February 6, 2011

Aduan Dari Penduduk Taman Bukit Permai, Kajang

Taman Kajang Baru, Kajang, 28 Safar = 02 Februari (Rabu):


Kami turun bersama dengan Sdr. Mohd Adram Musa, Ahli MPKj Zon 22, Encik Fazli Wakil dari MPKj dan beberapa penduduk antaranya En. Yunus (selaku jurucakap – penduduk di sini belum mempunyai persatuan penduduk), En. Gunalan, En. Hadi dan Puan Marry Masalami (Bekas Pembaca Berita RTM Satu).


Mereka membuat aduan, bahawa Syarikat Perumahan Ara Asa yang telah memulakan operasi pembangunan perumahan berhampiran taman perumahan mereka sejak 3 Disember 2010 lepas mendatangkan banyak masalah kepada penduduk. Kami dibawa melihat tembok sempadan dengan perumahan yang kelihatan rekah dan tidak stabil dan kemungkinan runtuh menimpa kawasan perumahan mereka dan amat membahayakan. Mereka secara tidak professional menebuk sekatan air agar air hujan turun ke perparitan kawasan rumah mereka. Lebih dari itu lori-lori berat melalui hadapan dan dalam kawasan perumahan, terutama Jalan 3 dan Satu menyebabkan jalan retak dan pecah. Kemasukan lori-lori 20 minit satu lori (sengaja diatur) yang seberat 40 tan bukan saja merosakkan jalan, tetapi membahayakan keselamatan anak-anak yang suka bermain di kawasan perumahan termasuk berbasikal.

Menurut En. Yunus, pada musim hujan ini berlaku banjir lumpur yang bukan saja memenuhi perparitan, tetapi mengalir mengotorkan jalan-jalan. Menurutnya Syarikat Ara Asa berkenaan membuat hump melencong jalan bagi menyekat dan mengalirkan air Lumpur ke longkang. Hump yang bersifat tajam bukan saja merosakkan pandangan, tetapi merosakkan tayar kereta. Menurut En. Yunus pertemuan penduduk yang pernah diadakan pada 1.2. 2011 dan dihadiri 30 orang penduduk mau syarikat berkenaan tidak menggunakan jalan taman berkenaan. Syarikat Ara Asa, menurutnya seharusnya menggunaklan Jalan Tok Kong yang tidak mengganggu kawasan perumahan. Mereka juga maukan hump yang dibuat secara tidak professional dipecahkan.

Menurut En. Yunus, pernah beberapa tahun dulu syarikat perumahan sedemikian mahu bangunkan perumahan di tempat sekarang dan berbincang dengan penduduk, tetapi penduduk tidak menyetujui. Kali ini nampaknya tanpa perbincangan, mereka buat projek tanpa berbincang dengan penduduk. Mereka membantah sikap pemaju yang tidak menghormati penduduk.

Pihak MPKj yang diwakili saudara Fazli dan Ahli MPKj, saudara Mohd Adram berjanji akn membawa perkara ini kepada pihak MPKj. Adun Bangi menyokong supaya tindakan sewajarnya diambil bagi menjaga kepentingan penduduk.


Sementara itu, selepas menghadiri ke lokasi aduan penduduk Taman Permai, Adun dan saudara Adram dijemput oleh beberapa penduduk Apartment RPS berdekatan. Mereka melahirkan kebimbangan tanah tinggi bersempadan dengan perumahan di bawah mendap dan jalan berhampiran rekah. Mereka bimbang berlaku keruntuhan. Akibat kebimbangan ini separuh dari penduduk apartment telah berpindah dan ada yang melelong rumah-rumah apartment mereka dengan harga murah hingga serendah belasan ribu ringgit sahaja. Kediaman kelihatan sunyi, kerana kekurangan penghuni. Keadaan tebing di tepi perumahan bukan saja membimbangkan penghuni-penghuni, tetapi penduduk-penduduk perumahan Kajang Baru bersempadan dengannya yang kami juga sering terima aduan tanah runtuh, khususnya bila hujan lebat. Masalah ini masih tidak terselesai, selain dari tindakan menutup permukaan tanah dengan plastic secara sementara.


Sekian.

