October 30, 2009

USAHA MENDEKATI & MEMAHAMI ORANG INDIA

Kerja-Kerja Menurap Jalan Di Sekitar DUN Bangi

BBB, 10 Zulkaedah = 29 Oktober (Khamis):





Kerja-kerja menurap jalan-jalan di sekitar DUN Bangi sedang giat dijalankan oleh pihak JKR menjadikan jalan-jalan lebih selesa digunakan dan keselamatan lebih terjamin. Antara jalan-jalan yang diturap ialah:

1) Jalan utama di Seksyen 7.


2) Jalan-jalan di persimpangan ke Komuter UKM yang juga sedang dinaiktaraf.


3) Jalan Sungai Tangkas ke Jalan Reko.


4) Jalan 1/3 ke Bangi Mutiara.


5) Jalan 1/7 dari bawah melalui Surau Al-Nur membelok ke Sekolah Kebangsaan, Bandar Baru Bangi.


6) Jalan dari Sekolah Kebangsaan, Bandar Baru Bangi ke Jalan Surau Damai Seksyen 2.


7) Menampal di sana sini jalan-jalan berlobang dan rosak yang agak kecil dan kurang serius di kesemua jalan di DUN Bangi.


Terima kasih kepada pihak JKR dan negeri yang meningkat, menurap dan menampal jalan-jalan hingga menjadikan jalan-jalan lebih selesa. Penaikan taraf, penurapan dan pembaikan diharap akan dilakukan secara terus menerus.

Kepentingan Komersil Loji Bertukar Tapak Perumahan

Seksyen 15, BBB, 10 Zulhijjah = 29 Oktober (Khamis):



Bandar Baru Bangi sebenarnya sudah kekurangan ruang untuk pembangunan perumahan. Tanah untuk bangunan di BBB berbaki kurang dari 300 ekar. Lantaran itu tanah loji memproses najis di Seksyan 15 yang seluas 42 ekar kini ditambak dijadikan tapak projek perumahan oleh Syarikat Esatek Sdn. Bhd. yang pejabatnya bertempat di 8-GF, Ground Floor, Jalan 15/1f di sini. Di atas tanah yang memuatkan sebanyak 397 buah rumah teres dua tingkat dan semi-D. Kini pembangunan sedang rancak berjalan. Walau bagaimana menurut En. Danny J.W.Cheah Group Executive Director, walaupun tapak berasal dari kawasan loji najis perumahan mendapat tempahan menggalakkan yang harga setiap unit antara RM200,000 hingga RM500,000.

Walaupun loji najis ini bertukar kepada kawasan perumahan, tidak bererti loji najis di sini dihapuskan sama sekali. Loji digantikan dengan yang lebih kecil yang memakan ruang seluas 7 ekar sahaja, tetapi berkemampuan memproses lebih tinggi dan dapat menampung keperluan 118,000 penduduk bahagian selatan BBB. Syarikat Esetik di atas adalah merupakan Joint Venture dengan PKNS pemilik tanah dengan peruntukan bagi loji sebanyak RM16 milion. Projek ini bermula pada tahun lepas (2008). Setelah projek siap, loji akan diserahkan kepada Indah Water pada Mac 2010.

Berikutan dari kewujudan loji memproses najis yang baru ini ADUN menerima aduan dari penduduk (En.Faizal Othman) pada 5.10.2009 kemungkinan pencemaran bau dan bunyi akan berlaku kepada penduduk berdekatan termasuk rumah beliau.

Satu pertemuan diatur dengan pihak pemaju dan pengadu dan pada hari ini ADUN dan pengiring-pengiring telah turun ke pejabat pemaju dan lokasi loji dan perumahan. ADUN telah diberi taklimat di pejabat dan dibawa ke lokasi loji yang lebih canggih dari segi operasi. Najis yang disalur ke loji awal diproses melalui 5 stages sebelum air bersih disalurkan ke Sungai Langat. Loji lebih bersifat tertutup, tidak sebagaimana sebelum ini bersifat terbuka. Operasi proses melalui penggunaan jenakuasa yang dirotate penggunaan.

Rumah pekerja pengawalan akan didirikan dan tugas pengawalan berjalan 24 jam. Penampang pokok-pokok hijau akan ditanam bagi menyerapkan bau. Walau bagaimana semasa lawatan ini bau najis yang diproses tetap terhidu, walaupun tidak terlampau kuat. Ini pada peringkat permulaan operasi, kemungkinan apabila beroperasi sepenuhnya mungkin akan bertambah bau atau kemungkinan akan berkurangan. ADUN meminta agar usaha berterusan dilakukan agar dapat dikurangkan pencemaran. Pemantauan akan terus dilakukan.

Pemikiran

Bilakah Masalah Sampah Dapat Di atasi ?


MPKj, 9 Zulkaedah = 28 Oktober (Rabu):


Di dalam Mesyuarat Penuh MPKj hari ini persoalan klisye tentang masalah sampah yang tak terurus dengan baik timbul lagi dan menjadi topik perbahasan. Sebagaimana biasa yang dituding, tidak lain dari Syarikat Alam Flora yang mengendalikan pengurusan sampah. Secara skeptic ditimbulkan cadangan untuk menamatkan kontrek MPKj dengan Alam Flora. Hujah dikeluarkan oleh ahli. Perjanjian asal dengan Alam Flora membolehkan syarikat ini determinate, tetapi selepas perjanjian 2007 kontrek berlaku dari setahun ke setahun dan dilanjutkan secara automatik. Ini menyukarkan untuk diambil tindakan penamatan.


