April 30, 2008

POLITIK KAMPUNGAN



Pendahuluan

Akibat politik kampungan dan ketinggalan zaman, Umno-BN kecundang di dalam pilihanraya ke 12, pada 8 Mac 2008. BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan hilang lima buah negeri yang penting. Contoh antaranya Selangor yang merupakan pusat pentadbiran yang penting bagi kerajaan Persekutuan dan sumber ekonomi yang lumayan bagi pentadbiran Negara.

BN dapat mengekalkan negeri-negeri yang disekat dan kurang terdedah kepada maklumat dan perkembangan semasa. Sebagai contoh negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak. Selepas kalah teruk dan membuat post mortom mereka masih tidak dapat menyelesaikan masalah dalaman. Mereka salah menyalahkan antara sama sendiri bahkan menuduh ada pembelotan dalaman yang diibaratkan gunting dalam lipatan.

Lebih dari itu ada kalangan ahli tertinggi parti (Umno) terang-terang menyalahkan kelemahan Abdullah hingga antara mereka ada yang menuntut Abdullah meletakkan jawatan dan menyerahkan kuasa kepada bakal penggantinya Najib dan tak kurang pula yang mempertahankan Abdullah.

Sebaliknya Abdullah dilihat terperangkap di dalam manipulasi media yang di belakangnya perancang-perancang politik dari kalangan Umno sendiri yang mau beliau meletakkan jawatan sebagai satu pihak dan yang mempertahankannya dari satu pihak yang lain.

Kejayaan dilihat terutama bagi yang menuntut beliau meletakkan jawatan, apabila Abdullah menerima untuk menyusun pelan penyerahan kuasa, walaupun Abdullah menegaskan pelan perpindahan hanya akan dilakukan selepas pemilihan di dalam mesyuarat agung. Kini dilihat Abdullah sedang bertungkus lumus memulihkan imejnya dengan mengurangkan suara-suara yang membantahnya agar dapat kembali mengukuhkan cengkamannya di dalam politik dan pemerintahan.

Cara Lama Mengembalikan Kuasa?

Memang lumrah bagi yang hampir kalah dan yang kalah kembali bermuhasabah dan menilai diri dan berusaha memperkasakan diri kembali dan melemahkan musuh politik. Bagi tujuan ini BN, khususnya Umno nampaknya tidak mampu melepaskan diri dari menggunakan mekanisme lama, iaitu menahan dan menyekat musuh, tanpa memikirkan kesan sebaliknya dalam mana akibat darinya rakyat yang lebih celik politik marah dan membenci Umno dan BN.

Taktik menahan dan menyekat, bukannya menawan dan memikat memang lumrah dilakukan dan inilah yang kita kenali sebagai politik kampungan. Banyak contoh yang boleh dibawa dari sebesar-besarnya hinggalah sekecil-kecilnya. Contoh besar apabila sesebuah negeri kalah di tangan BN yang menguasai pusat, maka sekatan-sekatan dilakukan terhadap negeri tersebut.

Misalnya apabila Terangganu jatuh kepada Pas pada tahun 1999, maka royalty minyak bagi negeri tersebut disekat. Kini Terengganu yang di bawah BN sedang mendesak kerajaan Persekutuan mengembalikan royalty minyak yang disekat sejak Kerajaan PAS memerintah Terengganu (1999-2004). Jawapan dari Perdana Menteri kepada Terengganu amat tidak meyakinkan. Lima negeri yang BN kalah mendepani sekatan-sekatan dari kerajaan Persekutuan. Contoh kecil dari segi menahan dan menyekat ialah jika seseorang pegawai yang didapati menyokong parti pembangkang, maka dikenakan berbagai-bagai tekanan, termasuk ditukar ke kawasan yang menyusahkan,

Tidak Menerima Kekalahan

Politik kampungan ini dapat dicontohi dari apa yang berlaku di negeri Selangor. BN seolah-olah tidak dapat menerima kekalahannya di Selangor secara mengejut dan hilang punca bagi menghadapinya. Khir Toyo Bekas Menteri Besar Selangor mampu mentadbir ketika negeri di dalam keadaan selesa dan tidak mampu menangani masalah apabila negeri dalam keadaan krisis. Bahkan hilang keyakinan diri hingga mengambil tindakan meletakkan jawatan dari Ketua Perhubungan Umno Negeri Selangor dan menyerahkan jawatan tersebut kepada Tan Sri Muhammad Muhd Taib veteran Umno dan Bekas Menteri Besar Selangor.

Sebagai orang lama, maka mekanisme lama terus juga digunakan oleh Muhammad di negeri Selangor. Iaitu menahan dan menyekat. Sebagai contoh sesudah penulis memenangi DUN Bangi, antaranya atas sokongan kuat dari pengundi India, disamping undi Melayu dan Cina, sebagai penghormatan kepada penulis sebagai ADUN mereka sebuah sekolah Tamil di Bangi (Lama) telah menjemput penulis merasmikan satu mesyuarat yang akan diadakan di sekolah tersebut.

Pada peringkat awal kemenangan belum ada sebarang larangan dan memikirkan sekolah berkenaan di dalam kawasan DUN Bangi, maka penulis bersetuju untuk menghadirinya. Tetapi sebelum tiba tarikh jemputan penulis menerima maklumat, bahawa sekolah berkenaan baru menerima surat pekeliling dari arahan Umno-Bn, bahawa didalam konteks negeri Selangor yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat, maka ADUN-ADUN tidak dibenarkan dijemput dan merasmikan sebarang apa-apa aktiviti persekolahan. Kebenaran hanya diberi kepada ahli parlimen BN. Jelas ianya bertujuan untuk menyekat ADUN-ADUN Pakatan Rakyat di Selangor dari peluang berinteraksi dengan ibu-bapa anak-anak di kawasan mereka, walaupun Pakatan Rakyat berkuasa di Selangor.

Namun peraturan yang dibuat yang bersifat kampungan ini dilanggar atas dasar kepentingan politik sempit. Misalnya sebuah sekolah rendah di Seksyen tujuh di tempat ADUN yang bias kepada Umno, menjemput ADUN di luar dari kawasan, iaitu dari Semenyih datang merasmikan Hari Sukan di sekolah tersebut. Perbuatan guru besar tersebut bukan saja bercanggah dengan peraturan yang dibuat, tetapi melukai hati ibubapa yang sebahagian besar daripada mereka adalah penyokong-penyokong Pas. Tujuan jemputan yang dibuat terhadap ADUN BN dari Semenyih itu, tentulah untuk mempromosi Umno-BN menaikkan imej ADUN berkenaan di mata rakyat, tetapi kita percaya cara kampungan yang dibuat di tengah masyarakat intelektual di Bandar Baru Bangi, tidak membantu menaikkan imej ADUN tersebut, tetapi membawa implikasi terbalik, kerana sikap bias guru besar yang menjemput orang luar dari kawasan DUN Bangi.

