October 5, 2009

Peniaga Pasar Malam Perlu Menyelesaikan Masalah Melalui Rundingan !

BBB, 14 Syawal - 03 Oktober (Sabtu):


Sebaik pulang dari perarakan mengiringi calon PR dari PAS ke penamaan calon di Majlis Bandaran di Port Dickson dan tiba di rumah di Bandar Baru Bangi jam 3.00 ptg., selepas membersihkan diri, ADUN bersama isteri segera menunaikan jemputan-jemputan kahwin dan majlis-majlis sambutan raya. Sebaik hendak bertolak ke jemputan kahwin, ADUN dihubungi Dr. Tajul Ariffin Noordin, bahawa ADUN diminta datang ke Pasar Malam Sabtu (Perniagaan biasanya bermula dari jam 2.00 petang lagi), untuk menyelesaikan masaalah yang ditimbulkan oleh segelintir mereka yang mendakwa sebagai wakil peniaga-peniaga pasar malam. Mereka menunjuk perasaan ! Tidak puas hati cadangan menutup pasar malam seksyen 16 selama sebulan Oktober untuk operasi pembersihan dan pemulihan.


ADUN mengambil keputusan menghantar isteri ke Majlis perkahwinan yang berlangsung di Pekarangan Surau al-Nur dan segera ke tapak Pasar Malam Sabtu. Setibanya ADUN di kawasan tersebut, didapati beberapa jurucakap peniaga sedang bercakap dengan keadaan marah ! Lebih kurang sepuluh orang Penguatkuasa MPKj lengkap beruniform diketuai Puan Khairunie berada di lokasi. Sebuah kereta peronda Polis juga tiba. ADUN disambut oleh Dr. Tajul, pegawai MPKj dan penguatkuasa-penguatkuasa. Serentak dengan kehadiran jurucakap-jurucakap, peniaga-peniaga menyerbu kearah ADUN. Antaranya ialah, Sdr. Nordin yang difahamkan sebagai ketua jurucakap dalam tunjuk perasaan tersebut. Beliau turut diiringi, Sdr. Abdul Rahman dan Sdr. Anuar. Manakala Sdr. Saidin yang menghantar memorandum ke MPKj membantah penutupan sementara pasar malam untuk pembersihan belum hadir.

(Gambar ; Saudara Nordin yang kelihatan agak tegang)


Dengan suara yang keras dan tinggi Sdr. Nordin menuduh pihak penganjur pasar malam tidak adil ! Menyekat periuk nasi mereka ! Mereka telah berniaga berpuluh tahun. Mereka perlu menampung nafkah dan keperluan anak isteri. Mereka tidak setuju pasar malam ditutup selama sebulan.


Apabila ditanya di mana Saudara Saidin dan mengapa mereka tidak menghadiri mesyuarat yang dipanggil oleh MPKj berikutan dari memorandum yang mereka hantar ?

Mereka menjawab mereka pergi ke Pejabat SUK membuat aduan kepada pegawai di sana. Mereka diingatkan sepatutnya menghadiri mesyuarat ! Adapun mahu ke SUK, sepatutnya mesti ada wakil ke Mesyuarat MPKj pagi Jumaat 2 Oktober. Akibat ketidakhadiran, mereka tidak tahu keputusan dan keliru. Mereka tidak menjawab, sebaliknya mendakwa, mereka adalah penyokong ADUN dan berperanan melantik ADUN kepada kedudukan sekarang.


Apabila ditanya Sdr. Nordin dan beberapa orang peniaga bersama tempat tinggal mereka.Mereka tidak mahu menjawab, tetapi menyatakan mereka rakyat negeri Selangor. Ini bererti sebahagian besar peniaga-peniaga bukan dari penduduk di Bangi yang kita utamakan memberi peluang pekerjaan.

Nordin menuduh ADUN Bangi tidak membela nasib mereka. Sebagai Wakil Rakyat yang kata mereka merekalah mengangkat ADUN hingga menang. Kalau tidak mereka akan menarik balik sokongan pada pilihanraya akan datang, bahkan menurut Nordin dia sendiri akan bertanding pada pilihanraya akan datang ! Apabila ditanya di tempat mana Nordin dan peniaga bersamanya mengundi, mereka tidak menjawab. ADUN memberitahu kita bukan menganiaya, tetapi mahu membersihkan kawasan tersebut, menyusun jadual perniagaan dan mengatasi aduan-aduan dari pihak bank-bank, station Shell, Pejabat Pos, peniaga-peniaga kedai, sekolah agama dan penduduk-penduduk rumah pangsa. Mereka amat terganggu dengan kekerapan pasar malam dan tani sebanyak tiga kali seminggu. Kita memberi perhatian dan mahu memberi keadilan kepada semua dan kalau boleh kita mahu kurangkan jumlah pasar malam di Seksyen 16 sekali sahaja, iaitu hari Sabtu, kerana hari Sabtu tidak mengganggu kegiatan bank-bank, pejabat-pejabat dan sekolah.


Nordin menjadi semakin lantang.Turut kelihatan ketika itu, para peniaga semakin yang semakin ramai datang mengelilingi kami. Mereka menyatakan ``Kami tidak setuju sama sekali untuk menutup Pasar Selasa!". Antara mereka bukan saja tidak menghormati, tetapi menghambur kata-kata kesat terhadap ADUN dan Dr. Tajul. Mereka nampaknya makin tidak terkawal dan penguatkuasa menghampiri untuk mengingatkan mereka supaya a tidak bertindak kasar dan kurang sopan. Menyedari kehadiran penguatkuasa dan pegawai-pegawai polis yang mengawasi, Sdr Anuar turut bercakap bagi pihak peniaga untuk memberi jaminan mereka tidak akan melakukan rusuhan. Mereka mahukan pertimbangan agar peluang perniagaan mereka tidak tergugat. Penerangan ADUN dan Dr. Tajul sering diganggu dengan suara tinggi dan gugatan-gugatan. Kami menerangkan bukanlah hasrat kami untuk menyekat mereka berniaga, tetapi peniaga hari Selasa yang tidak berniaga hati Sabtu, mungkin diserap ke hari Sabtu, tetapi jika sudah berniaga hari Sabtu, ditawarkan berniaga di Seksyen tiga atau dimana-mana pasar malam yang dianjurkan oleh MPKj, terutama pada hari Selasa.

