February 28, 2014

Lega Perjanjian Air Dimeteraikan: Serlah Kewibawaan Tan Sri Khalid Ibrahim

-->
BBB, 27 Rabiul Akhir 1435 = 27 Februari 2014 (Khamis):

Antara isu penting bagi pilihanraya ke 12 ialah air, minyak dan tol. Minyak dan tol di bawah kerajaan Persekutuan, tetapi air di bawah kerajaan negeri. Apabila Pakatan Rakyat memenangi Pilihanraya Ke 12 di negeri Selangor, maka usaha bagi memiliknegerikan urusan air dijalankan. Setiap kali Sidang Dewan Negeri Selangor diadakan, isu pemilikan air diucapkan oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor dan menjadi soalan-soalan bertulis dan lisan bagi ahli-ahli Dewan Negeri Selangor. Pokok persoalan ialah kerajaan negeri berusaha mengambilalih pentadbiran air dari syarikat-syarikat swasta yang mempunyai kepentingan dengan air Selangor, iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn. Bhd. (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash) dan Konsortium Abass Sdn. Bhd. (Abass). Syarikat Air sebelum 2000 sememang di bawah Jabatan Bekalan Air Selangor. Semasa sindrom penswastaan berlaku yang digalakkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor di bawah pemerintahan BN, maka Jabatan Air Selangor diswastakan yang melahirkan syarikat-syarikat di atas yang memonopoli dari segi pengurusan dan pentadbiran air. Bila PR berkuasa di Selangor pada 2008, maka usaha mengembalikan pengurusan air ke pangkuan negeri Selangor dilakukan. Dari aspek ini Islam sebenarnya melarang memonopoli bahan-bahan utama kepentingan awam sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:


``Manusia berkongsi pada tiga perkara, air, api dan padang ragut.``

Usaha Selangor mau mengembalikan pemilikan air ke tangan kerajaan (rakyat) adalah selari dengan tuntutan Islam, tetapi bukan semudah itu syarikat-syarikat air yang selama ini telah mengaut keuntungan itu untuk menyerahkan kembali kepada negeri Selangor.


Selain daripada itu air di negeri Selangor tidak saja melibatkan Selangor, tetapi juga Kuala Lumpur dan Putrajaya. Isu air bertambah rumit oleh kerana sebelum Selangor dikuasai PR pada 2008, kerajaan Persekutuan telah membuat perjanjian dengan negeri Pahang dan Sebuah syarikat Jepun bagi mengalirkan air dari Pahang melalui saluran di bawah tanah melalui Banjaran Titiwangsa ke Hulu Langat. Kerja-kerja menggali terowong ini telah dilakukan dan Penulis semasa menjadi Adun Bangi bersama Adun-Adun lain telah dibawa melawat ke Terowong Langat 2 ini pada 8.3.2010 dan turut masuk ke dalam terowong berkenaan sedalam 2 km. Bila Kerajaan PR berkuasa di Selangor, kerja-kerja mengorek terowong ini diminta dihentikan. Antara alasan ialah negeri Selangor mempunyai simpanan air yang cukup bagi negeri Selangor dan tidak memerlukan air dari luar Selangor, pengorekan terowong merosakkan alam sekitar, mengalirkan air dari negeri Pahang merosakkan tanah yang dilalui terowong dan juga bangunan-bangunan bila melalui dan disalirkan ke Bandar-bandar dan kawasan perumahan dan sudah tentulah mengalirkan air dari Pahang ke Selangor memakan kos yang tinggi, maka kos air yang akan ditanggung rakyat makin tinggi. Ini adalah bercanggah dengan kerajaan PR yang mau menurunkan harga air, bahkan telah melaksanakan Polisi Air Percuma kepada pengguna-pengguna yang menggunakan air sebanyak 20 kubik meter air ke bawah. Kerajaan negeri Selangor juga tidak mau air di Selangor diambilalih dan ditadbirkan oleh Kerajaan Persekutuan. Air adalah milik negeri. Di samping itu oleh kerana Kerajaan Persekutuan juga mempunyai kepentingan berhubung dengan air, khususnya bagi mendapat bekalan air bagi kawasan Kuala Lumpur dan Putrajaya, maka Projek Langat Dua dijadikan sebagai `cagaran/taruhan` dalam rundingan dengan kerajaan Persekutuan. Kelewatan penyelesaian ialah untuk mendapat persetujuan dari syarikat-syarikat air untuk dibayar pampasan, jumlah pampasan dan juga rundingan dengan Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau & Air yang mempunyai kepentingan. Perlu diingat bahawa sebahagian dari fasiliti yang dimiliki oleh syarikat-syarikat air adalah milik dan hak kerajaan negeri sebelum penswastaan air.


