BBB,
04 Muharram 1439H. = 24 September 2017M. (Ahad):
`Abdullah al-Dastani atau lebih lengkap Abu
`Abdullah Muhammad bin `Ali al-Dastani adalah satu lagi tokoh yang dianggap
oleh Al-Hujwiri sebagai sufi terkenal pada peringkat mutaakhir, tapi keadaan sebenarnya
bukan sebagaimana dianggap oleh Al-Hujwiri. Sebagaimana tiga tokoh sebelumnya
tidak terdapat di dalam tabaqat dan kitab-kitab tasawuf yang membicarakan
tentang tokoh, maka demikianlah dengan `Abdullah al-Dastani.
`Abdullah al-Dastani - Dari
namanya diketahui bahawa beliau adalah berasal dan Dastan, iaitu satu kawasan
yang berada di Bistam, iaitu satu kawasan bagi tokoh sufi Abu Yazid al-Bist*ami
yang beliau berasal dari sana. `Abdullah al-Dastani, menurut Al-Hujwiri adalah
seorang yang alim di dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan. Kealimannya
di dalam banyak bidang ilmu pengetahuan menurut Al-Hujwiri membolehkanya menghuraikan tentang keilmuan yang berkenaan
secara cemerlang. Beliau juga mendalam bidang tasawuf dan mampu membicarakan
aspek-aspek kerohanian secara halus dan mendalam. Di samping itu beliau juga mendalam dalam
bahagian akidah.
Al-Hujwiri mengaitkan `Abdullah al-Dastani dengan tokoh tempatan
yang terkenal pada zamannya, iaitu Shaykh Sahlagi, dikatakan,
``Dia menemukan pengganti utama dalam diri
Shaykh Sahlagi.``
Dari watak Sahlagi ini diungkapkan
pandangan akidah bahawa,
``Pengesaan terhadap Allah yang datang
darimu adalah benar dan adalah wujud,
tetapi dirimu yang mengesakan pada hakikatnya tidak wujud.``
Ungkapan sedemikian bukanlah sesuatu yang
baharu dan memang sedemikianlah kebenarannnya, kerana yang Esa wujud ialah
Allah, dan diri yang mengungkap, bahkan seluruh yang lain dari Allah adalah
wujud yang nisbi, akan binasa, bahkan hakikatnya tidak wujud.``
Penyangkalan terhadap dirimu menurut
`Abdullah al-Dastani, sebagaimana dikatakan oleh Al-Hujwiri adalah peringkat
rendah. Pada peringkat tinggi ialah penyerahan mutlak segalanya kepada Allah.``
Sebagaimana biasa, antara ciri tokoh sufi
ialah wujudnya keanihan pada diri seorang tokoh yang disifatkan sebagai karamat
– yang sebenarnya tidak semestinya, kerana keilmuan dan peribadi sufi sudah cukup melambangkan kesufian dan tidak perlu
memperlihatkan kelebihan-kelebihan lain sama ada benar atau tidak benar
berlaku, tetapi bagi Shaykh `Abdullah al-Dastani ini dan Shaykh Sahlagi dibawa
cerita yang tujuannya adalah bagi menunjukkan kelebihan dan perkaitan dua tokoh
berkenaan.
Kononnya, pada satu hari kawasan Bistam
diserang dengan kehadiran banyak belalang. Semua kawasan, sama ada pokok,
permukaan padang, rumah dan di mana saja dilitupi dengan belalang. Orang ramai
di samping tertanya-tanya merasa takut dengan keadaan yang terjadi. Mereka
berharap ada pihak yang mengambil tindakan bagi mengatasi serangan belalang berkenaan.
Akhirnya menurut al-Dastani sebagaimana dilaporkan oleh Al-Hujwiri diberitahu
kepada Shaykh Sahlagi. Beliau diminta mengatasi kegawatan yang terjadi.
Dikatakan Shaykh berkenaan naik ke tempat
tinggi, dan memandang ke langit sambil berdo`a. Kononnya menjelang waktu asar,
belalang-belalang berkenaan semakin berkurang dan pada waktru asar, gerombolan
belalang berkenaan menghilang.``
Kononnya ini menandakan keramat shaykh,
bahkan kedua-dua shaykh berkenaan.
Ini menurut Al-Hujwiri membuktikan dia
antara tokoh sufi mutaakhir. Namun yang kita lihat dia adalah lebih merupakan
anekdot sastera sufi lebih dari
kesufian.
Sekian.
No comments:
Post a Comment