February 5, 2011

Interaksi Kemasyarakatan: Sungai Ramal Luar Pilot Projek Permulaan

Masjid Haji Mat Saman, Sg. Ramal Luar, 29 Safar = 03 Februari (Khamis):


Bertempat di Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar, pada petang ini diadakan Majlis Penangguhan Interaksi Kemasyarakatan Dengan Penduduk Sungai Ramal Luar yang diadakan di Sungai Ramal Luar sejak 30 Januari 2011 bermula dengan Majlis Pelancaran bertempat di Pusat Komuniti Baitul Imtiaz dengan dihadiri penduduk setempat dan anak-anak yang mempunyai kegiatan sendiri seperti pertandingan mewarna dan permainan tradisi. Walaupun keadaan hari hujan, tetapi tidak menghalang kegiatan berjalan. Aktiviti hari ini termasuklah menyaksikan pertandingan futsal di kalangan anak-anak muda di sini. 12 pasukan mengambil bahagian. Penyampaian hadiah disampaikan oleh Adun kepada pasukan-pasukan yang menang. Kejayaan program yang dinamakan YB masuk Kampong adalah bergantung pada banyak pihak, terutama penduduk tempatan yang diketuai oleh Ketua kampong Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir, Ketua Cawangan dan ahli-ahli yang diketuai saudara Fuad, pihak Masjid diketuai Tuan Nazir Tuan Haji Nik Pa Nik Leh dan AJK parti dan Khidmat Masyarakat yang digerakkan oleh Ustaz Shafie Ngah selaku Pengarah dan Timbalan YDP. Sebab itu program-program yang diatur berjalan lancar termasuk ziarah penduduk, penculaan dan pembukaan kaunter pendaftaran pengundi dan pengaduan.


Hari kedua bermula dengan Makan Pagi Bersama Penduduk di Restoran Azizah dan meneruskan kegiatan sebagaimana semalam dengan pembukaan kaunter, penculaan yang didahului kalangan muslimat dan Ziarah Pemimpin-pemimpin setempat. Ternyata ziarah memberi impak yang baik, iaitu menceriakan mereka yang sakit dan memesrakan pertemuan. Beberapa lawatan bukan saja membawa kenangan nostalgia bagi mereka yang diziarah dan yang menziarah, tetapi membuat yang diziarah menangis kerana terlalu terharu diziarahi dan terlerai rindu bersendiri selama ini, kerana tidak diziarahi.


Hari ketiga bermula dengan makan pagi bersama penduduk di Restoran Camar, berindukkan surau setempat dengan ziarah juga dilakukan, demikian pembukaan kaunter dan penculaan di sekitar Sungai Ramal Indah berdekatan dengan kawasan perumahan elit. Satu kematian berlaku di rumah pangsa Sungai Ramal Baru, iaitu ditingkat lapan. Lif rosak dan jenazah terpaksa diusung turun dan disempurnakan urusan jenazah di Masjid Haji Mat Saman. Adun turut sama menyembahyangkan jenazah. Peristiwa pengusungan jenazah dari tingkat lapan ke bawah ini menjadi berita utama Sinar pada Rabu 02 Februari 2011 dengan tajuk `Jenazah Turun Tangga`. Akibat dari peristiwa ini perundingan dilakukan bagi mengatasi kerumitan yang dihadapi penduduk tanpa lif. Selepas ini lif berfungsi – mungkin buat sementara sehingga masalah tonggakan dan yuran bulanan dapat diselesaikan.


Hari keempat adalah penerusan dari program dengan makan pagi bersama penduduk di warung berhadapan Sekolah Agama Sungai Ramal dan meneruskan kegiatan di Sungai Ramal Indah yang belum habis diziarah semalam hingga ke tengahari dan berakhir makan tengahari di Restoran Hajah berdekatan dengan Sekolah Leftenan Adnan.


Sebelum Majlis Penangguhan di atas, iaitu pada hari kelima, maka pada hari ini kegiatan adalah berindukkan Masjid Haji Mat Saman dengan makan pagi di sini sebagai program awalan. Hari ini khemah-khemah didirikan di dalam kawasan masjid untuk jamuan penutup. Sementara itu dari pagi ini kegiatan menziarah diteruskan dari rumah ke rumah didahului muslimat dari Kampong Paya hinggalah kembali ke Sungai Ramal Baru. Manakala sebelah petangnya juga zaiarah dilakukan ke rumah-rumah yang masih belum diziarah seperti di Taman Perumahan Khoo Kai Boh. Selama lima hari hampir 80 orang veteran, pesakit dan pemimpin setempat dapat diziarahi.

