March 2, 2021

 

MASALAH  DALAMAN ANCAMAN PERLU DISELESAIKAN

(Fikrah Bangi:  878),

BBB:  18 Rejab 1442H. = 02 Mac 2021M. (Selasa).

Selepas setahun pentadbiran PN di bawah tadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan selepas insya Allah makin berkurangnya wabak Covid-19 dengan adanya berbagai vaksin dihasilkan bagi memberi ketahanan warga  negara ini dan juga warga dunia, maka apakah yang akan dihadapi negara, khususnya kepimpinan politik sama ada dari pihak pemerintah, maupun dari pihak pembangkang, ialah menghadapi pilihanraya yang ke 15. Pihak pembangkang memang mendesaknya berterusan sejak dari awal kenaikan pihak PN. Pihak pemerintah, khusuisnya PM dalam ucapannya sempena setahun pemerintahan yang disifatkan sebagai `Kerajaan Prihatin`  mengisyaratkan, bahawa selepas redanya wabak Covid-19, maka pihak kerajaan akan mendapatkan mandat dari rakyat bagi meneruskan pemerintahan, jika terpilih atau sebaliknya. Tempoh darurat  (hingga Ogos 2021) tidak menjadi halangan dari diadakan pilihanraya. Tempoh penggal pilihanraya ke 14  (2018-2022) masih panjang, tetapi pihak pemerintah tidak mau situasi politik tidak kukuh berterusan. Mandat baru yang lebih kukuh diperlukan.

Semua pihak termasuk pihak kerajaan yang memerintah haruslah dengan penuh kesedaran dari sekarang  membuat persediaan bagi menghadapi pilihanraya ke 15. Ucapan Perdana Menteri sempena setahun memerintah adalah menggariskan plan tindakan yang akan diambil bagi menghadapi pilihanraya.

Antaranya meneruskan strategi pengawalan terhadap wabak Covid, bahkan menghapuskannya. Dalam masa rakyat tertekan dan ramai yang kehilangan pekerjaan, maka antara janji yang diharapkan, dapat dibasmikan kemiskinan yang antaranya diakibatkan oleh Covid-19,  Bahawa mereka yang hilang pekerjaan dan yang bakal masuk ke pasaran pekerjaan akan mendapat peluang kerja, menyediakan peluang dari bidang ekonomi digital. Rakyat juga memerlukan jaminan dari segi keselamatan dan kesihatan. Mereka juga mengharapkan Rancangan  Malaysia yang ke 12 dapat memulihkan ekonomi negara bersama dengan pemulihan ekonomi global.

Apa yang penting ialah organisasi yang berhasrat meneruskan pemerintahan mestilah bersifat padu bersatu. Apakah ini berlaku di dalam PN yang mau mempertahankan kedudukan ?

Tidak dapat dinafikan ada masalah yang perlu diselesaikan di dalam PN. PN termasuk Sabah adalah dianggotai oleh Umno (BN), Bersatu, Pas, GPS dari Sarawak. Mereka berdepan dengan lawan dari PH yang terdiri dari PKR, DAP dan Amanah.

Masalah dalaman yang dihadapi oleh PN, ialah Umno yang merasa dirinya sebagai `Big Brother` yang sebelum 2018 mendominasai pemerintahan negara. Walaupun kalah dalam pilihanraya ke 14, tetapi Umno mempunyai kerusi yang banyak (42 BN)  berbanding dengan Bersatu (22) yang mengetuai pemerintahan pada peringkat parlimen dan negeri. Umno merasa lebih kuat dengan kemenangannya di dalam beberapa pilihanraya kecil pada akhir 2019 dan awal 2020. Walaupun Umno menyertai pemerintahan PN yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada peringkat pusat dan juga diketuai oleh pihak Bersatu pada  peringkat  beberapa negeri membawa rasa tidak puashati pihak Umno. Tidak seperti Pas dan parti-parti lain di dalam PN, Umno dalam tindak tanduknya menunjukkan rasa tidak puashati. Sebagai menunjukkan protes, mereka mau jawatan-jawatan yang lebih banyak sebagai mencerminkan kekuatannya di dalam PN. Kadangkala  tindakannya membayangkan  mau mewujudkan pakatan pihak lawan yang menjadi tandatanya, bukan saja dari PN, tetapi bagi rakyat. Pergolakan yang membawa perubahan pucuk pimpinan peringkat negeri seperti  di Johor, Melaka dan Perak memperlihatkan pihak Umno memperlihatkan kekuasaan.

Ungkapan yang menyatakan bahawa Umno tidak akan menyertai pilihanraya bersama Bersatu,  dan Umno tidak akan menyerahkan sebarang kerusi yang dimenangi sebelum ini secara terbuka memperlihatkan tidak ada rundingan secara tertutup yang seharusnya perkara-perkara yang memperlihatkan perpecahan di dalam PN tidak sampai terkeluar secara terbuka kepada orang ramai.

Walau bagaimana  pertanda perpecahan ini sudah menunjukkan sedikit terkawal. Walau bagaimana isu berkenaan bukan  bererti telah dapat diselesaikan sepenuhnya. Kita tidak melihat isu tidakpuas hati berlaku di dalam Bersatu, Pas dan GPS.  Mungkin ada tetapi tidak sampai  terkeluar secara terbuka kepada orang ramai.

Umno harus ingat situasi selepas Covid-19 adalah berbeza dari sebelumnya, sokongan mungkin berubah dengan kejayaan mengendalikan pemerintahan oleh pemerintah kini. Apa lagi dengan masalah yang dihadapi oleh beberapa kepimpinan tertinggi Umno. Jika Umno dilihat tidak setia dan mengugut untuk bertanding secara sendirian, mungkin hukuman yang akan diberi oleh rakyat lebeh teruk dari keputusan pilihanraya ke 14.

Perpaduan dan kesetiaan lebih penting dijaga di dalam persediaan dan rundingan  menghadapi pilihanraya ke 15.

Sekian.

March 1, 2021

 

SETAHUN  UJIAN  LULUS  PENERUSAN

(Fikrah Bangi: 877),

BBB: 17 Rejab 1442H. = 01 Mac 2021M. (Isnin).

 

Hari  ini genap setahun Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat menjadi Perdana Menteri Kelapan Malaysia. Muhyuddin sebenarnya bukan dari rumpun parti yang lain. Dia berasal dari (Umno-BN) yang disingkir dari jawatan Timbalan Perdana Menteri semasa Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri. Akibat dari penyingkiran beliau telah berusaha menubuhkan parti Bumiputra Bersatu yang tidak  jauh miripnya dari Umno. Bila PH ditubuhkan kepimpinan bertukar kepada Tun Mahathir yang memimpin Bersatu dan PH, maka peluang Tan Sri Muhyiddin agak samar, kerana  berdepan dengan Datuk Sri Anwar Ibrahim yang lebih disebut-sebut bakal mengganti Tun Mahathir.

Bila konflik berlaku di dalam PH yang membawa kepada perletakan jawatan Tun Mahathir, maka Tan Sri Muhyiddin lebih  mendapat kepercayaan dan dilantik oleh DYMM Sri Paduka Yang Di Pertuan Agong menjadi Perdana Menteri – pada hari ini setahun yang lepas.

Setahun berlalu Tan Sri Muhyiddin bin Yassin bersama kabinetnya yang dilabel oleh pihak pembangkang dengan cara yang tidak menyenangkan, maka Tan Sri Muhyiddin menghadapi beberapa ujian. Dalam tempoh yang pendek beliau tidak berkesempatan merangka pembangunan yang jika pada zaman Tun Mahathir membangun bangunan yang tinggi seperti Twin-Towers dan berkesempatan membangun pusat pentadbiran negera seperti Putrajaya dan tidak juga berkesempatan merangka pembangunan seperti semasa Datuk Sri Najib dengan projek Pan-Borneo,  Keretapi Laju ke Pantai Timur dan Keretapi Laju dari Kuala Lumpur ke Singapura yang dibatalkan – buat sementara?

Sebaik Tan Sri Muhyiddin menerima amanah mentadbir negara beliau dan kabinetnya diuji.

Pertama kedudukan dari segi politik yang PN mempunyai majoriti tipis dan digugat dengan undi tidak percaya, terutama dari Ketua Pembangkang Datuk Sri Anwar Ibrahim yang ketara menunjukkan keinginannya mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Namun Tan Sri Muhyiddin terselamat dengan majoriti tipis.

Ujian kedua ialah berdepan dengan wabak Covid-19, sebaik beliau menerima jawatan, maka Covid-19 mulai bertapak di negera ini dan diisytiharkan sebagai wabak mulai 18 Mac 2020.

Banyak peruntukan kewangan terpaksa dikeluarkan bagi memerangi wabak Covid-19 dan banyak tenaga pekerja dari kementerian Kesihatan, Pertahanan negara dan Awam, tentera dan polis, Ngo dan orang awam berusaha sama menggembleng tenaga melawan  wabak Covid-19. Semua menyedari wabak ini  merebak ke seluruh dunia dan memakan korban pada peringkat global lebih dari dua juta dan di negara kita melebihi dari 1000 orang. Darurat  terpaksa diisytiharkan bagi memberi tumpuan membasmi Covid-19.