Dalam perbahasan ditimbulkan cadangan untuk melantik peguam dari MPKj dan peguam-peguam dari ahli-ahli MPKj bagi melihat kemungkinan diambil tindakan undang-undang yang boleh membawa kepada tamatnya kontrek Alam Flora dengan MPKj. Kita mendengar cadangan ini secara sinis dan timbul pertanyaan bukankah perjanjian ini tidak hanya pada peringkat tempatan (MPKj) semata-mata, tetapi perjanjian Alam Flora melibatkan Persekutuan dan sebahagian besar dari negeri-negeri, termasuk Selangor. Tidak semudah itu dilaksanakan keputusan yang diambil secara skeptis itu.


Kerana keterikatan itulah selama ini peluang kontrektor-kontrektor dari pihak UMNO-BN tetap bermaharajalela dan tidak terjejas peluang dengan perubahan pemerintahan. Manakala kontrektor-kontrektor kecil dari Pakatan yang mengharapkan kontrek secara kecil-kecilan tidak mendapat peluang sewajarnya. Apa lagi jumlah kontrek di bawah RM20,000 boleh ditentukan oleh pihak pentadbiran. Walau bagaimana kita tunggu dan lihat apakah tindakan undang-undang mampu diambil terhadap Alam Flora. Sekian.

October 29, 2009

Penyerahan Pondok Pengawal Dibiayai ADUN Kepada PIBG Sekolah Tamil

West Country, Jalan Reko, 9 Zulkaedah = 28 Oktober (Rabu):


12.00 tengahari, ADUN Bangi menyerahkan kepada pihak PIBG Sekolah Tamil, Jalan Reko yang diwakili Timbalan Pengerusinya En. Krishnan (Pengerusi En. Balan masuk hospital) sebuah Pondok Pengawal di pintu masuk sekolah hasil dari biaya ADUN sepenuhnya sejumlah RM5,000. Pondok ini diguna pengawal-pengawal secara bergilir 24 jam.


Sebelumnya tidak ada pondok bagi pengawal-pengawal. ADUN Bangi menyerahkan Pondok kepada En. Krishnan atas dasar prihatin ADUN terhadap keselamatan sekolah, murid-murid dan guru-guru. ADUN berharap dengan penyerahan sumbangan dapat meningkatkan keselamatan. En. Krishnan dalam ungkapan ringkas bagi pihak PIBG dan Sekolah berterima kasih di atas keperihatinan ADUN terhadap Sekolah Tamil, Jalan Reko tersebut. Beliau mengharapkan kerjasama antara ADUN, PIBG dan Sekolah berterusan. Turut hadir di dalam upacara ringkas itu ialah En. Priasamy (Mr. Sum) selaku Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Pas West Country dan beberapa orang pengiring dari Pejabat ADUN.

Sekolah Tamil West Country antara sekolah Tamil tertua di Hulu Langat. Didirikan sejak tahun 1925 di atas tapak – kini Klinik Zalfah. Seksyen 4 Tambahan dan berpindah ke tapak kini pada tahun 1982. Sekolah ini kini mempunyai 365 murid dengan seramai 19 orang guru. Selain itu, sekolah ini merupakan sekolah Tamil terbaik dari segi pencapaian UPSR di Hulu Langat pada tahun 2007 dan 2008 secara berturut-turut (Terdapat 5 buah sekolah Tamil di Hulu Langat). Kita difahamkan pihak kerajaan baru meluluskan peruntukan RM 2 juta bagi pembinaan bangunan sekolah tambahan tiga tingkat dengan 19 darjah bagi menampung pertambahan murid-murid. Dengan kemudahan yang ada dan bakal didapati, diharap sekolah ini bertambah maju.

Kebimbangan Penghuni Kedai Sungai Tangkas Dapat Diatasi

Sungai Tangkas, 5 Zulkaedah = 24 Oktober (Sabtu):


Pada pagi hari ini ADUN didatangi beberapa penghuni kedai di jalan masuk dari bawah jambatan Sungai Tangkas, membuat aduan, kerana kemungkinan tapak kedai mereka akan dikorek bagi laluan longkang yang sedang digali.

ADUN bergegas ke lokasi di mana penggalian longkang sedang dilakukan dan berjaya berunding dengan pihak kontrektor agar longkang digali tidak mengenai bangunan kedai pengadu-pengadu. Kata sepakat dicapai, bahawa laluan longkang akan dibuat dari sungai ke bahagian hadapan kedai yang kelak ditutup bahagian atas. Dengan demikian longkang dapat dikorek dan menyelamatkan kedai dari diruntuhkan.

Pendapat:

Perkenalkan AQSA Pada Peringkat Menengah

Bandar Baru Bangi, 10 Zulkaedah = 29 Oktober (Khamis)

Cadangan Timbalan Menteri Pelajaran YB Dr Mohd Fuad Zarkashi di Parlimen pada 27 Oktober untuk melanjutkan pengajian J-Qaf dari peringkat sekolah rendah ke peringkat sekolah menengah mendapat respon dari ADUN Bangi yang melihat J-Qaf adalah bersesuaian pada peringkat rendah yang menekankan pembelajaran Jawi, membaca Quran, mempelajari asas bahasa Arab dan Fardu ain. Namun pada peringkat menengah pengajian ini perlu ditingkatkan kepada tahap yang lebih tinggi bersesuaian dengan peringkat menengah. ADUN Bangi mencadangkan bagi peringkat pengajian menengah dikenali dengan AQSA. Aqsa sendiri dari segi bahasa bermaksud lebih jauh, lebih tinggi dan lebih mendalam (Masjid Aqsa bermaksud masjid lebih jauh di Baitul Maqdis).