Cara kampungan juga dilakukan oleh Muhammad Muhd Taib terhadap jawatan-jawatan ketua kampong di Selangor yang dilantik secara politik, bahawa dengan kekalahan BN di Selangor, maka secara otomatik, jawatan-jawatan lantikan politik ini adalah gugur, tetapi UMNO tidak mau menerima realiti kekalahan mereka, walaupun jawatan ketua kampong ini tamat, tetapi mereka dilantik di bawah skim pembangunan luar Bandar – Kementerian di bawah Muhammad yang membuka ruang bagi mereka meneruskan peranan mereka dahulu.

Cara mereka bertindak seolah-olah memperbodohkan masyarakat dan menafikan hak dan pemilihan rakyat, Kita berkeyakinan rakyat tidak sebodoh yang mereka jangkakan, tanpa membaca dan menilai apa-apa tindakan mereka. Sesungguhnya tindakan menahan dan menyekat banyak dilakukan. Misalnya semasa BN memerintah di Selangor tempat-tempat kemudahan rakyat seperti penggunaan balai raya, pusat komuniti, padang awam adalah dikawal BN dan mereka yang dari parti-parti pembangkang tidak mendapat kelulusan dan dilarang sama sekali menggunakannya, walaupun secara bayaran.

Pernah sebelum Pakatan Rakyat memerintah, kita membuat permohonan menggunakan Dewan Mesyuarat di PKNS untuk bermesyuarat agung , tetapi setelah deposit dibayar sehari dari masa berlangsung sidang, permohonan ditolak menyebabkan kita terpaksa menyediakan tempat baru secara tergesa-gesa dan serba kekurangan.

Kita juga pernah memohon penggunaan padang awam di Kompleks Sukan MPKj, Seksyen 15 bagi tujuan mengadakan hari sukan, tetapi permohonan ditolak. Larangan dan sekatan juga berlaku di masjid dan surau. Mereka menguasainya dari segi pentadbiran melalui arahan, bukan melalui pemilihan. Mereka yang berkelayakan mengajar dan menjadi imam dari ahli kariah, tetapi dianggap penyokong pembangkang pada masa itu dilarang dari mendapat ruang di surau. Mereka lebih senang masjid dan surau tidak makmur dan tiada pengajaran daripada ianya disemarakkan dengan pengajaran dan didikan keislaman.

Larangan yang bersifat double standard berlaku di universiti. Bangi adalah berada di dalam kawasan yang dikelilingi banyak unversiti. Pada dasarnya parti-parti politik dilarang memasuki dan menggunakan kemudahan-kemudahan universiti, tetapi apa yang berlaku, sedang parti-parti politik bukan dari kerajaan memerintah tidak dibenarkan masuk ke universiti, tetapi parti Umno dan BN bebas keluar masuk universiti. Mereka menggunakan kampus untuk bermesyuarat baik oleh pemuda dan puteri, pada peringkat kawasan dan negeri. Dalam musim pilihanraya kampus, mereka bebas berkempen dan memberi sokongan dan peruntukan bagi parti atau pihak yang menyokong pemerintah

Tindakan balas?

Sebenarnya pada masa kerajaan Pakatan Rakyat memerintah sekarang, sekiranya mau diambil tindakan balas terhadap tindakan menyekat dan menahan yang menjadi polisi BN, khusnya di Selangor dari yang sebesar-besarnya membawa kepada yang sekecil-kecilnya adalah banyak. Sebagai contoh apa yang berlaku pada FM Selangor. Stesyen penyiaran ini adalah terletak di bangunan Sekretariat kerajaan negeri di Shah Alam. Stesyen yang dikuasai BN ini amat wajar member i sedikit ruang bagi kerajaan negeri menyebarkan maklumat dari kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi permintaan negeri adalah ditolak. Sesungguhnya bagaimana boleh dibiarkan sebuah penyiaran beroperasi di bangunan kerajaan negeri Selangor tidak mesra pemilik, bahkan menyerang pemilik. Tindakan Kerajaan Selangor meminta FM Selangor keluar dari bangunan sekretariat adalah amat wajar dan berpatutan.

Komen Menteri Penerangan yang baru – Sabri Chik, bahawa kerajaan di bawah Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai tamakkan kuasa adalah tidak releven, bahkan melucukan. Lebih dari itu Kerajaan Pakatan Rakyat boleh mempersoalkan banyak perkara dalam mana semasa BN memerintah pada peringkat kekuasaan pusat dan turut berkuasa di negeri Selangor selama lebihkurang setengah abad banyak perkara diambil mudah, kerana menguasai pada peringkat Federal dan negeri banyak perkara yang berhubung dengan Selangor merugikan Selangor’.

Perkara-perkara yang boleh dibangkitkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mengenai pampas an penyerahan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan, apakah pampas an telah dibayar menurut perjanjian dan jadual yang disyaratkan. Apakah kerajaan negeri masih berhak mempersoalkan jumlah bayaran oleh Kerajaan Persekutuan di bawah kekuasaan BN wajar atau tidak wajarkah pampas an lanjutan dan kerugian cukai kerajaan negeri perlu dipertimbangkan kembali. Kerajaan Pakatan Rakyat juga boleh membangkitkan kembali cara penyerahan Putrajaya yang berlaku pada masa permulaan Khir Toyo menjadi Menteri Besar Selangor (2001).

Pada masa itu penulis sebagai ADUN Kajang telah mmempersoalkan bagaimana penyerahan Putrajaya dibuat tanpa dibawa kepada persidangan Dewan Undangan negeri. Menyedari kesilapan soal penyerahan Putrajaya telah dibawa ke persidangan DUN Selangor. Tapi kini boleh dibangkitkan kembali soal pampasan yang tidak setimpal kepada kerajaan negeri. Apakah pembayaran telah dilakukan sepenuhnya atau apakah masih ada lagi yang tertonggak. Pada masa itu ADUN Kajang telah menentang penyerahan secara mutlak kepada Kerajaan Pusat, sebaliknya mencadangkan agar dipajak sahaja. Dengan itu kerajaan negeri Selangor mendapat bayaran tahunan pajakan dengan jumlah disetujui dan dengan itu juga kerajaan boleh meningkatkan jumlah bayaran pajakan jika difikirkan perlu dan mengambil balik apabila tempoh pajakan berakhir.

