Pejabat Adun Bangi, 01 Jamadil Akhir 1433 = 23 April 2012 (Isnin):
Seminggu sebelum tiba hari ini, pelajar menghubungi Penulis, menyatakan hasrat mereka untuk menemui Penulis bagi mewawancara tentang Teori Takmilah bagi menyempurnakan kertas kerja mereka secara berkelompok untuk dibentangtkan di dalam tutorial bagi Kursus Sastera Islam. Adun bersetuju menerima mereka pada petang hari ini jam 3.30 petang.
Pada waktu yang dijanjikan mereka datang seramai tiga orang iaitu Suhaila, Ahmad Sayuti dan Ehsan. Menurut mereka, ``Kami adalah pelajar Tahun Dua yang mengambil kertas Sastera Islam Program Persuratan Melayu di bawah pengendalian Pensyarah Prof. Madya Dr. Misran.`` Dari penerangan dan perbincangan dengan mereka dapat dirumuskan:
Latarbelakang
Teori Takmilah tidak lahir secara bersendirian, tapi dari suasana semasa yang menyemai dan menyuburkannya. 1970an lahir gerakan pelajar keislaman seperti PKPIM dan ABIM mencetuskan kesedaran keislaman di kalangan pelajar – termasuk penulis. Revolusi Iran 1970an menyemarakkan semangat keislaman.Lahirnya persatuan penulis – Termasuklah Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM) yang penulis sendiri terlibat di dalam kepimpinan. Semaraknya peraduan-peraduan menulis karya sastera Islam, disamping peraduan penulisan yang lain. Contoh anjuran YADIM, Kerajaan Negeri Terangganu dan Peraduan Sempena Sambutan Abad ke 15 Hijrah.
Lahirnya kegiatan Kritikan pada 1980an sehingga lahirnya Persatuan Pengkritik Malaysia. Kritikan yang teratur adalah kritikan yang berkaedah antaranya menggunakan teori.. Dengan kelahiran teori-teori sastera adalah difikirkan wajar wujudnya teori sastera Islam.
Penulis yang pada masa itu mengajar Sastera Islam, Sastera Sufi dan Penulisan Kreatif turut terdedah dengan perkembangan teori dan pertama kali membentangkan kertas kerja berhubung dengan teori sastera Islam di Port Dickson pada akhir Oktober 1992. Antara pengkritik besar yang turut membimbing kami ialah Nordin Sufi Ketua Pengarang NST, A. Samad Ismail Krtua Pengarang Berita Harian dan Baha Zain Pengkritik dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Berikut dari itu lahir kertas-kertas kerja sastera Islam yang penulis bentangkan di dalam berbagai seminar.
Tahap Perkembangan Teori Takmilah
Tahap Pertama: Teori ini pada peringkat permulaan melibatkan sastera kreatif per se. Penulis kreatif Muslim (sasterawan) melihat kewujudan dengan mata seni yang pada hakikatnya semuanya indah. Keindahan (Jamal) adalah sifat Allah yang mencerminkan juga sifat Kamal dan Jalal. Penulis Islam sewajarnya mengungkapkan keindahan ciptaan Allah yang mencerminkan kesempurnaannya. Penulis hendaklah mentakmilah karyanya dengan segala kesempurnaan dari segi kreativiti hingga menjadikan karya bermutu dan lengkap (Takmilah). Dari sini timbulnya konsep estetika Islam berasaskan Ayat-Ayat Qur`aniyyah dan Kauniyyah, World View Penulis Muslim, Konsep Baik dan Buruk, Teknik Penulisan dan Peleraian, Bentuk-Bentuk Dominan di dalam Persuratan Islam dan Ruang Lingkup Kreativiti dan Perluasan, Konsep Imaginasi & Realiti dan Batas menurut Islam, Hakikat Cinta Dalam Islam dan Unsur Dakwah Dalam Penulisan Takmilah tidak hanya pada karya, tetapi ianya hendaklah bermula dari pengkarya yang seharusnya mendalami Islam dan aspek kreativiti, iaitu mentakmilah diri, barulah berkemampuan mentakmilah karya, bahkan dengan karya yang baik dapat mentakmilah khalayak pembaca karya, bahkan juga mentakmilah masyarakat.
Tahap Kedua:
Mulai awal 2006 memperluaskan wawasan melihat apa jua pemikiran, kreativiti adalah cerminan budaya, intelektual, tamadun dan peradaban sesuatu ummah, lantaran itu Takmilah sebagai hasil persuratan, pemikiran dan kreativiti berperanan memartabt dan memperkasakan budaya berkenaan, dengan itu lahirlah Gagasan PESURAT (mengambil istilah `Surah` atau `Surat dalam Al-Qur`an) yang mana Takmilah adalah sebahagian dari PESURAT. PESUIRAT melibatkan segala bidang penulisan kreatif dan non-kreatif. Dalam kata lain Takmilah di dalam PESURAT berperanan dalam membina Adab dan Tamadun. Pesurat, iaitu Penulis yang menulis berperanan meningkatkan Adab dan Tamadun (A & T pada PESURAT). Tahap kedua memperlihatkan bahawa Takmilah dilihat dalam skop yang lebih luas dalam mana ianya berperanan membina Adad dan Tamadun disamping ianya adalah cerminan Adab dan Tamadun itu sendiri.. Dalam kata lain skop PESURAT termasuk Takmilah melibatkan semua jenis penulisan, termasuk ilmiah disamping kreatif adalah berfokus kepada masyarakat berperanan membina masyarakat disamping ianya adalah cerminan masyarakat umat itu sendiri.
Tahap Ketiga
Setelah lebih sedekad Penulis terlibat di dalam politik dan kepimpinan wawasan Takmilah dan Pesurat dilihat bukan setakat membina dan cerminan Adab dan Tamadun umat, tetapi ia adalah mekanisme yang dapat membantu dan mengukuhkan politik pemerintahan sesebuah Negara. Dalam kata lain takmilah dan Pesurat yang bersifat kreatif, ilmu dan budaya berperanan membina Negara, termasuklah Negara Islam. Konsep Bangi Bandar Ilmu adalah mekanisme membina Bangi dari segi Adab dan Tamadun menurut perspektif Islam. Bahkan Bangi dilihat sebagai Bandar Islam dan Mini Negara Islam. Perspektif Bangi sebagai Bandar Ilmu, bahkan Mini Negara Islam ini dilakarkan dalam buku yang baru diterbitkan `Bangi Bandar Ilmu`.(2012).Pembinaan Negara Islam dilihat lebih kukuh berasaskan Adab dan Tamadun Keislaman.
Penutup
Setelah berbincang dengan pelajar-pelajar tersebut yang penulis kira mereka telah membaca terlebih dahulu dan faham tentang Teori Takmilah berdasarkan perbincangan bersama mereka. Cuma mereka belum terdedah dengan tahap-tahap kedua dan ketiga. Lantaran itu pada akhir pertemuan Penulis menghadiahkan kepada mereka buku Bangi Bandar Ilmu yang konsep di atas terdapat di dalam buku ini, terutama pada bahagian akhir. Turut Penulis hadiahkan kepada mereka buku kreatif (Puisi) berjudul `Madu Ilmu`, iaitu himpunan puisi terpilih yang Penulis hasilkan sejak 1969-1999 selama Penulis di UKM, bahkan mempersembahkannya kepada UKM sempena persaraan Penulis (1999) dari UKM. Terbitan Jabatan Persuratan Melayu, UKM (1999).
Sekian.