Pengajian AQSA bermaksud pengajian yang menekankan Aqidah, Qur`an, Syariat dan Arab. Pada peringkat menengah sudah wajar pelajar diperkenalkan dengan ilmu aqidah yang mengukuhkan keyakinan mereka terhadap Islam. Pengajian al-Quran pula hendaklah pada peringkat yang lebih tinggi, selain dari mempertingkatkan kualiti bacaan, mempelajari ilmu tajwid lebih mendalam, pelajar juga mulai diperkenalkan dengan ilmu tafsir, iaitu dengan memilih ayat-ayat Qur`an pilihan bagi kefahaman pelajar dan amalan mereka. Ini menyediakan asas keilmuan tafsir bagi mereka menyambung pengajian berkenaan pada peringkat pengajian tinggi, jika mereka memilih pengajian berkenaan. Pengajian Syariat, ialah lebih tinggi dari fardu ain.


Pada peringkat ini pelajar diperkenalkan selain dari asas-asas ibadat, ialah peningkatan bidang ibadat dan menambah bidang muamalat, munakahat, jinayah dan jihad dan juga mulai diperkenalkan Qawaid Fiqhiyyah secara asas. Ini dapat membekalkan kepada pelajar kefahaman yang lebih mendalam tentang Islam, lebih dari itu menjadi panduan amalan mereka. Terakhir pengajian bahasa Arab yang tentulah lebih mendalam yang membantu melengkapkan mereka memahami aspek akidah, syariat dan Quran itu sendiri dan menguasai bahasa Arab.


Bahan-bahan pengajian akidah, syariat dan tafsir hendaklah ditulis di dalam tulisan jawi sebagaimana tulisan ini seharusnya sudah dikuasai oleh murid-murid pada peringkat rendah lagi. Ini bererti pembelajaran jawi berterusan.

AQSA hendaklah dilihat sebagai sambungan tahap kedua selepas J-Qaf dan AQSA pula sebagai tahap persediaan pelajar untuk menyambung ke peringkat STAM dan pengajian tinggi, khususnya pengajian-pengajian di UIAM, USIM, KUIS, Fakulti-Fakulti Pengajian Islam, Kolej-Kolej Islam dan institusi-institusi yang menyediakan pengajian-pengajian Islam. Bagi melaksanakan AQSA hendaklah dibentuk satu AJK Kurikulum bagi mengolahnya secara lebih detail dan terperinci bagi digunakan pada peringkat maktab, institut dan Universiti Perguruan bagi melatih pengajar-pengajar dan guru-guru. Buku-buku berkenaan hendaklah disusun oleh pakar-pakar terpilih dan diterbitkan oleh penerbit-penerbit berwibawa. Diharap AQSA sebagai lanjutan J-QAF pengajian Islam lebih mantap dan berjaya.Insya Allah. Sekian.

Dr. Shafie Abu Bakar

October 28, 2009

BUTA MATA, CELIK MATA HATINYA

KAMPUNG BANGI, 26 September -


Firman Allah(maksudnya);

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.
( Surah Al A’araaf 179 )

Lumrahnya, manusia jarang bersyukur dengan apa yang diberikan. Bagi insan bernama See Thong Seong (52)(gambar), gelap adalah jalan yang terpaksa beliau lalui sepanjang hidupnya. Terang hidupnya hanya bersuluhkan cahaya mata hati. Walaupun gelap, beliau terbuka mata hati untuk mengusahakan kebun disekitar tempat kediaman. Kediaman beliau juga bagaikan pondok menunnggu roboh.

Beliau tidak meminta-minta untuk hidup, tetapi sentiasa berusaha dengan mengerah tulang empat keratnya sendiri untuk terus hidup. Beliau mengusahakan beberapa jenis tanaman sebagai mata pencarian. Antara tanaman yang diusahakan beliau ialah, tebu, ubi keledek, nanas dan beberapa jenis sayuran lain.

Tanpa arahan atau bantuan sesiapa, beliau masih boleh melalui jalan tanah yang tidak rata untuk menuju ke kawasan tanaman.

Namun begitu, beliau tidak bersendirian, beliau masih ditemani kasih seorang abang yang tidak pernah luntur. Abangnya sentiasa setia menemani beliau.

Sebelum pulang, YB ADUN turut membeli hasil tanaman beliau dan memberikan sedikit sumbangan barangan runcit serta sejumlah wang.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Seterusnya krew kami ke kawasan kampung yang berhampiran.

Puan Lee Siew Seng (72), juga buta mata sejak berusia 40-an merupakan seorang ibu tunggal yang telah ditinggalkan suami. Beliau mempunyai 6 orang anak permpuan dan 2 orang anak lelaki.

Kini, beliau yang sudah tidak boleh melihat dijaga oleh salah seorang anak perempuannya dan turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM).

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Sumbangan seterusnya diberikan kepada Puan Kuan Swe. Seorang yang cekal dan hidup bersendirian. Walaupun hidup beliau susah, namun beliau berasa sangat berat dan menolak pemberian 'Angpau' daripada YB. Dr. Shafie. Selain itu, kami turut menyampaikan beberapa lagi sumbagan kepada warga emas di kawasan sekitar.