Maka pada malam penutup ini pada petang Khamis – malam Jumaat diakhiri dengan sembahyang Maghrib berjamaah di Masjid Haji Mat Saman, sembahyang Hajat mendoakan agar pelajar-pelajar Malaysia di Mesir yang sedang bergolak berada di dalam keselamatan, baca Yasin dan Tahlil.


Dalam ucapan ringkas Ustaz Shafie Ngah sebagai Pengarah Program berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program. Ketua Kampung Haji Mohd Yusof Abdul Kadir yang banyak memberi kerjasama menjayakan program juga berterima kasih kerana memilih Sungai Ramal Luar sebagai Pilot Projek bagi YB Masuk Kampung dan Adun Bangi lebih-lebih lagi berterima kasih kepada penduduk setempat yang amat memberi kerjasama dengan segala program yang diadakan. Program yang diakhiri dengan jamuan sate itu boleh disifatkan amat berjaya. Selepas jamuan beramai-ramai pula menziarahi satu kematian di Sungai Ramal Baru.

Hingga jumpa lagi. Sekian.

February 4, 2011

Perasmian Surau Ar-Raudhah Oleh Ketua Pengarah JAKIM

Taman Bangi Villa/Ria, Pekan Bangi, 25 Safar = 30 Januari (Ahad):

Taman di atas adalah merupakan taman yang relatif baru yang dibangunkan sekitar selepas 2000 di atas tanah lot-lot bungalow yang jumlahnya lebih kurang 70 buah. Sejak taman ini dibangunkan kesedaran kepada didirikan sebuah surau di sini disedari sejak awal lagi. Pada peringkat awal sembahyang berjamaah didirikan di rumah yang dijadikan surau sementara.


Usaha mendirikan surau dilakukan di sini selepas mengenal pasti tapak surau sekarang ini. Pada permulaan didirikan bangunan setingkat sebagai balai musalla, tanpa dinding. Bangunan ini digunakan sejak tahun 2007. Usaha membina sebuah surau secara sempurna dan lengkap dilakukan sejak dari masa itu. Tokoh utama yang mengusahakan pembinaan surau sekarang yang dirasmikan pada hari ini ialah Ybhg. Dato` Us. Hj. Mohd Daud Che Ngah bersama AJK beliau. Mereka mencari derma bagi mencukupkan dana pembinaan. Menurut Dato` Hj. Mohd Daud Bekas Pegawai Kanan Tabung Haji dan kini terus menjalankan kegiatan syarikat Haji dan Umrah dalam ucapan alu-aluannya dalam usaha mencari dana,

``Dalam tempoh tiga tahun di mana saja, saya mengajar dan berceramah, saya membentangkan sejadah atau mengedarkan tong derma untuk membina Surau Ar-Raudhah ini.``

Menurut Dato` Hj. Mohd. Daud, hasil dari pungutan derma secara di atas dapat dikumpulkan sebanyak RM160,000.00 dan dicampur dengan derma-derma yang lain dari berbagai pihak berjumlah RM270,000.00 yang dapat dirikan Surau Ar-Raudhah sebagaimana kini, di samping mengekalkan Balai Musalla yang lama yang menjadi sebahagian dari kompleks surau. Beliau berterima kasih kepada semua penderma dan kepada semua pihak yang menjayakan pembinaan Surau Ar-Raudhah yang pada hari ini dapat dirasmikan.

Perasmian Surau Ar.Raudhah pada petang ini dilakukan oleh Yang Berbahagia Dato` Wan Mohamad Bin Dato` Sheikh Abd. Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Hadir sama dalam Majlis Perasmian pada petang ini ialah Adun Bangi, Tuan Haji Othman bin Mokhtar Imam Masjid Pekan Bangi yang juga mewakili Nazir masjid, Tuan Haji Zakaria Ketua Kampong Pekan Bangi, En. Azlan Ketua Kampong, Kampong Bahagia Bangi, Dato` Sabki Mahmud selaku Penaung Surau serta penduduk setempat yang berjumlah lebih kurang 100 orang.