Kini negara pada peringkat melawan Covid-19 secara vaksin yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat  Pharmacology terkenal seperti Pfizer dari Amerika dan German, Astra Zaneca Oxford, Sinovak, Sputnik 5 dan Johnson & Johnson. Kepimpinan Tan Sri Muhyiddin berjaya mendapat beberapa vaksin sejak dari 21Februari dan Sinovik beberapa hari berikutnya dan kini uasaha memvaksinkan rakyat sedang rancak dilakukan dan dijangka 80% daripada rakyat negara ini akan divaksinkan. Pertanda menunjukkan keberkesanaan mereka yang mendapat vaksin dari luar negara dan diharap kesan sama terhasil di negara ini. Tambahan lagi semasa rakyat menerima vaksin, wabak Covid-19 mulai menurun. Pengawalan dan SOP terus dipatuhi dan dengan  berkurangan wabak diharap negara kita akan terhindar dari wabak secara  berterusan.

Selain dari ujian politik dan kesihatan, ujian yang dihadapi Tan Sri Muhyiddin ialah akibat dari gangguan Covid-19 menyebabkan gangguan ekonomi dengan perniagaan  lembab, pengangguran bertambah, ramai rakyat  jatuh  miskin, pendidikan juga terganggu.

Walau bagaimana dengan peruntukan kerajaan yang dikeluarkan seperti Plan Jana Ekonomi dengan peruntukan RM35 bilion, peruntukan lestari, dengan RM18.1 bilion, Sinar dan Permai dap[at membantu rakyat dari terus terjerat dengan masalah ekonomi.

Dengan perancangan yang diatur bagi tempoh 2020-2030 peluang pekerjaan dapat diwujudkan, begitu juga dengan ekonomi digital akan mewujudkan

Generasi yang fasih dalam bidang digital serta tingkat kemampuan dan mengurang jarak bagi yang tidakmenguasai bidang berkenaan.

Ini diperkukuhkan dengan Projek Rancangan Malaysia ke 12 akan lebih memperingkatkan kemampuan ekonomi Malaysia.

Dalam tempoh setahun Tan Sri Muhyiddin makin mendapat sokongan dari segi politik, beberapa ahli parlimen dari pihak pembangkan keluar parti dan menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin, kejayaan mengawal Covid-19 dan usaha memulihkan ekonomi setakat ini memberi keyakinan kepada rakyat  terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin.

Beliau telah lulus ujian setahun yang memberi ruang baginya untuk menerus dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya.

Sekian.

February 28, 2021

 

UJIAN  MENSEMPADANKAN PERGOLAKAN

(Fikrah Bangi:  876),

BBB: 16 Rejab 1442H. = 28 Februari 2021M. (Ahad).

Hari  ini pada tahun lepas adalah merupakan garis sempadan bagi pergolakan dan perubahan politik yang unik yang belum pernah berlaku di dalam sejarah politik Malaysia. Garis sempadan dimaksudkan memisahkan antara dua entiti pemerintahan. Kedua-duanya unik dan belum terjadi sebelumnya.

Entiti pertama mengubah sejarah yang sebelumnya didominasi oleh BN. Pada pilihanraya ke 14 berlaku tsunami rakyat dalam mana dalam pilihanraya (10 Mei 2018)  tersebut pihak Pakatan Harapan  telah memenangi majoriti kerusi parlimen mengalahkan Barisan Nasional. Kemenangan merupakan satu kejutan besar membawakepada  beberapa kejutan.

Tun Dr. Mahathir yang memimpin Parti Bersatu dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong  menjadi Perdana Menteri Malaysia bagi kali.  Sesuatu yang di luar jangkaan dan beliau masih sihat dari segi fizikal dan mental.

Hasil dari kemenangan ini membawa ke gelanggang  rival politik Dr. Mahathir yang kelak menjadikan beliau tidak senang di dalam mengemudikan politik pemerintahan negara. Dimaksudkan bahawa di dalam PH, PKR adalah parti dominan di dalam PH yang sekian lama memperjuangkan Anwar Ibrahim supaya dibebaskan dari tahanan yang sedang dialaminya dari zaman  Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri kali pertama. Dengan kemenangan PH, pendukung PKR dan rakyat mendesak Anwar dibebaskan, iaitu tuntutan yang tidak dapat disangkalkan. Satu sambutan besar-besaran telah dilakukan menyambut kepulangan Anwar dari penjara. Pembebasan dilakukan pada 16 Mei 2018, iaitu seminggu selepas kemenangan PH (The Star, 17 Mei 2018: 1). Dan Anwar diampun oleh Yang Di Pertuan Agong.

Suara terutama dari PKR mendesak dari Perdana Menteri membuat penentuan supaya Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun (tempoh ini berubah-rubah). Anwar perlu bertanding satu kerusi parlimen yang melayakkannya untuk dilantik menjadi Perdana Menteri. Kerusi parlimen Port Dickson dikosongkan yang memberi ruang beliau bertandang dan beliau menang kerusi PD pada 13 Oktober 2018. Dengan kemenangannya desakan makin kuat agar Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri.

Kerajaan PH tidak menunjukkan prestasi pemerintahan yang baik dan kalah beberapa pilihanraya berturut-turut seperti di Cameron Highland, Semenyih, Rantau, Slim dan yang lain-lain.

Pergolakan berlaku di PH yang membawa kepada episod mistri politik yang dikenali sebagai Langkah Sheraton pada 23 Februari 2020 yang membawa kepada tindakan anih Dr. Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri.

Garis sempadan politik negara yang sejarahnya belum pernah berlaku, bahawa pemilihan pengganti Dr. Mahathir dilakukan secara interview oleh Yang Di Pertuan Agong Al-Sultabn Abdullah terhadap ahli-ahli parlimen tentang calon Perdana Menteri. Nama Anwar termasuk sebagai calon.

Pada 01 Mac 2020, menurut perkara 40 Perlembagaan Negara Malaysia, Yang Di Pertuan Agong melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Satu yang di luar dari jangkaan, bahawa kepimpinan dalam PH dari Bersatu memerintah Negara,  beralih kepada Bersatu juga berubah kepada  Pakatan Nasional. Ini membawa dakwaan Dr. Mahathir bahawa beliau masih pemimpin Bersatu, walaupun beliau tidak lagi menjadi Pengerusi sebagaimana disahkan oleh ROS. Tan Sri Muhyiddin yang memangku Jawatan  Pengerusi dilantik oleh Bersatu memegang jawatan Presiden Bersatu dan jawatan Pengerusi dihapuskan.

Tan Sri Muhyiddin sebaik menerima jawatan sebagai Perdana Menteri menerima beberapa ujian getir.

Ujian paling besar, bahawa beberapa minggu selepas beliau menjawat jawatan Perdana Menteri,negara dan dunia diserang wabak pandemik Covid-19. Malaysia mengisytiharkannya pada 18 Mac 2020.  Beliau dan kabinet terutama dari Kementerian Kesihatan, Pendidikan, Keselamatan Negara dan frontliners berjuang secara bertungkus lumus menentang Covid 19 yang sehingga kini masih tidak berakhir.

Dalam masa memerintah, Tan Sri Muhyiddin dan kabinetnya berdepan dengan undi tidak percaya dari pembangkang dan terselamat. Bagi mempastikan tumpuan dapat diberi terhadap memerangi wabak Covid-19, darurat diisytiharkan oleh Yang Di Pertuan Agong sehingga Ogos 2021 yang dapat meredakan tekanan politik dari pembangkang dan tumupan dapat diberi kepada memerangi pandemik Covid-19.

Kini di tengah perkembangan wabak dengan meningkatnya mangsa, termasuk kematian di negara ini melebihi seribu dan di dunia melebihi  2 juta ada sinar baru dengan terhasilnya beberapa vaksin seperti Pfizer Biontech  oleh Amerika dan German, Astra Zanica Oxford, Sinovek China, Sputnik 5 Rusia dan Johnson & Johnson Amerika, maka negera Malaysia turut mendapat vaksin seperti Pfizer sejak dari 21 Februari 2021 dan Cinovak dari China pada 24 Februari 2021. Dijangka 80% dari penduduk negara ini akan divaksinkan dan diharap wabak dapat dihapuskan.

Setahun pemerintahan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin dan masih berjuang bagi mengekalkan kesihatan rakyat, bertahan dari segi ekonomi, bahkan bertahan bagi survival politik.

Episod politik yang dilalui negara selepas pilihanraya ke 14 adalah satu pergolakan yang melibatkan kesihatan, ekonomi dan pelajaran rakyat yang tiada tandingnya. Daripada ujian sebenarnya dapat melahirkan kepimpinan.

Sekian.

February 27, 2021

 

MINGGU VAKSINASI: PERTANYAAN-CADANGAN

 

Ini  ( 21-28 Feb. 2021) Minggu Vaksinasi

Bermula (21 Feb.) dengan kesampaian pertama di KLIA

Vaksin Pfizer  Bio-Tech USA-German sejumlah 312,390  dos

Diikuti (24 Feb.) penghantaran 182,520 tambahan

Pada 24 Feb. Suntikan pertama kepada Perdana Menteri

Seterusnya  hingga 80% kependudukan divaksinkan

Dan pada 25 Feb. Muzakarah `Ulama` Pilihan

Mengeluarkan istinbat hukum Hadith-Qur`an

Harus penggunaan, bahkan ada mewajibkan

Berdasarkan ayat wajib patuh pemerintahan

Atas nama dharurat maslahat  maqasid jaga umat

Persoalan adakah kalian berpasukan menyelidiki kandungan

Adakah dari bahan hewan, tumbuhan, bio-kimia

Secara klinikal sebelum buat keputusan ?