Yb ADUN mengucapkan terima kasih diucapkan kepada krew yang terlibat.

Memperkenalkan Usahawan Bangi Berjaya

Beliau adalah Encik Ramli Busu (gambar) yang mempunyai Syarikat Catering yang diberi nama ARBE bertempat di Sungai Tangkas, Bangi.


Beliau telah memulakan perniagaan sejak 1985. Sebelumnya beliau berkhidmat sebagai Pegawai di Felda. Pengusaha yang berasal dari Melaka ini mendirikan bangunan perusahaannya di atas tanah miliknya seluas 1.1 ekar. Di atasnya terdiri sebanyak 7 buah bangunan, termasuklah tempat memasak dan tempat tinggal pekerja-pekerja.


Seramai 50 pekerja berkhidmat di dalam perkhidmatan catering beliau. Separuh daripadanya ialah pekerja-pekerja tempatan dari Sungai Tangkas. Encik Ramli juga menyewa tanah berdekatan dengan perusahaannya seluas seekar. Tanah ini ditanam sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai bahan tambahan bagi keperluan perusahaan beliau.

Sesiapa yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi no. 0192801654 atau 0192601654.

Kemelut Politik MCA Jauh Dari Menuju Penyelesaian

Bangi, 9 Zulkaedah = 28 Oktober (Selasa):

Selepas EGM MCA 10 Oktober lepas yang menolak kedua-dua pimpinan Datuk Seri Ong Tee Keat Presiden MCA dan Timbalannya Datuk Seri Chua Soi Lek MCA nampaknya benar-benar pada masa itu menuju pembersihan. Dari desakan menunjukkan Ong Tee Keat akan meletakkan jawatan. Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dijangka mempunyai harapan cerah memimpin MCA turut bersama kumpulan mendesak Ong Tee Keat meletakkan jawatan.

Keadaan menjadi sebaliknya ,
``Nampaknya tidak mudah bagi yang memegang kekuasaan untuk menyerahkan kekuasaan begitu sahaja``, apalagi jika ruang masih ada. Demikianlah yang berlaku.

Setelah berkontemplasi beberapa hari, beliau menggunakan hujah tuntutan meletakkan jawatan tidak memenuhi keperluan dua pertiga majority menghendaki beliau meletakkan jawatan dan beliau tidak perlu meletakkan jawatan. Sementara Chua Soi Lek juga membuat permohonan agar ROS mengembalikan jawatannya sebagai Timbalan Presiden (Jawapan ROS terpulang kepada MCA menentukannya). Manakala Liow Tiong Lai yang sebelum ini dilihat sebagai penyokong setia Ong Tee Keat berada di dalam keadaan tersempit.

`Penyokong setia` ini berubah menjadi sebaliknya, iaitu sebagai `Musuh Politik` Ong Tee Keat. Walaupun sudah ada pertemuan di antara ketiga pemimpin utama bagi kembali bersatu dan bekerjasama bagi memperkukuhkan MCA, tetapi reality berlaku perlumbaan mencari pengaruh dan memperkukuhkan kedudukan.

Ong Tee Keat sudah tentulah mau memperkukuhkan kedudukan sebagai Presiden. Antara cara yang mahu diambil dengan memanggil EGM sekali lagi, tetapi hasratnya ini ditarik balik.

Pengukuhan ialah dengan menarik sebanyak mungkin sokongan memihak kepoadanya. Manakala bagi Liow Tiong Lai yang memperlihatkan belangnya dengan menyertai kumpulan menuntut Ong Tee Keat meletak jawatan tentulah tidak senang duduk dan berusaha mempertahankan kedudukan agar sekurang-kurangnya kedudukan no dua tidak terjejas dan diiktiraf di samping mencari kesempatan peluang bagi menduduki kerusi Presiden terbuka kepadanya.

Dalam keadaan perlumbaan sedemikian, nampaknya sejarah akan berulang kembali bahawa akan terbentuk di dalam MCA dua kelompok yang dikenali Kelompok A bagi Ong Tee Keat dan Kelompok B bagi Liow Tiong Lai. Jika demikian MCA jauh dari menuju penyelesaian. Sekian.

Tahap Keselamatan Yang Merisaukan

BBB, 9 Zulkaedah = 28 Oktober (Selasa):

Dalam usaha kita jadikan Bangi sebagai Bandar Bersih dan Selamat, kita benar-benar tercabar dengan berita-berita yang menggugat keamanan dengan berlakunya kecurian, pecah rumah dan ancaman terhadap keselamatan nyawa. Yang menjadi mangsa terdiri dari berbagai peringkat dari orang awam, bahkan dari rumah Bilal Surau hinggalah kepada Setiausaha Masjid. Malam tadi ADUN kebetulan pergi berjamaah di Masjid Hasanah. Berita sampai ke telinga ADUN tentang pecah rumah dan kecurian yang dialami Setiausaha Masjid Hasanah dan turut sembahyang hajat memohon keselamatan dan perlindungan dari Allah.

Adalah dikatakan, kecurian terjadi dilakukan oleh kumpulan yang sama yang bergerak dari satu tempat ke tempat berdekatan. Selain itu dikatakan ada bekas penghuni pusat serenti yang baru dilepaskan dan pulang ke sini dan bergiat semula melakukan jenayah. Selain dari mengharapkan pihak Polis lebih aktif mengadakan rondaan, masyarakat diharap mengambil perhatian dan membuat catatan no. kenderaan pihak-pihak yang diragukan bergerak di kawasan dan hebohkan di kalangan jiran. Jika ada yang mengenali orang yang baru dilepaskan dari tahanan, perlu diawasi pergerakannya dan kalau perlu melaporkan kepada pihak Polis.

