September 4, 2017

PENDAPAT ABU AL-`ABBAS AHMAD BIN MASRUQ


BBB,  12 Dzul-Hijjah 1438H. = 03 September 2017M. (Ahad):
Nama  Ahmad bin Masruq adalah antara sejumlah  tokoh yang tidak kedapatan di dalam Tabaqat al-Sufiyyah oleh `Abdul Rahman al-Sulami. Nama ini selain dari kedapatan di dalam Kashf al-Mahjub oleh Al-Hujwiri, terdapat juga di dalam Al-Risalat al-Qushairiyyat  oleh Al-Qushairy.
Ahmad bin Masruq yang kunyahnya Abu al-`Abbas adalah penduduk  T*usi. Dia dianggap salah seorang pembesar Khuram, kemudian beliau berpindah ke Baghdad dan menetap di sana sehingga dia meninggal (m. 298H.). Dia dianggap sebahagian dari kalangan sufi terawal dan berguru antaranya dengan Harith al-Muhasibi dan Sari al-Saqat`i.
Jika Abu Nasr al-T*usi bercakap tentang ahwal dan maqam dan Haritth al-Muhasibi tentang akhlak, maka Ahmad bin Masruq bercakap tentang aspek yang  dinamakan qutb dan autad. Qutb danggap pemimpin di dalam ilmu tasawuf dan dia diperkukuhkan oleh pendukung-pendukung. Ibarat mendirikan khemah, maka qutub adalah tiang tengah yang merupakan paksi bagi khemah, manakala khemah ini tegak dengan adanya pasak (paku bumi)  yang berkeliling khemah yang menegakkan tiang seri atau qutub bagi khemah berkenaan.
Ahmad  bin Masruq pernah ditanya, ``Siapakah qutub didalam kepimpinan tasawuf ?
Dia tidak menyatakan nama secara langsung, tetapi mengisyaratkan bahawa qutub di dalam tasawuf itu ialah Al-Junayd al-Baghdadi. Ahmad bin Masruq adalah salah seorang awtad – pasak yang menegakkan  qutub. Bagi qutub ini terdapat  dibawahnya 40 mereka yang tamkin (kukuh kedudukan).
Baik qutub, autad dan lain-lain kedudukan mencerminkan  kedudukan dan hiraki sufi, selain dari istilah-istilah khusus diberi seperti fuqara`, auliya`, muttaqun, muqinin, muhibbun dan sebagainya yang sebahagian daripada istilah-istilah berkenaan dari Al-Qur`an.
Diriwayatkan daripada Ahmad bin Masruq bahawa beliau mengatakan,
``Jika seseorang mendapat kegembiraan  selain daripada Allah, maka pada akhirnya kegembiraannya membawa kepada kesusahan.``
Ini ialah  kerana kegembiraan seperti harta benda mungkin mengalami kesusutan, kerugian dan kemusnahan atau orang yang dianggap gembira menghadapi perubahan seperti sakit, tua, kemalangan dan sebagainya. Ini bererti kebahagiaan yang bersifat benda tidak kekal, sebaliknya menghadapi kemusnahan.
Ahmad bin  Masruq juga diriwayatkan bahawa beliau menyatakan,
``Jika  aqrab tidak bertujuan mengabdikan diri kepada Allah, maka keakraban sedemikian mengalami kesepian.``
Lantaran teman sesama manusia binasa oleh ketuaan, kebinasaan dan kematian.Tetapi aqrab dengan yang Abadi Dia  tidak mati, bahkan membawa kepada lebih mesra dan mendekati.
Pendek kata, memandang kepada yang lain dari Tuhan mungkin memberi kemesraan sementara, tetapi memandang keseluruhan dengan mengaitkan dengan Tuhan, melahirkan kebesaran, kekaguman dan kenikmatan rohani yang membahagiakan.
Antara pendekatan yang digunakan ialah secara muraqabah. Muraqabah dapat diertikan secara terhad, iaitu merenung tentang diri yang boleh membawa kepada kesedaran dan keinsafan dan membawa kepada  pengagungan terhadap Tuhan.
Muraqabah dalam erti yang lebih luas, ianya melibatkan disiplin keilmuan yang dapat menyelidik dan memahami hakikat alam dan kandungan yang pada puncaknya menyedari hakikat ciptaan Tuhan.Ianya diperkukuhkan dengan intuisi kerohanian yang menyebatikan antara akal da rohani yang mengukuhkan  diri dan jiwa  melalui pendekatan muraqabah.
Berhubung dengan muraqabah ini kata Ahmad bin Masruq,
``Barangsiapa muraqabah kepada Allah dalam gerak gerinya, nescaya Allah  menjaga gerak gerinya dan mencapai natijah yang murni.``
Antara natijah muraqabah berkata Ahmad bin Masruq ialah menjadikan kaum mu`minin mereka yang hormat dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta`ala. Dengan pengagungan dan kepatuhan membawa seorang mu`min kepada ketaqwaan.
Antara pendapat Ahmad bin Masruq:
Ma`rifat hendaklah disiram dengan air pemikiran,
sebaliknya kealfaan disiram oleh air kebodohan.
Pohon taubat hendaklah disiram oleh  air penyesalan
Pohon cinta disiram oleh air mesra,
sebaliknya pohon dosa dibakar api menyala.
Berkata Ahmad bin Masruqm
Bila  terbetik cambah kehendak, tetapi tidak dimulai terlebih dahulu dengan  siraman taubat, maka dia  adalah kesiasiaan dan kebodohan.
Sesungguhnya untuk sampai kepada destinasi ada jalan, dan jalan ada jarak dan darjat, tanpa persediaan,  penyelarasan dan komitmen anda tidak sampai kepada destinasi yang dituju.
Demikian pendapat dan pendekatan Ahmad bin Masruq.


Sekian.

No comments:

Post a Comment