Kita juga bertanya, negeri Selangor yang mempunyai jumlah tol yang paling banyak dan syarikat-syarikat tol ini pada setiap tahun mengaut keuntungan dari pengguna jalanraya, apakah negeri Selangor yang menyediakan tanah yang begitu luas terhadap syarikat-syarikat itu, apakah Kerajaan Negeri Selangor mendapat hasil dari kutipan-kutipan berkenaan. Sewajarnya syarikat yang mengendalikan lebuhraya-lebuhraya juga sepatutnya memberii sebahagian dari keuntungan dan kenaikan tol kepada Kerajaan Negeri Selangor. Seterusnya banyak dari bangunan-bangunan federal berada di atas tanah-tanah negeri, maka jika kerajaan federal mau terus mengamalkan budaya menahan dan menyekat, maka Kerajaan negeri boleh meningkatkan cukai ke atas tanah yang digunakan oleh kerajaan federal. Contoh kecil pula kerajaan negeri yang memberi kekecualian kepada rakyat dari membayar bil air bagi 20 cubic meter pertama air dengan tidak memberi kekecualian kepada kegunaan oleh mana-mana penggunaan oleh kerajaan federal.

Sebenarnya tindakan menghalang dan menyekat tidak hanya berlaku pada peringkat negeri, khususnya di negeri Selangor, tetapi lebih berlaku pada peringkat federal. Sesungguhnya masih segar di dalam ingatan bantahan rakyat dan berlakunya demonstrasi, maukan pilihanraya tidak disekat dari ketelusan dan mau dijalankan secara bersih, bantahan juga dilakukan terutama oleh parti-parti politik terhadap kerajaan Federal yang bersikap monopoli terhadap media – cetak dan letronik, rakyat juga tidak senang dan membantah terhadap kekecohan dan penyelewengan di dalam bidang perundangan yang melibatkan kalangan tertinggi di dalam perundangan Negara.

Lebih dari itu rakyat menuntut hak mereka dari segi demokrasi dikembalikan. Hak mereka dari segi kebebasan mengeluarkan pendapat dan hak mereka berhimpun secara aman dan meminta ditarik ugutan-ugutan terhadap rakyat dari segi ISA, OSA, AUKU dan sebagainya. Oleh kerana desakan dan bantahan rakyat tidak dipeduli, maka rakyat telah menterjemahkan bantahan mereka ke dalam peti undi, sebagaimana yang berlaku pada pilihanraya kedua belas pada Mac yang lepas yang kerajaan Fedeiral kehilangan dua pertiga majority dan kehilangan lima buah negeri, termasuklah negeri Selangor. Barangkali semua ini cukup menjadi pengajaran kepada Kerajaan Federal dan lebih-lebih lagi di Negeri Selangor.

Kesimpulan

Kita berpendapat dan sepatutnya sesudah berkonfrontasi secara politik di dalam pilihanraya kali ke 12 yang lepas dan selepas selesai pilihanraya berkenaan dan yang menang memerintah dan yang kalah mengundur diri dan menjadi pembangkang, adalah diharapkan masing-masing memain dan menjalankan peranan masing-masing sebaik mungkin.

Kita berpendapat kerajaan Pakatan Rakyat, tidak berhasrat untuk berkonfrantasi dengan mana-mana pihak, bahkan bertujuan berbaik-baik antara komponan dan lawan, maka sewajarnya tiada sekatan dan konfrontasi. Namun andainya politik kampungan menahan dan menyekat berterusan, maka Kerajaan Pakatan mempunyai banyak option dan pilihan untuk mengambil tindakan balas terhadap Umno-BN yang masih mau menggunakan kaedah menahan dan menyekat terhadap Kerajaan Pakatan.


Sekian. Terima kasih.

Bangi,
17 Rabiul Akhir 1429
24 April 2008

PERASMIAN GOTONG ROYONG KOMUNITI BANDAR BARU BANGI



11.00 Pagi - Program Gotong Royong Komuniti Bandar Baru Bangi

“Bandar Baru Bangi Bersih dan Ceria” begitulah tema yang digunakan di dalam program gotong-royong komuniti Bandar Baru Bangi anjuran Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Jaringan Siswazah Malaysia (JASA), Sekolah Agama Bandar Baru Bangi (LEPAI), dengan kerjasama Jawatankuasa ADUN Bangi. Selaras dengan Manifesto DUN Bangi “Bangi Bandar Berilmu, Perihatin, Aman, Sejahtera dan Berkebajikan” amat sesuailah program ini dianjurkan bagi merealisasikan manifesto DUN Bangi yang dilafazkan dalam pilihanraya yang ke dua belas 8 Mac 2008 lalu.



Antara yang menjadi tumpuan ialah:

1) Memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya menjaga kebersihan disekitar tempat tinggal.

2) Membersih kawasan tumpuan masyarakat seperti Bank, Pejabat Pos dan kawasan sekitarnya.

3) Membersihkan kawasan tapak pasar malam dan kawasan sekitarnya.

4) Membersihkan kawasan longkang dan parit di depan dan belakang deretan kedai dan Bank Islam.

5) Membersih kawasan disekitar Medan Selera berhampiran Stesen Minyak Shell.

6) Membersih kawasan disekitar Pusat Servis EON dan gerai-gerai berhampiran.

7) Pihak Bomba dan Penyelamat akan membantu untuk membersihkan parit dan longkang.

8) Pihak Alam Flora akan menyediakan lori dan kemudahan peralatan lain untuk membersihkan sampah sarap dan bahan buangan.

9) Mengeratkan dan mengukuhkan hubungan silaturrahim antara ahli PPBBB, ahli JASA, ibu bapa Sekolah Agama dengan penduduk Bandar Baru Bangi dan kawasan sekitarnya.

10) Bersih menjadi amalan dan budaya hidup seharian dan berterusan.


Sekian, terima kasih

YB Mendengar Bantahan Penduduk Desa Seroja


Jam 1 petang, YB Dr Shafie bergegas ke Taman Desa Seroja bagi menyelesaikan pertikaian berhubung pembinaan pagar di belakang Taman Desa Seroja, Jalan Reko. Penduduk di kawasan tersebut membantah tindakan seorang pemilik syarikat pembinaan yang mendirikan pagar di kawasan yang didakwa sebagai tanah milik kerajaan. Pemilik syarikat pembinaan tersebut mendakwa bahawa tanah tersebut adalah milik beliau yang sudah dibeli sejak sekian lama. Namun pihak penduduk membantah tindakan tersebut. Dalam pertemuan tersebut, pemilik syarikat berkenaan gagal menghadirkan diri berbincang bersama YB Dr. Shafie dan para penduduk.