Dato` Wan Mohamad dalam ucapan alu-aluannya sama bersyukur dapat menyaksikan siapnya Surau Ar-Raudhah. Menurutnbya mendirikan rumah Ibadat seperti surau Ar-Raudhah adalah amalan kebajikan yang besar yang menurutnya beliau juga cemburu melihat kejayaan dan kehadiran semoga dapat sama merasa bahagia di atas kejayaan yang dicapai. Beliau membuat telahan, pemberian nama Surau Ar-Raudhah tentu ada hubungan dengan nama Ar-Raudhah dalam Masjid An-Nabawi di Madinah dan dari gambar kubah surau ini mengambil bentuk Kubah Masjid Nabawi, apalagi Dato` Daud memang orang yang sentiasa mempunyai urusan berterusan di kedua Tanah Suci, Makkah dan Madinah. Dato` Wan Mohamad menggalurkan istilah Ar-Raudhah bukan setakat berkaitan dengan Raudhah yang menjaga bahagian utama di Masjid Madinah, tetapi dikaitkan dengan Hadith Nabi berhubung dengan Raudhah, yang antaranya bermaksud sebagai Taman Ilmu dan juga bermaksud sebagai Syurga. Beliau percaya Surau Ar-Raudhah yang didokong oleh kalangan mereka yang berkedudukan dan wujudnya para ilmuan, akan terus menghidupkan majlis-majlis ilmu sebagai taman yang dituntut oleh Rasulullah kepada siapa yang melaluinya untuk singgah memetik kuntum-kuntum ilmu. Ar-Raudhah sebagai Taman Ilmu dan Musalla adalah jalan cahaya yang membawa kepada syurga.


Sememanglah dilihat dari program yang diaturkan di Surau Ar-Raudhah secara berterusan adalah surau yang aktif dengan kegiatan ilmu antaranya ialah pengajian tafsir, pengajian Hadith, Aqidah, Fiqh, Kelas Tajwid dan Al-Qur`an, Kuliah Subuh – Tanbihul Ghafilin, Kelas Al-Qur`an Wanita, Kursus Haji dan Umrah, Kursus Pengurusan Jenazah, Seminar Keibubapaan, Motivasi Remaja, Manakala aktiviti sosial yang dianjurkan oleh surau ialah sambutan-sambutan perayaan dan hari-hari kebesaran, kejohanan Futsal dan sebagainya. Melihat kepada kegiatan-kegiatan yang diatur sebagaimana disebut oleh Dato` Wan Mohamad kita rasa cemburu dan ingin bersama dengan kegiatan-kegiatan yang amat berfaedah tersebut.

Sekian.

February 3, 2011

SELAMAT TAHUN BARU CINA 2011

ADUN Bangi mengambil kesempatan mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU CINA 2011 kepada semua penduduk dari kalangan Tionghua, khusus di Kawasan Serdang dan DUN Bangi. Semoga Tuhan mengurniakan kesejahteraan, dimurahkan rezeki dan dalam keamanan.


Pada musim perayaan ini semua pihak mengambil kesempatan menziarah, berkunjungan , pulang ke kampong, berjalan-jalan dan bersiaran, pesan ikhlas ADUN hati-hati di jalanraya dan elak dari kemalangan.

Semoga cuti Tahun Baru Cina ini membahagiakan semua.


Sekian.


Dr. Shafie Abu Bakar

ADUN, Bangi, Selangor.

29 Safar 1432

03 Feb. 2011.

Antara jambatan besi zaman British dengan siling hospital zaman BN.



Pihak ADUN Bangi mendapat laporan bahawa jalan pintas yang menghubungkan West Country dengan Fasa 4 Tambahan Bandar Baru Bangi terputus. Terbayang dalam fikiran kami sebuah jambatan besi yang juga menjadi laluan kepada penganut Hindu untuk ke kuil mereka diseberang sungai.

Asal tempat West Country adalah penempatan bagi pekerja-pekerja estet West Country milik syarikat British. Jambatan besi tersebut telah dibina sebelum Bandar Baru Bangi dibangunkan sebagai sebuah penempatan seperti sekarang. Menurut salah seorang penganut Hindu En. Mukayah, yang sering menggunakan jambatan tersebut untuk ke kuil mereka jambatan itu dianggarkan berumur lebih dari 80 tahun.

Selain dijadikan sebagai jalan pintas untuk mereka yang menaiki motorsikal ke Fasa Empat Tambahan jambatan tersebut juga kerap digunakan oleh pelajar-pelajar sekolah untuk berulang alik ke sekolah agama Al-Hidayah dan juga SMK Jalan Empat.

