September 27, 2017

SIKAP DAN KEYAKINAN MUHAMMAD BIN AL-HASAN AL-KHAT*T*ALI


BBB, 06 Muharram 1439H. =  26 Septembr 2017M. (Selasa):
Muhammad al-Khat*t*ali  adalah sufi yang mendalam di dalam tasawuf, juga mendalam di dalam tafsir Al-Qur`an dan di dalam keilmuan Hadith. Di dalam tasawuf dia adalah pengikut Al-Junayd. Dia berguru dengan H*usri, dan bersahabat dengan Sirawani. Dia adalah sezaman dengan `Amr Qazwini dan dengan Abu al-Hasan bin Saliba. Dia mengambil sikap mengasingkan diri dari masyarakat dan bersendiri  selma enam puluh tahun, sebahagian besar masanya  dipergunungan Lukam.
Namun Muhammad al-Khat*t*ali tidak mementingkan imej luaran. Dia tidak memakai jubah kesufian dan tidak menekan dan tidak mementingkan kewalian. Dia berpendapat hidup amat pendek, bahkan masa yang dihabiskan adalah sehari dalam kehidupan. Umur diri berbanding dengan umur wujud alam yang fana, amat sedikit – tidak sampai sedetik. Kita menghabiskan hari yang kita lalui dengan berpuasa – bermaksud kita tidak mendapat apa-apa, apa lagi tanpa pengisian.
Muhammad al-Khat*t*ali amat berpegang dengan ketentuan Tuhan – qadha` dan qadarnya, segala ketentaun tidak dapat dihendarkan. Di samping berpegang dengan ketentuan, seharusnya ianya mengukuhkan jiwa seorang hamba. Dia seharusnya tenang menerima ketentuan. Sepatutnya tidak ada kedukaan bagi seorang, bahkan ianya satu ketenangan yang diterima dengan ketentuan. Ini adalah sesuatu yang hakikat. Beliau tidak membicarakan soal ikhtiar, bahkan tidak timbul baginya soal ikhtiar, biarpun ianya dilakukan oleh seseorang, lantaran ianya soal luaran yang tidak mengubah soal hakikat dan ketentuan.
Al-Hujwiri membawa contoh yang mencerminkan pegangan  Muhammad al-Khat*t*ali tentang ketentuan Tuhan, bahawa Muhammad al-Khat*t*ali meninggal di Bayt al-Jinn di puncak gunung bertentang dengan kawasan Baniyas yang berdekatan sungai di Damshiq. Dinyatakan, bahawa sebagaimana biasa apabila seseorang yang dikasihi, termasuk Muhammad al-Khat*t*ali, hampir mati, dia ditangisi oleh yang hadhir, tetapi Muhammad al-Khat*t*ali dengan tenang dan bagai biasa menasihati yang berduka dengan keadaannya, bahawa,
``Kematian adalah suatu  ketentuan dari Ilahi. Tiba masanya kita dijemput pergi.``
Katanya,  ``Kita sepatutnya tidak menentang ketentuan Ilahi, bahkan sepatutnya dengan rela dan penuh bersedia menyambut kehadhiran ketentaun dengan tenang dan penuh kerelaan. Katanya,
``Jangan menentang kehendak Ilahi dan terimalah ketentaun dengan tenang.``
Demikianlah amanat terakhirnya dan dia kembali ke rahmatullah dengan tenang.
Pengajaran yang dapat diambil dari watak dan pesanan Muhammad al-Khat*t*ali bahawa,
Kehidupan menuntut keinsafan, bahawa usia diberi Allah kepada kita teramat pendek, maka dengan tempoh yang amat pendek ini perlulah digunakan sebaik mungkin dengan mengisikan dengan amalan-amalan kebaikan. Perkara dalaman dan jati diri yang dibina dan diguna adalah hakikat diri, penampilan luaran tidak memberi erti apa-apa.  Kita hendaklah menerima ketentuan Tuhan tanpa penentangan. Dengan penerimaan kita seharusnya berada di dalam ketenangan. Kehidupan, perjalanan dan kematian adalah penentuan Tuhan, maka terimalah dia dengan penuh kerelaan. Demikian sikap pegangan dan keyakinan Muhammad al-Khat*t*ali.

Sekian.

No comments:

Post a Comment