Hasil perbincangan selama sejam dengan para penduduk, beberapa tindakan susulan telah diambil. Antaranya ialah;

1. Arahan memberhentikan serta merta kera-kerja pembinaan pagar.

2. Arahan kepada pemilik syarikat pembinaan tersebut supaya menyertakan bukti-bukti dan dokumen asal berkenaan dengan pemilikan tanah tersebut.




Bangi

30 April 2008

24 Rabiulakhir 1429 H

Program Integriti Wajib ?

Sinopsis Berita Harian 23 April 2008 bertajuk “Program Integriti Wajib”

Datuk Seri Rais Yatim(Menteri Luar) mencadangkan agar program integriti yang selama ini hanya dijalankan kepada kakitangan dan penjawat awam diteruskan pula kepada Ahli Parlimen, ahli Exco negeri, menteri serta timbalan menteri bagi memastikan mereka dapat menghayati dan mengamalkan prinsip integriti.

Kata beliau, pemimpin politik tanpa mengira parti dan kedudukan harus menyertai kursus atau program integriti bagi memastikan mereka dapat menjadi contoh kepada masyarakat untuk menerapkan nilai murni.

Katanya lagi, beliau akan mencadangkan kepada Perdana Menteri supaya semua pemimpin politik diwajibkan menyertai program integriti yang dilaksanakan di Institut Integriti Malaysia (IIM) yang selama ini hanya membabitkan pegawai kerajaan saja. Dan beliau telahpun mencadangkan idea ini kepada Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Mohd Tap Salleh.

Harapan daripada pelaksanaan program ini adalah agar ianya mampu membantu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam senarai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan Transparency International (TI). Tahun lalu, Malaysia berada pada kedudukan ke-43 dalam senarai 180 negara yang disenaraikan dalam kajian CPI, meningkat daripada tangga ke-44 tahun sebelumnya. Mengikut CPI, kutipan mata tertinggi iaitu 10 menunjukkan negara itu bebas daripada gejala rasuah.( Rujuk : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/BeritaUtama/20080423011339/Article/)

Ulasan :

Program/ kursus integriti ini dilihat sebagai kesinambungan usaha BN untuk meneruskan penguasaan mereka kepada tahap yang lebih jauh iaitu percubaan menguasai pemikiran pemimpin-pemimpin parti politik. Apa yang dimaksudkan ialah kesinambungan daripada program PLKN untuk pelajar lepasan SPM, BTN untuk kakitangan kerajaan dan pelajar kampus. Dan Kursus Integriti untuk wakil rakyat.

Kalau sekiranya integriti yang mahu dipasak dalam kehidupan pemimpin, saya kira bukan itu cara yang terbaik untuk dilaksanakan. Program seperti ini seolah-olah mahu memperbudakkan pemimpin yang bertaraf exco dan ahli parlimen. Ahli-ahli YB dipaksa hadir, dikurung beberapa jam atau beberapa hari dan kemudiannya dikursuskan mengikut acuan yang dikehendaki pihak berkuasa. Persoalannya, kenapa hari ini iaitu setelah “kalah” dalam PRU-12 baru pemimpin UMNO/ BN mahu perjuangkan soal integriti? Adakah sebelum ini mereka merasakan bahawa mereka sudah punya integriti. Kenapa perlu diadakan satu program khusus untuk tujuan ini?

Pelaksanaan prinsip integriti ini sudah cukup sekiranya penerapan nilai-nilai kesyumulan Islam itu dilaksanakan dengan komited. Malah lebih daripada itu, prinsip-prinsip lain seperti akauntabiliti, transperansi, good governance dan sebagainya mampu diangkat seandainya konsep Islam syumul ini diterapkan. Kerana apa? Tidak lain adalah kerana Islam menekankan akhlak sempurna, konsep amanah dan pertanggungjawaban (rujuk ayat 188, al-baqarah, ayat 62, 68, 93/ al-a’raf,ayat 27 al-anfal), keadilan (rujuk ayat 8/ al-maidah,,ayat 188/al-baqarah, ayat 58/ al-nisa’,ayat 105/ al-nisa’, ayat 152/al-an’am, ayat 118/ ali imran dan banyak lagi), ekonomi (ayat 7/ al-hasyr, ayat 275, 276, 278, 279 al-baqarah, ayat 130/ali imran, 161/al-nisa’).

Pelaksanaan prinsip integriti kepada kakitangan kerajaan pula tidak harus dilihat mampu dijalankan dengan baik hanya sekadar mengadakan program atau kursus semata-mata. Peranan media cetak dan media elektronik harus dipertingkatkan kearah kesedaran tentang prinsip integriti ini. Bukan setakat iklan atau kempen semata-mata malah malalui filem, drama dan sebagainya.

Namun, seandainya program ini hendak dilaksanakan juga, harus kita cadangkan kepada pemimpin UMNO/ BN supaya ianya hanya dilaksanakan di kalangan mereka sahaja. Sebab, yang selalu kedengaran tentang kepincangan akhlak/moral, salah laku sexs, rasuah, salah guna kuasa ialah dari kalangan pimpinan UMNO/ BN. Analogi mudah, kenapa harus kita masukkan pelajar cemerlang ke kelas pemulihan sedangkan kelas pemulihan hanya untuk mereka yang lemah?

Bangi
24 Rabiulakhir 1429 H
30 April 2008

April 28, 2008

CERAMAH PERDANA
"Negeri Berkebajikan Pasca Kemenangan"

oleh:
YAB. TN GURU DATO' NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
YB .UST. NASHARUDDIN MAT ISA
YB. DR. SHAFIE ABU BAKAR



SABTU 3 MEI 2008
9.00 MALAM

PADANG BOLASEPAK CHERAS PERDANA 5
CHERAS PERDANA

Dijemput Semua hadir.
Sila bawa tikar bersama anda.