Al-hamdulillah Perjanjian Penstrukturan Semula Pentadbiran Air yang dilakukan pada Rabu 26 Februari 2014 adalah kejayaan bersama antara Kerajaan Negeri Selangor yang mana Tan Sri Dato` Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili Menteri Tenaga, Teknologi Hijau & Air bagi pihakj Kerajaan Persekutuan. Penandatanganan disaksikan oleh YAB Dato` Seri Najib Tun Abdul Razak  Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri dan Tan Sri Dr. Ali Hamsa Ketua Setiausaha Kerajaan Persekutuan bertempat di Kompleks Perbadanan Putrajaya. Antara butir perjanjian ialah Kerajaan Negeri Selangor membenarkan Projek Langat 2 yang bakal membawa air dari Pahang ke Selangor (Hulu Langat) diteruskan, ianya berkuatkuasa serta merta, Kerajaan Persekutuan akan membantu kos pengambilalihan pentadbiran Air dari syarikat-syarikat air sebanyak RM2 bilion. Kerajaan Selangor mencapai persetujuan untuk membayar pampasan kepada syarikat-syarikat air sejumlah RM9.65 bilion. Setelah pengambilalinan, pentadbiran air dikendalikan oleh Kumpulan Darul Ehsan Bhd. (KDEB) anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor. Syarikat bertanggungjawab mengurus kepentingan air di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan kedua-dua kawasan berhak mendapat nikmat kemudahan air percuma yang digunakan di bawah 20 kubik meter sebagaimana dinikmati penduduk di negeri Selangor. Sebelum daripada berlakunya perjanjian ini, kita amat bimbang takut isu ini berlarutan hingga ke akhir pemerintahan PR bagi penggal kedua di negeri Selangor, jika tidak dapat diselesaikan ianya akan menjejaskan kedudukan politik PR di negeri Selangor. Syukur semuanya berjalan lancar. Ianya merupakan kemenangan bagi semua pihak. Ada pihak yang mengkritik tentang kelewatan pengambilalihan (5 tahun), kerumitan masalah dan perundingan menjaga kepentingan semua pihak tidak mudah dilaksanakan. Termeterainya perjanjian juga merupakan kejayaan penting dalam karier politik Tan Sri Khalid yang menyerlahkan kewibawaannya sebagai tokoh politik dan koperat. Persetujuan dicapai adalah tepat pada masanya dalam mana berlakunya krisis air kerana kemarau. Ianya boleh dijadikan contoh terbaik bagi mengatasi masalah air. Apa yang penting ialah perjalanan pentadbiran air hendaklah dilakukan sebaik mungkin oleh KDEB agar ianya menjadi contoh terbaik Pengurusan dan Pentadbiran Air di Negara ini.


Sekian.

February 27, 2014

Meneruskan Legasi Dato` Fadzil Noor Di Kajang

-->
BBB, 26 Rabiul Akhir 1435 = 26 Februari 2014 (Rabu):

Kemenangan di Dun Kajang (1999) secara khusus dan 3 buah kerusi di Dun yang lain dari Dun Kajang di Selangor adalah hasil dari cetusan idea Dato` Fadzil Noor yang membawa pendekatan positif kepada Pas dan sekutu-kutunya. Cetusan idea positif Dato` Fadzil dapat dilihat di dalam beberapa siri pemikiran kreatifnya.