Setibanya kami ditempat kejadian barulah kami menyedari bahawa pihak kami telah mendapat gambaran yang salah. Jambatan yang merentangi Sungai Hulu Langat itu masih tegap dan kukuh. Apa yang berlaku adalah jalan tar yang menjadi tebing jambatan itu telah mendap dan merekah. Dikhuatiri berlaku mendapan yang lebih serius dan seterusnya memgundang risiko kepada penggunanya maka jalan masuk ke jambatan itu telah ditutup.


ADUN Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar dalam terbatuk-batuk kerana berhujan dalam program YB Turun ke Kampung sehari sebelum lawatan tersebut telah mengarah satu jawatankuasa ditubuhkan bersama pihak kuil tersebut bagi membincangkan tindakan yang bakal diambil. PihakADUN berjanji akan mengeluarkan sedikit peruntukkan bagi mengatasi masalah tersebut.

Penyelesaian segera perlu dibuat agar penganut Hindu dapat pergi ke kuil tersebut untuk menjalani ibadat mereka disamping pelajar-pelajar sekolah dan orang ramai dapat menggunakan jambatan tersebut seperti biasa. Besi pemagar yang telah dicuri juga dicadangkan untuk diganti bagi menambah cirri-ciri keselamatan jambatan tersbut. Seterusnya jambatan besi itu dicadangkan untuk dicat supaya tahan lama agar terus dapat digunakan pada generasi akan datang.

Jika dibandingkan siling Hospital Serdang yang runtuh (rasanya baru sahaja dibina) dibina oleh kerajaan BN dengan jambatan besi oleh penjajah British ternyata pihak penjajah lebih prihatin terhadap keselamatan rakyat jajahan mereka.



(Sempat menemui veteran PAS yang juga bekas tahanan ISA, Pak Mail)

February 2, 2011

Kursus Pembentukan Anak Soleh Dan Solehah

Pejabat PKNS, 25 Safar = 30 Januari (Ahad):


Kursus – semacam seminar, Anak Saleh Dan Salehah di atas adalah atas inisiatif Muslimat Seksyen 7, Bandar Baru Bangi dengan kerjasama Pasti Siti Sarah dan Pejabat Adun. Kursus ini berlangsung di Bilik Cempaka, PKNS di Bandar Baru Bangi. Penyampai Ceramah Utama yang dijemput ialah Prof. Madya Dr. Harlina Siraj, Pensyarah dan Pakar Sakit Puan, UKM. Beliau juga bergerak di dalam NGO yang juga terkenal sebagai Pakar Motivasi.


Hadir di dalam majlis ini ialah, Tuan Haji Shafie Ngah Ahli MPKj, Ustazah Mariam Ketua Muslimat Cawangan Seksyen 7, Puan Hamzatul Azura selaku Pengarah Program dan peserta lelaki, perempuan dan anak-anak yang berjumlah lebih kurang 200 orang.


Adun Bangi dalam ucapan pembukaannya mengucapkan tahniah kepada AJK yang berjaya mengadakan ceramah bagi kursus di atas dan berterima kasih kepada Ybhg. Prof. Madya Dr. Harlina Siraj yang sudi menerima jemputan. Menurut Adun dengan kehadiran kaum ibu, bapa dan anak-anak menandakan bahawa kaum ibu bapa amat memberi perhatian terhadap didikan anak-anak yang menjadi permata hati dan harapan masa depan ibu bapa. Mendidik anak-anak seharusnya bertolak dari peringkat awal dari individu lelaki dan perempuan sejak hendak mendirikan rumah tangga, iaitu dengan berakhlak baik dan taat kepada Allah.


Anak perlu dididik sejak dari dalam kandungan dengan menjaganya dari segi fizikal dan rohani yang mempunyai pertalian antara ibu bapa dan anak-anak. Bila lahir tugas lebih bertambah dan mencabar, tugas bukan saja setakat menyediakan makan minum, tetapi lebih penting membenturnya dengan didikan keagamaan dan ilmu pengetahuan baik di rumah membawalah ke Sekolah. Tugas pendidikan paling utama adalah bagi ibu bapa, guru-guru dan perhatian perlu diberi terhadap pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya dan masyarakat. Adun berpendapat perkara ini akan disentuh oleh pakar motivasi kita.