Kita juga mengharapkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap premis-premis cyber café haram dan tidak berlesen, manakala ibu bapa mengawasi anak-anak mereka dari `menghuni` di cyber café, merayau dan ponteng sekolah. Jika keadaan makin teruk perlu difikirkan bagi mewujudkan rukun tetangga dan pengawalan. Persoalan keselamatan ini akan dibawa ke mesyuarat keselamatan pada peringkat Daerah insya Allah.

October 27, 2009

Pendapat:

Bahana EGM jika Jadi Realiti

Perkembangan mutakhir menunjukkan EGM hampir pasti tidak akan diadakan. Ketika cadangan EGM tercetus, tidak terjawab kita dengan soalan-soalan dikemukakan yang keseluruhan terkejut dengan perkembangan di luar dugaan. Jalan selamat sebagai jawapan sementara.

``Tunggu dan lihat dengan perkembangan``, dan

``Pulangkan kepada pihak pimpinan mengendalikan isu.``

Sebenarnya isu timbul lebih dipengaruhi oleh syndrome kepimpinan di dalam MCA !

Elemennya cuba dikaitkan oleh Profesor Abdul Aziz Bari dengan sublimasi di dalam Pas yang telah dijernihkan di dalam Muktamar yang lepas. Isu ini diperpanjang oleh pimpinan dan diexploitasi oleh akhbar-akhbar.

Tidak ada jenayah kepimpinan di dalam Pas yang perlu digali dan dikemukakan bukti. Jika ini dilakukan kita bekerja untuk membekalkan peluru kepada musuh untuk membunuh kita.

Mahukah kita menempah kematian akibat dari usaha tangan kita sendiri ?

Isteri Menteri Besar Turun Padang Menyampaikan Bantuan

Kajang, 6 Zulkaedah = 25 Oktober (Ahad):

Isteri Menteri Besar Selangor Puan Seri Salbiah Tunut, pagi ini turun padang bertempat di Dewan MPKj menyampaikan bantuan kepada golongan daif masyarakat India sempena perayaan Deepavali.


Majlis disatukan penyampaian di satu tempat bagi DUN Bangi, Kajang dan Parlimen Hulu Langat. 50 orang dijemput dari setiap bahagian.


Di dalam ucapannya Puan Seri menekankan tentang keprehatinan Kerajaan Negeri Selangor tentang kebajikan rakyatnya. Beliau gembira rancangan Pekawanis mendapat sambutan di Hulu Langat dan mendapat kerjasama dari jabatan-jabatan berkenaan.Puan Seri turut diberikan tepukan gemuruh kerana beliau mampu menggunakan bahasa Tamil bagi pendahuluan ucapannya.


Berselang-seli dengan penyampaian sumbangan diadakan pertunjukan kebudayaan oleh anak-anak dari mesyarakat India. Majlis diakhiri dengan jamuan.

Melancarkan Usrah Remaja

Masjid al-Hasanah 6 Zulkaedah = 25 Oktober (Ahad):




ADUN Bangi pada pagi ini dijemput oleh pihak Pewaris sebuah NGO yang menumpukan kegiatan mendidik generasi muda sebagai pelapis pimpinan pada masa hadapan. Jumlah peserta lebih kurang 70 orang termasuk lelaki dan perempuan.

Menurut Saudara Rusli selaku Pengerusi Pewaris yang baru dilantik dalam ucapan alu-aluannya,

``Anak-anak yang dipilih dari sekitar Bangi buat kali ini``, katanya.

``Kursus seumpamanya diadakan secara giliran dari satu tempat ke satu tempat dan dari satu masa ke satu masa.``. Kursus sehari ini menurutnya,

``Diadakan secara percuma dan dibimbing oleh pakar motivasi yang berwibawa.``. Turut sama Hadir Saudara Faizal Mantan Pengerusi yang lepas.

ADUN Bangi di dalam ucapannya melahirkan rasa sukacita bahawa masjid kini bukan sahaja sebagai tempat ibadat semata-mata, tetapi sebagai pusat pendidikan bagi membentuk generasi muslim dan muslimah yang berguna pada masa kini dan akan datang.

Menurutnya, Kursus kepimpinan seumpama ini dapat mengelak generasi muda dari terjebak di dalam masalah gejala sosial, di samping menanamkan nilai-nilai positif terhadap mereka. Beliau berharap pendidikan yang diterima akan dipanjangkan oleh peserta-peserta kepada teman-teman dan ``group peers` mereka dan mempengaruhi mereka kepada nilai-nilai positif.

Menurut Dr. Shafie, di dalam kehidupan yang mencabar, langit terbuka dan global, generasi muslim dan muslimah perlu kepada benteng yang kukuh di dalam menghadapi cabaran dan ancaman yang boleh menghakiskan budaya dan nilai-nilai keislaman. Generasi muslim dan muslimah jangan membiarkan diri menjadi mangsa perubahan, tetapi jadikan diri sebagai factor dan agen perubah dan mewarnai masa hadapan menurut pola dan nilai yang kita perjuangkan. Mengakhiri ucapan beliau berharap Pewaris meneruskan perjuangan dan jihad murni yang sesuai dengan tuntutan Islam.