Apabila Tengku Razaleigh Hamzah gagal merebut jawatan Presiden Umno di tangan Dr. Mahathir pada tahun 1987 dan penubuhan Umno Baru 1988 dan Tengku Razaleigh menubuhkan Semangat 46 pada 5 Mei 1989, kehebatan pemikiran Dato` Fadzil terserlah apabila beliau berjaya mencetuskan penubuhan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dianggotai oleh Pas, Semangat 46, Hamim dan Berjasa pada 5 Jun 1990. APU berjuang bagi menegakkan Islam sebagai satu sistem hidup yang lengkap. Menurut Dato` Fadzil:


``Apa yang menjadi hasrat dan harapan Pas bagi membina perpaduan berasaskan Islam telah dipersetujui bersama. Kerjasama Pas dan Angkatan Perpaduan Ummah berasaskan penerimaan untuk berjuang bagi menegakkan Islam sebagai satu sistem hidup yang lengkap, sebagai ad-deen yang sempurna yang mencakup seluruh aspek kehidupan termasuklah politik, ekonomi, sosial dan lain-lain bagi mencapai keadilan, kebenaran dan kesejahteraan. Kerjasama yang dibentuk  untuk melaksanakan kosep menyeru kepada yang maruf dan menentang segala kemungkaran.``
Menurut Dato`Fadzil lagi,
``Kita bersetuju menerima amalan demokrasi berparlimen, konsep kebebasan kehakiman dan raja berperlembagaan.``
(Kamaruddin Jaffar, Fadzil Noor, Perjuangan Dan Pemikiran, Dewan Muslimat Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, 2001: V).

Dalam pilihanraya Umum 1990 APU memenangi semua kerusi Dun di Kelantan di samping 15 kerusi Parlimen.
Dalam pergolakan politik Negara pada 1999 dalam mana kegawatan  ekonomi dan politik Negara bertambah tenat, pemecatan Dato` Seri Anwar Ibrahim sebelumnya dari Umno dan dari Timbalan Perdana Menteri serta gema beliau dipukul dalam tahanan menjadi isu Negara dan berlaku perpecahan dalam Umno. Sebagai reaksi terhadap ketidakadilan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional (Adil) pada 4 April 1999, ini menyebabkan tercetusnya idea dari Dato` Fadzil Noor yang dalam satu ucapannya beliau menegaskan:


``Gelombang kesedaran rakyat untuk menuntut perubahan demikian ketara sekali, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini…. Kita dalam Pas cukup sedar dengan aspirasi rakyat yang maukan perubahan ini, sebab itu kita memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) untuk menggembleng tenaga parti-parti politik dan NGO menjadi suatu kekuatan berkesan menentang ketidakadilan pemerintahan.``
(Kamaruddin Jaffar, 2001: XIII).


Hasil pilihanraya 1999 Barisan Alternatif yang digerakkan oleh Gerak memenangi pilihanraya di Kelantan dan Terengganu dan menambah kerusi (di Parlimen Pas 27 dan Dun 98) . Dan pilihanraya 2008 lanjutan dari aspirasi Dato` Fadzil (m. 23 Jun 2002) di mana tercetusnya Gagasan Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri dari Pas, PKR dan Dap, PR makin mendapat sokongan rakyat dengan menawan Kelantan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.


Sesungguhnya Dato` Fadzil Noor ahli politik yang inovatif dan kreatif, fikirannya tajam menanggapi konflik politik yang dilihatnya peluang keemasan mencetuskan gagasan yang daripadanya dicapai matlamat politik. Sesungguhnya teruji kebijaksanaan bila berdepan konflik dan mampu menyelesaikannya secara hikmah. Untuk menuju Putrajaya adalah sukar dalam keadaan biasa, kecuali ada konflik yang dapat menyatukan rakyat menentang seperti kelahiran Semangat 46 & Isu Dato` Seri Anwar yang melahirkan Barisan Alternatif. Bahkan bagi PRK Dun Kajang, jika ada isu meletup yang menggemparkan rakyat Kajang memihak kepada Dato` Seri Anwar, maka sokongan mudah digembleng sebagaimana dilakukan oleh Dato` Fadzil Noor.


