June 30, 2010

UMI - Menabur Bakti

Taman Sutera Kajang, 14 Rajab = 27 Jun (Ahad):


Seindah kata bagi nama taman – Taman Sutera, demikian indah lahirnya istilah – UMI sebagai wadah bagi kegiatan kaum Ibu di sini. UMI adalah singkatan bagi - Untuk Mu Ibu. UMI manifestasi dari kegiatan Kaum Ibu berpaksikan Surau Taman Sutera. Taman ini walaupun relatifnya baru – tidak sampai sedekad, tetapi penduduknya yang relatifnya muda-muda adalah bersatu dan aktif. Surau dan Persatuan Penduduk menjadi wadah kegiatan mereka baik yang bersifat ibadat, pendidikan, sosial, kebajikan dan sukan. Kegiatan tidak hanya berlaku di kalangan lelaki, tetapi juga di kalangan wanita dan ibu. Badan ini adalah berada di bawah Helwa.


Kalau sebelum ini kaum ibu dan wanita menjalankan kegiatan secara adhok, dan kurang tersusun, maka difikirkan perlunya sebuah badan bagi menyelaraskan kegiatan bagi wanita dan kaum Ibu. Pertemuan pertama diadakan di surau ini pada 23 Mei 2010 bagi menaja badan kegiatan. Maka pada hari ini iaitu selepas penubuhan, ADNS Bangi dijemput bagi merasmikan penubuhan UMI.


Hadir pagi ini sempena perasmian penubuhan UMI ialah Saudara Wan Mohd Nazri bin Wan Mohd Nasir selaku Penasihat UMI yang beliau juga selaku Pengerusi Surau, Puan Izny Wahida Zainon selaku Pengarah dan Penyelaras, Pn. Emilia Mat Piah selaku Penolong Pengarah dan Penyelarasan, Setiausaha Pn Dewiana Malisa Putri Hafizon, AJK-AJK dan para hadirin yang lain.


Dalam ucapan alu-aluan bagi penubuhan UMI, Pengarahnya, Pn. Izny Wahida menyatakan:

"Program UMI merupakan salah satu program bulanan (setiap hari Ahad ke – 4) yang dianjurkan oleh Unit HELWA, Surau Taman Sutera hasil dari kerjasama bersepadu semua pihak Surau Taman Sutera. Program ini bertujuan memberi sumbangan motivasi dan menerapkan nilai kerohanian, khususnya kepada Muslimat dan amnya kepada seluruh Penduduk Taman Sutera. Objektifnya ialah memberi penerapan Ilmu Islam kepada para hadirin untuk mempertingkatkan lagi keperibadian dan akhlak yang dibentuk dari al-Qur1an dan Sunnah. Mengeratkan ikatan silaturrahim di antara penduduk Taman Sutera khususnya di kalangan kaum wanita."


ADNS Bangi dalam ucapan perasmiannya menyatakan kesyukuran kepada Allah sejak awal Taman Sutera dihuni dan kita mengikuti perkembangan berterusan, bahawa masyarakat penduduk di sini meletakkan asas keislaman sebagai dasar kegiatan, bahkan surau menjadi induk bagi segala kegiatan. Pada hari ini kita melihat kaum ibu dan wanita juga menubuhkan badan yang lebih menyatu dan memfokuskan kegiatan mereka berasaskan nilai-nilai keislaman. Kita berharap badan ini tidak hanya mengadakan kegiatan pada hari Ahad sahaja, tetapi hendaklah diperluaskan kepada berbagai-bagai kegiatan selain dari ceramah ialah seperti mengadakan kelas-kelas bimbingan membaca al-Qur`an dan agama, kursusu-kursus rumah tangga, bimbingan kesihatan, sambutan-sambutan hari kebesaran, kelas tuisyen kepada anak-anak dan berbagai-bagai kegiatan ibadat, kemasyarakatan dan kebajikan.


Pada akhir ucapan dan perasmian ADNS Bangi menyampaikan sumbangan kepada surau berupa 8 buah meja dan 20 buah kerusi untuk diguna di dalam berbagai kegiatan yang berkenaan. ADNS akan terus memberi kerjasama dan bantuan yang bersesuaian pada masa akan datang – Insya Allah.


Sekian.

June 29, 2010

Meraikan Johan Pasukan Bola Sepak Pasti Peringkat Pusat

BBB, 15 Rajab = 28 Jun (Isnin):


Sebagai pernyataan SYUKUR terhadap Allah yang mengurniakan kemenangan bagi Pasukan Bola Sepak Pasti Al-Raudah, Seksyen 5, Bandar Baru Bangi menjadi JOHAN peringkat pusat dan Pasti Al-Syakirin Taman Impian Ehsan, Balakong tempat ketiga bagi pertandingan Bola Jaring yang kedua-duanya berlangsung di Stadium Perbandaran Seberang Prai pada 27 Jun 2010 (Ahad), maka pada malam ini ADNS Bangi mengadakan Majlis Keraian terhadap kedua-dua pasukan bertempat di Restoran Desa Village, Jalan Reko, Bandar Baru Bangi.


Hadir maraikan sama pada malam ini ialah Saudara Adram Musa Ketua Pemuda Pas Serdang, Haji Mohd Sufi Munassir Pengarah Pasti Al-Raudah, Saudara Fazli Daud Setiausaha Pas Serdang, Jurulatih Bola Sepak Saudara Zaidi Jamil, Pengarah Saudara Kamaruddin dan Timbalan Saudara Shamsuri, AJK, Guru-guru, Anak-Anak dari Pasukan Bola Sepak dan Bola Jaring. Mereka semua berjumlah lebih kurang 100 orang.

~Adik Fakhrul (berbaju hijau) dan Adik Lokman~

Pasukan Bola Sepak terdiri dari 10 pemain iaitu, FAKHRUL yang dinobatkan Pemain Terbaik, LOKMAN Penjaring terbanyak (5 gol). Yang lain-lain ialah Wafi, Aidi, Adli, Hafiz Aiman, Hanif, Ijad, Irfan dan Abid. Antara pemain adalah dari Kuala Langat dan Kajang Utama.

~Encik Zaidi, Jurulatih Bola Sepak~

Pada perlawanan akhir Pasukan dari Al-Raudhah yang mewakili Selangor berlawan menentang pasukan dari Kelantan. Menurut Tuan Haji Kamaruddin Pengarah Pasukan, minit pertama pasukan Kelantan score gol, membuatkan Pasukan Al-Raudah agak menggelabah, tetapi sebelum tamat bahagian pertama pertandingan Pasukan Al-Raudhah dapat menyamakan kedudukan dan seterusnya pada pertengahan kedua dapat menambahkan jaringan hingga berakhir dengan 2 -1. Menurut saudara Zaidi Jurulatih, kita melatih mereka sejak 3 bulan dan kita telah tanamkan azam supaya tidak mudah mengalah dan berjuang hingga ke akhir. Al-Hamdulillah dengan pesanan itu dengan izin Allah kita berjaya. Pasukan dari Selangor pada kali ini dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik keseluruhan. Tahniah.

~Puan Rapiah bt. Ibrahim, Jurulatih Bola Jaring~

Manakala Pasukan Bola Jaring pula adalah terdiri dari pemain-pemain Pasti Impian Ehsan, Huffaz Sungai Ramal dan Kuala Langat. Mereka ialah Nur Farhana, Aliawati, Ainon Nabilah, Atirah Nabihah, Nurul Izzati, Nurul Hidayah, Nuryani, Khairul Nisa' Safiyyah, Nur Nisa' Farhana dan Harith Sofiah. Jurulatih ialah Puan Rapiah bt. Ibrahim dan dibantu oleh Cikgu Ani.



Semasa menyampaikan ucapannya ADNS Bangi mengucapkan Syabas dan Tahniah kepada Pasukan Bola dari Pasti Al-Raudhah. Beliau percaya semangat tinggi dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Jurulatih dan pemain-pemain serta dengan sokongan pihak Pasti dan ibu bapa yang berterusan membawa kepada kejayaan. Saya sendiri, menurut ADNS Bangi dua kali turun memberi semangat kepada pasukan bola sepak, iaitu sebelum bermain ke peringkat negeri dan sebelum bermain pada peringkat pusat. Manakala pasukan dari Pasti Al-Syakirin terkenal sebagai Pasti terbaik dan pernah menjuarai sukan ke peringkat negeri pada tahun 2006, 2007 dan 2008. ADNS Bangi mengucapkan tahniah kepada pasukan bola jaring Pasti Al-Syakirin Impian Ehsan memenangi tempat ketiga Bola jaring pada peringkat Pusat bagi kali ini.


Sebagaimana ADNS Bangi janji sebelum ini, bahawa dengan kemenangan yang dicapai, maka pada malam ini diadakan jamuan di Restoran Desa Village ini. Anak-Anak bagi Johan Bola Sepak setiap orang diberi saguhati berupa kewangan sebanyak RM50/= seorang. Jurulatih, Pengarah dan Timbalan sebanyak RM150 seorang, manakala hadiah kepada pasukan – termasuk pengurusan RM2,000. Kepada Pasukan Bola Jaring juga diberi hadiah. Kesemua hadiah dan sagu hati disampaikan oleh ADNS Bangi pada malam ini juga. ADNS Bangi berharap semangat pertandingan yang tinggi akan diteruskan pada masa-masa akan datang. TAHNIAH !!!. ALLAHU AKBAR !!!


Sekian.

Rentetan Jejak Pengalaman Ke Ghazzah - Disampaikan Oleh 2 Misi Kemanusiaan Malaysia

Kajang Utama & Taman Seri Melor, 11-12 Rajab = 24-25 Jun (Khamis-Jumaat):

Dua malam berturut-turut dua misi kemanusiaan ke Ghazah dijemput menyampaikan rentetan dan jejak pengalaman mereka melayari halangan, khususnya bila kapal Mavi Marmara – Freedom Flotilla, bukan saja disekat, tetapi menghadapi serangan dari tentera regim Zionis Israel dan 9 dari misi kemanusiaan terkorban. Kedua-dua misi kemanusiaan yang dijemput khas itu ialah Tuan Haji Jamaluddin Alias Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia dan Tuan Haji Mustapha Mansor dari Majlis Pertubuhan Perundangan Islam Malaysia (MAPPIM). Tuan Haji Jamaluddin hadir ke Surau Kajang Utama pada malam hari Khamis 24 Jun, manakala pada malam Jumaat 25, Tuan Haji Mustapha hadir bersama dengan Tuan Haji Jalamaluddin di Surau Taman Seri Melor (Kedua-dua surau adalah bernama Surau al-Muhajirin).





Majlis ceramah di Surau al-Muhajirin Kajang Utama diadakan dianjung surau dengan dihadiri Tuan Haji Arshad Pengerusi Surau Kajang Utama, En. Khairil Anwar Timbalan Presiden Skretariat Pemuda Prihatin, Imam, Bilal dan para hadirin - ibu bapa dan orang ramai. Haji Jamaluddin berlainan dari Haji Mustapha dari segi tempat bertolak, Beliau bertolak 18 Mei dari Ankara melalui Teluk Bhosporos Turki dengan kapal Mavi Marmara menuju ke Anatolia di Turki. Menurutnya kapal boleh mengisi seramai 1,600 penumpang, tapi dalam misi kemanusiaan ke Ghazzah ianya membawa hanya 600 penumpang. Mereka antaranya dari 13 NGO. Ruang diisi dengan bahan-bahan bantuan seperti ubat-ubat sebanyak 600 ton serta bahan-bahan binaan. Perjalanan sebenarnya tidaklah bersifat direct dan terus, sebab itu memamakan masa. Misalnya kapal Mavi Marmara hanya tiba ke Anatolia, Turki pada 24 Mei. Turut juga mengikuti ialah enam buah kapal kecil yang lain mengiringi. Kapal-kapal sebenarnya telah menerima amaran dari regime Zionis Israel, jika ke Ghazzah akan disekat dan kemungkinann diserang dan serangan berlaku pada 4.30 pagi 30 Mei dan dalam penyerangan itu, Zionis yang kejam dan hilang rasa kemanusiaan membunuh 9 orang aktivis dari Turki. Kapal ditunda ke Pelabuhan Ashdot di Haifa Israel. Setelah dikurung berhari mereka di bawa ke Amman dan dibebaskan.


Manakala Tuan Haji Mustapha datang pada hari Jumaat ke Surau Al-Muhajirin di Taman Melor. Ceramah di sini disampaikan di atas pentas di padang terbuka, di luar dari surau, maka bagi pendengar disediakan khemah-khemah. Tuan Haji Mustapha bertolak dari tempat berlainan, iaitu dari Crete, Cyprus. Pada tempat ini berhimpun aktivis-aktivis dan NGO-NGO dari barat dan bukan Islam. Mereka seperti dari Sweden, U.K. Norway, Belgium dan berhimpun di Crete. Menurut Haji Mustapha komitment mereka membela kemanusiaan adalah tinggi. Seorang peserta dari Belgium bernama Ina, berusaha mengumpul kewangan dan keperluan ke Ghazzah bertahun-tahun lamanya semata-mata untuk menemui anak-anak Palestin di Ghazzah. 3 orang dari peserta, menurut Haji Mustapha terpaksa menangguhkan perkahwinan mereka kerana mau menyertai rombongan ke Ghazzah. Antara mereka ada yang mewasiat sekiranya berlaku kematian ke atas mereka, maka mayat mereka jangan dibawa pulang, tetapi hendaklah dikebumikan di Ghazzah. Demikian hasrat mereka mau membela penduduk yang menghadapi sekatan. Hidup penduduk Ghazzah memakan roti kering bersama air dan antara mereka makan sekali sehari, khususnya selepas menghadapi sekatan dan tekanan dari Israel. Apa yang mau ditunjukkan bahawa yang membela kemanusiaan, adalah di luar dari kalangan Islam dan di luar dari bangsa Arab. Bagi Setengah orang Arab tak kesah. Mereka leka dengan shopping di Dubai dan tidak memberi perhatian pada orang Palestin. Sebaliknya ada yang bekerjasama dengan Israel menyekat bantuan dari sampai ke Ghazzah.

Kapal yang dinaiki Haji Mustafa didalam perjalanan mengalami kerosakan dan terpaksa berpindah ke kapal Mavi Marmara yang menyatukan mereka dengan rombongan misi ke manusiaan di kapal Mavi Marmara dan menghadapi sekatan dan serangan dari Israel.

Dari kedua-dua penceramah ini kita tidak mendengar penceritaan episod paling sengit dalam pelayaran, iaitu ketika serangan berlaku – komando Israel mendarat di atas kapal, kekalutan yang berlaku seterusnya membawa kepada terkorbannya sembilan orang misi keamanan dari Turki. Episod ini adalah klimeks bagi peristiwa bagi misi keamanan. Mungkin mereka berdua tidak benar-benar berdepan dengan episod berkenaan. Kita dimaklumi misi kemanusiaan ditingkat atas adalah terdiri dari orang-orang Turki. Sebab itu apabila pendaratan berlaku. Permulaan pertembungan didepani oleh misi kemanusiaan dari Turki. Lantaran itu mereka yang ditingkat atas inilah menerima risiko terkorban dan mereka yang mati – 9 orang dari rakyat Turki. Adapun yang lain termasuk dari Malaysia berada di tingkat bawah, sebab itu mereka tidak berdepan dengan penyerangan dan al-hamdulillah terselamat dari terkorban.


Walau bagaimana kita tidak juga diceritakan bagaimana penyeksaan yang mereka alami selepas kapal Mavi Marmara ditawan hingga dibawa ke Pelabuhan Ashdot di Haifa, Israel.


Dalam ucapan alu-aluan ADNS Bangi di Surau Kajang Utama, bahawa kita berbangga, kerana dari kalangan ratusan misi kemanusiaan ke Ghazzah terdapat misi-misi dari Negara Malaysia – 12 dalam kapal Mavi Marmara dan 6 lagi dalam kapal menyusul kemudian ke Israel, iaitu Rachel Corrie. Ini bermakna, kalangan kita mempunyai rasa kemanusiaan yang tinggi dan berjuang bersama pejuang-pejuang kemanusiaan antarabangsa menegakkan pembelaan terhadap kemanusiaan yang mengatasi batas geografi, warna kulit dan idelogi kefahaman.


Pada majlis ceramah di Taman Seri Melor turut dihadiri YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang,, Haji Abdul Aziz Abu Bakar Pengerusi Surau, Ustaz Hashim bin Haji Abdul Rahim Ketua Persatuan Penduduk Taman Seri Melor, Ustaz Husaini Imam Surau dan penduduk setempat.


YB Teo Nie Ching dalam ucapannya menyatakan, kezaliman adalah sesuatu yang dibenci dan di mana-mana saja tidak disukai. Kekejaman Israel terhadap penduduk Ghazzah dan Palestin adalah dikutuk dunia – termasuk kita turut mengutuk. Israel juga menurutnya keras kepala dan tidak tunduk kepada undang-undang antara bangsa. Mereka menyerang kapal Mavi Marmara ketika kapal itu masih berada diperairan antarabangsa. Ini menunjukkan Israel bersifat keras dan degil. Pembunuhan Israel terhadap misi kemanusiaan seramai sembilan orang itu dikutuk oleh seluruh dunia. Tindakan seharusnya diambil dan menghukum mereka oleh mahkamah antarabangsa. Israel mesti ditunduk dari keangkuhan dan menghormati hak dan kemanusiaan. Kita seharusnya jangan membiarkan Israel bersikap keras, zalim dan melanggar aturan antarabangsa dengan membuat sekatan di kawasan antarabangsa di kawasan 72 nautika jauhnya dan membunuh mereka yang membawa misi kemanusiaan.

Dalam ucapan ADNS Bangi, melihat jalan cerita Misi Kemanusiaan ke Ghazzah amat menarik. Temanya bersifat global. Peristiwa di atas pentas antarabangsa, watak-watak adalah pendukung kemanusiaan sebagai hero dan Israel adalah berwatak jahat, crook dan dibenci. Temanya amat menarik boleh ditulis dalam bentuk nobal, difilm, di pentas serta dilakonkan. Secara bergurau ADNS berkata, sayangnya kematian tidak melibatkan orang kita (untuk cerita saja) yang sepatutnya menjadi watak protoganis adalah dari kita. Maka ceritanya lebih hebat meningkatkan Imej Malaysia (Sebenarnya kita bersyukur tidak berlaku kematian dari kalangan misi kemanusiaan dari Malaysia).

Walau bagaimana kita mengucapkan tahniah kepada semua misi kemanusiaan yang mencetuskan pembelaan terhadap rakyat Ghazzah yang tertindas dan dengan kematian memuncak menjadi Prime News di seluruh dunia dan sepatutnya menggerakkan seluruh dunia membela masyarakat Ghazzah dan Palestin agar bebas dari tekanan Israel dan menjadi bangsa yang merdeka sebenar-benarnya. Mengakhiri ucapan ADNS Bangi membaca dua buah puisi yang berkait dengan perjuangan umat Palestin dan Ghazzah, iaitu:
Viva Palestina & Freedom Flotilla Menyaksi Kejamnya Zionisme (kedua-dua puisi terdapat di dalam blog ini).


Sekian.

June 28, 2010

Hari Kesihatan Mendapat Sambutan

Bukit Mewah, 14 Rajab = 27 Jun (Ahad):



ADNS Bangi mengadakan Hari Kesihatan di Dewan Orang Ramai Bukit Mewah, Kajang dengan menjemput pihak Klinik Kesihatan Hulu Langat. Sambutan penduduk setempat amat menggalakkan. Mereka beratur beramai-ramai untuk mendapat rawatan percuma. Pada hari ini juga beberapa badan berhubung dengan kesihatan dan rawatan turut dijemput seperti Kolej Master Skill yang membuat pemeriksaan seperti memeriksa kolestrol, darah tinggi, kandungan gula dalam darah dan berat badan, Rawatan Islam dari Darul Syifa, Pemeriksaan Telinga, Urut Tradisional dan Refleksi, Pemeriksaan Mata dan Jualan Ubatan Kesihatan HPA. Semua tempat penawaran pemeriksaan mendapat sambutan dari hadirin. Hari ini juga dibuka Kaunter Pendaftaran Pengundi yang dikendalikan oleh tenaga khidmat dari Pejabat ADNS Bangi.



Hari Kesihatan ini turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Serdang YB Teo Nie Ching dan Wakil dari Parti Keadilan Rakyat Cabang Serdang Saudara Hamidi (Setiausaha). Dalam ucapan perasmian YB Dr. Shafie menyebut bahawa, kita berusaha untuk memberi kesejahteraan pada penduduk yang melibatkan semua aspek. Pada hari ini kita menawarkan peperiksaan kesihatan secara percuma kepada penduduk. Terima kasih kepada pihak Klinik Kesihatan dan badan-badan kesihatan lain. Terima kasih pada semua yang hadir. Kita juga memberi perhatian pada warga mas dengan menyediakan skim bantuan dan takaful. Kita membantu orang miskin dengan zakat dan kebajikan masyarakat. Kita menjaga kesihatan alam sekitar dengan mengadakan gotong royong dan kempen kebersihan dan membasmi denggi. Kita juga pentingkan kesihatan orang muda dengan mengadakan kegiatan sukan. Kita mau rakyat sihat dan hidup sempurna. Kita akan meningkatkan khidmat kepada masyarakat dengan sokongan rakyat secara berterusan.





YB Teo Nie Ching yang juga berucap, juga menekankan betapa penting kesihatan dan seharusnya dijaga. Menurutnya kita mesti menjauhi perkara yang boleh merosakkan diri kita dan menjaga anak-anak kita supaya tidak terlibat di dalam bahaya dadah. Beliau juga menekankan bahawa orang Cina juga, terutama DAP menentang amalan judi dan menentang judi bola yang diberi lesen oleh kerajaan sebelum ini. Kita juga menolak arak, kerana judi dan arak boleh merosakkan keharmonian dan kesejahteraan rakyat. Kita mahu rakyat hidup sihat dan aman.



Selepas perasmian Hari Kesihatan oleh ADNS Bangi disampaikan hadiah dan bantuan. YB Teo menyampaikan hadiah-hadiah pertandingan melukis kepada kanak-kanak. Kemudian ADNS Bangi menjemput YB Teo dan Saudara Hamidi sama-sama menyampaikan bantuan kepada warga mas yang berjumlah lebih kurang 20 orang. Selepas penyampaian hadiah dan bantuan ialah acara lawatan ke meja-meja rawatan oleh badan-badan yang mengambil bahagian. ADNS turut sama memeriksa tekanan darah, memeriksa mata dan telinga. Sehingga ke jam 1.00 tengahari tempoh sepatutnya berakhir masih ramai yang datang untuk pemeriksaan. Kita amat berpuashati di atas kerjasama yang diberi oleh penduduk setempat. Terima kasih kepada semua.




Sekian.




Pelancaran Hari Ilmu Di Taman Tasik, Shah Alam

Shah Alam, 13 Rajab = 26 Jun (Sabtu):


Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah ibn al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan Negeri Selangor menggesa rakyat supaya membudayakan diri dengan membaca, berusaha mencari ilmu dan jangan bosan mengunjungi perpustakaan sebagai sumber ilmu pengetahuan. Baginda bertitah sedemikian semasa melancarkan Hari Ilmu bertempat di Taman Tasik, Shah Alam. Baginda juga menasihati rakyat, khususnya pelajar-pelajar mempelajari banyak bahasa, khususnya bahasa Inggeris, kerana ia merupakan bahasa Ilmu, tetapi tambah baginda, jangan mengabaikan bahasa Malaysia.


Taman Tasik sejak pagi-pagi lagi dikunjungi peserta-peserta yang mengambil bahagian dalam upacara pelancaran Hari Ilmu. Mereka datang dari 9 daerah dan 22 PBT, Mereka terdiri dari pegawai-pegawai, jabatan-jabatan kerajaan, agensi-agensi kerajaan dan swasta, pelajar-pelajar dan orang ramai. Baginda hadir ke petasmian Hari Ilmu melalui boat merentasi tasik ke upacara perasmian yang berwarna warni dan gilang gemilang.


Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim yang mengiringi Baginda berucap sebelum baginda, merujuk kepada Firman Allah Ta`ala di dalam Surah Al-'Alaq yang menggesa kita membaca. Dengan membaca menurutnya menambahkan ilmu dan meningkatkan kualiti hidup. Disamping pelancaran Hari Ilmu, pada hari ini juga diadakan pesta buku di PKNS yang menggalakkan membaca dan juga ada pameran-pameran di PKNS yang merangsang pengunjung kepada membaca dan mencintai ilmu.


Dr. Halimah Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan yang juga selaku Pengerusi sambutan menekankan bahawa Selangor adalah Hub-Ilmu dan berusaha menegakkan negeri ini sebagai Negeri yang baik yang mendapat keampunan dari Allah. Pada hari ini menurutnya akan dilancarkan juga Buku Berantai dalam mana rakyat dari setinggi-tinggi dan rakyat biasa boleh melahirkan pendapat mengenai Hari Ilmu melalui buku ini. Semua pendapat akan disusun dan diterbitkan.


Menurut Dr. Halimah, sasaran kehadiran pada hari ini lebih kurang 5,000, tetapi oleh sambutan yang menggalakkan kehadiran adalah berjumlah 15,000 orang . Satu kejayaan yang diluar dugaan. Sebelum dari upacara perasmian oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, para hadirin diminta membaca buku dan bahan bacaan yang diminta di bawa sebelum ini. Mereka diminta membaca satu jam tanpa henti-henti sebagai gimik Hari Ilmu. Ini dimasukkan ke dalam Guinnes Book of Record.


Sambutan hari ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran 58 syarikat menyertai sambutan pamiran dan 115 buah gerai perniagaan. Pameran berlangsung higga 5 Julai 2010.

Pada akhir sambutan diadakan penyampaian hadiah kepada jabatan, agensi dan Sekolah yang teramai menghantar peserta antaranya ialah Perbadanan Negeri Selangor bagi kategori jabatan, Sekolah Agama Perempuan Jamaah Shah Alam bagi kategori Sekolah, Unisal bagi kategori Pengajian Tinggi dan beberapa kategori yang lain.

Sekian.

June 27, 2010

Tahniah !!! Pasukan Bola Sepak Pasti Al-Raudah Johan Peringkat Pusat

Bandar Baru Bangi, 14 Rajab = 27 Jun (Ahad):

Jam 3.30 petang ini ADNS Bangi menerima berita dari Pulau Pinang Pasukan Pasti Al-Raudah, Seksyen 5, Bandar Baru Bangi yang mewakili Selangor berjaya menjadi JOHAN BOLA SEPAK seluruh Pasti, Seluruh Negara ! Semasa berita disampaikan mereka dalam persediaan menerima hadiah kejohanan di Kompleks Sukan Perbandaran Seberang Perai, Pulau Pinang.. Al-Hamdulillah dan bersyukur kepada Allah di atas kejayaan ! Nampaknya mereka mendahului kejohanan Bola Sepak Dunia !

Tahniah kepada Pasukan dari Pasti Al-Raudah (beberapa pemain dipilih dari Kuala Langat dan Kajang Utama).
Tahniah kepada Jurulatih Saudara Zaidi Jamil
Tahniah kepada Pengarah Saudara Jamaluddin
Tahniah kepada Pengerusi Pasti Serdang Saudara Shahrul Nizam
Tahniah kepada Pengerusi Pasti Peringkat Negeri Selangor
Tahniah kepada Ibu bapa yang mengiringi anak-anak mereka ke Pulau Pinang.
Allah memberi ganjaran kepada mereka di atas doa, semangat dan perangsang terhadap anak-anak mereka di dalam pertandingan.

Sementara itu Pasti Al-Shakirin Taman Impian Ehsan, Balakong memenangi tempat ketiga bagi pertandingan bola tampar (perempuan) pada peringkat pusat. Tahniah juga kepada mereka.

Sebaik menerima maklumat kejayaan. ADNS Bangi segera menghubungi AJK Sukan Pas Kawasan, mencadangkan untuk mengadakan sambutan kepulangan mereka. Setelah menghubungi Pulau Pinang, dimaklumkan sebahagian dari anak-anak dibawa bercuti ibu-bapa mereka dan tak pulang bersama. Setengahnya pulang berasingan dan tidak sama waktu dan ketibaan bas adalah sebelum subuh pagi esok, maka cara sambutan atau terus diadakan majlis kesyukuran dan penghargaan akan dibincang dan diaturkan.

Tahniah dan bersyukur kepada Allah.

Allahu Akbar !!!

Tragedi Murid Lemas Berulang Lagi

Taman Desa Sentosa, Sepang, 9 Rajab = 22 Jun (Selasa):

~Keratan Akhbar Sinar Harian, Khamis, 24 Jun 2010~

Tragedi murid lemas kembali berlaku pada hari ini di Sungai Langat berhampiran Taman Desa Sentosa di sini. Ini bukan kali pertama tragedi sedih berlaku menimpa anak-anak penduduk di sini, sekurang-kurang sejak 2005, tiga kali berlaku tragedi anak-anak lemas dilokasi yang hampir sama di sini. Seorang daripadanya pernah diketemui selepas 17 hari kejadian lemas berlaku. Cara hampir sama, iaitu anak-anak bersama kawan-kawan keluar di masa lapang memancing atau bermain di tepian tergelincir atau mandi dan lemas.


Kejadian terbaru hari ini, sekumpulan anak-anak berjiran dari rumah pangsa di sini keluar jam 6.00 petang ke tepi Sungai Langat dengan tujuan memancing, tetapi antara mereka mulai mandi dan dua dari mereka dihanyut air. Seorang abang- Muhammad Akmal bin Muhammad Arshad (16) dari anak yang lemas bertindak terjun dan berjaya menyelamatkan adiknya, Muhammad Alif Ehsan (11) dan beliau dengan berani terjun kembali untuk menyelamatkan anak kedua yang juga lemas, iaitu Mohd Faris Ridzuan, jiran satu rumah pangsa, tetapi oleh kerana arus kuat dan Muhammad Akmal keletihan, beliau tidak berjaya membawa Mohd Faris Ridzuan (11) ketepian, sebaliknya mereka berdua dihayut air. Berita ini segera disampaikan kepada ayah Muhammad Akmal, iaitu Muhammad Arshad Salleh (41), ayah Mohd Faris Redzuan, iaitu En. Azman Abas (41) serta keluarga masing-masing dan penduduk setempat. Mereka bertindak memanggil pihak polis dan bomba. Mayat Mohd. Faris Ridzuan yang merupakan murid di Sekolah Jalan 6 Bandar Baru Bangi berjaya diketemui selepas itu, tetapi hingga kini Muhammad Akmal masih belum diketemui.



ADNS Bangi bersama isteri pada petang Jumaat 25 Jun mengunjungi kedua-dua keluarga berkenaan yang masih sugul dan orang ramai juga masih mengunjungi kedua-dua keluarga berkenaan. 2 buah khemah yang tidak berjauhan di pasang bagi kemudahan pengunjung-pengunjung tiba bagi mengucapkan takziah. Kami berjumpa dengan En. Azman Abas dan isteri dan En. Muhammad Arshad dan isteri mengucap takziah kepada mereka dan berharap bersabar. Kami diberitahu oleh En. Muhammad Arshad anaknya Muhammad Alif Ehsan yang diselamatkan oleh abangnya yang kedua-dua bersekolah di Putra Jaya tidur dan masih trauma dengan tragedi yang dialami.



Setelah bercakap-cakap dengan jiran-jiran dan orang ramai yang berkunjung, ADNS Bangi ditemani beberapa orang berkunjung ke tempat kejadian. Isteri ADNS masih bersama keluarga malang. Tempat kejadian tidak jauh dari rumah mereka, iaitu lebih kurang 3 km. Pada penghujung jalan mati, turun ke kiri melalui lembah curam dan licin (baru lepas hujan) merentasi kebun pisang dan tiba ke tepi Sungai Langat yang di tepiannya himpunan bukit-bukit pasir yang sedang dilombong dari sungai. Di tepian terdapat khemah yang didirikan oleh pihak Bomba Cyber Jaya. Beberapa orang masih bertugas dan bermalam di situ sejak kejadian lemas berlaku. Bahkan sebuah kereta bomba masih dilokasi. Kenderaan dapat ke sini melalui jalan hadapan Sekolah Teknik Sepang. Selain daripada itu pencari-pencari juga bertugas memerhati dan mencari hingga ke kuala – Kuala Langat. Oleh kerana kunjungan kami selepas hujan, air Sungat Langat agak deras dan dalam. Kami ditunjukkan tepian di mana berlakunya tragedi lemas dan dimaklumkan peristiwa lemas yang lepas berlaku lebih kurang pada tempat yang sama. Pada kali ini kemungkinan mangsa tergelincir ke lubuk yang digali mesen pengeluar pasir dari tempat berkenaan. Di lokasi di sini pada petang ini turut hadir bersama ADNS Bangi, Tuan Haji Ahmad Makki YDP Pas Sepang. Lebih kurang jam 7.00 petang kami beredar menemui kembali kedua-dua keluarga anak-anak yang lemas dan memohon diri bersama isteri. Semoga yang hilang segera ditemui dan didoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas arwah-arwah yang kembali menemui Nya – Insya Allah.

Sekian.