April 27, 2012

Rasmi Sukan Pasti As-Syakirin & Penyampaian Beg SRI Ar-Rahmaniah

Teras Jernang,  30 Jamadil Awal 1433 = 22 April 2012 (Ahad):


Kampung Rahmat Teras Jernang (dikenali juga dengan Kg. Haji Abdul Hamid) mempunyai identiti dan keistimewaannya tersendiri. Kawasan tanah yang agak luas di sini diteroka dan dimiliki Tuan Haji Abdul Hamid (m. tiga tahun lepas). Beliau berperanan memperkukuhkan Parti Pas dan memperkembangkan pendidikan Islam. Sebagai pemimpin Pas di perkampungan ini beliau mewaqafkan tapak musalla yang juga sebagai Markas Pas di sini. Kegiatan Pas di sini begitu kuat dan menjadi induk bagi perkembangan Pas di Teras Jernang.


Beliau juga sebagai pelopor pendidikan di sini, di bahagian bawah musalla diadakan Pasti yang dikenali dengan Pasti As-Syakirin Teras Jernang. Beliau juga membina bangunan Sekolah 3 tingkat pada 2007. Bangunan ini digunakan bagi Sekolah Rendah Islam Teras Jernang. Ruang yang banyak di bangunan di sini boleh didirikan sekoah meneganh agama, sekiranya diusahakan. Ibu bapa sekitar Teras Jernang dan kawasan berdekatan menghantar anak-anak mereka belajar agama di sini.


Pagi ini Adun Bangi dijemput oleh Pentadbir Pasti As-Syakirin Teras Jernang merasmikan Sukan Tahunan Pasti As-Syakirin Teras Jernang bertempat di Kompleks Sukan Seksyen 15 Bandar Baru Bangi. Menurut Pengerusi Pasti Ustaz Bashir,
``Penganjuran Sukan Tahunan Pasti ini bukan sahaja bermatlamat menggalakkan anak-anak bermain-main semata-mata, tetapi lebih kepada merapatkan jurang antara guru, ibu bapa dan murid.``


Adun Bangi dalam ucapan ringkas mengucap terima kasih di atas jemputan. Adun bergembira melihat sokongan yang terus diberi ibu bapa terhadap Pasti yang jumlah murid adalah 100 murid. Adun berpendapat, kepercayaan diberi oleh ibu bapa kerana mutu pendidikan yang diberi oleh Pasti ini. Adun berharap mutu pendidikan hendaklah dikekal dan ditingkatkan bagi meningkatkan kepercayaan ibu bapa dan masyarakat. Selamat Bersukan.


Antara acara sukan ialah Susun Tin Bina Piramid, Lari Berganti-Ganti, Jungjung Pundi Kacang, Tarik Bola Dalam Gelong, Bawa Bola Berganti, Cari Harta Karun, Isi Air Dalam Gelas, Susun Kun, Bawa Bola Dalam Sudu. Pihak ibu bapa dipelawa melibatkan diri dalam sukan dengan menyertai pertandingan Masuk Benang Dalam Jarum, Balin Belon Air dan Jaring Bola Dalam Gol

Kejayaan Sukan diuruskan oleh saudara Zulkiflee Hamat selaku Pengarah, Zulhilmi Abd. Rahman selaku Setiausaha dan Publisiti dan kerjasama guru-guru.



Sementara itu pada pagi esoknya (Isnin 23 April) Adun bersama pengiring-pengiring ke Sekolah Rendah Islam Ar-Rahmaniah di Teras Jernang dengan tujuan menghantar beg Sekolah kepada murid-murid terpilih dari Sekolah ini. Ketibaan kami disambut oleh Puan Faridah binti Abdul Hamid Pengerusi Sekolah Sri Ar-Rahmaniah dan Guru Ustazah Norhayati binti Abdullah. Difahamkan Sekolah ini mempunyai 90 orang pelajar pagi dan 60 orang Sekolah Petang,

Dalam ucapan ringkas kepada Guru-Guru dan Murid-murid, bahawa  Adun datang bagi menyampaikan sejumlah 80 buah beg untuk pelajar-pelajar terpilih – terutama dari darjah satu.``

Adun harap pelajar-pelajar dapat menggunakan beg berkenaan sebaik mungkin. Terima kasih kepada Pengerusi Sekolah, guru-guru dan murid-murid yang menyertai majlis.

Sekian.

No comments:

Post a Comment