembang. Dalam perkembangan generasi ini  dari masa ke masa perlu ada generasi pelapis yang bakal mengganti generasi yang bakal pergi. Generasi yang paling penting bagi menggantiakn generasi-generasi yang bakal pergi ialah generasi muda. Generasi ini perlu direncana dan dididik sebagai pelapis terbaik. Keperluan utama generasi ini hendaklah terdidik dengan ilmu pengetahuan, menjadi mereka yang beriman, mempunyai akhlak yang tinggi. Sedar terhadap kepentingan umum, tidak mementingkan diri, tetapi lebih mementingkan masyarakat yang mereka menjadi pelapisnya.
Masyarakat  yang tidak mendidik generasi  muda sebaik mungkin, masyarakat yang tidak mempunyai wawasan bagi masa depan masyarakat dan tidak prehatin terhadap masa depan masyarakat. Lebih malang, jika tidak ada usaha  mendidik kalangan muda sebagai pelapis masa depan. Sekiranya masyarakat mengabaikan generasi  muda, bererti mereka mengabaikan masa depan masyarakat dan tidak mempunyai arah. Kesedaran terhadap masyarakat tidak akan timbul dengan sendiri  dan kebetulan. Bagi masyarakat perlu ada plan strategik bagi masa depan masyarakat dan menjadi panduan. Kalau tidak ada plan dan tindakan, maka masa depan masyarakat tidak terarah dan berfokus.
Paling penting mereka perlu menjadi masyarakat berilmu, beriman dan berjiwa luhur yang dengan secara sedar bekerja bagi kebaikan dan kepentingan masyarakat dan umat. Adalah dikatakan, untuk mengetahui wajah dan masa depan bagi sesuatu masyarakat, lihatlah pada generasi muda kini. Jika mereka adalah berilmu, berakhlak dan dinamik, maka pertanda masyarakat masa depan berada di atas landasan yang betul, tetapi jika sebaliknya, maka masa depan mereka lebih muram dan terkebelakang dari masyarakat yang lain.

Sekian.

No comments:

Post a Comment