Atau secara ikutan rujuk klisye hujahan ?

 

Hari ini (27 Feb. 21) ketibaan di KLIA vaksin

Jenis Sinovak bertolak jam 2.00 pagi dari Peking

Sebagai kali pertama disambut para menteri

Tetapi bukan secara dos, adalah  secara  pokal

Sejumlah 200 liter bakal diproses jadi 300 ribu dos

Dilakukan oleh Pharmaniaga sebelum diluluskan penggunaan  MPRA

Biarpun telah diguna di Indonesia, Brazil, Turkey, Hongkong, Singapura

Kita punyai aturan standard piawayan dilalui semua vaksin

Soalan selama ini kita belum mempunyai institusi seperti

IJN,  Institut Mata Tun Hussein Onn dan Institut Cancer negara

Tidakkah wajar telah ada atau akan ada  Institut Vaksin Negara

Kerana kita ada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi serta MOSTI

Pernah menyebut untuk mengeluarkan vaksin sendiri

Dengan kerjasama kepakaran dari beberapa universiti.

 

 Adalah diharapkan sebagai  dikatakan

Penghantaran secara pokal Sinovak

Ke arah permulaan kerjasama menubuhkan

Institut Vaksin Negara bersama juga syarikat luar

Sama ada Pfizer, Astra Zanica, Sputnik 5, Johnson & Johnson

Diperluas kajian bukan saja kepada Covid-19, tetapi

Kepada berbagai kemungkinan penyakit mendatang

Agar kita bersama wibawa Penyelidikan Dunia

Bermaruah sama pertahan unggul kemanusiaan

Satu Dunia Rumah Bersama

Lindung Diri Lindung Semua.

 

(Fikrah Bangi: 875)

BBB:  15 Rejab 1442H, = 27 Februari 2021M, (Sabtu).

February 26, 2021

 

HARAPAN  PADA  PENGHASILAN VAKSIN

 

Tiada segawat wajah dunia dengan ancaman

Covid-19 , musuh tiada kelihatan

Memakan korban jutaan, tiada membedakan

Antara kaya miskin kuat lemah kedudukan

Yang nyata yang kaya lebih tinggi kematian

Seperti USA, Brazil, India dan UK beratus ribuan

Rusia, France, Spain, Italy,Turki dan German

Termasuk negara kematian puluh  ribuan.

 

Ketika dunia meningkat  kebimbangan

Berbagai kaedah pengawalan dilakukan

Termasuk prihatin negara kita waspada

Akhirnya hampir setahun wabak

Yang berilmu memecah kebuntuan

Menemui  vaksin  berjenama

Pfizer Bio-Tech America-German

Astra Zanica Modenes  Oxford

Cinovet dari tanah bermulanya virus

Diikuti  Sputnik – 5 Rusia dan akhirnya

Johnson & Johnson juga dari Amerika

Penghasil adalah dari negara-negara kaya berilmu

Berjaya mempertahan maruah kedudukan

Sedang yang lain lemah dengan keilmuan

Menengadah  wajah  mohon ihsan.

 

Negara kita antara penerima Pfizer

Sejak 21 Februari  kali pertama

312,390 doz, diikuti 182,520 kemudian

 Dos tambahan 24 Februari berikutan.

Mereka yang diberi keutamaan suntikan

Pemimpin, Frontliners yang terdedah pada jangkitan

Diikuti yang lanjut usia dan orang awam

Hingga mencecah 80% penduduk

Termasuk bukan warganegara

Dengan pendapat `Lindung diri lindung sekalian`

Semuanya percuma ditanggung kerajaan.

 

Kini kempen berterusan mengingat rakyat mendaftar

Melalui My Sejahtera, laman web, di klinik hospital,

Jabatan dan Outreach pertemuan semuka diadakan

Mereka diperingat jangan terpedaya

Dipengaruhi yang enggan risiko tiada lindungan.

 

Dengan adanya vaksin

Semuanya melahirkan harapn tinggi

Covid-19 dapat dihapuskan

Dan kehidupan kembali normal

Bebas menjalankan kegiatan.

 

(Fikrah Bangi: 874),

14 Rejab 1442H. = 25 Februari 2021M. (Juma`at).

February 25, 2021

 

HARAPAN  TINGGI

(Fikrah Bangi: 873),

BBB:  13  Rejab 1442H. = 25 Februari 2021M. ( Khamis).

 Tiada pernah berlaku sepakatan dalam kebimbangan seluruh negara di dunia seperti kebimbangan diakibakan oleh Covid-19, lantaran wabak ini dialami oleh seluruh dunia. Negara yang dianggap paling maju, iaitu Amerika adalah negara yang paling teruk mengalami wabak Covid-19  dengan kematian melebihi setengah juta orang, diikuti Brazil dengan kematian  suku juta dan India kematian lebih dari 150 ribu kematian. Seluruh negara, termasuk negara-negara Eropah yang dianggap negara-negara maju teruk mengalami wabak.

Semua negara terkesan dari segi ekonomi, ramai kehilangan pekerjaan, terhenti dari kegiatan perniagaan dan terhad dari segi perhubungan dan pelancungan. Terhenti dari kegiatan pelajaran. Di tengah kegelisahan dengan musuh yang tidak nampak semua pihak berusaha bagi mendapat penawar atau vaksin yang dapat melindungi semua pihak dari wabak Covid-19.

Sama menghadapi kegawatan akibat Covid-19 ialah negara kita. Ianya menyepikan suara pembangkang yang ghirah dan mencabar untuk berpilihanraya tanpa mengira wabak sehingga Yang Di Pertuan Agong mengisytiharkan darurat bagi tumpuan menghadapi wabak dan tidak akan diadakan pilihnraya sehingga Ogos 2021.

Setelah setahun berjuang menghadapi Covid-19 dan dalam masa tersebut usaha menghasilkan vaksin dilakukan. Semua pihak memberi harapan yang tinggi vaksin akan dapat dihasilkan. Akhirnya dalam tempoh setahun beberapa syarikat berjaya menghasilkan vaksin  seperti  Pfizer Bio-Tech oleh  German - Amerika,  Astra Zanica Modenas  dari Oxford, Cinovak dari China, Sputnik 5 dari Rusia dan terbaru Johnson & Johnson dari Amerika.

Banyak negara termasuk kita dari Malaysia telah menempah vaksin-vaksin tersebut. Setelah melalui ujian dan penelitian serta  pengalaman negera-negara yang mendahului penggunaan, Malaysia menerima tempahan yang sebenarnya tidak lewat seperti Australia, Jepun dan Korea Selatan.

Mencerminkan betapa tingginya harapan negara dan rakyat terhadap keberkesanan vaksin yang tiba, maka negara-negara berkenaan mengadakan sambutan terhadap kesampaian vaksin berkenaan. Misalnya Malaysia buat pertama kali menyambut  kesampaian vaksin berjenama Pfizer pada 21 Februari 2021 di KLIA dengan kehadiran seperti Dr. Adham Baba Menteri Kesihatan Malaysia, Khayri Jamaluddin Menteri Penyelaras yang juga Menteri Sains, Teknonologi dan Inovasi Malaysia dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia Tan Sri Noor Hisam Abdullah. Dengan upacara sambutan vaksin bagi pertama ini berjumlah 312, 390 doze ini diiring ke bahagian simpanan kargo dan kemudian dihantar ke negeri-negeri menurut jadual yang telah diatur.Kesampaian doze tambahan  ialah pada 24 Februari 2021, iaitu sebanyak 182,520 doze.

Perdana Menteri Malaysia adalah individu yang pertama menerima vaksin, iaitu pada hari Rabu 24 Februari 2021, termasuk penerima awal ialah Tn Sri Dr. Noor Hisham bin Abdullah.

Semalam juga Rabu  24 Februari 2021 vaksin-vaksin ini mulai diagih ke negeri-negeri iaitu ke Negeri Sembilan, Perak,, Melaka, Kedah, Pahang dan diikuti dengan neger-negeri yang lain.. Penghantaran vaksin dilakukan secara teratur, diiringi oleh pengawal-pengawal untuk mengelak dari berlaku sabotaj dan penyelewengan.

Setakat ini sambutan  sambutan terhadap penerimaan vaksin ini amat menggalakkan. Mereka mendaftar melalui My Sejahtera, melalui laman web, secara online, melalui klinik dan hospital dan secara outreach.  Jumlah yang mendaftar setakat ini adalah seramai 637,000. Jumlah makin bertambah.

Pemberian vaksin menurut keutamaan bagi mereka yang banyak kontaks dengan orang ramai seperti frontliners iaitu Dr, jururawat, polis, pertahanan awam, tentera, para guru, diikuti warga emas dan mereka yang berumur lebih dari 18 tahun.