Lantas atas apa isu mau dimanfaatkan ? Kelihatan semacam ada keseimbangan isu yang dapat diketengahkan oleh dua pihak. Kelebihan keimbangan bergantung kepada ketokohan dan jentera berkempen parti. Pada dasarnya melihat kepada kejayaan pilihanraya-pilihanraya yang lalu, Kajang yang menjadi sebahagian dari Hulu Langat mempunyai jentera yang kuat dan penyokong setia yang mantap. Di kawasan-kawasan Melayu terdapat banyak cawangan dan markas Pas yang selama ini setia bekerja memastikan sokongan terhadap PR, kita percaya kekuatan jentera parti yang dimantapkan sejak zaman Dato` Fadzil ini akan terus setia memberi sokongan tidak berbelah bahagi, manakala bagi kawasan Cina yang lebih tertumpu di pekan-pekan, kita percaya sentimen mereka terhadap Dap akan terus memberi sokongan kepada PR. Walau bagaimana dalam suasana yang tidak ada isu besar, keadaan boleh berubah dengan serangan berstrategik dan berkesan. Inilah cabaran yang dihadapi yang dituntut di atasi dengan hujah mematah yang berkesan. Kita perlu pertahankan Kajang dan aspirasi perpaduan yang dicetuskan oleh Dato` Fadzil Noor perlu dipegang dan diperkukuhkan dengan menterjemahkannya kepada sokongan.

Sekian.

February 26, 2014

Jalan Menuju Kajang Berlainan Sebab Dan Tujuan

-->
BBB, 25 Rabiul Akhir 1435 = 25 Februari 2014 (Selasa):

Sekarang pihak PKR-PR sedang sebok membuat perancangan memudahkan laluan `Jalan Ke Putrajaya` dari Kajang, sedangkan pihak BN-MCA berusaha menyekat dari kemaraan ke Kajang. Ironinya bagi menyiapkan laluan atau menyekatnya, kedua-duanya hendaklah menyediakan plan `Jalan Ke Kajang` yang dapat diterima oleh pengundi dan rakyat di Kajang. Kajang adalah taruhan bagi PKR-PR yang ianya adalah dalam kekuasaan PKR-PR. Kemenangan bagi PKR-PR bererti kembali kepada pangkuan ibunda dan keluarga yang akan dijaga dengan kasih sayang di dalam kediaman yang mewah dan kecukupan, sedangkan `Taruhan BN-MCA kepada Kajang`,  jika BN-MCA menang, maka bersedialah Kajang akan menjadi `Anak Tiri` yang kehilangan bapa, tersisih dan kehilangan kasih sayang.


Bercakap tentang `Jalan Menuju Kajang` ini Penulis adalah peneroka awal dari Barisan Alternatif (kini PR) yang dengan susah payah dan kekurangan melangkah kaki ke bidang politik ke Kajang. Sebelum 1999 Penulis adalah orang akademik dan tidak memberi perhatian pada politik, walaupun banyak mengikuti dan memberi kursus bertema politik dan terlibat dengan gerakan pelajar bersifat Islamik. Keterlibatan Penulis dalam politik tanahair adalah bersama gelombang kemarahan rakyat terhadap kezaliman yang dilakukan terhadap Dato` Seri Anwar yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri pada masa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia. Beliau dipecat, dipukul dan diseret ke dalam penjara. Majoriti rakyat mengutuk dan tidak menyenangi episode politik yang hodoh ini. Kemarahan dan kebencian rakyat meluap-luap hingga Shahnon Ahmad mengarang Novel  Satira SHIT. Kata Shahnon:

``Umumnya ada dua jenis satira. Satu apa yang dipanggil Satira Horatia iaitu sebuah satira yang dipersembahkan secara lunak, lembut bersopan dan kelucuan simpatik yang ringan. Satu lagi ialah Satira Juvenalia iaitu sebuah satira yang keras, pahit, pongah dan berang, tajam dan fokusnya ialah untuk mencemuh keadaan yang huduh yang dilakukan oleh manusia atau institusi yang korap dan kurang ajar. SHIT adalah termasuk dalam jenis Satira Juvenalia.`` (SHIT, 1999: i-ii).