~ CERAMAH UMUM~


PERALIHAN KUASA: BN KE PAKATAN RAKYAT

YB DATO’ PADUKA HUSAM MUSA
(EXCO KERAJAAN NEGERI KELANTAN)

USTAZ HJ. AHMAD AWANG
(NAIB PRESIDEN PAS)

TARIKH : 4 MEI 2008 (AHAD)
MASA : 9.00 MALAM
TEMPAT : KOMPLEKS SUKAN STADIUM SEKSYEN 15, BANDAR BARU BANGI

DATANGLAH BERAMAI-RAMAI & SEBARKAN KEPADA YANG LAIN

PERHIMPUNAN PEKERJA 2008 & WACANA KEBANGSAAN KE-3

PEMBENTANGAN BERSAMA 5 MENTERI BESAR: VISI UNTUK KAUM PEKERJA


TARIKH : 4 MEI 2008 (AHAD)
MASA : 8.00 pagi – 5.00 petang
TEMPAT : STADIUM MALAWATI SHAH ALAM


CERAMAH PERDANA:
9.00 malam – 12.00 malam
4 MEI 2008

HJ. MOHAMAD SABU
YB N. GOBALAKRISHNAN
Y.A.B LIM GUANG ENG

DATANGLAH BERAMAI-RAMAI & SEBARKAN KEPADA YANG LAIN


YB TURUN MELAWAT TANAH RUNTUH


17 Rabiul Akhir 1429/ 24 April 2008 :Jam 8.00 pagi, YB Dr Shafie Abu Bakar menerima panggilan dari penduduk Taman Bukit Kajang yang mengadu tanah runtuh di belakang rumah mereka. Kira-kira jam 12.00 tgh hari, YB Dr Shafie bergegas untuk meninjau keadaan rumah mangsa. Setibanya di sana, mangsa-mangsa rumah runtuh sudah sedia menunggu. YB Dr. kemudiannya dibawa ke tempat kejadian dan diberikan taklimat oleh pemilik rumah berkenaan.

Pada masa yang sama, media-media datang membuat liputan kejadian tersebut. Antaranya ialah NTV 7, TV3, RTM 1, KOSMO, UTUSAN MELAYU, SINAR dan beberapa media lain lagi. Turut sama hadir meninjau kawasan ialah YB En. Lee Kim Seng (ADUN KAjang), Ketua Polis Kajang, TYDP MPKj dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Dalam kenyataan kepada wartawan, YB Dr Shafie meluahkan rasa simpati terhadap mangsa yang terlibat serta berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut dengan segera. Atas tanggungjawab itu juga, beliau telah meminta pihak MPKj menyediakan rumah sementara kepada mangsa memandangkan rumah yang terlibat dengan runtuhan tidak lagi selamat untuk didiami. Beliau juga meminta pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) untuk mengambil tindakan segera dengan memberi bantuan langsung kepada mangsa. Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin yang datang membantu mangsa.


Dalam lawatan susulan sehari selepas kejadian oleh Jawatankuasa Bertindak ADUN Bangi, 3 sekeluarga yang terbabit telah diberikan 3 unit penempatan sementara di Blok N Taman Kajang Sentral. Sumbangan berupa wang tunai juga telah disampaikan bagi mengurangkan beban mangsa kejadian. Satu laporan telah dibuat dan tindakan susulan akan diambil menangani permasalahan itu. Rata-rata penduduk yang ditemui melahirkan rasa terima kasih terhadap keprihatinan ADUN mereka.

April 25, 2008

Nasib ibu tunggal dibela: Tunai janji manifesto


19 April 2008/ 12 R. Akhir 1429 : Memenuhi tuntutan manifesto Pakatan Rakyat terhadap nasib ibu tunggal dan golongan miskin, satu dialog telah diadakan bertempat di Blok A Council Home Bandar Baru Bangi. Dialog ini adalah anjuran fortfolio Wanita dan Kesihatan,Majlis Tindakan DUN Bangi. Pertemuan turut dihadiri oleh Dr. Shafie Abu Bakar (ADUN Bangi), Dr. Tajul Ariffin Nordin (Pengerusi Persatuan Penduduk BBB), Perbadanan SUK Selangor, MPKj, PKNS, Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Persatuan Ibu Tunggal Hulu Langat (PITRAH).

Council Home Bandar Baru Bangi yang terdiri dari beberapa buah blok telah siap dibina pada tahun 2004 namun hanya dihuni pada tahun 2005. Hanya blok A dan B telah digunakan untuk sewaan, selebihnya telah dijual. Antara isu yang timbul dari Council Home ini ialah kadar sewa yang tidak tetap iaitu dari RM 250 sehingga RM 400, terdapat pihak yang tidak layak menduduki penempatan ini, kemudahan disalahguna dan kebajikan serta keselamatan penghuninya.

Wakil dari agensi yang hadir telah memberikan respon yang positif terhadap permasalahan yang timbul. Banyak kemudahan dan peluang untuk membela ibu tunggal tidak diisi kerana kekurangan maklumat . Ada pihak lain telah mengambil kesempatan ini untuk memenuhinya.


Menurut Dr. Tajul segala permasalahan itu perlu diselesaikan dalan konteks dua hala iaitu tindakan proaktif penghuni dan agensi yang berkenaan. Agensi yang terlibat perlu telus dan mengurangkan birokrasi dalam menyalurkan bantuan.

Hasil dari dialog berkenaan Dr. Shafie telah merumuskan 5 perkara yang perlu tindakan segera.

1. Blok A dan B harus dikekalkan untuk disewa oleh ibu tunggal tanpa perlu pemilikan terus. Penghuni yang tidak layak harus keluar secara berperingkat. Kekosongan akan diisi oleh ibu tunggal yang telah memohon dengan dipertanggungjawabkan kepada Persatuan Penduduk BBB dan Persatuan Ibu Tunggal Daerah Hulu Langat.

2. Sewa yang dikenakan diselaraskan pada kadar RM 200 satu kadar yang tidak membebankan penghuni.

3. Kemudahan dewan sedia ada tidak wajar dimonopoli oleh satu pihak sahaja. Semua penghuni berhak menggunakan dengan mematuhi peraturan sedia ada.

4. Bilik tetamu akan diwujudkan bagi menjaga martabat ibu tunggal supaya tidak timbul tohmahan dan buruk sangka pihak lain.

5. Kemudahan sukan , riadah, sosial akan dipertingkatkan dari masa ke semasa.

April 7, 2008

YB DR SHAFIE BERSAMA MANGSA BANJIR DI BANGI LAMA


4 April 2008 : Warta jam 1 pagi RTM, menyiarkan berita yang mangsa banjir di Bangi Lama terkilan apabila keadaan mereka tidak diambil peduli oleh ADUN Bangi. Diberitakan juga bahawa YB ADUN Bangi tidak turun pun melihat mangsa banjir. Persoalannya, adakah benar dakwaan pihak terbabit bahawa YB ADUN Bangi, tidak turun melihat mereka? Sekiranya benar kenyataan tersebut, bagaimana dengan laporan JKKK Kampung Bangi ini?