Adalah diharapkan bahawa melalui proses pemberian vaksin terhadap orang ramai dalam tempoh dijangka sebelum 2021-22 akan dapat mengurang atau menghapuskan Covid-19.

Target pihak berkuasa akan dapat memberi vaksin kepada 80% daripada penduduk negara ini, bahkan kepada bukan warga negara secara percuma. Ini adalah dalam perkiraan bahawa `Lindung Diri Lindung Semua.`. Kerana sekiranya  sebahagian dari rakyat – termasuk bukan warga negara jika tidak diberi vaksin, maka mereka boleh menjadi perantara yang boleh membawa  wabak kepada warga negara, sebab itu dengan  vaksin  lindung diri lindung semua.

Harapan tinggi oleh negara dan rakyat negara ini adalah sama menjadi harapan tinggi negara dan rakyat di negara-negara lain di dunia ini.

Semua pihak mengharapkan Covid-19 dapat dihapuskan dan kehidupan normal kembali dinikmati semua.

Sekian.

February 24, 2021

 

KEWARGANEGARAAN:  PERANAN & KEWAJARAN

(Fikrah Bangi:  872),

BBB: 12 Rejab 1442H. = 24 Februari 2021M. (Rabu).

Setiap warganegara sejak kecil  berhak untuk hidup dan diberi keperluan penjagaan yang selayaknya oleh ibu bapa dan keluarga. Jika tidak maka pihak kerajaan perlu menyediakan keperluan. Misalnya kepada anak-anak yang kehilangan ibu bapa. Seorang anak sebagaimana telah dibincangkan berhak mendapat peluang belajar – meskipun dalam keadaan ketidakmampuan seperti ibubapa miskin, keluarga berpisah dan tiada yang menjaga, maka kerajaan perlu menyediakan peluang dan kehidupan bagi menghadapi pelajaran. Misalnya menyediakan asrama bagi anak-anak miskin dan yatim. Pendek kata peluang mendapat pelajaran janganlah dinafikan kerana kemiskinan dan tiada penjaga. Pihak kerajaan mestilah mengambilalih menyediakan keperluan pelajaran kepada anak-anak miskin.

Keperluan pelajaran adalah hak anak-anak. Dan wajib bagi anak-anak belajar dalam tempoh dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah bagi negara kita hingga kepada peringkat SPM.

Polisi terbaik bagi tahap wajib bagi pelajar belajar, hendaklah peluang pelajaran ditanggung oleh pihak kerajaan.Dalam kata lain kos pelajaran adalah percuma. Jika dijangka pembelajaran percuma membebankan kerajaan, maka mereka yang berada  dikenakan yuran, manakala bagi yang miskin dikecualikan dari segi  kos pembelajaran.

Bagi peringkat pengajian tinggi, bagi mereka yang berkelayakan dan miskin, maka hendaklah diberi peluang mendapat pelajaran secara percuma. Pembayaran bagi peringkat yang berada adalah wajar. Ianya merupakan kewajipan sosial bagi yang berada unuk membantu insitusi dan  pelajar yang tidak berada. Memberi peluang mendapat pelajaran bagi semua pihak, kerana kita tidak ketahui dari kalangan mereka yang susah adalah mereka yang berpotensi meningkat dari segi keilmuan yang bukan saja membuka peluang yang lebih cerah  bagi pelajar berkenaan, sebaliknya ianya menjadi aset bagi  negara dan masyarakat dari kebolehan yang ada pada mereka. Misalnya menjadi pemimpin, tokoh koperat, ahli ekonomi, menjadi profesor di dalam bidang-bidang yang mereka berkelayakan, bahkan menjadi usahawan yang memberi peluang bagi mereka yang lain mendapat peluang pekerjaan.  Bahkan sebarang bakat yang ada pada mereka dapat dilahirkan misalnya  seniman, tokoh agama, bahkan ahli sukan terkenal.

Sebagai kewarganegaraan, maka semua bidang adalah dilihat sama pentingnya. Misalnya seorang peladang tidak kurang pentingnya dari seorang politik. Peladang berperanan menyediakan keperluan makanan bagi warganegara, sedangkan seorang politik sebagai pemimpin dan pentadbir yang tidak lari dari  keperluan makanan. Seorang nelayan mungkin dilihat rendah, misalnya berbanding dengan seorang guru, tapi peranan nelayan sama penting dan diperlu untuk mendapat bekalan makanan  bersumber dari laut. Seorang polis tidak kurang penting berbanding dengan seorang peniaga. Polis diperlukan di dalam menjaga ketenteraman, manakala peniaga diperlukan, kerana melaluinya orang ramai dapat  membeli keperluan makanan.

Di dalam semua dilihat penting, maka sering kita memikirkan ketidakadilan berlaku. Misalnya jurang pendapatan, misalnya antara seorang guru dengan seorang nelayan, seorang polis dengan peniaga dan sebagainya. Hujah yang dijawab. Seorang ahli politik wajar mendapat imbuhan yang jauh lebih baik dari seorang  petani, kerana kedudukan dan status kerja, ahli politik mungkin berkelulusan lebih tinggi. Memang diakui seorang lulusan universiti wajar mendapat imbuhan yang lebih tinggi dari seorang peniaga, tetapi seorang politik kadang bukan kerana lulus tinggi, tetapi kerana berpeluang melibatkan diri dalam politi. Ketidakadilan juga berlaku antara keluarga petani yang mempunyai anak yang ramai yang perlu kepada pendapatan yang lebih berbanding dengan seorang guru yang mempunyai keluarga yang lebih kecil. Dalam hal ini adalah wajar  pendaatan juga dinilai dari segi keperluan. Jumlah keperluan asas adalah dikira, agar sumber pendapatan bagi seorang dan keluarga tidak begitu jauh, sebaliknya cukup bagi keperluan. Barang-barang keperluan asas yang dikeluarkan oleh petani, nelayan dan boroh janganlah  dinilai begitu rendah. Pendek kata perlu ada penilaian kewajaran, sama ada meningkatkan harga keluaran mereka,  supaya mereka tidak dilihat tertindas. Kalau perlu bagi yang mengeluarkan bahan-bahan yang diperlukan diberi subsidi, jika harga barang mereka tidak dinaikkan, kerana bimbang membebankan orang ramai.

Hasil mahsul dan sumber negara kita adalah banyak. Jika dibahagi secara adil, maka tidak ada yang yang tidak layak mendapat bahagian. Pendek kata perlu kepada makanisme penyusunan ekonomi, pendapatan bagi semua. Tidak ada makna negara dilihat kaya dan mengeluarkan berbagai barangan, tetapi rakyat biasa sebenarnya di dalam keadaan miskin dan tertekan.

Kewajaran bagi setiap rakyat mendapat sumber pendapatan selayaknya  adalah keadilan. Lantaran itu perlu kepada penyusunan dan pembahagian yang wajar dan adil.

Sekian.

February 23, 2021

 

COVID-19: MENINGKATKAN KEMANUSIAAN DAN KEINSAFAN

(Fikrah Bangi: 871),

BBB:  11 Rejab 1442H. = 23 Februari 2021M. (Selasa).

Tiada siapa menjangka, bahawa Covid-19 yang mula dikesan di Wuhan, China pada Disember2019 merebak dengan pantas ke seluruh dunia. Pada 13.3.2020 WHO mengisytiharkannya sebagai  pandemik seluruh dunia. Pada 16.3.2020  melalui Mesyuarat Khas Covid-19, maka mulai 18.3.2020 bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia. Wabak yang masuk ke negara ini melalui pelancung dari negara China melalui Singapura pada Januari 2020 memakan korban pertama 18.3.2020 seorang Paderai dari Sarawak.

Pihak Keselamatan Negara melaksanakan tahap-tahap sekatan dari  PKP kepada PKPB,PKPD, PKPP bagi mengekang  dari bertambahnya wabak Covid-19 di negara ini. Statistik dikeluarkan secara harian oleh KKM. Wabak tidak saja berlaku di negara ini, tetapi merebak ke seluruh dunia.

Pada 1.1.2021 berlaku  jangkitan harian tertinggi  di negara ini  dengan sejumlah 2,525 kes dengan kematian  sebanyak  471 + 8.

Manakala peringkat Global USA adalah negara tertinggi dengan kes 20,216,991 dengan kematian 350,778, manakala India dengan kes 10,267,282 dengan kematian 148,774 dan Brazil dengan kes 7,619,970 dengan kematian 193,940. Dengan diikuti oleh negara-negara seperti Rusia, France, UK, Turkey, Italy, Spain dan German. Pendeknya hingga tempoh berkenaan seluruh dunia mengalami wabak Covid-19.

Mutakhir kes hari ini 23.2.2021.

Kes terbaru di Malaysia kes harian 2,192  (menurun) dengan jumlah kematian 1062 + 6 .

Pada peringkat global dengan:

Amerika kes  28,765,423 dengan kematian sebanyak 511,133.

India dengan kes 11,005,850 dengan kematian 156, 418.

Brazil kes 10,168,114 dengan kematian  242,560, manakala German  yang dikira terendah dari senarai  negara-negara yang disebut di atas dengan kes 2,394,516 dengan kematian  68,443. Berbanding dengan semua kes dinegara kita dan kematian masih rendah.