(gambar ; Kehadiran pihak berkuasa tempatan)


Kami menekankan, kiranya ada wakil peniaga menghadiri mesyuarat di MPKj, tidak timbul kekeliruan. Kami telah mengambil keputusan, jika kebersihan dan pemulihan dapat dilakukan dengan segeria kemungkinan tempoh sebulan dipendekkan kepada mungkin dua minggu sahaja.

Mereka menegaskan tidak menerima penutupan, kerana akan menggugat pendapatan mereka yang didakwa ada yang 'kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang'.


Dr. Tajul mencelah "Benarkah ada yang sedemikian. Setahu saya ada yang mendapat keuntungan sampai RM2,000 semalaman ! Hitung panjang yang didapati peniaga ialah RM350.00 semalam dan setahu saya En. Nordin sendiri berpendapatan lumyan hingga mampu menggunakan kenderaan Mercedes !"


Mereka tidak menjawab, sebaliknya mereka menekankan agar pertimbangan hari ini. Sabtu mereka akan kerugian jika tidak dibenarkan berniaga, kerana mereka membawa barang-barang jualan sebagaimana biasa. Dr. Tajul bertanya, ``Tidakkah kamu menerima notis sebelum ini tentang penutupan?" Mereka mengaku menerima, walaupun ada yang mendakwa tidak menerima notis, kerana mereka tak datang berniaga pada malam notis diedarkan. Dr. Tajul menambah, ``Betulkah kamu menerima arahan dari pihak tertentu supaya menghantar SMS kepada peniaga-peniaga supaya mensabotaj arahan dan datang berniaga seperti biasa dengan itu menggagalkan perancangan MPKj, ADUN, Persatuan Penduduk dan Penganjur. Mereka tidak menafikan, sebaliknya merayu agar dibenarkan mereka meneruskan perniagaan pada petang ini.


Atas dasar mencari kebaikan dan oleh kerana pada petang Sabtu itu belum dijalankan operasi pembersihan dan tiada gangguan (hujah ini tidak ditimbulkan oleh mereka), ADUN bersama Dr. Tajul meminta beberapa orang wakil dari penjaja untuk berunding berhubung dengan permintaan penjaja. Mereka diwakili oleh saudara-saudara Nordin, Abdul Rahman dan Anuar, kami berunding di warung berdekatan. Atas dasar kemanusiaan dan ramai yang membawa barang-barang perniagaan, kalau tidak dijual, maka sebahagian dari barang jualan rosak. Maka keputusan diambil, bahawa mereka dibenarkan berniaga pada petang Sabtu tersebut. Pengakuan diperturunkan di dalam perjanjian sebagaimana berikut:


YB,

Tajul,

Nordin,

Rahman,

Anuar,

(Anuar Hussain bin Mohd Din),


Saya berjanji akan menyelesaikan urusan P/Malam pada hari Sabtu 03/10/2009, menggantikan sementara waktu penduduk sebagai penaja pasar malam.


Saya berjanji akan menghentikan perniagaan pada jam 10.30 mlm. Dan akan membersihkan tapak P/Malam mulai jam 11.00 malam.


Inilah pengakuan saya di hadapan Y.B. Shafie, Datuk Tajul di hadapan Pn. Khairunie (MPKj).


t.t.

Nordin


t.t

Dr. Shafie


t.t.

Dr. Tajul


t.t.

Abdul Rahman


t.t.

Anuar



Pengakuan di atas hanya berhubung dengan urusan perniagaan pada petang Sabtu ini sahaja.

Adapun berhubung dengan perniagaan pasar malam yang lain akan dibincang pada fasa yang lain.


Mereka bersetuju untuk menutup pasar malam Selasa terdekat (06.10.2009) untuk operasi pembersihan dan pemulihan.


Mereka bersetuju untuk turun bergotong royong pada petang Isnin jam 2.00 petang 05.10.2009. Hari pertama gotong royong pembersihan dan pemulihan.


Satu mesyuarat akan diadakan pada petang hari gotong royong Isnin tersebut.


Sekian.

1 comment:

  1. Salam Dr....

    Sebab itulah saya memang tak setuju dari dulu lagi tentang demonstrasi2 ni walau apapun tujuannya. sebabnya inilah, ianya akan diekploitasi oleh pihak2 yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan perkara yg sama atas sebarang sebab utk kepentingan diri mereka sendiri.

    alasannya? mudah... PR pun biasa buat demo2 ni bila tak setuju dgn pihak pemerintah. apa nak dikata? bayangkan benda2 begini berlaku kalau BN tak memerintah lagi. tu sebab dulu lagi BN sering menakut2kan rakyat kalau PR menang malaysia akan huru hara.

    PR mungkin ada alasan tersendiri untuk berdemo. tapi bolehkah PR kata BN berdemo untuk menjatuhkan PR andaikata mereka turut melakukan perkara yg sama satu hari nanti? apa alasan PR pula untuk menghalang demo2 atau rusuhan2 spt peniaga2 pasar malam ini? Bolehkah dikawal golongan2 seperti ini?

    Wallahua'lam....

    ReplyDelete