Menyampaikan Bantuan Kepada Golongan Daif Masyarakat India

West Country, 05 Zulkaedah = 24 Oktober (Sabtu):

Satu Majlis bantuan kepada masyarakat India yang daif telah diatur oleh Persatuan Tamil Antarabangsa Cawangan Kajang dipengerusikan oleh Encik M. Paniselvam bertempat di Sekolah Tamil, Jalan Reko pada petang tarikh di atas. Majlis diadakan bersempena dengan perayaan Deepavali masyarakat India. Seramai 50 orang masyarakat India yang daif dijemput hadir dan juga anak-anak.


ADUN Bangi menyampaikan bantuan kepada mereka dalam bentuk wang dan barangan. Bagi anak-anak, ADUN juga menyampaikan duit raya.


ADUN berharap kerjasama sedemikian dengan persatuan akan dapat diteruskan.

October 26, 2009

Meraikan Ahli-Ahli Jamaah Yang Berangkat Ke Makkah

Pejabat PAS Serdang, 06 Zulkaedah = 25 Oktober (Ahad):

Seramai 11 pasangan dari jemaah Pas Serdang diraikan di Pejabat Pas Serdang pada malam ini. Pengerusi penerangan Sdr Azmi dan Pengerusi Kebajikan Haji Rushdi bekerjasama mengatur majlis pada malam ini.


Menurut YDP Pas Serdang yang juga ADUN Bangi, majlis diadakan bagi meraikan bakal-bakal haji dari Jemaah yang dipilih Allah pada tahun ini bagi menjadi tetamuNya. Mereka adalah juga sebagai Duta Pas Serdang. Peluang haji yang bagi kebanyakan orang adalah sekali seumur hidup dan untuk pergi bukanlah mudah, terpaksa menunggu giliran sehingga ada yang sampai sepuluh tahun dan untuk mengumpul wang juga memakan masa yang lama, oleh sebab itu,


`` Tunaikanlah peluang haji yang didapati sebaik mungkin, nasihat YDP.``, ketika berucap meraikan mereka,


``Semoga Allah menerima haji semua jamaah sebagai Haji Mabrur insya Allah``, katanya.


Para jamaah diraikan dengan jamuan dan sedikit cendera hati. Doa Selamat dibacakan oleh Tuan Haji Kamaruddin Imam Masjid al-Salihin. Selamat Menunaikan Fardu Haji dan diterima Allah sebagai Haji Mabrur, insya Allah. Selamat Pergi dan Selamat Kembali.

Sekolah Agama Bandar Seri Putra Mula Diguna: ADUN Bangi Bekalkan Komputer

Bandar Seri Putra, 04 Zulkaedah = 23 Oktober (Jumaat)


Desakan dan permohonan supaya Bandar Sri Putra didirikan sekolah rendah, sekolag menengah dan sekolah agama dikemukakan oleh ADUN sejak 2001 semasa ADUN menjadi ADUN Kajang dalam mana Bandar Baru Bangi dan Sri Putra di bawah DUN Kajang.

Pada peringkat permulaan Bandar Putra dibuka (2001), tidak ramai yang mau menghuni, kerana masih kurang dari segi kemudahan, termasuklah ketiadaan sekolah. Ramai dari pembeli pada masa itu menjadikan rumah di sini sebagai rumah persinggahan di hujung minggu. Al-hamdulillah kini sekolah agama mulai digunakan, di samping sekolah rendah kebangsaan telah dibuka. Namun, sekolah menengah yang hampir siap tapi masih terbengkalai.

Sekolah agama ini mula digunakan pada 1 Oktober 2009 berikut dari mesyuarat antara Jabatan Agama, JKR, TNB dan Sekolah pada 5 September, iaitu dengan memindah seramai 325 murid yang belajar di Sekolah Agama Pekan Bangi, tetapi tinggal di Bandar Seri Putra. Pendaftaran murid baru telah dibuat dan tarikh pendaftaran akhir 30 Oktober. Setakat ini 850 orang telah mendaftar bagi memulakan pengajian bila sesi pertama dibuka pada 4 Januari 2010.

Sekolah Agama Seri Putra didirikan di atas tapak seluas 5 ekar berdepan dengan kawasan masjid yang lebih kurang sama luasnya. Tapak berada dikawasan strategic di tengah-tengah kawasan Bandar Seri Putra. Kos bagi sekolah ini ialah RM6.1 milion. Sekolah ini mempunyai dua blok empat tingkat yang boleh memuatkan 40 kelas dan boleh menampung hingga 2,000 murid termasuklah sebuah kantin. Disamping itu, sepertimana biasa sekolah ini mempunyai 9 kelas dengan dua kelas bagi darjah satu hingga 4 dan satu kelas bagi darjah 5. Setakat ini ada 10 orang guru dengan dua guru lelaki dan 8 perempuan. Guru Besar ialah Ustaz Khairul Amri dan Timbalannya Ustaz Husnan. Agak pelik sedikit sekolah yang terletak dibawah DUN Bangi yang sepatutnya dari segi tadbirannya terletak di bawah Hulu Langat diletak pentadbiran persekolahannya di bawah Pejabat Agama Sepang.

Dalam ucapannya ADUN Bangi, bersyukur kepada Allah sebuah lagi sekolah agama di DUN Bangi bertambah menjadikan 10 buah, iaitu;

1 buah SRAI di Bandar Baru Bangi
5 ,, SRA (Sg. Ramal Luar, Sg.Ramal Dalam, Pekan Bangi, Jalan 6 BBB, Seri Putra)
1 ,, LEPAI , Bandar Baru Bangi
3 Swasta (Jasmin, Kajang Utama, Seksyen 9).