Apa yang mau ditekankan dengan wabak yang merebak memperlihatkan, bahawa wabak ini tidak mengira kedudukan negara kuat atau lemah, pengabaian seperti berlaku di Amerika pada masa Presiden Trump menyebabkan negara itu paling teruk dijangkiti wabak. Negara-negara yang dianggap maju seperti di negara-negara Barat, tidak mampu mengekang wabak secara efektif.

Wabak menginsafkan semua pihak dan disedari sebuah negara tidak boleh bersendiri merawat wabak. Kiranya negara lain dibiar dengan wabak, maka ianya akan menjangkiti negara-negara lain.

WHO dari PBB menginsafi hal ini dan mengharap negara-negara maju tidak memonopoli dari segi penggunaan vaksin yang dihasilkan kini seperti Pfizer oleh Amerika dan German, Astra Zanica Modenas Oxford, Sinovic dari China dan Sputnik5 Rusia..

Dalam keghairahan negara-negara Barat dan maju mulai  memberi vaksin kepada penduduk masing-masing, di sana terdapat 30 negara miskin yang masih belum mendapat vaksin. PBB mengharapkan semua pihak mendapat vaksin.

Dunia sebenarnya begitu kecil, wabak Covid-19 nampaknya sama cepat dengan peralatan komunikasi moden. Tanpa peranti dan peralatan komunikasi moden wabak berpindah bersama perpindahan manusia yang mengabaikan SOP. Negara-negara maju tidak boleh bermegah dengan pencapaian yang dicapai di dalam mendapat vaksin, tanpa menginsafi dari segi kemanusiaan, bahawa wabak Covid-19 adalah ujian terhadap manusia, bahawa kemajuan yang dicapai, masih lemah. Covid-19 mengisyaratkan bahawa manusia boleh pupus dari muka bumi melalui wabak, tanpa kerjasama antara manusia.

Tugas dan peranan mengekang wabak dan mengembalikan manusia kepada tahap normal dari segi kesihatan, bukan sahaja  harus dipikul oleh pihak WHO dan PBB. Rasa kemanusiaan dan insaf terhadap ujian serta menyedari bahawa tiada pihak secara bersendirian selamat dan dapat lepas dari mala petaka wabak, tanpa kerjasama antara manusia.

Kita menjangka mekanisme akan diusahakan agak penghasilan vaksin tidak saja dimonopoli oleh negara-negara maju, tetapi dapat diagihkan ke serata dunia agar wabak dapat dihapuskan dan manusia dapat kembali kepada kehidupan normal.

Sekian.

February 22, 2021

 

MEMARTABATKAN KEWARGENEGARAAN: MENTAL – PEPERIKSAAN  SPM

(Fikrah Bangi:  870),

BBB:  10 Rejab 1442H. = 22 Februari 2021M. (Isnin).

Tugas memartabatkan mental seseorang selepas kelahiran adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa dan pihak pemerintah. Dengan lahirnya seorang anak adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa,bukan saja membesarkannya dari segi fizikal dengan makan minum,menyediakan pakaian dan hidup dalam kediaman dan alam sekitar yang bersesuaian, tetapi ibu bapa yang diamanahkan Allah dengan kurniaan zuriat adalah mendidik anak sejak dari bayi dengan asuhan keluarga, menghantar belajar tadika, sekolah rendah, menengah dan hingga ke universiti, jika anak berkelayakan.

Sebenarnya bagi ibu bapa yang penyayang dan bertanggungjawab adalah menaruh harapan yang tinggi terhadap anak agar maju dari segi pelajaran. Pihak kerajaan menyediakan saluran pengajian dengan bangunan pengajian seperti sekolah dan pengajian yang lebih tinggi bersama dengan guru-guru dan tenaga-tenaga pengajar pada peringkat yang lebih tinggi.

Bagi ibu bapa yang berkesedaran dengan pelajaran, perjuangan bagi menjadikan anak mendapat pelajaran yang baik adalah perjuangan keluarga. Keluarga menghantar anak-anak bukan saja ke sekolah, tetapi juga ada yang menghantar anak-anak ke kelas-kelas tuisyen bagi memungkinkan anak-anak berjaya dan mendapat keputusan yang baik di dalam pelajaran. Dengan keputusan yang baik, lebih berpeluang anak-anak untuk menyambung pengajian kepada peringkat yang lebih tinggi.

Gangguan pelajaran pada musim Covid-19, adalah gangguan yang dihadapi bukan saja pelajar, tetapi ibu bapa, guru dan pihak sekolah dan kerajaan. Orang ramai juga prihatin terhadap pelajaran. Pada tahun ini setahun pelajar-pelajar tidak dapat menghadapi pelajaran dengan baik. Berbagai kaedah digunakan bagi menampung pengajian,. Antaranya pengajian melalui talian. Pihak pelajar yang menghadapi peperiksaan SPM, STPM, SPVM, STAM paling terganggu dan tidak mendapat pengajian yang sempurna. Mereka menghadapi berbagai-bagai perubahan. Setelah lama tak bersemuka dengan guru dalam pengajian, maka sekolah yang ditutup setengah tahun itu dibuka 24 Jun 2020, tetapi kemudian semua sekolah ditutup mulai 9.11.2020 hingga hujung tahun dan peperiksaan SPM dan STPM dan yang setara dengannya ditangguhkan kepada bulan Februari 2021. Peperiksaan ini sepatutya  dijalankan pada bulan November 2020.

Bagi memberi peluang pelajar yang menghadapi peperiksaan berdepan dengan guru, maka  pada  20 Januari 2021 pelajar kembali ke sekolah, tetapi selepas selama hampir sebulan dibuka, maka sekolah-sekolah berkenaan kembali ditutup dua minggu sebelum peperiksaan.

Setelah menghadapi suasana pembelajaran berubah-rubah, secara atas talian, kembali ke kelas, PdPR, Saluran DIDIK TV, KPM, maka hari ini – Isnin 22 Februari 2021, seramai  401,105 calon SPM di 3,310 pusat peperiksaan mulai menghadapi peperiksaan, setelah tertangguh hampir empat bulan.

Tentulah suasana yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang menghadapi peperiksaan berada di dalam suasana yang berbeza dan tidak menyenangkan. Mereka bukan saja menunggu musim peperiksaan dalam jangka yang panjang, tidak mendapat bimbingan sepenuhnya seperti keadaan normal, terpaksa berdepan dengan norma pembelajaran yang baru dan norma baru di dalam peperiksaan dan di luar dari peperiksaan. Mereka tentulah berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan diri dalam keadaan yang sihat. Takdirnya mereka mempunyai jangkitan Covid-19, maka mereka tidak dibenarkan memasuki peperiksaan dan akan menghadapi peperiksaan menurut jadual yang lain. Selama lebih kurang sebulan pelajar-pelajar ini terpaksa di dalam kewaspadaan. Sudah tentulah suasana kewaspadaan ini sama dihadapi oleh ibu bapa, guru-guru dan pihak-pihak yang berhubung dengan peperiksaan.

Kita berharap kepayahan dan berbagai-bagai ujian yang dihadapi pelajar-pelajar dan berbagai pihak berkenaan, khususnya pelajar menjadikan kepayahan ini sebagai ujian kewajaan semangat di dalam menghadapi pelajaran. Adalah difahamkan,walau apa perubahan yang terpaksa dihadapi oleh pihak pelajar  KPM,  tidak mengubah dari segi format peperiksaan sebagaimana yang dihadapi oleh pelajar-pelajar dalam musim normal.

Adalah diharapkan semua permasalahan yang dihadapi, bukan saja dihadapi oleh pelajar-pelajar yang menghadapi peperiksaan, tetapi juga dihadapi oleh pelajar-pelajar pengajian tinggi. Semua ini adalah pengalaman yang dihadapi oleh sektor pendidikan di samping  sektor-sektor yang lain.

Kita berharap kepada pelajar-pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan berada di dalam keadaan tenang dan tabah dan dapat menjawab semua kertas-kertas peperiksaan dengan baik dan insya Allah akan mendapat keputusan yang baik dan mendepani masa depan dengan cemerlang.

Sekian.

February 21, 2021

 

KEWARGANEGARAAN:  SIHAT FIZIKAL –VAKSIN TIBA

(Fikrah Bangi: 869),

BBB: 09 Rejab 1442H. = 21 Februari 2021M. (Ahad).

Sihat fizikal dari segi yang lebih kecil, ialah warga negara itu sendiri sebagai individu dan masyarakat yang menghuni dan mengimarahkan negara dari segi fizikal.  Secara fizikal, termasuk negara, maka yang paling penting ialah manusianya. Sihat sakit, maju mundurnya negara adalah bergantung pada manusianya. Manusia sebagai faktor memajukan negara, bukan sahaja seharusnya diberi perhatian bukan saja oleh ibu bapa, tetapi negara itu sendiri. Persediaan bagi manusia dilahirkan, maka perhatian perlu diberi kepada ibu bapa yang melahirkan anak. Ibu bapa perlu mempunyai tempat tinggal yang selesa, mempunyai pekerjaan yang memungkinkan mereka mendidik anak secara baik sama ada dari segi makan minum, pakaian, kesihatan dan pendidikan.

