September 28, 2017

AL-RISALAT AL-QUSHAIRIYYAT KARYA BESAR AL-QUSHAIRY


BBB,   07 Muharram 1439H. = 27 September 2017M. (Rabu):
Daripada sepuluh tokoh sufi mutaakhir yang dianggap Al-Hujwiri  sebagai terkemuka, maka tokoh ke tujuh dalam susunannya, iaitu Al-Qushairy  adalah merupakan tokoh paling terkenal, sekurang-kurangnya bagi penulis. Namun Al-Qushairy  yang nama penuhnya ialah Abu al-Qasim `Abd al-Karim bin Hawazin al-Qushairy  tidaklah diberi penerangan dengan secara  lebih lengkap. Penampilan tentangnya dari aspek-aspek khusus, iaitu lebih kepada kedudukannya di dalam tasawuf yang dianggap tinggi dari segi rohani. Karyanya – tanpa menyebut judulnya, dianggap tinggi mutunya dan ungkapan-ungkapan adalah tinggi dan bernilai.
Dia dikatakan oleh Al-Hujwiri terpelihara dari mengungkapkan sesuatu yang berhubung dengan Tuhan secara  `antropomorfisme` (memperorangkan). Dan Al-Qushairy  dikira tokoh yang mempertahankan kemurnian dari segi akidah.
Sebenarnya sumber yang boleh dirujuk tentang Al-Qushairy, ialah dari karangan utamanya, iaitu `Al-Risalat al-Qushayriyyah` yang karya ini telah kita bicarakan sebelum kitab Kashf al-Mahjub oleh Al-Hujwiri.
Sebenarnya Al-Qushairy adalah tokoh sufi mutaakhir, khususnya dilihat dari zaman keberadaannya.
Al-Qushayri hidup dan meninggal di Naisaburi (376H. -465H.), iaitu kawasan terkenal dengan tokoh-tokoh dan keilmuan kerohanian. Dia digelar sebagai  `ulama` al-Jami` bayn al-Shari`at wa al-Haqiqat, iaitu `ulama` yang menghimpunkan antara shari`at dan haqiqat.
Dia menulis sebagai muqaddimah bagi kitab Al-Risalat al-Qushayriyyatnya, katanya:
``Aku tujukan tulisanku (al-Risalat al-Qushayriyyah) kepada jama`ah sufi di negera-negara Islam.`` Menurut Al-Qushairy,
``Kalangan sufi adalah t*a`ifah  -  kalangan pimpinan yang bersih dan diberi kelebihan kepada mereka dari kalangan manusia selepas rasul-rasul dan para nabi-nabiNya.``
Tambah Al-Qushairy,
``Allah menjadikan hati kalangan sufi logam-logam kerahsiaanNya dan menistimewakan mereka dari kalangan umat dengan menjenguh cahaya-cahaya. Bersih hati mereka dari kekeruhan manusia dan ditajalli kepada mereka `Haqiqat Keesaan`. Dan wajah-wajah mereka tertumpu kepada mendirikan adab-adab `ubudiyyah dan memperlihatkan kepada mereka larian hukum-hukum Rububiyyah.``
Melihat kandungan  Al-Risalat Al-Qushayriyyat ada mirip kesamaan sumber yang sama dengan apa yang terkandung di dalam Tabaqat al-Sufiyyat. Mereka berada dalam masa berdekatan – Al-Sulami (m.412H.)  dan Al-Qushayri (m. 465H.). In bererti mereka berada di dalam suasana keilmuan yang sama, maka sumber ambilan mungkin sama, di samping dari yang lain. Kedua-duanya menulis menurut gaya Hadith. Bermaksud setiap maklumat disampaikan secara riwayat yang ada rawi bersanad.
Perbezaannya bahawa bagi  Al-Sulami seluruh kandungan di dalam Tabaqat al-Sufiyyat adalah tentang tokoh-tokoh yang berjumlah 103 orang yang dikelompokkan kepada 5 kelompok yang setiap kelompok adalah 20 orang, kecuali kelompok kelima 23 orang.
Berbanding dengan  Kashf al-Mahjub oleh Al-Hujwiri (m. 456) ketokohan sebagaimana Al-Qushairy adalah sebahagian daripada kandungan kitab, iaitu berjumlah 81 orang. Tumpuan lebih kepada inti pandangan tokoh dan tidak diberi  perhatan kepada latar. Karangan adalah menurut gaya prosa bahasa dan tidak menurut gaya Hadith. Ada kesamaan sumber sebahagian dari apa yang diungkapkan oleh tokoh-tokoh. Ini bererti ada kesamaan sumber ambilan dilakukan oleh ketiga-tiga pengarang berkenaan, walaupun tidak keseluruhan sama.
Dari segi pendekatan kitab Al-Risalat al-Qushayriyyah yang merupakan sumber paling utama bagi Al-Qushairy, bahawa kitabnya terbahagi kepada dua bahagian.
 Bahagian pertama bermula dengan membicarakan tentang tokoh, iaitu seramai 83 orang. Setiap tokoh dimulakan dengan maklumat berhubung dengan latar tokoh dan riwayat secara Hadith terhadap matan yang mau disampaikan. Contoh begitu banyak sebagaimana telah dibicarakan tentang  Al-Risalat al-Qushayriyyat sebelum ini.
Bahagian kedua ialah membicrakan tentang istilah-istilah yang diungkap dan dibicarakan oleh kalangan sufi. Ianya merupakan sebagai ensiklopedia kecil yang boleh dirujuk tentang istilah-istilah kesufian. Al-Qushairy  tidak mengkategorikan misalnya apa yang terletak di bawah maqam dan apa yang terletak di bawah hal. Sebaliknya disekalikan kesemuanya.
Antara perkara yang dibicarakan ialah seperti:
Waktu, maqam, hal, al-qabdh dan al-bast*,  haibat dan al-uns,tawajud alwajd dan al-wujud, al-jama` dan al-farq, jam` al-jama`, al-fana` dan al-baqa` dan seterusnya hingga kepada ratusan istilah-istilah yang lain.
Bagi penerangan bagi istilah-istilah ini juga  dihuraikan dengan cara gaya Hadith. Yang agak istimewa permulaan keterangan bagi setiap istilah ini dimulakan dengan ayat Al-Qur`an yang ada hubungan dengan istilah. Misalnya berhubung dengan sahabat diambil ayat Al-Qur`an dari persahabatan di dalam Surah al-Kahfi,
Misalnya berhubung dengan menjaga hati guru (shaykh), maka diambil kisah berhubung dengan Nabi Musa dan Khidhir yang Nabi Musa  tidak mengikuti peringatan Nabi Khidhir.
Kekuatan Al-Risalat al-Qushayriyyah  ialah pada bahagaian yang menerangkan istilah-istilah kesufian ini sehingga ianya menjadi panduan dan rujukan bagi mereka yang tidak faham berkenaan istilah-istilah kesufian atau yang ingin memperdalamkan maklumat yang berhubung dengan istilah-istlah kesufian.
Al-Risalat al-Qushayriyyah  adalah karya besar tasawuf yang dihasilkan oleh Abu al-Qasim `Abd al-Karim bin Hawazin  yang mencerminkan pandangan dan pendapatnya berhubung dengan tasawuf, ianya dapat disejajarkan dengan Al-Luma` oleh Abu Nas*r al-Sarraj al-T*usi,  Al-Ri`ayat oleh Al-Muhasibi membawalah kepada Ihya` oleh Al-Ghazali.

Sekian.

No comments:

Post a Comment