Laporan JKKK Kampung Bangi

23/3/2008 - 1.00 ptg – Hujan lebat. Banjir kilat kerana sungai cetek menyebabkan 35 buah rumah terpaksa berpindah.
-12.00 mlm - Lawatan YB ADUN Bangi menemui mangsa dan menghulurkan bantuan terus.

24/3/2008 – 9.00 pg – Gotong royong pembersihan rumah mangsa oleh ahli PAS Bangi
- 7.00 ptg – Hujan lebat sekali lagi. 60 buah rumah terlibat
- 1.00 pg – Lawatan YB ADUN Bangi kali ke-2.

25/3/2008 – 6.00 ptg – Bantuan makanan kering oleh UMNO Bangi

26/3/2008 - - Keadaan semakin pulih

(laporan ini adalah bersama laporan polis)


Biarkan gambar di bawah ini menjadi bukti kepada perkara yang sebenar.





April 3, 2008

MUNAJAT PERDANA & CERAMAH ISU-ISU SEMASA

MUNAJAT PERDANA
&
CERAMAH: PAKATAN RAKYAT, SATU PENJELASAN!

YB. Dr. Shafie Abu Bakar
(ADUN Bangi)
Ust. Tuan Ibrahim Tuan Man
(Pesuruhjaya PAS Pahang)
Ust. Idris Ahmad
( AJK PAS Pusat)
Ann Wan Seng
(Pendakwah Bebas)

Tarikh : 7 April 2008
Masa : 8.00 Malam
Tempat : Stadium MPKj Seksyen 15
Bandar Baru Bangi
PROGRAM BERMULA DENGAN SOLAT HAJAT.
SILA BAWA SEJADAH MASING-MASING
SEMUA DIJEMPUT HADIR BERAMAI-RAMAI

CERAMAH UMUM

"DASAR EKONOMI RAKYAT"
5 APRIL 2008
YB. IR. KHALID SAMAD
TAMAN BANGI INDAH, BATU 6
( Bangi Lama)
9.00 Malam
Semua dijemput hadir...

DIALOG YB DI LADANG BANGI


Bangi, 1 April 2008 : YB Dr Shafie Abu Bakar telah menghadiri satu perjumpaan dengan pekerja ladang di Bangi. Pertemuan itu bermula jam 5.30 petang dan berakhir kira-kira jam 7.00 petang. Turut sama hadir dalam dialog pertemuan itu ialah En. Arutcelvan- Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM), Mr Lau Fook Sang (Wakil Kelab Penyokong Kaum Tiong Hua) dan juga Hj. Abdul Abdul Karim (Ketua Cawangan Bangi Lama).

Ladang tersebut menempatkan 35 buah keluarga. Mereka tinggal di sana sejak tahun 1984 lagi. Kehadiran YB Dr Shafie telah sedikit banyak menggembirakan mereka. Di wajah mereka kelihatan jelas pengharapan yang tinggi agar masalah mereka segera diselesaikan. Ternyata dialog itu menemukan pelbagai masalah yang tidak pernah cuba diselesai secara serius di zaman pemerintahan UMNO/ Barisan Nasional. Beberapa masalah penting yang diadukan kepada YB Dr Shafie Abu Bakar adalah seperti berikut:

1) Majikan ladang memaksa mereka meninggalkan rumah dan ladang dengan memberika pelbagai lasan.

2) Rumah yang didiami kurang selamat kerana sungai yang merentasi ladang selalu dinaiki air. Sering kali berlaku banjir yang menyebabkan berlakunya kerosakan harta benda.

3) Rumah yang tidak sesuai dan daif.


Mereka turut menyatakan bahawa permasalahan ini sudah pun dibawa ke pengetahuan majikan ladang, bekas ADUN Bangi dan pihak MIC secara bertulis. Namun sehingga kini mereka tidak mendapat apa-apa balasan kecuali janji-janji kosong.

Dalam ucapan wakil penduduk-En Arul Krishnan, beliau memberitahu bahawa syarikat yang bertanggungjawab iaitu Golden Hope telah menghantar notis kepada mereka supaya pindah daripada ladang tersebut. Namun, jika ditakdir pindah, ke mana harus dituju. Katanya, syarikat tersebut tidak pula menjaga kebajikan mereka walaupun mereka sudah lama menghuni ladang tersebut. Tambahnya, penduduk merasakan bahawa mereka tidak dianggap penting oleh pihak syarikat dan kerajaan pimpinan Dato' Seri Khir Toyo ketika itu . “ Kami ni seolah-olah seperti habis manis sepah dibuang, katanya lagi”. Justeru mereka mengharapkan agar syarikat dapat membela mereka sebagai balasan terhadap kerja mereka di ladang tersebut.

YB Dr Shafie ketika sidang dialog itu berkata pihaknya berjanji akan membawa perkara tersebut kepada Exco Buruh dan Pekerja Ladang iaitu Kavier untuk diambil tindakan. Beliau juga berjanji sekiranya perlu, kes tersebut akan di bawa ke Kementerian Buruh dan Tenaga Rakyat.

HIMPUNAN RAKYAT & MALAM MUNAJAT


Shah Alam, 31 Mac 2008 : Satu Himpunan Rakyat dan Munajat Perdana telah diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam. Sungguh Bersejarah! Buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia apabila Stadium yang sebelum ini hanya digunakan untuk bersukan dan berhibur penuh sesak dengan orang ramai yang hadir untuk mendengar amanat daripada pimpinan mereka.

Sungguh mengkagumkan! Buat pertama kalinya stadium ini menjadi saksi kepada solat Isya’ berjemaah dan solat hajat serta munajat perdana.

Program anjuran Parti Islam SeMalaysia (PAS) itu mendapat sambutan ribuan manusia yang hadir dari seluruh pelusuk Selangor sehingga ada yang tidak dapat memasuki stadium. Kehadiran rakyat bukan sahaja dari Negeri Selangor, malah ada yang datang dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan juga Kelantan. Sungguh syahdu melihat lautan manusia sujuk dan ruku’ kepada Allah. Jelas terpancar di wajah mereka kegembiraan yang teramat sangat dengan nikmat kemenangan Barisan Rakyat yang membolehkan program Himpunan Rakyat dan Munajat Perdana ini dilangsungkan. Majlis itu diadakan bagi menyatakan kesyukuran atas kerjasama dan persefahaman yang wujud dalam Barisan Alternatif (BA) setelah berjaya membentuk kerajaan baru di Selangor. Rombongan dari PAS Kawasan Serdang juga tidak ketinggalan meraikan sejarah ulung ini. Rombongan dengan sebuah bas bertolak sekitar jam 6.30 petang. Manakala YB Dr Shafie Abu Bakar juga turut ke sana dengan kenderaan berasingan.