Tugas kerajaan menyediakan kawasan penempatan yang enviromental bagi perkembangan fizikal, mental dan jiwa. Tugas ibu bapa membesarkan anak-anak dengan makanan yang cukup dan sihat. Lebih dari itu kerajaan perlu menyediakan persediaan dan peluang pembelajaran. Walaupun ibu bapa bertanggungjawab dan berusaha menjaga kesihatan anak-anak, tetapi keperluan kesihatan menyeluruh adalah perlu disediakan oleh kerajaan seperti hospital, klinik dan pegawai-pegawai kesihatan dan ubat-ubatan.

Tanggungjawab negara  memastikan rakyat dilindungi dari wabak dan penyakit. Pengalaman yang sedang dialami negara dan dunia sekarang, bahawa wabak Covid-19 telah menyerang negara kita sejak dari awal Januari 2020. Pengalaman yang sama dialami dunia secara global. Negara kita melalui KKM dan segala agensi yang  berkenaan  mengambil inisiatif memerangi wabak kini hingga pada suatu ketika sekitar Mei 2020   dapat menurunkan wabak ini ke tahaf kosong, tetapi kini meningkat kembali sebagaimana perkembangannya disiarkan oleh KKM setiap hari dan kematian melebihi 1,000 orang dan pada peringkat global kematian lebih dari sejuta orang, dengan Amerika paling tinggi melebihi setengah juta orang.

Sejak dari 4 Oktober 2020 telah ditubuhkan di negara kita  Jawatankuasa  Rundingan mengenai Wabak Covid-19. Sejak dari itu  kerjasama dilakukan antara Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi termasuk Kementerian Pengangkutan bagi memperolehi vaksin yang pada masa itu beberapa syarikat vaksin sedang bertungkus lumus menghasilkan vaksin seperti Pfizer Bio-Intact dari Amerika dan German,  Astra Zanica- Oxford, Sinovac dari China, Sputnik-5 dari Rusia dan Johnson And Johnson dari Amerika.

Setelah setahun negara kita dan negara-negara lain berjuang menentang Covid-19 – musuh yang tidak kelihatan itu, maka mulai dari awal tahun 2021 vaksin dapat diedarkan kepada berbagai negara. Semua menyedari bahawa sebuah negara secara  berasingan tidak mampu menghendar  dari dijangkiti wabak. Falsafah pemulihan hendaklah, `Vaksin bagi  diri untuk keselamatan  semua`. Sebab itu negara-negara yang berjaya menghasilkan vaksin membantu menghantar vaksin ke semua tempat yang diperlukan.

Penghasilan vaksin adalah sebagai sinar baru bagi negara kita dan dunia untuk mengurang, bahkan menghapuskan Covid-19.

Melalui perjanjian yang dibuat, maka pada hari ini 21 Februari 2021 bersama-sama negara yang lain di Lembangan Pasifik mulai menerima penghantaran vaksin. Pada jam 10.00 pagi pesawat Malaysian Airlines mendarat di Lapangan Terbang   KLIA membawa vaksin Pfizer dari Belgium melalui Singapura disambut oleh Menteri Kesihatan Malaysia, iaitu Dr. Adam Baba bersama Ketua Kementerian Kesihatan Malaysia Tan Sri Nor Hisham bin Abdullah dan bersama menyambut ialah Menteri  Sains, Teknologi dan Inovasi Khayri Jamaluddin dan sama menyambut ialah Menteri Pengangkutan Malaysia iaitu Dr. Wee Ka Siong. Penghantaran vaksin pada kali pertama ini melibatkan 312,390 dose bagi peringkat  awal.

Penghantaran vaksin melalui beberapa peringkat. Hari ini 21.2.2021 adalah merupakan penghantaran pertama dari Pfizer dan akan diikuti dengan penghantaran kedua April hingga Ogos 2021. Malaysia turut menerima berikutnya penghantaran dari Astra Zanica, Oxford,  Cinovac dan Sputnik. Adalah dijangka rakyat yang akan divaksinkan berjumlah lebih dari 82%  penduduk (26.5 juta penduduk.

Pemberian vaksin pada peringkat pertama akan dilakukan pada 26 Februari 2021  dan yang pertama menerima vaksin ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin Perdana Menteri Malaysia dengan dikuti frontliners, termasuk menteri-menteri kabinet, ahli-ahli parlimen dan Adun-Adun dari negeri-negeri.

Pendaftaran bagi penerimaan vaksin dilakukan mulai awal Mac 2021 ini melalui aplikasi My Sejahtera, laman web, pejabat-pejabat kesihatan, Pejabat-pejabat yang dilantik dan secara outreach.

Orang ramai diingatkan bahawa  mengambil vaksin bukan bererti mengambil ubat yang  dapat menghilangkan jangkitan Covid-19, sebaliknya, pengambilan vaksin dapat meningkatkan kadar immunasi diri dari jangkitan. Sebaliknya orang ramai diminta terus menjaga SOP agar terus dapat mengelak diri dari jangkitan.

Sekian.

February 20, 2021

 

MALAYSIA  DI PERSADA DUNIA

(Fikrah Bangi: 868).

BBB:  08 Rejab 1442H. = 20 Februari 2021M. (Sabtu).

Malaysia  berada di  persada dunia, bukan setakat dari segi geografi dan berkedudukan di Asia Tenggara, tetapi keberadaannya menonjol, terutama dalam hubungan antarabangsa.

Pada peringkat awal kemerdekaannya, memanglah Malaysia (Malaya) kelihatan masih terpengaruh dengan situasi semasanya, berada di dalam kelompok negara-negara Komanwel. Ini adalah dari segi keselamatanya. Pada masa itu pengaruh ideologi ketara wujud. Pengaruh komunis adalah sesuatu yang nyata. Lagi pula Malaysia masih berada di dalam ancaman komunis, termasuk dari dalaman. Berada di dalam Pakatan Komanwel memberi perlindungan dari pengaruh ini. Sebagaimana disebut Malaysia berdepan dengan konfrontasi dari Indonesia dan tuntutan dari Filipina. Keberadaan Malaysia di dalam Komanwel menggeruskan musuh pada masa itu, kerana Malaysia berada di dalam keselamatan bersama seperti dari Australia dan New Zealand. Sebarang serangan akan mendapat bantuan dari negara-negara  tersebut. Ancaman dari China Komunis pada masa itu  sebagai sesuatu yang nyata dan berterusan hingga pertengahan 1960an.

Tunku Abdul Rahman menonjolkan Malaysia di dalam Komanwel ini dengan penentangan dasar Apartheid yang berlaku di Afrika Selatan. Suatu keberanian dari pihak Tengku dan perjuangan penentangan sedemikian memang berlaku di Afrika Selatan yang menonjolkan tokoh Nelson Mandela yang menjadi idola perjuangan kemanusian di dunia dan peranan  Tengku menjadi sebahagian perjuangan rakyat di Afrika Selatan.

Penonjolan Malaysia di persada dunia dapat dilihat  dari segi serantau, Tunku Abdul Rahman mencadangkan kerjasama serantau yang dikenali pada peringkat permulaan sebagai Assiciation of SauthAsia (ASA)  yang menganjurkan kerjasama antara negara-negara Asia dari segi ekonomi dan keselamatan serantau. Cadangan ini mendapat kerjasama negara-negara kawasan Asia Tenggara. Dengan kerjasama antara negara-negara di kawasan merapatkan hubungan ekonomi, politik, keselamatan dan budaya. Sebelum daripada itu, walaupun negera-negara Asia ini dekat dari segi fizikal, tetapi jauh dari hubungan sebagai jiran terdekat. Melalui ASA negara-negara berkenaan dilihat lebih bebas dari terikat misalnya Burma dengan British, Lous, Cambodia dan Vietnam terarah kepada Perancis, Filipina kepada Spanyol dan Amerika, Indonesia kepada Belanda dan Malaysia kepada British kepada kerjasama yang lebih erat antara negara-negara ASA dan lebih berdikari. Sememangnya gagasan ASA berjaya dan diperluaskan kemudiannya kepada jenama ASEAN yang kerjasama lebih terkenal dan makin merapatkan hubungan antara kesemua negara-negara  ASEAN berkenaan. Kerjasama lebih luas yang melibatkan berbagai-bagai bidang. Kini semua negara-negara ASEAN – termasuk Thailand makin rapat sebagai negara kejiranan serantau.

Penonjolan Malaysia pada peringkat antarabangsa sebenarnya, banyak berlaku pada zaman Tengku Abdul Rahman. Beliaulah juga mencadangkan kerjasama antara negara-negara Islam. Ianya bermula dari musabaqah Al-Qur`an antara negara-negara Islam menjadikan hubungan antara negara islam ini makin rapat dan kemudian membawa kepada cadangan oleh Tengku Abdul Rahman agar diwujudkan kerjasama di kalangan negara-negara Islam yang kemudian dikenali sebagai Organization of Islamic Countries (OIC). Pada ketika  Malaysia menjadi Secretariate Negara-Negara Islam, ialah menampakkan kemajuan dan suara-suara negera-negara Islam didengari pada peringkat serantau dan global.