Walaupun sudah 10 buah agama wujud di DUN Bangi, tetapi masih belum cukup dari segi keperluan penduduk setempat. Banyak lagi permohonan-mohanan diterima untuk mendirikan sekolah agama.

ADUN berharap Sekolah Agama Seri Putra akan memainkan peranan mendidik anak-anak setempat dengan pendidikan agama dan menjadi anak-anak berguna. Secara tidak langsung dapat mengelak anak-anak dari gejala sosial. Sempena Bangi Bandar Ilmu, maka adalah diharapkan Sekolah Agama Seri Putra akan menjadi sekolah agama terbilang di DUN Bangi, bahkan pada peringkat di Hulu Langat dan turut sama melonjakkan imej Bangi sebagai Bandar Ilmu.

Kemajuan sekolah banyak bergantung kepada banyak pihak. Selain dari guru-guru ialah ibu bapa. ADUN berharap dalam masa terdekat sekolah akan bermesyuarat bagi melantik AJK PIBG sekolah. Dengan ini banyak kegiatan yang dapat dijalankan melalui kerjasama dengan PIBG. ADUN sedia bekerjasama dengan pihak sekolah dan PIBG bagi memajukan sekolah.

Oleh kerana pada peringkat permulaan sekolah masih berkurangan dari segi peralatan. Bagi sebagai permulaan ADUN membekalkan sebuah computer baru (Dell) untuk kegunaan sekolah.

Sekian. Terima kasih. Wassalam.,

Anekdot : Memang Bangi Hijau Lebih Mudah Menuju Hijau Sepenuhnya!


Pada 24 Julai 2009 Datuk Seri Najib Tun Razak berkunjung ke Bangi Merasmikan `Pusat Tenaga Hijau` di Seksyen 9 berdekatan Masjid Hijau (Masjid Hasanah) dan mengumumkan `Dasar Tenaga Hijau Negara`.
Seorang sahabat yang sama menyertai upacara perasmian bertanya,

``Mengapa dipilih Bangi ?`

``Kerana Bangi terkenal sebagai pusat penyelidikan ! Tenaga pakar banyak didapati dari universiti-universiti di sini !``, jawab sahabat.

``Betul``, kata seorang peserta jemputan yang mengikuti percakapan.

``Tapi mungkin ada sebab tambahan yang lain daripada itu``, kataku.

``Apa lagi sebabnya ?`` Tanya kawan yang berminat mendapat jawapan.

``Kerana Bangi Hijau !``, kataku.

``Dari tempat yang telah sedia hijau, lebih mudah bagi menggerakkan polisi menuju `Dasar Tenaga Hijau Negara Sepenuhnya`, sebagai hasrat Perdana Menteri di dalam ucapannya !``, tambahku.

``Oh begitu ke ?`` kata seorang yang menyertai percakapan dan mengerti konotasi hijau itu.

``Kalau begitu, kita mesti beramai-ramai dari sini kempen revolusi hijau ke seluruh Negara, jika itu menjadi hasrat Perdana Menteri !``, tambah kawan sambil tersenyum gembira.

``Memang kita sokong polisi menghijaukan seluruh Negara !`` jawab seorang kawan dengan penuh semangat dan diikuti ketawa lucu !

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Rambutan Jahil !
Sepasang suami isteri sedang menikmati buah rambutan di meja makan selepas makan malam. Rambutan dihantar pekerja yang diupah memetiknya dari kebun pada petangnya.

Si suami bertanya isterinya ;

``Eh, rambutan ini bukan jenis gading yang di tepi pagar kebun tu ?``

``Bukan !, ini buah dari pokok di belakang tanah tu``, jawab isterinya.

``Tapi apa jenisnya ni ?``, ``Kurang lekangnya``, tambah suaminya.

``Anak sekolah ?`` Jawab isterinya.

``Eh, bukan``, tingkah suaminya, ``Anak sekolah lebih gebu isinya, lebih lekang dan manis dan kurang berair seperti rambutan ini`` tambah suaminya.

``So, rambutan jahil !`` hujah suaminya.

``Mana pula ada rambutan jahil`` jawab isterinya.

``Sebab dia bukan anak sekolah``, hujah suaminya.

Mereka berdua ketawa !. Isterinya kemudian menambah.

``Yang jahilnya kita, bukan rambutan``, membuat mereka terdiam.
-->

October 23, 2009

Puisi-Puisi Di Tanah Suci

Sesuai dengan musim haji, penulis menampilkan puisi-puisi di Tanah Suci semasa penulis berpeluang berada di sana menunaikan fardu Haji.

Sementara Keberangkatan

Pada lewat petang hari memanjang
Terhantar kita di lapangan Jeddah
Bersama barang-barang terpunggah
---- tersandar lelah.

Mulai di sini
Kita tinggalkan keselesaan di belakang
Menabahkan diri pada ujian
Mengerti tentang kesempitan ruang
Membiasakan diri dengan hembusan
Ruam-ruam membahang
Kekalutan yang mencabar
Mengajar diri lebih bersabar
Kerana perjalanan bakal ditempuh
Kekalutan memanjang
Menguji iman.

Sementara keberangkatan
Harus menunggu giliran
Tiada siapa ingin berlamaan di sini
Kerana lambaian Tanah Suci
Makin mendekati.

Perjalanan ini
Perjalanan ketakwaan
Kesukaran dihadapi
Terbakar dalam kerinduan.