Marahnya Shahnon bukan setakat menulis Novel Satira SHIT, tapi masuk bertanding peringkat Parlimen di Kedah 1999 dan menang. Penulis turut marah terhadap ketidakadilan, jika selama ini tidak terlibat dengan politik, maka penulis turut hadir pada hari perasmian Parti Keadilan Nasional yang dirasmikan oleh Datin Seri Dr. Wan Azizah pada 4 April 1999 bertempat di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur yang dihadiri begitu ramai orang hingga melempah ruah keluar (Dato` Seri Anwar pada masa itu dalam penjara). Penulis turut mendaftar kehadiran. Mulai daripada sini Penulis berjinak-jinak dengan politik. Bukan Penulis saja mulai cenderung kepada politik, tetapi kawan-kawan sesurau Al-Umm juga turut cenderung kepada politik seperti saudara Hussein Yunus, Sulaiman Sajilan, Banhawi Muhammad, Ya`kob Mohd Nor dan lain-lain. Dalam masa Penulis berkira-kira untuk memohon menyambung kontrek pensyarah di UKM selama dua tahun lagi (mulai 28.5.1999), kawan-kawan sesurau meminta supaya sama menubuhkan cawangan Pas di Kawasan 1/3 (Al-Umm), maka pada malam 15 Mei 1999 bersamaan 29 Muharram 1420 diadakan mesyuarat penubuhan di rumah seorang sahabat sesurau – Rumah saudara Sulaiman Sajilan. Penulis dilantik Ketua protem komiti dan Isteri Penulis sebagai Ketua Muslimat dan kawan-kawan sesurau menjadi AJK. Mesyuarat Perasmian dan pelancaran Cawangan Al-Umm (1/3)  diadakan di rumah Penulis pada malam Jumaat 06 Safar  1420 bersamaan 21 Mei 1999 dirasmikan oleh Dr. Rusli Che Mat YDP Pas Hulu Langat yang hadir bersama dengan Dr. Hamirdin Ithnin Setiausaha Perhubungan. Dalam mesyuarat Perasmian ini  Penulis  dilantik menjadi Ketua Cawangan, Timbalan Tuan Haji Yaakob Mat Nor, Setiausaha Tuan Haji Banhawi Muhammad dan Bendahari Tuan Haji Hussein Yunus dan 12 Ahli Jawatankuasa dilantik. Hadir ke mesyuarat seramai 35 orang.


Akibat Marah terhadap ketidakadilan yang membawa kepada penubuhan cawangan Pas ini merupakan – Merintis jalan awal ke Kajang.

Selepas perlantikan tersebut Penulis mulai terlibat dengan Pas dengan lebih rapat. Misalnya sering ke kegiatan-kegiatan Pas di Markas al-Thaqafah, Sungai Merab, ke Markas al-Mawaddah, Seksyen 2, Bandar Baru Bangi, ke MTD Sementa peringkat negeri dan Markaz Pas Pusat di Melewar. Penulis juga sering dijemput bersama ke cawangan-cawangan Pas di serata Hulu Langat. Turut menghadiri ceramah-ceramah pemimpin yang datang ke kawasan seperti ceramah oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Timbalan Presiden di Teras Jernang pada malam  Sabtu 10 Julai 1999, bahkan turut sama dijemput berucap. Hadiri ceramah Tuan Guru Dato` Nik Aziz Murshidul Am Pas di Bandar Tun Razak pada malam Ahad 11 Julai 1999 – pergi bersama-sama AJK Pas Al-Umm, Ke Kuala Pajam mengikuti ceramah saudara Mohd. Sabu pada 12 Julai 1999 bersama kawan secawangan dan turut berucap. Menghadiri Perhimpunan Graduan & Professional Pas di Markaz Tarbiah di Melewar pada Ahad 18 Julai 1999 yang dirasmikan oleh Presiden Dato` Fadzil Nor dan Ijtima` Ulama` di Taman Melewar pada Sabtu 2 Oktober 1999.