Walaubagaimana pertukaran sekretariat kepada negara-negara yang lain menjadikan organisasi ini lemah dan kurang dihormati,. Walau bagaimana OIC masih wujud dan masih bersuara di dalam isu-isu ysng releven, khususnya berkenaan umat Islam seperti masalah Che`nya, Pelarian Arakan, masalah  konflik yang berlaku di negara Arab dan Palastin, walaupun tidak saeaktif yang diharapkan.

Bermula dari masalah keselamatan dan ekonomi Malaysia terlibat di dalam pakatan  menyerta Arsep dan kemudian  APEC yang disertai negara-negara di kawasan Pacific, tetapi perubuhan berlaku  dengan disertai banyak negara dan terbaru disertai oleh pemimpin-pemimpin terkenal dunia dari berbagai-bagai negara. Inikerana dilihat bahawa kawasan Pacific memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi  dan penduduk di kawasan ini merupkan penduduk yang teramai dari segi jumlah penduduk.Malaysia sendiri menjadi negara penganjur yang menggunakan pendekatan secara maya dan ianyamerupakan satu kejayaan yang dicapai oleh Malaysia.

Inimenunjukkan bahawa Malaysia berperanan penting di dalam kegiatan antarabangsa, khususnya bagi kawasan Asia, Pacific, bahkan global. Dapat dikatakan, bahawa Malaysia berjaya menempatkan dirinya di kalangan antarabangsa dan bersifat global.

Malaysia diyakini dan adalah dipercayai jenama Malaysia mendapat sambutan dan keyakinan antarabangsa. Sebarang anjuran yang dibuat secara  teliti dan wibawa, insya Allah mendapat sokongan antarabangsa.

Sekian.

February 19, 2021

 

SIHAT  FIZIKAL.  MENTAL  DAN  JIWA

(Fikrah Bangi:  867),

BBB:  07 Rejab 1442H. = 19 Februari 2021M. (Juma`at).

Kita telah membincangkan tentang kenegaraan dan  kewarganaraan  (baru sebahagian).  Keperluan bagi membangunkan  `Negara Bangsa Maju Sejahtera` ialah  negara dan warga yang sihat dari segi  fizikal, mental dan jiwa.

Kita telah membicarakan kenegaraan dengan menyusur galur kewujudan `Melayu` dalam erti kata yang luas seawal peringkat terdapat wujudnya bukti sehinggalah kepada kewujudan Negara Malaysia sebagai pembentukan mutakhir negara bangsa berkenaan. Kewujudan dan kelangsungan  Negara Malaysia  yang dikenali sebagai `Tanahair` bagi bangsa Malaysia, kuat lemah, jatuh bangun dan maju mundurnya bergantung pada sihat fizikal, mental dan jiwa bangsa tersebut.

Kita surut sedikit membicarakan dari segi `Kenegaraan` yang merujuk kepada fizikal negara  dari segi  ruang sempadan dan kandungan tanahair kenegaraan berkenaan. Juga merujuk kepada konsepsi kenegaraan yang merujuk kepada pemilikan, kedaulatan dan pengiktirafan oleh pihak antarabangsa.

Sihat fizikal negara kita dengan rujukan pengiktirafan wujudnya dalam sejarah dari berbagai catatan, rekod dan ciri kependuduan dari segi  sejarah, budaya dan komunikasi antarabangsanya. Maksud di sini Semenanjung Malaysia telah wujud dan dikenali sejak purba sebagai `Semenanjung Emas`. Begitu juga kewujudan Sabah dan Sarawak sebagai satu bahagian dari Borneo dikenali seawal pemerinahan  kependudukan dan pemerintahan di Borneo. Kedua-dua negeri itu telah melalui episod sejarah yang kedua negeri itu dikenali sebagai  Sabah dan Sarawak  dan  kedua-dua negeri tersebut bersetuju bergabung di dalam sebuah Negara Bangsa yang diikiraf sebagai  Malaysia.

Sejauhmanakah sihatnya negara Bangsa Malaysia dari segi fizikal ? Perlu diakui ada cabaran yang dihadapi Malaysia !

Dari segi Semenanjung adalah mantap. Tidak ada tuntutan terhadap Semenanjung, tetapi keadaan tidak sama dengan Sabah dan Sarawak. Pada peringkat pemulaan penubuhannya (1963) Malaysia berdepan dengan ancaman dari Sukarno Presiden Indonesia  yang berkempen mengganyang Malaysia, kerana menganggap ianya adalah caturan dari imperialis !  Manakala Macapagal  Presiden Filipina dan diikuti oleh Marcus menuntut Sabah yang dianggap sebahagian dari kawasan pemerintahan Kerajaan Sulu ! (Tuntutan ini masih dihidupkan oleh pihak pemerintah Filipina kini).

Kedudukan tidak sihat telah diusahakan oleh pihak pemerintah negara kita Malaysia sejak dari penubuhan Malaysia sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putera Perdana Menteri Malaysia pertama dan satu kekuatan utama yang terhasil bagi Malaysia, bahawa penubuhan adalah mendapat pengiktirafan dari Petubuhan Bangsa Bersatu.

Knfrontasi oleh pihak Indonesia pada zaman Sukarno dan Menteri Luar Negara pada masa itu, iaitu Subandrio diredakan dengan diplomasi antara Tun Razak Perdana Menteri Malaysia Kedua dan rakannya dari Indonesia, iaiatu Adam Malik Menteri Luar Indonesia pada masa itu. Dapat dikatakan hubngan secara sihat antara Malaysia dan Indonesia dapat diatasi secara diplomasi antara kerajaan dengan kerajaan pada masa Tun Razak dan Adam Malik Menteri Luar Indonesia pada masa itu.

Hubungan antara Malaysia dengan Filipina,khususnya berhubung dengan Sabah tidak dapat diwujudkan suasana `Sihat` sejak dari awal. Suasana tidak sihat ditambah dengan faktor-faktor yang lain. Faktor utama, bahawa Filipina hingga kini masih mnenghidupkan tuntutan terhadap Sabah, walaupun tiada sokongan dari negara-negara luar yang lain.

Tahap tidak sihat yang lain ialah pencerobohan sering dilakukan oleh pihak bersenjata dari pihak musuh dari kawasan Sulu. Pihak Pertahanan dan Keselmatan Malaysia banyak memberi perhatian dari segi pertahanan dan menggunakan aset-aset bagi mempastikan keamanan dapat diwujudkan antara sempadan Sabah dengan bahagian Sulu di Filipina. Pencerobohan, penyusupan dan pencolekan sering berlaku antara sempadan ini.

Bagi mempertahankan negara berdaulat, Malaysia dengan apa cara perlu mengadakan strategi pertahanan bagi mengukuhkan kedudukan dan menggerunkan lawan. Suasana terkini kelihatan terkawal, tetapi kewaspadaan perlu  ditingkatkan.

Nature dari penubuhan Malaysia ada hak dan kekuasaan secara perjanjian bagi pihak negeri sama ada Sabah dan Sarawak. Tuntutan berdasarkan perjanjian Pembentukan Malaysia ini, kadang-kadang dibangkitkan dan kadang-kadang terasa ianya sebagai  menyukarkan bagi pembentukan Malaysia Bersatu  sebenar-benarnya. Ini merupakan antara elemen tidak sihat boleh berbangkit.

Walau bagaimana  Penyatuan dan Perpaduan Malaysia adalah perkara penting bagi pengukuhan dan penyatuan  negara Malaysia.

Penyatuan dan Perpadsuan perlu terus diusahakan. Semua pihak perlu toleran dan bijaksana di dalam mengemudikan negara secara sihat dan selamat.

Sekian.

February 18, 2021

 

PERMULAAN DALAM KEPAYAHAN BAGI PEMULIHAN

(Fikrah Bangi: 866),

BBB: 06 Rejab 1442H. = 18 Februari 2021M. (Khamis).

Suasana kini dapat dirumuskan sebagai  `Dalam Kesusahan`.  Kesusahan dari segi kesihatan, kesusahan dari segi ekonomi, kesusahan di dalam bidang pendidikan, kesusahan di dalam kemasyarakatan, bahkan kesusahan di dalam bidang rekreasi dan sukan dan banyak lagi kesusahan yang dihadapi.

Untuk bangkit dan untuk berdikari memerlukan tahap pemulihan.

Kesusahan yang ketara dan masih terus dialami, bahawa kita warganegara dan juga dunia masih dalam pergulatan, walaupun di sana sudah memperlihatkan cahaya. Buka saja apa saluran maklumat, baik dari CNN, BBC, Al-Jazirah, bahkan semua saluran maklumat di negara kita, maka berita yang diperkatakan tentang Covid-19 yang berlaku di seluruh dunia. Semuanya mengharapkan vaksin, bahkan aduan datang dari negara-negara miskin bahawa mereka didiskriminasikan oleh negara-negara kaya dengan memonopoli vaksin. Permintaan tinggi adalah terhadap Pfizer, Astra Zenica Offord, Sinovak, Sputnik dan terbaru Johnson & Johnson. Kita sebenarnya tidak ketinggalan apabila melihat Jepun sebuah negara maju masih pada peringkat permulaan bagi menggunakan vaksin. Penggunaan vaksin tidak dapat disamakan dengan menyimpan stok bahan ekonomi yang dapat meninggikan pulangan, kerana wabak yang dihadapi dunia ini kiranya tidak dapat dibasmikan secara total, maka baki yang tidak berpeluang menggunakan vaksin berpotensi memperkembangkan wabak dan tiada selamat bagi sebahagian tanpa selamat semuanya. Wabak dan penyakit ancaman ketara bagi kesejahteraan manusia. Ketara usaha WHO  memberi perhatian kepada semua peringkat amat memberi manfaat. Kita sekarang baru melalui peringkat pemulihan. Pemulihan sebenarnya tidak boleh dilakukan sendiri-sendiri, sebaliknya perlu kerajasama semua pihak.