Shafie Abu Bakar,
Jeddah, Makkah.

30 Zulkaedah 1405
16 Ogos 1985.

Merasmikan Pembukaan Madrasah Tahfiz Baitul Mahabbah

Sri Muda, Shah Alam 29 Syawal = 18 Oktober (Ahad):

(perasmian Oleh ; YB Dr. Shafie Abu Bakar)

Atas kapasiti ADUN Bangi selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu, ADUN dijemput oleh Nazir Masjid Proton, Shah Alam Tuan Haji Ghazali bagi merasmikan Madrasah selepas sembahyang Isyak di masjid berkenaan. Turut hadir sama YB Tuan Mat Shuhaimi Bin Haji Shafiei ADUN Sri Muda, Shah Alam.


Bangunan Madrasah bagi Tahfiz sudah ada, iaitu bangunan sekolah agama yang berpindah kerana mempunyai bangunan baru tiga tingkat juga tidak jauh dari masjid. Bangunan satu tingkat ini telah dilengkapi dengan dua bilik darjah, dua bilik tidur dan kantin. Bangunan ini terletak di atas sebidang tanah yang agak luas berhampiran masjid. Pelajar yang akan diambil sejumlah lebih kurang 30 orang, tetapi setakat ini belum ada pelajar yang mendaftar bagi sesi pengajian terdekat. Pengajian adalah sepenuh masa dan pelajar tinggal di dalam (asrama). Buat masa ini terdapat dua orang guru yang bakal berkhidmat.


ADUN Sri Muda YB Tuan Mat Shuhaimi bila dijemput turut melahirkan sokongan terhadap usaha pihak AJK Madrasah, walaubagaimanapun menurut beliau sebagai respon terhadap harapan Nazir agar mendapat bantuan daripada Kerajaan Negeri, menurutnya rancangan pembukaan sekolah seharusnya dimaklumkan terlebih awal kepada beliau. Menurutnya bajet kerajaan negeri telah dibincangkan, cadangan untuk memohon peruntukan 2010 agak terlambat untuk dimasukkan. Walau bagaimana beliau memberi tempoh tiga hari untuk AJK mengemukakan proposal bagi kemungkinan item peruntukan dapat dijadikan sebahagian dari peruntukan 2010.


Bila ADUN Bangi dijemput bercakap bagi perasmian, ADUN berharap pihak AJK pentadbiran membuat pilihan dan keputusan yang tepat bagi kepentingan anak-anak dan kemampuan pihak pentadbir, terutama dari segi kewangan. Menurut ADUN Bangi, ma`had tahfiz sekarang agak popular di negeri Selangor. Jumlahnya menghampiri 80 buah. Namun hampir semuanya adalah bersifat swasta. Belum ada kurikulum mantap. Berbagai pendekatan pengajaran dilakukan. Ada yang menumpukan pengajaran kepada hafalan semata-mata, ada yang menghafal dan menambah dengan mata-mata pelajaran pilihan tanpa mengambil peperiksaan yang diktiraf dan ada yang bersifat integrasi, iaitu mengambil sijil-sijil yang dianjur kerajaan dengan menintegrasikannya dengan kurikulum tahfiz.


ADUN membangkitkan hasrat Jawatankuasa menjadikan madrasah menekankan kurikulum tahfiz semata-mata mempunyai implikasi tersendiri. Anak-anak yang dari semuda usia tidak mengambil sebarang peperiksaan yang diiktiraf memasalahkan masa depan mereka. Ibu bapa juga memikirkan berkali-kali untuk menghantar anak-anak mereka. Ternyata sekarang sekolah belum menerima permohonan pendaftaran. Yang terbaik ialah mengambil pendekatan integrasi sebagaimana banyak digunakan oleh ma`had tahfiz, contoh Darul Qur`an Kerajaan Persekutuan dan tahfiz-tahfiz Kerajaan Negeri Selangor dan Kelantan. Tetapi pendekatan ini memerlukan kos yang tinggi. Ia melibatkan kos-kos guru-guru bagi semua mata pelajaran akademik dan tahfiz, kos pentadbiran, juga kos bagi menjaga pelajar yang tinggal di asrama sepenuh masa.


Pendekatan yang lebih menyelamatkan kos dan lebih terjamin dari segi kualiti ialah pelajar diurus belajar pelajaran akademik di sekolah-sekolah kerajaan atau sekolah agama integrasi kerajaan negeri dengan menguruskan pengangkutan bagi mereka pergi balik ke sekolah dan madrasah tahfiz dan menambahkan pengajian tahfiz secara berasrama di sebelah petang atau sebaliknya dan disebelah malam.


Walau bagaimana terpulang kepada pihak pentadbiran untuk memilih pendekatan yang difikirkan terbaik. Pihak kerajaan atau Lembaga Zakat mungkin dapat menimbangkan bantuan yang sesuaian. Madrasah dirasmikan dengan pembacaan basmalah. Sekian.

October 22, 2009

DIA



Dia
Terlalu jauh
Untuk disuluh sinar fikiran
Seperti sebuah kegelapan malam
Mau diterobos sebuah kandil
Malap tiada kelihatan.

Ada suara menggemai
Terpantul di lazwardi
Tak tererti
Membiru seluruh hidup
Merindui.

Ia
Terlalu asyik mencari
Terlupa pada diri
Terbakar dalam sepi.

Shafie Abu Bakar,
UKM, Bangi.
Oktober 1977.