BBB, 22 Dzul-Hijjah 1438H. = 13 September 2017M. (Rabu):
Antara tokoh yang ditampilkan oleh
Al-Hujwiri ialah Ja`far bin Muhammad al-Khuldi. Beliau ialah Ja`far bin
Muhammad bin Nus*air, Abu Muhammad
al-Khawas*s*. Lahir di Baghdad dan mula
mendapat pendidikan di sana, terkenal persahabatannya dengan Al-Junayd, sebagaimana dia juga bersahabat
dengan Abi al-Husain al-Nuri, Ruwaym, Samnun dan Abi Muhammad al-Jariri dan
lain-lain daripada shaykh-shaykh semasa. Dia menjadi rujukan ilmu-ilmu bagi kaumnya. Dia dari kalangan
shaykh yang memberi fatwa, berkedudukan, elok kata. Dia menunaikan haji lebih kurang 60 kali !
Dia meninggal di Baghdad tahun 348H. dan
kuburnya di Shuniziyyah berdekatan dengan kubur Sari Saqati dan Al-Junayd
al-Baghdadi. Adalah didengar dari Ja`fa bin Nus*air mengatakan bahawa, ``Aku
mempunyai 130 diwan daripada diwan-diwan sufi.``
Menurut Al-Hujwiri, Ja`far al-Khuldi adalah
pemula yang meriwayatkan tentang
tokoh-tokoh sufi. Dikatakan untuk mengelak dari merasa bangga, beliau sengaja
menisbahkan setengah riwayat kepada orang lain. Menurut Al-Hujwiri, Ja`far
al-Khuldi memberi penekanan tentang tawakkal. Menurutnya,
``Tawakkal memberi ketenangan kepada
seseorang, kerana mengetahui hakikat ketentuan adalah pada Allah, sama ada
dapat atau tidak. Semuanya milik dan
ketentuan dari Allah. Sebagai mengukuhkan pendapatnya beliau menceritakan, ``Pada satu hari Ja`far datang menemui
Al-Junayd. Beliau mendapati Al-Junayd sedang demam. Ja`far mendo`akan kepada
Tuhan agar menyembuhnya.
Kata Al-Junayd, ``Aku juga memohon
sepertimu, tapi aku mendengar suara ghaib, ``Tubuhmu adalah milikku, siapa
sebenarnya dirimu ?
Antara riwayat tentang Ja`far al-Khuldi:
Aku mendengar Aba al-Fath al-Qawwas
al-Zahid di Baghdad berkata, aku
mendengar Ja`far bin Muhammad al-Khuldi berkata,
``Seorang hamba tidak mendapat lazat
muamalah bersama lazat nafsu, kerana ahli hakikat memutuskan hubungan dengan
yang boleh memutuskan mereka daripada Haqq sebelum diputuskan hubungan dengan
orang ramai.``
Katanya, berkata Ja`far, ``Perbezaan antara
riya` dan ikhlas, bahawa orang yang riya` bekerja untuk dilihat, sedang yang ikhlas bekerja sebagai menyampaikan.``
Katanya, berkata Ja`far, ``Orang bijak
menghinakan nafsu dan mementingkan kehormatan orang Islam.``
Katanya, aku mendengar Ja`far al-Khuldi berkata,
``Jadilah hamba kepada Allah secara ikhlas
dan bebas dari segala yang lain.
Aku mendengar Husain bin Yahya al-Shafi`e
berkata, aku mendengar Ja`far al-Khuldi disoal tentang tawakkal, maka katanya,
``Mengimbangi hati ketika wujud dan `adam (tiada), bahkan rentak ketika tiada
dan campuran wujud, bahkan istiqamah beserta Allah di atas kedua hal.``
Katanya, aku mendengar setengah sahabat
Ja`far berkata, aku bersamanya di perkuburan Al-Suniriyyah sedang seorang perempuan
menangis tangisan yang memilukan dan dia menepuk-nepuk di atas kubur, maka
berkata Ja`far kepadanya, Apakah hal ?``, maka kata perempuan itu. Dukaku
kematian anak lelakiku. Maka berpuisi Ja`far dengan ungkapan berikut:
Mereka berkata, dukaku, siapa yang tidak
merasa
Perpisahan begitu berat dengan yang amat dicinta
Dia memberi kesan mendalam oleh perpisahan
Pahitnya
rasa meminum berair dari jadam.
Aku mendengar Aba al-Qasim al-Hallal di
Marwe berkata, aku mendengar Ja`far berkata kepada seorang lelaki, ``Jadilah
berhemah mulia, kerana hemah dicapai oleh lelaki bercita-cita, tidak lain dari
mujahadah.``
Aku mendengar Ja`far berkata, ``Usaha
pembebasan bagi semua dan bukan untuk persendirian !``
Katanya, berkata Ja`far kepada setengah sahabatnya, ``Jauhi daripada
dakwa-dakwi, hendaklah melazimi dengan apa yang disuruh. Sering kali aku mendengar sayyidina Al-Junayd berkata,
``Siapa
yang melazimi tariqat mu`amalah dengan ikhlas, Allah menjaganya daripada
dakwa-dakwi yang dusta.``
Aku mendengar Muhammad bin `Abdullah bin
Shadzan berkata, ``Aku mendengar Ja`far
al-Khuldi berkata, ``Sesungguhnya antara langit dan antara kewujudan beradanya hati yang taqwa,
apabila hati bertapak taqwa, maka
turunlah barakat ilmu dan tertolak daripada kehendak dunia padanya.``
Katanya, disoal Ja`far tentang akal,
katanya, ``Akal menjauh engkau dari terjebak didalam kebinasaan.``
Katanya disoal Ja`far berhubung dengan
firman Allah bernmaksud:
``Wa man yakfur bi al-iman faqad h*abit*a
`amaluh`` (Al-Ma`idah: 5).
``Siapa yang kufur dari beriman, maka binasalah amalannya.``
Maka katanya, ``Barangsiapa tidak
bersungguh di dalam ma`rifatnya, maka tidak diterima khidmatnya.``
Dan katanya, berkata Ja`far, ``Siapa yang
dikurniai roh s`olah, maka melazimi dia menghormati makhluk, dan
siapa yang dikurniai roh s*iddiqiyyah menuntut dirinya benar pada segala
ahwalnya,, dan siapa yang dikurniai
kepadanya roh ma`rifat dia tahu tibanya perkara-perkara dan sumber-sumbernya
dan siapa yang dikurniai kepadanya roh mushahadah, dimuliakan dengan ilmu
al-ladunni.``
Demikianlah pendapat-pendapat Ja`far
al-Khuldi yang memikat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment