June 30, 2011

Karnival Kesihatan & Road Safety Walk Di Tasik Cempaka

Tasik Cempaka, 23 Rajab = 25 Jun (Sabtu):

Karnival di atas adalah anjuran bersama Jawatankuasa Membenteras Denggi Daerah Hulu Langat yang Adun-Adun dikehendaki membiayai peruntukan dengan kerjasama Persatuan Peniaga-Peniaga Kiosk Melayu, Daerah Hulu Langat. Karnival berlangsung selama dua hari, iaitu pada 25 & 26 Jun 2011 (Sabtu & Ahad).

Berbagai kegiatan dilakukan selama dua hari ini. Adun Bangi berkesempatan hadir kegiatan pada 25 Jun:

1) Perlepasan Kayuhan Basikal yang disempurnakan oleh Dato` Hasan Nawawi YDP MPKj yang kebanyakan pengayuh adalah dari Kelab Berbasikal Surau Al-Kauthar.
2) Menyertai Majlis Basmi Denggi dan Keselamatan Pemanduan.
Antara pengisian ialah ucapan dari Tuan Pegawai Daerah Tuan Haris bin Kassim selaku Pegawai Daerah Hulu Langat merangkap Pengerusi Program Karnival.
Beliau menyebut tentang bahaya Denggi yang boleh membawa kepada kematian. Tidak kurang ancaman ialah kemalangan jalanraya yang banyak memakan korban
Dua orang peserta bercerita, seorang tentang demam denggi yang pernah dialami dan seorang lagi pengalaman kemalangan yang hampir meragut nyawanya.

Pada hari kedua (26 Jun) ialah pelancaran `15 minit Reading Bread` dan `Peraduan Mengarang Sempena Tiga Tahun Perasmian Bangi Bandar Ilmu` yang dilakukan oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim pada 22.6.2008. Pelancaran mengarang dilakukan oleh Adun Bangi. Hadir sama dalam majlis ini ialah Puan Nur Faezah binti Omar Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat dan En. Anuar Akasah dari Perpustakaan Bangi, Hulu Langat.

Sekian.

Mesyuarat Penuh MPKj Protes Tindakan Polis Menangkap Penyokong Bersih

MPKj, Kajang, 27 Rajab = 29 Jun (Rabu):


Tiba di pintu lif untuk ke tingkat Tujuh bagi menghadiri Mesyuarat Penuh MPKj kali ke 6/2011 pagi ini Adun tiba-tiba disertai seorang Ahli MPKj berpakaian tidak menurut etika mesyuarat rasmi – sepatutnya bercoat bertali leher, tetapi memakai baju kuning bersih 2 dan bercoat ! Pada fikiran Adun ini adalah sindrom semasa sahaja akibat dari kempen songsang kerajaan mengugut dan menangkap mereka yang memakai T Shirt Kuning. Hasil dari publisiti songsang isu ini menjadi popular dan merangsang orang ramai bersikap protes. Akibatnya mereka yang tidak mempunyai T Shirt Bersih rela mencarinya dan memakainya sebagai protes dan tindakan sebagai tanda sokongan. Lebih dari itu bagi jiwa memprotes, tangkapan polis memberi pengiktirafan sebagai Hero Menentang Ketidakadilan !


Apabila Adun masuk ke Bilik Mesyuarat Cempaka Putih 1, Bilik Mesyuarat Penuh MPKj, Tingkat 7A, Menara MPKj didapati ramai yang memakai T Shirt Kuning bercoat dan antara mereka langsung berbaju kuning bersih sahaja. Sudah tentu pelik dan berkelainan dari kaedah berpakaian mesyuarat rasmi biasa. Mereka yang memakai T Shirt Kuning Bersih 2 seramai 10 dari lebih kurang 40 yang hadir. Baru Adun menyedari ini adalah tindakan terancang bersama sebagai pernyataan protes !


Bila mesyuarat hendak dimulakan seorang ahli bangun mengusulkan supaya Peraturan Mesyuarat bil. (38) digantung bagi memberi laluan kepada agenda khusus yang membolehkan penyusunan kembali agenda mesyuarat menurut peruntukan (10) dengan mengutamakan agenda yang dianggap mustahak didahulukan. Mesyuarat menyokong 100% terhadap cadangan !


Seorang Ahli bangun dan mengemukakan usul,

`Bahawa ahli-ahli Mesyuarat Penuh MPKj pagi ini mengutuk tindakan polis menangkap mereka yang berpakaian Bersih 2 yang berlaku di Pulau Pinang, Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan dan di mana jua, kerana tindakan adalah bercanggah dengan peruntukan perlembagaan fasal (10a) yang memberi hak kepada rakyat kebebasan bersuara, fasal (10b) kebebasan berhimpun. Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat mendesak Kerajaan menghormati peruntukan Perlembagaan dan pihak polis menghentikan tangkapan.``


Usul disokong sepenuhnya oleh Ahli-Ahli MPKj. Terdengar komen dari YDP MPKj, ``Kerajaan Tempatan adalah di bawah negeri dan kita berpendirian sama dengan dokongan dan pendirian pihak negeri.``

Bantahan ini menarik perhatian wartawan yang sedia menghadiri sidang dan terdapat wartawan-wartawan yang baru mendapat maklumat dan datang pada masa mesyuarat sedang dijalankan.


Kita berpendapat publisiti songsang (kecaman, ugutan, laporan kebanyakan akhbar berpihak dan tangkapan) menjadikan Gerakan Bersih makin popular dan semakin meningkatnya bantahan. Berlainan jika pendekatan berlembut diambil dari peringkat permulaan tidak terjadi seperti sekarang. Risiko sedang menunggu jika tindakan diambil secara melulu dan tidak bijaksana.


Selepas mesyuarat dan makan tengahari jam 1.00 kami turun bersama-sama kawan yang antaranya berbaju bersih. Didapati di bawah perisik-perisik polis berkeliaran. Antaranya memfokuskan lensa kamera mereka kepada kawan yang berbaju T Shirt Bersih. Mereka menghimpun maklumat bagi meneruskan tangkapan?


Sekian.

June 29, 2011

Lajnah Kebajikan Itu Akan Kembali Berkonvoi Mengunjungi Kalian!

(Sebuah Cerkas – Cerita Ringkas)

BBB, 23 Rajab = 25 Jun (Sabtu):

Sebagaimana biasa `Dia` sebagai Ketua Lajnah Kebajikan di bawah Adun Bangi membuat penyiasatan terlebih dahulu setiap aduan yang diterima melibatkan Lajnah Kebajikan. Selepas puashati dan layak menerima bantuan, maka diatur masa yang sesuai, kadang-kadang melibatkan beberapa individu atau kes mahu dilawat pada satu kali turun. Bila mahu turun perlu dipastikan peruntukan kewangan dan barangan cenderahati yang perlu dibawa. Penting juga berapa ramai pengiring yang sanggup turun sama menziarah dan menyampaikan bantuan. Dalam keadaan kecemasan seperti kebakaran, kemalangan, banjir, tanah runtuh dan sebagainya keputusan perlu dibuat segera termasuk persediaan bahan dan peruntukan. Adalah perkara biasa sebagai Ketua dia mendahulukan peruntukan dari poketnya sebelum membuat tuntutan. Lawatan biasanya bersifat konvoi dan disambut bukan saja keluarga yang kena ziarah, tetapi juga oleh AJK dan cawangan setempat.

Pada petang 24 Jun (Jumaat) itu, seperti biasa dia mengatur program ziarah Dato` Dr. Siddiq Fadhil yang sakit di Hospital Serdang, kepada Setiausahanya dipastikan barangan dan cenderahati yang perlu dibawa dan jumlah pengiring Adun. Biasanya pengiring-pengiring pergi dahulu dan menyambut ketibaan kami. Kalau tempat yang mahu diziarah tidak begitu diketahui, biasanya kami berkonvoi. Dia Ketua Lajnah Kebajikan ini biasanya mendahului kami bersama isteri setianya yang selalu bersama kerana dia juga AJK Lajnah Kebajikan dengan kereta kecil Kelisa berwarna kelabu sepadan dengan Dia dan isteri yang bertubuh kecil.

Pemergian kami ke Hospital Serdang dari Bangi tak ada masalah sama ada sendiri atau diiringi, tapi dalam perjalanan saudara Azizi cuba membuat kepastian sama ada Dia bersama isterinya sudah tiba di Hospital Serdang atau tidak atau kemungkinan dalam perjalanan dari tempat kerja (Pada hari kerja biasanya kami menziarah selepas Asar). Bila saudara Azizi menelefon, ada jawapan yang disifatkan oleh beliau sebagai teragak-agak. Bila ditanya saudara Azizi, `Di mana?,` ` Saya di Hospital` jawabnya.

Dengan jangkaan beliau sudah tiba di Hospital Serdang, kami berdiam diri.
Tetapi bila kesemua jamaah yang mahu menziarah sudah tiba dan tiada Dia dan isterinya,
Kami mulai bertanya, `Dia kata berada di Hospital!`.
Lantas saudara Azizi menghubunginya sekali lagi dan dengan agak malu dan segan beliau menjawab,
`Saya berada di Hopital UKM (HUKM), isteri ada sedikit masalah.`
Sah Dia dan isterinya di Hospital. Tetapi bukan di Hospital UPM yang kami ziarah, tetapi di HUKM.

Selepas membuat lawatan menziarah Dato` Siddiq Fadhil, maka dalam perjalanan keluar dari bangunan Hospital UPM kami mengambil keputusan akan menziarah beliau secepat mungkin, iaitu pada hari esok juga, kerana dari perbualan telefon menunjukkan Isterinya sudah dimasukkan ke Hospital pada hari Rabu lagi, iaitu dua hari sebelum kami mendapat maklumat. Kami perlu ziarah segera, kemungkinan isterinya akan keluar lusa atau sehari dua lagi.

Maka pada petang Sabtu 25 Jun kami berhimpun di Pejabat Adun. Sebenarnya beliau boleh dilawati bila-bila masa sebelum 10.00 malam, kerana beliau masuk bahagian pakar – Swasta di HUKM yang ditanggung oleh majikannya. Sebelum kami bertolak kami pastikan ada muslimat menyertai, kerana yang dilawat adalah muslimat dan tidak begitu manis kalau muslimin saja melawat, walaupun ada suaminya bersama. Dari Pejabat Adun kami bertolak dengan dua buah kenderaan dan dua buah lagi pergi terus dan berkumpul di HUKM. Lebih kurang jam 4.00 petang kami menziarah isterinya di wad khas dan single room yang memberi kebebasan kami berbual dan membolehkan juga kami mengambil gambar sekadar sesuai. Pertemuan didahului muslimat dan kami mengekori dari belakang. Kami semua serombongan lebih kurang 10 orang disambut oleh Dia dengan agak malu, kerana beliau seorang yang lembut, tapi penuh mesra.

Keadaan isteri beliau yang dibedah tidaklah serius dan mampu bercakap dan mengagah seorang anak kecil yang dibawa bersama. Dia begitu bersedia dengan kedatangan kami dan menyediakan air kotak untuk diminum oleh kami. Suasana kebalikan, selama ini kami beramai yang menziarah. Hari ini Ketua Penziarah dan isterinya kena ziarah! Satu kemanisan dan kesyahduan bagi kami berkesempatan menziarah. Andainya maklumat tidak dicungkil saudara Azizi, tidak diketahui maklumat dan terlepas dari ziarah kemudian mengetahui isteri beliau yang juga AJK Kebajikan masuk Hospital, tentulah terkilan bagi kami. Walau bagaimanapun ziarah ini merupakan nikmat dan kebahagiaan bagi kami yang bergiat di dalam berjamaah.

Sebelum bertolak dari Pejabat Adun tadi, kami berbincang kecil, `Sekarang yang diziarah Ketua Lajnah Kebajikan yang darinya dikeluarkan peruntukan, sekarang bagaimana dengan peruntukan? Kami bersetuju dengan mengeluarkan dahulu, kemudian dikira kemudian. Kami berada lebih kurang sejam berziarah bercakap dan bergurau mesra. Terbayang kasih sayang Dia terhadap isterinya. Dia mengambil cuti sepenuhnya dari Rabu dan sampai seminggu menunggu isterinya di Hospital setiap hari dan setiap masa. Menurutnya, Dia hanya pulang sekali ke rumahnya di Seri Kembangan kerana mengambil pakaian. Bila ditanya di mana tidur? ``Di atas kerusi lipat bersebelahan isterinya.`` (Beliau bebas bermalam kerana wad beliau adalah bahagian swasta pakar yang bayarannya adalah lebih tinggi dari biasa – tapi ditanggung majikannya). Setelah berada sejam, kami memohon diri dengan penuh kemesraan.

Kami berharap dalam seminggu dua lagi Konvoi Kebajikan Kami akan bergerak lagi di dahului kereta Kelisa Kelabu mengunjungi pesakit dan mereka yang bermasalah sebagai pernyataan prihatin kami terhadap warga Bangi.

Dia dan isteri begitu banyak menyelesaikan masalah
Tiba giliran mereka berdua pula bermasalah
Tapi cuba dirahsia dan disembunyi dari kami
Begitu luhur jiwa dan hati budinya
Tapi Allah menunjukkan kebesaranNya
Maklumat tercungkil juga dari silap percakapan
Hingga kami berkonvoi menziarah mereka di HUKM
Kebalikan dari keadaan selama ini
Ketua Penziarah & Isteri kena ziarah
Kami gembira dengan pimpinan Lajnah Kebajikan
Selama ini diberi sanjungan dan pengiktirafan
Kami merasa semacam kepuasan
Ini adalah nikmat persaudaraan
Bergiat bersama dalam Jamaah Islam.

Sekian.

June 28, 2011

Rumah Pangsa Terbengkalai Sungai Tangkas Tinggalan Zaman UMNO: Usaha Memulihkannya

Sungai Tangkas, Bangi, 22 Rajab = 24 Jun (Jumaat):


Rumah pangsa 6 tingkat lima bloks di Sungai Tangkas sudah 7 tahun terbengkalai. 500 pembeli menjadi mangsa menunggu siapnya rumah dalam keadaan ketidakpastian.


Adun Bangi menerima arahan dari pihak SUK, Shah Alam (Sdr. Azmi) supaya berunding dengan pihak pemaju bagi mengusahakan pemulihan rumah pangsa berkenaan selari dengan polisi Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor seboleh-bolehnya mau menyelesaikan perumahan-perumahan terbengkalai di Selangor. Hari ini En. Choo sebagai Kontrektor di arah datang (tidak dihantar Pemaju) menemui Adun di Pejabat Adun, di Bandar Baru Bangi. Jam 10.00 pagi kami berbincang. Berikutnya Adun cadang pergi ke lokasi rumah pangsa terbengkalai berkenaan. Adun minta Sdr. Shahrum menghubungi Ketua Kg. Tok Hadi bersama. Lokasi perumahan cantik, berada pada tanah tinggi dan jelas kelihatan dari jalan Kajang-Bangi.


Menurut En. Choo Kontrektor bagi perumahan berkenaan bahawa Developer bagi perumahan ini ialah Encik Yusuf dari Syarikat TJ Plaza di Wisma Central, Kuala Lumpur. Perumahan berkenaan dibina di atas tapak seluas 6 ekar. Pihak pemaju pada permulaan memasukkan sama kawasan surau Al-Hidayah sebagai kawasan pembinaan dengan cadangan merubuh surau tersebut dan menggantikan surau baru di bahagian atas berhampiran dengan rumah pangsa. Surau baru dibina dengan saiz lebih kecil. Penduduk membantah hasrat merubuh surau asal. Pendirian mereka tidak berganjak. Tanah yang ditolak hampir ke tepi surau dihentikan – kawasan surau jadi sempit, kurang ruang. Rumah pangsa yang berdekatan surau ini paling lewat didirikan yang dapat dikategiorikan juga sebagai terbengkalai. Ada maklumat yang tidak diberitahu En. Choo bahawa sebab terbengkalai juga oleh kerana status pemilikan tanah yang tidak dapat diselesaikan?


Tetapi sebab yang diberitahu oleh En. Choo pembangunan perumahan berkenaan terpaksa ditangguhkan oleh kerana kekurangan dana. Peruntukan awal bagi perumahan ini adalah sebanyak 4 juta dan terpaksa dihentikan, terutama selepas pertukaran kerajaan. Mungkin Pemaju hilang tempat pergantungan. Menurut En. Choo mereka memerlukan peruntukan tambahan RM1.5 juta lagi untuk menyiapkan pemulihan bangunan. Harga asal bagi unit-unit rumah di sini menurut Tok Hadi adalah RM42,000 dan dengan kenaikan harga barang mungkin meningkat kepada melebihi RM50,000. Menurut Tok Hadi, pasaran perumahan di Bangi, termasuk di Sungai Tangkas tidak bermasalah. Jika ada unit-unit tak dijual, tak menjadi masalah untuk dijual dan rumah sedemikian menjadi kegemaran bagi pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi sekeliling menyewa.


Buat setakat ini bangunan di sini perlu kepada finishing dari segi plaster, memasukkan api dan air. Difahamkan surau kecil yang dibina terpaksa dirobohkan bagi sub-station api dan saluran air. Paip air terpaksa menggunakan saluran yang baru bagi menampung jumlah penghuni yang ramai. Jalan, tiang api dan perparitan belum dibina. Ini semua memerlukan peruntukan dijangka melebihi 3 juta.


Apa yang dilihat dan dibincang akan dibawa Adun ke atas dan akan dibincangkan dengan YB Iskandar Exco perumahan, pengurusan Bangunan dan setinggan untuk dinilai dan diambil tindakan.


Sekian.

Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi Jadikan Masalah Kebersihan Sebagai Resolusi Mesyuarat Agung Ke 22: Cabaran Kepada MPKj !

Bangunan PKNS, BBB, 24 Rajab = 26 Jun (Ahad):

Jam 12.00 tengahari ini Adun berada di Bilik Cempaka, Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi (BBB) bagi merasmikan Majlis Penutup Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk BBB Kali Ke 22. Sebelum Majlis Perasmian Adun berkesempatan mengikuti perbincangan, khususnya mengenai Kebersihan BBB yang dibawa oleh seorang ahli dan usul bermasalahnya BBB dari segi kebersihan diterima sebulat suara!

Daripada banyak persoalan yang dilapor dan diperkatakan oleh ahli, isu masalah kebersihan ini paling menggugat bahkan menempelak Adun. Usul ini sebenarnya memperkukuhkan kritikan terhadap masalah kebersihan di dalam blog, bahkan dalam sebuah akhbar tempatan beberapa hari lalu. Adun tidak marah dan tidak berkecil hati dengan kritikan yang berasas, sebaliknya ini semua membuktikan kepada pihak pentadbir di MPKj, bahawa apa yang ditimbulkan bukan tuduhan melulu dan tidak berasas, tetapi realiti keadaan BBB yang kotor !

Dalam perbincangan ada pihak yang menjawab secara escapisme, bahawa masalah sampah bukan di bawah kuasa kita (MPKj). Tetapi di bawah Alam Flora. Kuasa mereka berterusan hingga 2015 baru tamat perjanjian ! Begitu mudah melepas tangan! So apa peranan mereka kita lantik menduduki MPKj, khususnya bagi yang menduduki bahagian kebersihan?

Sebenarnya tidak ada pada mereka sentuhan dan kehalusan dalaman yang sensitif dengan permasalahan bersih dan keindahan, sebab itu tidak timbul rasa tanggungjawab dan rasa kecintaan terhadap kerja berhubung dengan kebersihan dan keindahan. Kalau dikatakan kekangan Alam Flora mengapa Subang Jaya dan Shah Alam kelihatan bersih, hijau dan menjadi Bandar dalam taman? Sedangkan BBB adalah Bandar sampah, semak samun dan penuh kotoran? Adakah semua ini sebagai satu sabotaj yang disengajakan?

Apakah pihak pentadbiran di MPKj dari atas ke bawah perlu diketuk baru mengambil inisiatif dan bekerja? Keadaan nampaknya sedemikian! Misalnya apabila pihak Adun Bangi melancarkan dan menjadikan tahun 2009 sebagai Tahun Bersih, dan diikuti oleh MPKj selepas itu atas arahan dari Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, maka boleh pula pihak MPKj dan ahli-ahlinya turun padang sehingga lahirnya zon bersih (sekadar sementara, tetapi papan tanda berterusan!) dan keadaan kebersihan agak baik pada masa itu, mengapa semangat, inisiatif dan tindakan kebersihan sedemikian tidak berterusan? Mengapa pada masa itu tidak timbul halangan Alam Flora sebagai escapisme? Apakah semua kerja kebersihan yang menjadi tanggungjawab bagi MPKj perlu disertai sama oleh pihak lain – misalnya perlu mengadakan gotong royong berterusan sebagai tugas rasmi NGO dan penduduk setempat bersama MPKj, maka kebersihan baru berjalan?

Apa yang diperhatikan tugas dari segi kebersihan selama ini adalah mengangkat dan mengangkut sampah yang sedia terlonggok dan yang dipungut dari belakang atau hadapan rumah. Tidak ada konsep kerja membersih dalam mana skuad bersih bergerak membersih kawasan Bandar, taman, longkang dan pemotongan semak dan lalang, sebab itu tempat-tempat sedemikian terbiar kotor. Jauh dari meningkatkan jalan dan taman dengan hiasan-hiasan pokok bunga dan pohon-pohon menghijau yang menarik pandangan, Nampaknya jauhlah bagi Bangi untuk menjadi Bandar Dalam Taman.

Bandar Baru Bangi Bandar Ilmu dan strategik, merupakan jalan masuk ke Putrajaya dan ke Kajang. Kita impikan selepas memasuki tol Kajang ternampak pandangan indah dengan taman-taman menghiasi tepian jejambat dan jalan-jalan ke Bangi dan ke Kajang, hijau dan cantik serta sejuk mata memandang dan tidak kering kontang, begitu juga jalan masuk dari Gerbang Selatan melalui tol Bangi kiri kanan jalan, bulatan dihiasai taman-taman menghijau, bahkan setiap jalan ke pengajian-pengajian tinggi wajar di hiasi taman, juga taman-taman di kawasan kediaman. Sebenarnya adalah kasar untuk mengatakan pimpinan di MPKj kekeringan idea, kreativiti dan usaha menyebabkan keringnya kawasan dari daya tarikan indah dan menyenangkan!

Kita mengharapkan MPKj yang banyak dengan mesyuarat itu, tidak hanya terhenti mesyuarat setakat dalam bilik mesyuarat, tetapi misalnya yang berhubung dengan kebersihan, penghijauan dan seni taman perlu turun padang berterusan. Paling utama atasi masalah kebersihan yang menjadi rungutan umum dan tingkatkan BBB sebagai Bandar taman sesuai dengan BBB sebagai Taman Ilmu!

Andainya keadaan seperti sekarang yang miskin dari idea, kreativiti dan usaha yang menyebabkan kawasan kotor, kering, tidak ceria dan menarik hati, kita syorkan pentadbiran perbandaran dipecah dua, peratusan cukai yang didapati dari kawasan BBB dan sekitarnya diserah dibawah pentadbiran Ketua Bandaran BBB atau diserah kepada Jawatankuasa penduduk sahaja yang kita percaya mampu mentadbir dan menjadikan Bangi Bandar Taman dan Bandar Ilmu.

Sekian.

June 27, 2011

Lawatan Menyampaikan Peruntukan Kerajaan Pakatan Negeri Selangor Kepada Sekolah-Sekolah Tamil Dan Cina Di DUN Bangi

BBB, 20 Rajab = 22 Jun (Rabu):


Pagi ini Adun bersama Sdr. Ari Krishnan Pengerusi Dewan Penyokon Pas Serdang dan pengiring saudara Shahrum Abdullah keluar membuat lawatan dan menyampaikan peruntukan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor kepada beberapa buah Sekolah Tamil dan Sekolah Cina di DUN Bangi: Peruntukan ini merupakan peruntukan tahunan yang diagihkan kepada Sekolah-sekolah rakyat

1) Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK (T) , West Country (Barat):

Salah sebuah dari Sekolah Tamil seluruh Selangor berjumlah 97 buah. Lokasi Sekolah Tamil bagi Bekas pekerja-pekerja estate ini berhadapan dengan Hospital Serdang, seberang jalan sebelah kanan dari Putrajaya ke Kajang-Bangi, Sekolah ini dibina sekitar tahun 1950an. Walaupun Sekolah ini terletak di luar dari Dun Bangi, tetapi dianggap sebahagian dari West Country (Timur) yang terletak di bawah DUN Bangi, maka Sekolah ini dikira sebagai di Bawah DUN Bangi


Kehadiran kami disambut oleh Penolong Guru Besar Puan Valiganan. Guru Besar Puan Magiswari mulai bercutu pencen. Hadir sama Mr. Manimaran YDP PIBG Sekolah, Saudara Sem dari Kelab Penyokong Pas dan guru-guru. Menurut Pengerusi PIBG, bahawa murid-murid Sekolah ini berjumlah 80 orang dengan jumlah guru seramai 12 orang. Jalan masuk ke Sekolah ini bermasalah kerana melalui tanah pemaju dan tidak ditarkan. Syarikat berjanji akan membuka laluan khusus keluar tapi tak pasti bila.

Kepada YDP PIBG dengan disaksikan Penolong Guru Besar dan berhadapan guru-guru Adun menyerahkan cek kepada Mr Manimaran YDP PIBG. Cek seharga RM3.000. Kemudian kami bergerak ke:

2) SRJK(T) Pekan Bangi

Sekolah yang lebih kurang seusia dengan SRJK(T) West Country Barat di atas. Sekolah ini bermasalah dari segi tapak, kerana pada asalnya milik individu, tapi kini telah dihadiahkan kepada Sekolah, luasnya tidak sampai dua ekar dan memerlukan pertambahan kawasan, tapi tanah yang diperlukan adalah milik persendirian.

Kesampaian kami disambut oleh pihak Pengerusi PIBG En. Paniselvam dan guru-guru. Guru Besarnya Puan K.Devi Pillai baru berpencen. Sekolah ini masa kini mempunyai 139 murid dengan 14 orang guru. Peruntukan yang kami sampaikan kepada YDP PIBG Sekolah ini ialah RM5,000/=. Dan RM660/= wang pendaftaran bagi pelajar miskin yang pernah dijanjikan dahulu.


3) SRJK© Yoke Ming

Dari SRJK(T) kami bertolak ke SRJK© yang juga terletak di Pekan Bangi. Lokasi Sekolah ini cantik, terletak di atas tanah tinggi yang berkeluasan 2 ekar. Sekolah asal didirikan sejak 1930an di tapak bersebelahan, kawasan baru mula digunakan 1949. Kehadiran kami disambut oleh En. Albert Naib Pengerusi PIBG dan Puan Loke Penolong Kanan. Guru Besar baru ditukar ke Sekolah lain dan belum ada penggantinya. Beberapa AJK dan guru turut hadir. Menurut Penolong Kanan Sekolah mempunyai 201 orang murid dengan 15 guru. Sekolah ini agak unik kerana 40% daripada pelajarnya adalah Melayu dan antara Ahli PIBG adalah juga Melayu. Sekolah ini antara SRJK© terbaik di Hulu Langat. Jumlah peruntukan yang kami sampaikan ialah RM10,000.



4. SRJK(T) West Country Timur

Sekolah ini antara Sekolah Tamil terbesar di Hulu Langat dibina sejak Merdeka. Kini Sekolah ini mempunyai 2 buah bangunan baru yang sebuah darinya tiga tingkat dan baru siap berharga RM2.3 juta. Mulai digunakan pada akhir 2010. Kehadiran kami disambut oleh Pengerusi PIBG Mr. Murthy dan AJK serta Guru Besar Miss Vasuki dan guru-guru. Sekolah ini mempunyai murid-murid seramai 432 orang dengan guru berjumlah 30 orang. Adun mempunyai hubungan baik dengan Sekolah ini dan sering meluluskan peruntukan yang dipohon seperti membina pondok pengawal, membaiki kerosakan bangunan, memberi peruntukan bagi sambutan-sambutan tertentu, memasang tanda arah Sekolah dan sebagainya.


Peruntukan yang disampaikan pada hari ini melalui Pengerusi PIBG berjumlah RM5,000 dan RM930 peruntukan bagi yuran pelajar miskin.

Sekian.

Sejenak Ke Arah Membudayakan Diri Dengan Membaca; Peraduan Mengarang Esei Dan Puisi Bangi Bandar Ilmu Dilancarkan

Tasik Cempaka, BBB, 24 Rajab = 26 Jun (Ahad):

Bandar Baru Bangi hari ini secara serentak sama dengan pihak negeri di Shah Alam – memperuntukkan masa sejenak bagi peserta Membudayakan Diri Dengan Membaca bermula dari jam 10.45- 11.00 pagi bertempat di pinggiran Tasik Cempaka. Peserta membaca bahan yang diedarkan oleh Penganjur iaitu Sekretariat Bangi Bandar Ilmu Adun Bangi, Pejabat Daerah dan Pihak Perpustakaan Hulu Langat. Hadir bersama ialah YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Puan Norfaezah binti Omar Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), En. Anuar Akasah dari Perpustakaan Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, wakil-wakil agensi dan orang ramai.

Sebelum dari tiba jam 10.45 Adun Bangi Melancarkan Peraduan Mengarang Esei Dan Puisi. Peraduan ini sempena Sambutan 3 Tahun Pengisytiharan Bangi Bandar Ilmu yang dilakukan oleh Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim pada 22.6,2008 bertempat di KUIS. Peraduan Mengarang melibatkan tiga kategori:

1) Mengarang esei pada peringkat tinggi panjangnya antara 5,000 – 6,000 perkataan
2) Mengarang esei peringkat Menengah, panjangnya antara 1.500 – 2,000 perkataan
3) Menulis puisi (Pantun, Sajak, Syair dan sebagainya).

a) Esei Peringkat Tinggi bersifat ilmiah, menggunakan rujukan adalah lebih baik: Tajuk-tajuk panduan adalah seperti berikut:

1. Bangi Bandar yang membangun berpaksikan pusat pengajian dengan masyarakatnya berbudaya keilmuan.
2. Bangi Bandar Universiti: Realiti dan Harapan
3. Peranan pelbagai agensi dan institusi di sekitar Bangi bagi membina imej Bangi Bandar Ilmu
4. Bangi masih belum layak diiktiraf sebagai Bandar Ilmu
5. Kegiatran dan aktiviti bagi pengisian Bangi Bandar Ilmu
6. Industri keilmuan menjana ekonomi
7. Program dan aktiviti tahunan bagi kegiatan keilmuan di Bangi
8. Konsep Bandar Ilmu/Universiti di luar Negara sebagai panduan bagi Bangi Bandar Ilmu.
9. Melahirkan pemikir, ilmuan, budayawan dan pemimpin di Bangi
10. Memupuk masyarakat berilmu di Bangi sebagai Bandar bagi Negara Sempurna (Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur).

b) Judul-judul bagi kategori Peringkat Menengah

1) Bangi Bandar Sejahtera, aman, berilmu dan berkebajikan.
2) Meningkatkan kualiti hidup melalui institusi kekeluargaan
3) Peranan surau dan masjid di taman perumahan kami di Bangi
4) Tempat-tempat istimewa di Bangi
5) Kerjaya ibu bapa saya adalah cabaran bagi saya.
6) Minat/hobi dan aktiviti di luar masa Sekolah saya
7) Peranan Golongan muda bagi pengisian Bangi Bandar Ilmu
8) Memupuk keharmonian di kalangan penduduk Bangi
9) Sekiranya dilantik sebagai pemimpin di Bangi saya akan …
10) Bangi pada tahun 2021

c) Puisi (Pantun, Sajak, syair dan sebagainya) – temanya:

1) Kecintaan pada Allah dan Rasul
2) Berkaitan dengan Bangi Bandar Ilmu
3) Kecintaan pada Ilmu
4) Kecintaan pada Alam
5) Kecintaan pada keharmonian

Hadiah Untuk semua kategori

Pemenang Tinggi Menengah Puisi

Pertama RM5,000 RM1,000 RM1.000
Kedua RM4,000 RM800 RM800
Ketiga RM3,000 RM500 RM500
Saguhati RM1000 RM100 RM100

(Penerima hadiah juga akan dikurniakan Sijil Penyertaan)

Syarat Peraduan

1) Terbuka kepada warga Negara Malaysia
2) Semua karya mestilah asli dan dalam bahasa Melayu
3) Setiap hasil tulisan mestilah dihantar dalam `hardcopy dan soft Copy
4) Setiap karya mestilah disertakan, nama, alamat, No. Kad Pengenalan serta no telefon.
5) Esei adalah berdasarkan kepada satu tajuk panduan pilihan yang telah disenaraikan
6) Setiap penyertaan mestilah menggunakan format borang penyertaan yang disediakan
7) Tarikh Tutup semua peraduan adalah pada 31 Disember 2011.
8) Semua hasil penyertaan adalah menjadi hakmilik penganjur
9) Keputusan panel hakim adalah muktamad. Hanya karya yang memenuhi mutu yang telah ditetapkan layak menerima sebarang hadiah
10) Semua karya hendaklah dihantar ke Pejabat Adun Bangi atau melalui email - drshafien26@gmail.com.
11) Karya yang terpilih akan diterbitkan dalam bentuk buku
12) Sebarang persoalan bolehlah menghubungi:

Pejabat Adun Bangi, No. 8 Jln ¼ , Seksyen satu, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
Tel: 03: 89250891 atau hubungi Nabilah – 0132845497, Aisyah 0137017920

Selepas pelancaran pertandingan mengarang dan membaca lima belas minit Adun Bangi diiringi


Puan Nurfaezah menarik tali bagi memaparkan poster Bangi Bandar Ilmu dan Pelancaran Peraduan Mengarang seterusnya menandatangani postar berkenaan.

Sekian.

June 26, 2011

Rumah Mampu Milik; Najib Tiru Selangor

BBB, 23 Rajab = 25 Jun (Sabtu):

Pengumuman Datuk Seri Najib Razak semalam, bahawa pihak kerajaan Persekutuan akan melancarkan Projek `Perumahan Mampu Milik` di atas tapak lapangan terbang TUDM Sungai Besi, apabila Tentera Udara Diraja dipindahkan ke tapak Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja yang baru di Sendayan Negeri Sembilan kelak.

`Projek Rumah Mampu Milik` untuk rakyat ini bukan sesuatu yang baru. Projek yang sedemikian telah dirancang oleh pihak Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor sejak dua tahun yang lepas, bahkan `Projek Perintis` pertama telah dilancarkan pada 3 Jun 2011 dan upacara Pecah Tanah dilakukan oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim pada petang itu bertempat di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi.

Perumahan mampu milik ini dibangunkan di atas keluasan tanah 3.99 ekar. Sejumlah 124 unit rumah pangsapuri 6 tingkat berlif jenis mampu milik yang mempunyai keluasan lantai, iaitu 700kp,750kp dan 800kp akan disiapkan. Adapun yang dicadangkan oleh Perdana Menteri masih jauh dari menjadi reality kerana menunggu perpindahan lapangan terbang TUDM terlebih dahulu, walaupun dijangka dilancarkan pada bulan depan.. Semetara menunggu rumah mampu milik Kerajaan Persekutuan, dijangka Selangor pergi lebih jauh menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat. Kerana selepas Bangi akan didirikan di Antargapi, Kota Puteri, Taman Putera, Bernam Jaya dan Gombak.

Untuk siapakah didirikan rumah mampu milik Kerajaan Persekutuan ? Sebagaimana rumah mampu milik di Selangor ditujukan kepada rakyat berpendapatan rendah, maka demikianlah dikatakan rumah mampu milik yang akan didirikan oleh Kerajaan Persekutuan. Tahukah berapa harga rumah mampu milik Kerajaan Persekutuan ? Harga satu unit ialah RM220,000 atau kurang daripadanya. Harga ini amat tinggi jika dibandingkan dengan harga rumah mampu milik di Bangi iaitu antara RM60,000 hingga RM99,000 bergantung pada keluasan dan kedudukan. Rumah mampu milik kerajaan Persekutuan tidak mampu dimiliki oleh rakyat jelata, tetapi ianya memberi peluang kepada mereka yang berada memiliki rumah berkenaan. Tawaran oleh kerajaan Selangor kepada rakyat membeli rumah ialah bagi mereka yang menerima gaji bulanan antara RM2,500 hingga RM5,000, ia adalah praktikal, tetapi tawaran bagi Rumah Mampu Milik Kerajaan Persekutuan ialah bagi mereka yang dikatakan berpendapatan RM3,000 sebulan, dengan harga rumah yang begitu mahal, ianya tidak praktikal, kerana di dalam keadaan harga semua barang dan perkhidmatan naik, sebenarnya dengan pendapatan RM3,000 sebulan sukar bagi rakyat membeli rumah, apa lagi bagi yang berkeluarga besar. Kita berharap pihak Kerajaan Persekutuan tidak semata-mata meniru Selangor tanpa memikirkan kemampuan rakyat sebenarnya. Harga yang ditawarkan seharusnya praktikal. Peniruan kerajaan Persekutuan nampaknya tidak terhad kepada Rumah Mampu Milik, tetapi apabila Kerajaan Negeri Selangor mengecualikan bayaran bil air yang digunakan di bawah 20 kubik meter, maka kerajaan Persekutuan menawarkan pengecualian bagi mereka yang terpilih secara gimik di bawah Syabas. Untuk menunjukkan prihatin Kerajaan Persekutuan mengecualikan pembayaran mereka yang menggunakan letrik di bawah daripada RM20.00. Tapi dalam keadaan tariff letrik naik siapakah yang hanya menggunakan di bawah RM20.00 ?

Kerajaan perlu memikirkan beban rakyat dalam mana harga rumah sekarang ini melambung tinggi dan kenaikan berlaku antara 200% hingga 500%, sedangkan gaji hitung panjang kenaikan tahunan hanya sekadar 2.6% sahaja. Kerajaan Persekutuan menetapkan garis kemiskinan ialah mereka yang berpendapatan RM700 sebulan. Ini menjadikan 34% rakyat negeri ini di bawah garis kemiskinan. Adakah rakyat yang berada di bawah garis kemiskinan sedemikian mampu membeli rumah Mampu Milik Kerajaan Persekutuan ? tetapi apakah rakyat di bawah garis kemiskinan tidak berhak mendapat lindungan ?

Kerajaan Persekutuan wajar memikirkan kemampuan rakyat membeli rumah, jangan semata-mata meniru Selangor, tetapi tidak praktikal dari segi kemampuan rakyat.

Sekian.

June 25, 2011

Ultra Wireman Di Hospital Serdang ? - Dato` Dr. Siddiq Fadhil

Anekdot:

Hospital Serdang, 22 Rajab = 24 Jun (Jumaat):

Pada minggu lepas kami sudah dapat tahu Dato` Dr. Siddiq Fadhil dimasukkan ke Hospital Serdang, kerana dikatakan diserang `Minor Heart Attack` dan dimasukkan ke ICU Hospital Serdang. Tetapi untuk seminggu lepas. Doktor tidak menggalakkan pengunjung-pengunjung mengunjunginya, kerana takut berlaku jangkitan kuman dan gangguan.

Petang ini Lajnah Kebajikan Adun mengatur program untuk lawatan menziarah Dato` Dr. Siddiq Fadhil yang sudah keluar dari ICU dan ditempatkan di ward biasa. Kami pergi berasingan dan berjanji berjumpa di lobi hospital, Yang hadir antaranya ialah saudara Azmi, Azizi, Harun, Ustaz Hashim dan beberapa yang lain lagi. Adun datang menziarah bukan sekadar Dato` Dr. Siddiq Fadhil tinggal di Dun Bangi, tetapi lebih kepada sahabat yang sekian lama terjalin. Kami bersama ketika membuat tesis di bawah Profesor Dr. Syed Naquib al-Attas di IBKKM, UKM. Sama sejabatan mengajar di UKM. Beliau terkenal sebagai Bekas Pemimpin Pelajar dan pernah memimpin ABIM sebagai Presiden. Sama-sama mencapai kerjaya sebagai Profesor Madya. Bila Adun keluar dari UKM dan melibatkan diri dalam politik, Dato` Dr. Siddiq Fadhil memimpin institusi Pengajian Tinggi sebagai Presiden Kolej Dar Al-Hikmah di Sungai Ramal, Kajang hingga kini.

Dato` Dr. Siddiq bijak berpidato dan pandai menghidupkan suasana dengan humor dan gurauan yang mentertawakan. Ketika kami tiba di tingkat lapan itu, beliau berada di atas katil. Kami bersalam dan bertanya khabar tentang sakit yang dialami. Kata beliau,
``Lebih seminggu sebagai Ultra wireman.`Kami ketawa.
`Sekarang al-hamdulillah tidak lagi berwire,` gurau Adun.
`Ini masih ada, masih lagi wireman, kalaupun tidak lagi ultra wireman`` beliau menunjukkan wire yang dipakainya. Beliau istilahkan sebagai `belalai` disambung ke hidungnya dari peralatan. Sahabat-sahabat ketawa.
Kerja wireman menyambung tenaga yang terputus, tapi wire ini tidak dapat mengesan mengapa tak dapat menelan, kata Dato` Dr Siddiq merujuk kepada antara sakit yang dialaminya.
``Tapi melalui wire itu disalur susu. Besar juga fungsinya,`` antara sahabat mencelah cakap.
`Tapi Yang Lebih Besar, ialah Yang Memberi Peluang, masih dapat disalurkan susu untuk menyambung hayat !.` Beliau bermadah, `Begitu rapuh hidup kita, sedikit rosak terganggu hidup,` tambahnya.
``Kembali semula macm anak kecil,`` kata Adun merujuk kepada kebergantungan pada minuman susu – masih tidak dapat makan yang lain.
Beliau menjawab secara bergurau, `Ya budak, tapi budak tua yang boleh pergi bila-bila masa !` ramai-ramai ketawa.
Bagi mengurangkan tekanan keadaan Adun berkata, Tapi al-Hamdulillah semakin sihat, Tuhan beri inta kemudahan bercakap. Ada yang diserang sakit terus tidak bercakap.``
`Al-hamdulillah saya bersyukur, walaupun sakit, tidak lupa ingatan dan tidak sampai tidak dapat bercakap.`` kata beliau sebagai pernyataan syukur.
Adun menambah, `Kerana inta memang professional bercakap, maka Tuhan kekalkan rahmat-Nya inta dapat bercakap.`` kata Adun.
`Ya, bersyukur, walaupun hilang sedikit nikmat kesihatan, sekurang-kurang dapat berzikir di mulut, di hati dan minda.`` katanya.
Memang di atas ribanya seuntai tasbih yang jari-jarinya bergerak membilang tasbih sekali sekala, walaupun sedang berbicara dengan kami.``
Tatkala kami memohon izin berundur dengan menyampaikan sedikit buah-buahan sebagai cendera hati, beliau bergurau lagi,
`Rezeki orang sihat menumpang pada orang sakit,` Kami ketawa, termasuk isteri dan anak-anaknya yang hadir menunggunya.

Kami bergembira, dari suasana di atas menunjukkan Dato` Dr. Siddiq makin sembuh. Walaupun dalam keadaan sakit beliau ceria menerima kami, bahkan kami sering berderai ketawa !

Semoga Allah menyegerakan Dato` Dr. Siddiq Fadhil sembuh dan dapat kembali berkhidmat kepada masyarakat. Insya Allah.

Sekian.

June 24, 2011

Mempastikan Arah Kiblat Surau Al-Faizin & Melawat Pembinaan Sekolah Agama

Taman Tun Perak, Balakong, 18 Rajab = 20 Jun (Isnin):


Pagi ini jam 10.00 Adun berada di Taman Tun Perak untuk bersama pasukan dari Jabatan Mufti Negeri Selangor diketuai Ustaz Jazlan bin Ali bagi mempastikan arah kiblat Surau Al-Faizin yang dalam proses pembinaan. Pada 15 Mei 2011 yang lepas Adun sendiri telah datang merasmikan upacara pelancaran papantanda pembinaan, tetapi ukuran arah kiblat pada masa itu diukur secara kasar. Walau bagaimana kerja-kerja kontrektor Syarikat `Masih Edar` di bawah Tuan Haji Wan Huzainizam tetap berjalan.


Hadir sama mempastikan arah kiblat selain dari Adun Bangi dan Ustaz Jazlan ialah Ustaz Azmi dari Jabatan Mufti dan dua pekerjanya, Ustaz Ridhuan bersama isterinya, En. Rosmin Bendahari Surau Al-Faizin dan saudara Suhaimi selaku Setiausaha. Ukuran dibuat memakan masa 2 jam sehingga menemukan arah kiblat bagi Surau Al-Faizin ini iaitu pada:


292 darjah

033 minit

044 saat


Menurut Ustaz Jazlan bin Ali dari Jabatan Mufti negeri Selangor, jurukur di bawah Jabatan Mufti ini adalah jurukur bertauliah menurut ISO 2008 di bawah kawalan SIRIM dan menerima sijil pengiktirafan darinya. Jabatan Mufti mempunyai 4 team jurukur yang bergerak ke seluruh negeri Selangor mengukur arah kiblat surau dan masjid di negeri Selangor atas permintaan, terutama bagi masjid dan surau yang baru.


Sempena menyaksikan kerja-kerja mengukur ini, Ustaz Jazlan memberi kursus ringkas kepada kami Kaedah Semakan Arah Kiblat.Iaitu melalui Kaedah Istiwa` Utama Matahari Di Ka`bah. Menurutnya kaedah ini penting terutama bagi memastikan arah kiblat bagi rumah-rumah kediaman.


Kaedah berasaskan bulatan 360 darjah bagi satu darjah dari bulatan bersamaan 126KM dan bagi pergerakan jarum jam bagi satu minit ialah 2 KM.


Terlebih dahulu dimaklumkan dalam setahun ada dua hari yang matahari betul-betul berada di atas Ka`bah, iaitu pada 28 Mei (Jam 5.16 petang) & pada 16 Julai (Jam 5.28 petang), masa itu boleh ditegak pengukur dan bayangnya memberi arah kiblat yang benar. Adapun pada masa-masa yang lain boleh diukur dengan garis latitude dan longitude dan kedudukan arah kiblatnya . Tempat yang diambil sebagai contoh ialah di Kampong Gedansa pada bulan tertentu, maka untuk tempat-tempat yang lain ditambah menurut kejauhan. Misalnya bagi Bangi di tambah 4 minit, maka dapat ditentukan menurut jadual bulan-bulan. Turut diberi penerangan tentang Jadual Qiblat Lintasan Matahari Negeri Selangor dari Januari ke Disember (Setahun). Berpandukan penerangan ini kita boleh mempastikan arah kiblat rumah kita bila-bila masa.


Sementara itu sebelum tibanya rombongan dari Jabatan Mufti ini kami telah melihat progress pembangunan Sekolah Agama Taman Tun Perak bersebelah surau yang diukur kiblat. Adun terlibat mengusahakan bagi mendirikan Sekolah Agama Sejak awal dan diluluskan dan pembinaan 2 blok Sekolah tiga tingkat dan sebuah Dewan Makan. Tanah adalah seluas 6.5 ekar dan setengah ekar lagi berhampiran ialah tapak surau yang telah digezetkan. Kerajaan negeri Selangor mengeluarkan peruntukan bagi membina Sekolah ini ialah sebanyak RM8 juta . Bila siap Sekolah agama bersebelahan tapak adalah sekolah terbesar dan menjadi satu syiar agama dan pendidikan Islam di sini. Sekolah ini bila siap (dijangka Disember 2011 tahun ini juga) akan dapat menampung seramai 1,500 pelajar. Dengan keluasan tanah yang berbaki, kita mencadangkan agar Sekolah Agama Menengah juga didirikan di atas tanah yang masih kosong bersebelahan sekolah yang sedang di bina.


Adalah diharapkan progres pembangunan Surau Al-Faizin berdekatan Sekolah Agama selari dengan pembinaan Sekolah dan juga diharap dapat disiapkan pada Disember 2011 ini juga. Dalam masa membangunkan Surau Al-Faizin ini pihak AJK Surau juga sedang giat menghimpun dana. Sesiapa yang ingin menderma boleh menghubungi AJK berkenaan – Bendahari En. Rosmi – Tel: 0133272258.


Sekian.

June 23, 2011

Kepimpinan Pragmatik Dan Agresif Aset Bagi Selangor ?

BBB, 20 Rajab = 22 Jun (Rabu):

Harapan tinggi ditagih dari kepimpinan Pas yang baru dilantik untuk mengekal dan meningkatkan kejayaan Pakatan Rakyat di Selangor. YB Dr. Abd. Rani Osman diberi kepercayaan oleh pimpinan Pusat mengepalai kepimpinan peringkat negeri. Apakah aset yang ada di Selangor bagi mencapai tujuan ini ?



Modal insan bernama `Kepimpinan Yang Baik dan Dinamik` ! Mekanisme bagi memilih kepimpinan terbaik telah berlaku melalui muktamar dan mesyuarat agung. Rumusan dapat dibuat, perubahan kepimpinan ketara berlaku di semua peringkat. Trend pemilihan kepimpinan mengutamakan yang baru/muda jelas berlaku di semua peringkat, termasuk di negeri Selangor.

Tetapi di Selangor trend penolakan bukan saja terhadap yang semata-mata tua, tetapi kepada Ahli Dewan Harian yang lama di bawah pimpinan lama jelas berlaku, kecuali seorang dua terpaksa dikekalkan, manakala perlantikan yang baru memperlihatkan trend dan aliran ke satu arah, atau lebih jelas dikatakan mereka yang bertentangan dengan PJ yang lama – sebagai berbalas buku bertemu ruas ? Walau apa pun ini adalah realiti perlantikan yang factual.

Lantas dan yang penting bagaimana dengan fenomena politik masa depan Pas Selangor dalam konteks Pakatan ? Dengan beradanya kembali kepimpinan Pas peringkat negeri – paling utama Khalid Samad yang vocal dan intelektual menjadi dinamika kepimpinan Selangor bersifat pragmatik dan agresif’. Khalid akan lebih berani mengeluarkan pendapat, sokongan, cadangan dan kecaman. Dulu beliau pernah disingkir pada peringkat negeri dan pusat atas sebab-sebab demikian. Kelantangan Khalid bersambut dengan keberanian Saari Sungib – Bekas Tahanan ISA, yang rajin mencari fakta dan mengemukakan idea dan cadangan, bahkan kritikan. Beliau juga pernah menerima nasib yang sama dengan Khalid Samad tersingkir pada peringkat negeri. Antara tokoh yang akan mengukuhkan kedudukan mereka, ialah Izham Hashim yang petah bercakap dan berhujah. Ini menjadikan gelanggang politik Pas Selangor hangat dan bersemangat.

Kewujudan mereka di dalam gelanggang politik Pas Selangor ada semacam keselarian dengan pemimpin-pemimpin PKR yang dulu tidak selari, bahkan dianggap bermasalah dengan Bekas PJ lama. Bagaimana dengan kepimpinan yang lain dalam perhubungan Pas Selangor ? Baik pada peringkat kepimpinan ulama, pemuda dan muslimat kurang dengan perwatakan unggul yang menonjol ke taraf Pusat.

Di mana kedudukan dan peranan PJ ?

PJ dilantik atas sifatnya yang menonjol, terkenal dan aktif pada peringkat kawasan, giat di dalam gerakan NGO, khususnya Amal Malaysia dan terlibat dengan pemulihan dan pertolongan pada peringkat nasional dan antarabangsa, mengetuai `Backbencher` di Dewan Negeri Selangor. Beliau dilihat sebagai `Mr. Clean` dan mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan peringkat Pusat, berwatak religious dan tidak kontroversi. Tetapi beliau tidak agresif, tidak vocal, lembut, bila bercakap selalu tersudut ke soal agama dan sedang menunggu ujian bagi memperlihatkan kebijaksanaannya di dalam kepimpinan. PJ baharu perlu menangani watak dinamik, progresif dan agresif yang ada di dalam kepimpinan negeri untuk dimanfaatkan bukan memudaratkan. Mereka bukan musuh, tetapi aset. PJ juga perlu meningkatkan kualiti kepimpinan yang lain yang kelihatan umum dan biasa yang lebih bersifat mendengar dan melihat dari bercakap. Mereka perlu diberi tugas yang layak dan bersesuaian dengan mereka dengan demikian timbul rasa kekitaan dan semangat bekerjasama di dalam jamaah. Mereka perlu digembleng dan bergerak serentak di dalam menghadapi musuh politik yang tak kurang dari mengatur strategi.

Di dalam konteks menghadapi pilihanraya ke 13 Selangor memerlui kepimpinan berwatak matang, intelektual, pragmatic dan agresif, sesuai dengan kedudukan Selangor yang maju dengan pelajaran, industri dan lalulintas maklumat. Watak pragmatif dan intelektual memang menjadi watak pilihan. Sebagai contoh Khalid Samad tokoh kontroversi ini, walaupun tidak disenangi oleh beberapa pihak, tetapi menjadi pilihan perwakilan. Ciri ini dan ciri-ciri positif yang lain bukan saja perlu ada di Shah Alam, tetapi di kawasan-kawasan Pas bertanding, bahkan di semua kawasan Pakatan.

Sekian.

June 22, 2011

Ziarah `Pesakit` - Dari Sedih Bertukar Gembira; Dari Takziah Bertukar Tahniah !

BBB, 17 Rajab = 19 Jun (Ahad):

(Anekdot):


Seorang sahabat yang lebih dikenali sebagai `Haji Amir Harakah` - kerana beliau adalah pengedar Harakah di sekitar Bangi, mengalami sakit bisa di kaki beberapa bulan lalu. Kami dari Lajnah Kebajikan membuat lawatan di Hospital Serdang ketika kakinya dalam keadaan kritikal dan memberi perangsang kepadanya dengan berbanyak sabar dan mendoakan kesembuhan dari Allah.


Apa yang diketahui selepas itu, beliau dikatakan sakit kencing manis dan kakinya terpaksa dipotong ! Kami berazam untuk menziarahinya sekali lagi, tetapi tidak mempunyai kesempatan hinggalah pada Ahad 19 Jun, setelah beliau pulang ke rumah, baru kami dapat mengatur masa untuk menziarahnya dan beliau bersetuju menerima kami pada jam 11.00 pagi. Sebagai orang yang kena potong kaki dan sakit, kami menjangka akan menziarahinya di katil pesakit dalam keadaan sedih dan bercadang membawa buah-buahan dan sedikit hadiah sempena ziarah. Kami bersedia dengan suasana sedih dan duka dan mungkin menitis air mata ketika menziarahinya nanti.


Pada sebelah pagi hari itu sebelum kami menziarah, isteri Adun ke Pasar Basah berdekatan rumah Adun. Dia yang mengetahui yang Adun dan rombongan akan menziarah Tuan Haji Amir Harakah terkejut besar apabila di pasar menemui Haji Amir berjalan seperti biasa membeli belah di pasar. Isteri Adun yang terkejut spontan memberi salam dan menyebut,

``Eh dan boleh berjalan ?`` Sesudah salam dijawab kata beliau,

`Sudah, setelah berlatih beberapa hari memakai kaki palsu, `` jawabnya.

``Al-hamdulillah, sekarang sudah boleh memandu,`` tambahnya

``Tak perlu menggunakan alat sokongan ?`` Tanya isteri Adun.

`Ya al-hamdulillah tak perlu, ` jawabnya.

Dalam keadaan excited isteri menyebut, ``Orang rumah bercadang menziarah Haji Amir bersama rombongan tengahari ini !` Sedikit ketawa.

`Ya, jam 11.00 hari ini,` Haji Amir mengiakan bagaikan biasa saja.

`Tapi dah sihat, macam mana nak ziarah !` tambah isteri Adun.

`Tak apa, ziarah tak perlu sakit, nak pulang ni menunggu mereka !` jawab Haji Amir secara bergurau.


Jam 11.00 kami tiba dihadapan rumah Haji Amir di Seksyen 15 di Bandar Baru Bangi. Rombongan yang tidak mengetahui perkembangan kesihatan Tuan Haji Amir terkejut melihat Haji Amir berada di hadapan rumahnya !

Sebelum kami memberi salam, Haji Amir sudah keluar menuju ke gate dan memberi salam terlebih dahulu kepada kami daripada kami sepatutnya lebih dahulu memberi salam kepadanya sebagai penziarah.


Kami dijemput ke dalam, isteri dan anak lelakinya ada bersama. Selepas bercakap, tanpa diminta oleh kami beliau mencabut kakinya dari kaki palsu dari betis ke bawah dan memberitahu kaki palsunya adalah `latest model` buatan German dan disponsor oleh UKM. (Beliau masih pekerja UKM). Menurut Haji Amir ia amat selesa berbanding dengan beberapa model yang telah dicubanya. Kata Haji Amir secara bergurau,

``Sekarang boleh banyak kaki, boleh banyak berjalan !``

`Ingat banyak duduk di rumah,` kata seorang dari kami.

``Mana boleh, hidup kena bergiat, jika tidak kita terperap,`` katanya.

`Nak buat apa, tanya seorang dari kami.`

`Bekerja dan bergiat seperti biasa,`` jawabnya.


Dari perbualan kami bersamanya, memperlihatkan Haji Amir ceria dan bersifat positif bagaikan tak ada apa-apa kekurangan padanya. Menurutnya beliau akan kembali bekerja selepas diberi cuti panjang dan akan aktif semula dalam pergerakan, termasuk akan mengedar kembali Harakah ! Begitu azam beliau bagi meneruskan perjuangan hidup.


Selepas berbual, minum dan menyampaikan cenderamata, kami memohon diri dan mengucap tahniah di atas kesihatannya yang baik. Bila keluar Adun terlihat stiker lambing OKU di keretanya. Adun bergurau,

`Wah ! Sekarang lagi mudah, ke mana pergi dapat kemudahan parking istimewa!`

Dia ketawa dan berkata, ``Memang sekarang ke mana-mana dapat kemudahan parking!`

Adun bergurau lagi, `Orang biasa boleh pinjam stiker untuk dapat kemudahan parking?``

Jawabnya sponton, `Tak boleh!` katanya.

`Bawa tongkat berpura-pura sakit?` bergurau Adun.

Jawab Haji Amir, ``Salah guna stiker dan parking tempat OKU, boleh didenda RM50.00!``

`Ooi tak boleh main-mainlah, `` jawab Adun yang bertujuan bergurau itu.


Nampaknya sejak mendapat kemudahan tempat parking dia sudah mahir dengan peraturan dan undang-undang.

Apa yang menggembirakan kami, melihat keceriaan beliau, seolah-olah tidak berlaku sebarang kekurangan dan kecacatan pada beliau. Al-hamdulillah.


Kami mengucap tahniah di atas kesihatan beliau yang pulih dan pandangan hidup beliau yang positif. Sementara itu pada hari Ahad 19 Jun 2011 yang sama kami berkesempatan menziarah mereka yang sakit dan yang memerlukan pertolongan iaitu:

1) Anak bernama Puvana Thurga Sri (6 tahun) di Council Home BBB, yang akan menghadapi pembedahan di IJN pada 20.6.2011. Memerlukan derma, walaupun sebahagian besar kos ditanggung IJN. Kami membantu untuk meringankan bebanan.

2) Cik Kavida yang memerlukan bantuan permulaan bagi pendaftaran universitinya (Open Universiti). Beliau tinggal d Taman Zamrud. Kami menghulur bantuan.


Sekian.