Akibat marah kerana kezaliman terhadap Dato` Seri Anwar Penulis terlibat dengan politik lebih jauh, tetapi sehingga pembubaran parlimen (Dr. Mahathir & Dato` Abdullah Badawi mengadap Yang Dipertuan Agung pada 10 November 1999 membubarkan parlimen) Penulis semata.mata bergiat dalam Pas dan tidak diberi bayangan untuk menjadi calon di samping Penulis terus sebok meneruskan kegiatan penulis sebagai ahli akademik, menjadi Ahli Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mengetuai selaku Ketua Kurikulum dan Pemeriksa Kertas Sastera Melayu Tradisional dan Moden di Majlis Peperiksaan Malaysia (STPM) dan Panel Hadiah Sastera Malaysia sejak 1987 hingga 1999.

Dari Strategi yang diatur oleh Presiden Parti Dato` Fadzil Nor idea bernas beliau mencetuskan konsep kerjasama dalam Barisan Alternatif bersama Dap & Keadilan Nasional, maka Pas secara agresif bertanding pada peringkat parlimen dan negeri dengan jumlah kerusi yang banyak. Di Selangor Pas bertanding di 22 kerusi Dewan Negeri daripada jumlah 48 kerusi dan 5 parlimen. Pada Isnin 15 November 1999 jam 12.45 tengahari Penulis dibawa oleh Tuan Haji Yunin Bendahari Pas Kawasan Hulu Langat bersama Cikgu Fadhil ke Melewar bermesyuarat. Di sini baru Penulis dimaklumkan menjadi calon Dun Negeri, iaitu di Beranang & Cikgu Fadhil di Dusun Tua. Beranang kawasan yang Penulis tidak biasa, tetapi tidak menolak, namun selepas menyiapkan keperluan untuk bertanding dan pergi meninjau Markas Beranang di Semenyih, maka pada 18 November 1999 Penulis dengan Ustaz Yaakob Mat Nor diminta ke Markas Melewar, Penulis dimaklumkan Dun yang Penulis diminta bertanding ditukar ke Kajang dan pada hari itu juga diberi wathiqah oleh Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor Ustaz Hassan Shukri dan pada sebelah malamnya sekali lagi ke Markas di Melewar ke Majlis Pengumuman nama-nama calon Pas secara rasmi.


Penulis masuk calon bertolak dari awal `Marah` bertujuan bagi menentang `Kezaliman` dan mendukung cita-cita Pas meluaskan Perjuangan Islam dengan membuka ruang ke Selangor dan Penulis bergerak  `Jalan Ke Kajang` dengan ingatan dalam fikiran Pas tidak pernah bertapak di DUN Selangor dan selama ini mana-mana yang bertanding di atas tiket Pas, jika tidak hilang wang deposit boleh dianggap bertuah ! Namun berazam untuk berjuang.

Bayangkan dari 18 November hingga hari mengundi 29 November, Penulis bersama jentera parti Pas Hulu Langat hanya mempunyai 10 hari sahaja untuk mengenali kawasan Kajang dan berkempen yang sebahagian kawasan tidak begitu Penulis biasa. Al-Hamdulillah dengan kerjasama semua pihak dan sokongan rakyat dan pengundi Kajang Pas memenangi Dun Kajang walaupun dengan majoriti tipis, iaitu 37 undi ! bersama dengan 3 lagi kerusi Pas menang di Selangor, iaitu Sungai Burung (Dato` Dr. Hassan Ali), Gombak Setia (Dato` Ismail Kamus) dan Air Tawar (Ustaz Salehen Muhyi), manakala Keadilan Nasional di Hulu Kelang (Sdr. Azmin Ali) dan Dap di Sungai Pinang (Teng Chan Khin).  Pas juga menguasai negeri Kelantan dan Terengganu dan mendapat kerusi Parlimen dan DUN lebih banyak di negeri-negeri. Atas kebijaksanaan Dato` Fadzil Nor Pas paling banyak menguasai kerusi berbanding dengan Dap dan Keadilan. Ini tidak lain dari kerana Pas mempunyai jentera parti tersusun dan mendapat kepercayaan rakyat.
Misi Pas ke Selangor mula terbuka pada pilihanraya ke 10 pada 29 November 1999 dan turut terbuka Jalan ke Kajang, satu kawasan multirasial yang selama ini belum pernah dimasuki dan dimenangi Pas.