Kehadiran YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), YAB Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor merangkap Setiausaha Agung PKR), YB Ust Nasharudin Mat Isa (Timbalan Presiden PAS), YB Dato’ Dr Hasan Ali (Pesuruh Jaya PAS Selangor), YB Ronnie Liu (Setiausaha DAP Selangor), Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri dari PAS turut memeriahkan lagi majlis.

Program dimulakan dengan solat Isyak berjemaah dan diteruskan dengan solat hajat serta doa munajat dipimpin oleh Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang. Program diteruskan dengan persembahan dari kumpulan nasyid Islamic Voice dan In-Team. Kira-kira jam 10.00 malam ceramah dimulakan dengan dipengerusikan oleh Ustaz Sollehin Mukhyi (Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor). Ucapan pertama disampaikan oleh YB Ronnie Liu. Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pengarah program iaitu Ustaz Osman Sabran.


Sementara itu, Pesuruh Jaya PAS Selangor, Dato’ Dr Hasan Ali dalam ucapannya menyebut bahawa PAS akan berusaha sepenuhnya untuk mengurus dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Manakala dalam ucapan Ustaz Nasharudin Mat Isa pula, beliau dengan nada berseloroh menyatakan bahawa stadium ini sudah lama dibina untuk PAS.
“Sebenarnya untuk makluman hadirin, stadium ini sudah lama dibina untuk PAS namun hari ini baru kita dapat masuk. Sebagai bukti, cuba lihat kat atas, semua catnya hijau,” katanya. Selorohnya itu disambut dengan laungan takbir dan tepukan gemuruh hadirin. Dalam ucapannya juga, beliau mengingatkan wakil-wakil rakyat yang menang bahawa kemenangan ini adalah amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat nanti.


Selesai ucapan Ustaz Nasharudin, Menteri Besar Selangor pula menyampaikan ucapannya. Memulakan ucapan, beliau menyatakan bahawa tanpa hadirin tidaklah beliau menjadi Menteri Besar. Justeru, oleh kerana budi rakyat yang memilih beliau maka beliau berjanji akan membalas budi tersebut dengan menjadi wakil rakyat yang baik dan memastikan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan yang lain turut menjalan kerja dengan baik dan amanah. Katanya, beliau akan terus mendesak kerajaan pusat supaya menghapuskan undang-undang zalim seperti ISA, OSA dan AUKU. Beliau juga melahirkan rasa terima kasih kepada Tuan Guru Hadi Awang kerana memberi kepercayaan kepada beliau di mana ketika pemilihan nama MB, Tuan Guru memilih namanya seorang sebagai MB. Kepada rakyat, beliau berpesan agar tolong berikan peringatan kepada beliau dan rakan-rakannya yang lain untuk menjalankan amanah dengan baik kepada rakyat.

“Usrah perlu diperkukuhkan untuk mengikut jejak langkah Nabi Muhammad S.A.W serta pandai mempraktikkannya dalam konteks kenegaraan dan kepelbagaian kaum,” pesannya lagi.

Majlis diakhiri dengan amanat daripada Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa bukan Kerajaan BN sahaja yang mengadakan pembamgunan. Malah kerajaan yang dimurkai Allah seperti Kerajaan Firaun turut mengadakan pembangunan.


Katanya, semua orang boleh buat pembangunan tetapi tidak ada seorang pun yang boleh tunjuk jalan ke akhirat melainkan Nabi-nabi a.s. Nabi-nabi ini diturunkan bukan semata-mata untuk membawa pembangunan fizikal semata-mata malah yang lebih penting dari itu adalah pembangunan rohani dan petunjuk ke arah keselamatan di akhirat. Beliau juga menyatakan ketidakinginan PAS untuk bergabung dengan UMNO memandangkan pengalaman perit yang dialami PAS ketika bergabung dengan UMNO selepas PRU 1969. Sambungnya, PAS hanya diajak bergabung ketika UMNO hilang pengaruh namun setelah kuat, mereka menendang PAS keluar dari BN selain daripada penafian hak untuk menubuhkan cawangan di Johor dan sebaginya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kali ini, UMNO pula yang bergabung dengan Pakatan Rakyat tetapi dengan syarat UMNO buang sifat ego dan sombong mereka. Cadangan tersebut disambut dengan laungan Takbir, Reformasi dan Makkal Sakhti. Majlis ceramah tersebut berakhir sekitar jam 12 tengah malam. Wajah kepuasan jelas tergambar walaupun terpaksa berhadapan kesesakan lalulintas yang teruk.

April 2, 2008

Jamuan Rakyat Dun Bangi

Bangi, 30 Mac 2008 : Satu Jamuan Pemimpin Bersama Rakyat bagi meraikan kemenangan YB. Dr. Shafie Abu Bakar telah diadakan di perkarangan Pejabat Wakil Rakyat DUN Bangi. Jamuan ini dianjurkan sebagai tanda kesyukuran di atas kemenangan besar Barisan Rakyat dalam pilihan raya baru-baru ini. Majlis Jamuan Pemimpin Bersama Rakyat ini turut diisikan dengan beberapa sub-program iaitu Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang, Pelancaran Kelab Penyokong PAS DUN Bangi dan ucapan-ucapan daripada YB. Dr. Che Rosli Che Mat, YB. Lee Kim Seng serta YB. Teo Nie Ching. Majlis yang menyajikan lima ekor lembu, 6 ekor kambing dan 1200 ekor ayam itu mendapat sambutan hebat daripada penduduk DUN Bangi. Turut hadir membuat liputan majlis Jamuan Rakyat ini ialah NTV 7, Harakah dan Tamil Nessan.

MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG

Jamuan yang bermula sekitar jam 10.30 pagi itu dimulakan dengan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Bangi. Majlis ini diadakan bagi mencapai beberapa tujuan penting. Antaranya ialah:

1) Penghargaan kepada pelajar-pelajar cemerlang di kawasan DUN Bangi.
2) Memberi galakan kepada anak-anak untuk cemerlang.
3) Melahirkan rasa prihatin masyarakat terhadap usaha melahirkan masyarakat berilmu.