Dari segi kerajaan yang memerintah, kita di Selangor menurut Adun memberi perhatian yang utama terhadap pendidikan. Dari segi pendidikan keagamaan kita sediakan sekolah-sekolah agama dari berbagai peringkat dari pra sekolah ke sekolah rendah, menengah hingga ke universiti. Kita juga menyediakan pendidikan melalui masjid dan surau.


Dari segi galakan, sejak dari lahir kerajaan sediakan Skim Tawas, membantu yang miskin, memberi insentif kepada yang berjaya. Memberi peruntukan RM1,000 kepada pelajar Selangor yang berjaya masuk ke universiti dan menyediakan pinjaman atau biasiswa kepada mereka yang berjaya masuk ke universiti, Pendek kata ruang terbuka bagi pelajar-pelajar Selangor mendapat pelajaran dari peringkat serendah-rendah hinggalah ke universiti. Adun berharap kursus bimbingan dan motivasi seperti pada hari ini akan terus dapat diadakan dari masa ke masa menepati dengan tuntutan Islam yang menggesa umatnya belajar sepanjang hayat. Kerajaan Selangor sendiri melalui agensi-agensinya sering mengadakan kursus yang dikenali sebagai `Keluarga Sakinah`.Kita mau Selangor menjadi negeri yang mementingkan keilmuan dan pendidikan. Apa yang diingini oleh pihak penganjur menurut Adun adalah menepati apa yang diingini oleh pihak Kerajaan.


Dari apa yang dapat Adun ikuti sebahagian dari ceramah yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Harlina beliau telah menerangkan konsep anak saleh dan salehah, murabbi dan muslih. Beliau menekankan kepentingan keluarga sebagai unit asas bagi masyarakat. Islam amat menekankan tentang pembinaan dan pengukuhan keluarga. Keluarga bahagia dan bervisi merancang pendidikan anak-anak dengan cara terbaik. Keluarga hendaklah menjadi contoh teladan bagi anak-anak. Misalnya minat terhadap ilmu, menunjuk teladan dari segi mementingkan keilmuan dan pembacaan, bahkan bimbingan dari segi ibadat. Dr. Harlina membentangkan satu dapatan kajian terhadap ruang keagamaan (forum dan ceramah) serta hiburan di saluran Tv.


Menurut kajian itu, mereka yang suka mengikuti ruang keilmuan agama seperti forum, ceramah dan halaqah dan yang seumpamanya adalah dari negeri Selangor, manakala merekayang suka kepada ruang hiburan ialah dari negeri Melaka dan Johor. Al-hamdulillah usaha kita menjadikan Selangor negeri yang mementingkan ilmu dan didikan keagamaan kepada rakyatnya mulai menampakkan kejayaan. Insya Allah hasrat ini akan terus dipertingkatkan.

Sekian.

February 1, 2011

Ketua Kampung Terima Elaun Tambahan Dan Perlindungan Skim Takaful

Sepang 26 Safar = 31 Januari (Isnin):

Perbincangan mengenai prestasi ketua-ketua kampong dan perlantikan diberitahu oleh Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Tuan Dr. Hj. Yaakob bin Safari bahawa elaun ketua-ketua kampong dinaikkan dari RM450/= sebulan kepada RM800 sebulan mulai tahun ini. Selain dari menikmati kenaikan elaun mereka juga dilindungi takaful bernilai RM100,000 secara berkelompok. Kenaikan elaun dan perlindungan takaful diberi sebagai pengiktirafan terhadap peranan ketua-ketua kampong yang menjadi pengantara antara pemerintah dan rakyat.


Ketua Kampong hendaklah orang yang berkelayakan dan dedikasi terhadap tugas dalam hubungan dengan rakyat dan kerajaan. Mereka hendaklah menyampai dan menjalankan polisi dan dasar-dasar kerajaan. Mereka adalah penyokong kerajaan yang memerintah dan tidak bersifat berkecuali, apa lagi menentang. Sekiranya selepas percubaan dan perlantikan, prestasi seorang ketua kampong tidak memuaskan dan bermasalah, maka ianya boleh diganti dengan perlantikan yang lain.

Penilaian yang dibuat bukan setakat satu kawasan seperti Sepang sahaja, tetapi menyeluruh di negeri Selangor.

Sekian.