Bagaimana dengan misi dari Kajang ke Putrajaya ? Perlu berstrategi dan jentera yang mantap. Paling penting perlu mendapat sokongan pengundi – Insya Allah.

Sekian.

February 25, 2014

Anwar-Mei Fun, Pertembungan Misi Berlainan: Pengundi Kajang Buat Penentuan

-->
BBB, 24 Rabiul Akhir 1435 = 24 Februari 2014 (Isnin):

PRK Kajang 23 Mac 2014 menjadi lebih menarik dan mengundang cakna masyarakat terhadapnya makin tinggi selepas BN menamakan calonnya. Sebelum pengumuman calon BN dari MCA itu pada 21 Februari 2014 banyak diperkatakan terhadap Dato` Seri Anwar sebagai calon PKR-PR secara sebelah pihak dan lebih bersifat spekulatif siapa lawannya. Bila diumumkan bahawa Datuk Paduka Chew Mei Fun sebagai calon dari BN-MCA, maka tekateki sebelumnya sudah terjawab dan keghairahan terhadap PRK Kajang makin meningkat. Jika ada calon-calon tumpangan kelak sekadar memeriahkan, tetapi tidak sangat mengubah keputusan. Fokus utama ialah Anwar-Mei Fun.


Pertandingan PRK Kajang bukan setakat memperlihatkan ketokohan dan pengaruh dua calon dalam mana Dato` Seri Anwar sebagai Ketua Umum PKR dan Datin Paduka Chew Mei Fun selaku Naib Presiden MCA, tetapi membawa misi masing-masing. Datuk Seri Anwar mau – jika mungkin dengan misi menjadi Menteri Besar Selangor dan menjadikan Kajang `Road to Putrajaya`. Manakala bagi Datin Paduka Mei Fun dilihat sebagai proxi Datuk Seri Liow Tiong Lai Presiden MCA dengan misi menyekat kehadiran Dato` Seri Anwar bagi memulihkan imej MCA yang sebelum ini menurun dari sokongan dan juga sebagai kejayaan terhadap Datuk Seri Tiong Lai yang baru memimpin MCA itu. Semalam MCA dalam AGMnya bersetuju untuk kembali menganggotai kabinet sebagai salah satu usaha memulihkan imej MCA yang diharap kembali mendapat kepercayaan rakyat.

Apakah modal kedua pihak bagi mendepani pengundi Kajang ? Bagi Dato` Seri Anwar tentulah isu yang dianggap memasalahkan rakyat pada peringkat Kerajaan Persekutuan, juga apa yang telah dilaku dan akan dilakukan pada peringkat kerajaan Negeri. Isu pada peringkat kerajaan Persekutuan tentulah lebih lumrah seperti kenaikan harga barang-barang dan rumah kediaman serta implikasi kepada rakyat bila dilaksanakan GST. Nilai matawang yang terus menurun dan merudum. Kesan harga minyak dan tol, keamanan yang makin menghilang, sistem pendidikan yang tidak mantap contoh isu Penilaian Berdasarkan Sekolah (PBS) yang memasalahkan, hutang Negara yang terus meningkat dan berbagai lagi. Dari negeri Selangor tidak banyak perubahan pendekatan selain dari penerusan dari penggal lepas (2008-2013) dan Bekas Adun Kajang yang meletakkan jawatan - Lee Chin Cheh tidak berkesempatan melakukan khidmat berkesan. Barangkali untuk boleh dijadikan hujah oleh Dato` Seri Anwar perlunya dilakukan goncangan pimpinan untuk agar berlaku kesedaran & kesegaran pendekatan dan peningkatan perkhidmatan.