Dalam ucapan YB. Dr. Shafie Abu Bakar, beliau menyatakan penghargaan dan ucapan tahniah kepada pelajar-pelajar cemerlang DUN Bangi. Beliau juga melahirkan rasa bangga dan optimis untuk menjadikan Bandar Baru Bangi sebagai Bandar Ilmu. Keyakinan yang diluahkan itu bertitik tolak daripada keadaan Bandar Baru Bangi yang dikelilingi pelbagai Pusat Pengajian Tinggi.

Dalam kenyataan media yang dibuat, YB. Dr Shafie Abu Bakar menyatakan bahawa galakan terhadap pelajar-pelajar meningkatkan kecemerlangan mereka di dalam pengajian telah lama dilakukan. Iaitu semasa kita menjadi ADUN Kajang (1999-2004). Katanya, Galakan dan insentif demikian terus dilakukan, walaupun kita tidak menjadi wakil rakyat (2004-2007). Sebagai contoh, kita mengadakan program `Selamat Kembali ke Sekolah` sejak 2003 dan program ini terus dilakukan. Contoh bagi tahun 2006 kita mengeluarkan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi membantu pelajar-pelajar miskin dan cemerlang dan bagi tahun 2007 kita mengeluarkan peruntukan sebanyak RM7,000 bagi tujuan berkenaan.

Bagi tahun ini (2008) kita wujudkan program Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Bangi. Peruntukan sebanyak RM8,000 disediakan sebagai galakan dan insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang. Kali ini anugerah cemerlang (2008) melibatkan semua pelajar cemerlang di sekolah-sekolah menengah di DUN Bangi dan pelajar-pelajar cemerlang dari DUN Bangi yang belajar di sekolah-sekolah di luar dari DUN Bangi. Penilaian dan anugerah ialah bagi peringkat STPM dan SPM. Jumlah mereka semua ialah 68 orang. Jumlah pelajar STPM hanya 3 orang. Iaitu seorang meraih 3A dan 1B (Yoges A/P Sandra Babu) SMK Kajang Utama, Kedua 4B (Ruqayyah Ahmad) SMK Jalan Reko dan 1A, 2B, 2C (Navien Rajendran A/L Rajendran).

Bagi SPM maksimum pencapaian bagi tahun ini bagi pelajar-pelajar di sekolah-sekolah menengah di Bandar Baru Bangi ialah 13A dan paling minimum yang diberi insentif ialah 10A. (Kecuali seorang anak ibu tunggal dari Council Home 9A). Pelajar yang berjaya meraih keputusan cemerlang 13A ialah Farhana Binti Tajarudin dan Nurhafiza Binti Hassan Ganny. Kedua-duanya beroleh 12A1 dan 1A2 merupakan pelajar Maahad Hamidiah Kajang.

65 Pelajar SPM Menerima Anugerah

Pelajar-pelajar SPM yang menerima anugerah ialah sebagaimana berikut:

Sekolah Menengah Jalan 2, Bandar Baru Bangi 04 orang
Sekolah Menengah Jalan 3, Bandar Baru Bangi 06 orang
Sekolah Menengah Jalan 4, Bandar Baru Bangi 23 orang
Sekolah Menengah Jalan Reko B. Baru Bangi 04 orang
Sekolah Menengah Jalan Bukit, Kajang 09 orang
Sekolah Menengah Kajang Utama, Kajang 02 orang
Sekolah Menengah Hamidiah Kajang 17 orang
Sekolah Menengah Wilayah Persekutuan Kajang 01 orang
Sekolah Menengah Keb. Agama Labu, N. S 01 orang
Sekolah MRSM Langkawi 01 orang

Jumlah pelajar SPM 65 orang

Beliau turut mengharapkan agar dengan dengan galakan yang diberi ini, walaupun kecil, iaitu sebanyak RM100/= seorang bersama dengan 'Warqah Pengiktirafan' merupakan suntikan semangat kepada pelajar-pelajar lebih bersungguh di dalam menghadapi pelajaran mereka dan mereka akan lebih berjaya lagi pada masa hadapan.Katanya, pelajar-pelajar tersebut sebenarnya menjadi duta-duta yang membawa dan mengangkat ‘Bendera Ilmu’ bagi rakyat di DUN Bangi dan mereka juga adalah pewaris yang akan meningkatkan imej Bangi sebagai ‘Bandar Ilmu’.

PELANCARAN KELAB PENYOKONG PAS

Pada jam 12.30 tengah hari, program diteruskan dengan pelancaran Kelab Penyokong PAS DUN Bangi yang disempurnakan sendiri oleh YB. Dr. Shafie Abu Bakar. Seramai 150 orang telah menyertai ahli Kelab Penyokong PAS. Penyerahan borang kelab penyokong PAS kaum India diwakili oleh Lethumanan A/L Govindasamy. YB Dr Shafie dalam ucapannya menyebut bahawa Kelab Penyokong PAS ini ditubuhkan untuk menjadi wadah bagi bukan Islam untuk memberikan sokongan mereka kepada PAS. Katanya, orang bukan Islam juga berhak mendapat peluang yang sama untuk berkhidmat kepada masyarakat. Ini jelas terbukti apabila PAS memberikan peluang kepada calon bukan Islam iaitu Kumutha Rahma untuk bertanding di Johor. Beliau juga berharap agar Kelab Penyokong ini menjadi “orang tengah” di dalam membantu PAS untuk mendapatkan maklumat dan aduan daripada kaum masing-masing. Malah ia juga diharapkan dapat membantu PAS untuk mengadakan program-program bagi mendekati masyarakat bukan Islam.

Turut menyampaikan ucapan pada majlis itu ialah YB Dr Che Rosli, YB Lee Kim Seng dan YB Teo Nie Ching. Dalam ucapan mereka, kesemua YB mengucapkan terima kasih kepada para pengundi kerana kesediaan mereka membuat perubahan sehingga memenangkan Pakatan Rakyat.

UCAPAN TAHNIAH DAN TERIMA KASIH

Saudara Shukor Bin Atan dan AJK pelaksana “Jamuan Rakyat”
AJK PAS Kawasan Serdang
Para penyumbang program “Jamuan Rakyat” RELA
Unit Pertahanan Awam (JPA3)
JASA Alumni
Unit Amal
Dewan Muslimat PAS Serdang
Dewan Pemuda PAS Serdang
Nisa’ Serdang


Juga jutaan terima kasih kepada yang turut sama terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam menjayakan program ini. Mohon maaf kepada semua hadirin atas segala kekurangan.