Kini kita melihat status sebagai negara kaya dan berkuasa menghilang dan kita mengharapkan kerjasama secara global diteruskan bagi kebaikan semua. Sebenarnya di dalam membasmikan wabak, tiada batas sempadan negara, bangsa dan warna kulit.Wabak menuntut semua bekerjasama.

Semua menyedari betapa semua negara terjejas dari segi ekonoi. Semua berperang dengan musuh tidak kelihatan. Pengasingan, penjarakan, penutupan dan berbagai-bagai sekatan dilakukan. Dengan berbagai sekatan  memudaratkan dari segi ekonomi.Gedung-gedung perniagaan ditutup, , pergerakan manusia terhad dan terhenti. Pesawat  tidak melakukan penerbangan, kenderaan pelancung terhenti. Ramai yang diberhenikan kerja dan terpaksa bekerja secara kecil-kecilan dengan mendapat bantuan dari kerajaan. Sektor ekonomi adalah salah satu sektor yang memerlukan pemulihan, agar kehidupan kembali bergerak sehingga ekonomi kembali lancar. Kepeluan kepada kaedah-kaedah pemulihan diharapkan mendapat cadangan dan bimbingan dari pakar-pakar ekonomi.

Semua sedar, satu darip[ada sektor yang terjejas ialah di dalam bidang pendidikan. Kampus universiti terpaksa ditutup. Pelajar-pelajar yang mau menghadapi peperiksaan begitu sukar dalam usaha membuat persediaan yang waktu peperiksaan hanya beberapa hari lagi. Sebahagian besar belajar melalui talian dan ternyata tidak memuaskan dan kerajaan terpaksa menyediakan saluran pendidikan melalu tv Pendidikan. Tiada zaman menghadapi pelajaran sesukar yang dihadapi sekarang. Jika pun pulih, maka pemulihan di dalam bidang pelajaran tidak akan kembali seperti zaman lama, tetapi berlaku pengubahsuaian. Ini memerlukan masa pemulihan termasuk dari segi kurikulum, kaedah pengajaran dan penggunaan peralatan. Kaedah pemulihan memerlukan kepakaran.

Perhubungan kemasyarakatan adalah renggang. Komunikasi lebih menggunakan talian. Ziarah menziarah berkurangan. Kemesraan kehidupan berkurangan. Hujung-hujung minggu, kalau dulu dipenuhi dengan jemputan perkahwinan, kini dilakukan dalam jumlah terhad dan  silatul rahim dan kemesraan berkurangan. Oleh kerana terlalu tersekat dan berkurung banyak yang mengalami kemurungan dan sakit jiwa.

Kehidupan sosial mungkin dilihat kecil, tetapi penting dari segi pemupukan ukhuwwah dan kejiranan. Usaha membuka tempat-tempat rekreasi wajar dilakukan, biarpun diikat dengan norma-norma baharu.  Masyarakat memerlukan kesihatan fizikal dan mental. Kegiatan-kegiatan sukan perlu dihidupkan. Tempat-tempat perhimpunan yang menghidupkan pertemuan dan pertukaran fikiran seperti tempat ibadat dan pengajaran wajar dihidupkan.

Sesungguhnya insan masyarakat sosial, jika terlampau banyak sekatan memudaratkan mereka dan juga masyarakat.

Pemulihan perlu dilakukan di dalam berbagai bidang meskipun terpaksa menghadapi kepayahan. Ianya adalah sebagai agenda penting sebelum dapat digerakkan agenda-agenda kemajuan.

Sekian.

February 17, 2021

 

BANGKIT DARI KEMELUT COVID-19 :  POLISI BERDIKARI NASIONAL

(Fikrah  Bangi: 865),

BBB:  05 Rejab 1442H. = 17 Februari 2021M. (Rabu).

Hampir setahun PN memerintah, banyak tumpuan diberi menentang wabak Covid-19. Kini kita lihat selepas wabak berkenaan mulai berkurang (terkini pulih 2,720 berbanding semalam 2,176).  Dan  Vaksin akan tiba pada 21 Februari 2021, maka kelihatan makin bertambah keyakinan, insya Allah, bahawa negara bersama negara-negara yang lain akan sama pulih dari wabak Covid-19. Kelihatan ada beberapa pendekatan yang diambil kerajaan bagi menangani permasalahan dan cabaran masa hadapan. Contoh pengumuman oleh Perdana Menteri pada 15.2. 2021, iaitu mengenai:

`1)  Dasar Perpaduan Negara 2021-2030

Iaitu bagi mengukuhkan perpaduan dan integrasi  nasional berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara. Membentuk integrasi nasional dengan semangat jatidiri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat menghormati dan bertanggungjawab dan puncaknya bagi melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.

2) Pengumuman  17.2.2021 Pelancaran Saluran Didik TV  KPM

Dilancarkan  oleh Perdana Menteri Malaysia dengan jadual lengkap disediakan bertujuan  membimbing pelajar-pelajar bagi mengikuti pelajaran melalui TV sebagai salah satu alternatif pendidikan bagi mengatasi ketinggalan pengajian yang  terganggu sejak setahun yang lalu. Ini adalah salah satu cara meringankan bebanan rakyat sebagai menjawab  seruan NUTP minta menangguhkan PdPR yang dibuat pada minggu yang lalu. Saluran Didik TV KPM adalah salah satu alternatif bagi memudahkan pelajar-pelajar menghadapi pelajaran.

3) Pengumuman 19.2.2021 (Juma`at)

Perdana Menteri akan melancarakan pada tarikh  tersebut (lusa) berkenaan Dasar Ekonomi yang selama ini bersifat konvensional kepada Plan Strategik Ekonomi Digital menjelang 2030.

Banyak plan strategik yang diatur adalah melibatkan masa satu dekad.

Kita berpendapat semua plan yang diatur adalah sesuai dan bermula dari tempoh pemulihan negara dan dunia dari ancaman wabak Covid-19.

Kita melihat ini adalah tempoh permulaan kerangka pembangunan negara bagi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kita melihat adalah wajar bagi semua perancangan pembangunan diletak di bawah satu kerangka yang menyeluruh dan komprehensif  dan masanya wajar diperluaskan, iaiti 2021-2050. Semalam kita sengaja menggunakan `Alaf Baru`  bagi pembinaan Negara-Bangsa Malaysia`, iaitu dari alaf 2000 ke 3000 !

Dr. Mahathir Mohamad menjadikan polisi `Pandang Ke Timur 1982`  dan `Wawasan 2020` adalah sebagai rangka kerja selama di dalam masa pemerintahannya sebagai Perdana Menteri yang dianggap tidak berjaya (Rujuk, Whither The Look East Policy, UKM,  Bangi, 2003). Dr. Mahathir meletakkan tempoh bagi polisinya ialah dalam tempoh 40 tahun (1982-2020), kita berpendapat Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, tanpa meniru Mahathir , wajar meletakkan polisinya kalau tidak mau bersifat `alaf`, ialah bagi tempoh  (2020-2050), iaitu selama tiga puluh tahun.

Kita sedar kenaikan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri  secara mengejut dan tentulah dalam tempoh di luar jangka ini sukar dapat disediakan satu `Plan Strategik Comprehensif Berdikari Malaysia` dapat disediakan secara lengkap dan sempurna. Tetapi masa  masih tetap ada dan tenaga bekerja bagi menyediakan plan secara comprehensif bagi semua bidang dapat dilakukan oleh tenaga-tenaga profesional di dalam bidang masing-masing. Persediaan ini penting bagiu panduan pentadbiran, khususnya dapat memperlihatkan kepada rakyat apakah rangka pembangunan `Negara Bangsa` Malaysia` yang  dicadang dan mau dicapai dalam tempoh 2020-2050.

Plan ini penting sebagai rangka kerja yang dapat dilihat oleh rakyat secara meyakinkan dan boleh menarik sokongan mereka. Apa yang hendakn ditekankan rangka dasar yang bersifat menyeluruh di dalam berbagai bidang pemerintahan perlu disediakan dan janganlah polisi yang dikeluarkan satu persatu, kelihatan bertabur dan tidak bersifat kesatuan.

Tentulah bagi menyediakan Plan Strategik sebagai  rangka pembangunan bagi pembinaan Negara Bangsa Malaysia ini perlu digerakkan oleh satu Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri sendiri dan mereka yang menganggotainya tentulah terdiri dari berbagai-bagai pakar di dalam berbagai bidang.

Kita amat bergembira jika Plan Streegik Pembangunan Negara Bangsa Malaysia ini dapat disiapkan secara lengkap dan sempurna. Adalah lebih baik jika tempoh diambil sebelum berlangsuungnya pilihanraya ke 15.

Sekian.