Bagi pihak Datin Paduka Chew Mei Fun, modal utama baginya ialah pergolakan dalam kepimpinan PKR itu sendiri dan kurangnya kesepaduan di dalam PR berhubung dengan PRK Kajang. Penarikan diri Lee Chin Cheh boleh disifatkan sebagai mempermainkan demokrasi dan membazirkan wang rakyat. Datin Paduka Mei Fun boleh mendakwa perlantikannya sebagai calon bagi PRK Kajang sebagai satu pengiktirafan dan kepercayaan terhadap kaum wanita yang dianggap boleh menarik sokongan sebahagian besar pengundi dari kalangan wanita. Pemberian BRIM Kerajaan dan berbagai-bagai projek yang sedang dijalankan tentulah sama dijadikan modal. Lebih daripada itu tentulah janji dari Mei Fun untuk memberi khidmat terhadap rakyat Kajang sebaik mungkin.


Kajang dari sekarang dan memuncak kepada 23 Mac akan sebok dikunjungi pekerja-pekerja parti dari kedua belah pihak bagi menjamin kemenangan calon yang didukung, kesesakan juga disumbang oleh mereka yang datang mau memerhati pertandingan PRK terbesar itu sebagai satu peristiwa politik penting terkini. Tentulah kini sehingga 23 Mac kedua pihak menggembling seluruh tenaga bagi memberi keyakinan dan mendapat sokongan dari pengundi di Kajang. Penduduk Kajang hendaklah mengambil manfaat dari limpahan rahmat bila PRK diadakan, termasuklah para peniaga. Pengundi Kajang haruslah melihat secara positif bahawa Dun Kajang telah dipilih bagi menilai apakah `Agenda Kajang` sesuai dan releven, lantas mengambil keputusan menyertai kafilah yang dijangka membawa perubahan pada peringkat negeri dan Persekutuan.
Ataukah ada yang menggabungkan pendirian dengan pimpinan baru dalam BN-MCA yang dilihat sedang menuju perubahan. Walau apapun jika Mei Fun menang di Kerusi Kajang tidak menjejaskan kuasa dalam Dewan dan Negeri Selangor. Sebagaimana pembangkang yang lain dalam Dewan Negeri Mei Fun tidak dapat membawa perubahan. Namun diakui jika Mei Fun menang boleh meningkatkan prestasi kepimpinan  Datuk Seri Tiong Lai sebagai Presiden MCA. Jika kemenangan bagi Dato` Seri Anwar bererti kerusi kembali kepada asal. Namun jalan seterusnya tidak semudah dan selicin yang dijangkakan. Isu Menteri Besar boleh berlarutan dan boleh mengganggu kelicinan pemerintahan. Jika berterusan berlaku perbalahan, termasuk isu-isu yang lain menjejaskan peluang kemenangan di dalam pilihanraya ke 14. Sebarang kekalahan di PRK Kajang, makin memalapkan lagi perjalanan ke Putrajaya. Namun jika kemenangan dijadikan landasan bagi perubahan ke arah positif, sama ada mengekalkan Menteri Besar yang ada atau sebaliknya dan Selangor dilihat benar-benar menjadi negeri contoh, bersama dengan perkembangan positif di tempat lain dan kerjasama lebih rapat di dalam PR, maka jalan ke Putrajaya lebih cerah. Dengan scenario terhad ini terpulanglah kepada pengundi Kajang membuat penilaian dan mengambil keputusan.

Sekian.

February 24, 2014

Mendekati Kaum Cina - Contoh Bagi PRK Kajang

-->
BBB, 24 Rabiul Akhir 1435 = 24 Februari 2014 (Ahad):

Pengundi Kaum Cina di Kajang tidak boleh diabaikan baik di dalam mana-mana pilihanraya termasuk PRK pada 23 Mac 2014 kelak. Dengan jumlah lebih 40% pengundi Cina sebagaimana pengundi Melayu merupakan faktor menang atau kalahnya seseorang calon yang mendapat sokongan atau tidaknya dari pengundi Cina. Namun mendekati kaum Cina adalah berbeza dari mendekati pengundi kaum Melayu dan juga India. Bagi kaum Melayu boleh didekati dengan ceramah,  ceramah berkelompok, usrah dan ziarah dari rumah ke rumah. Cara bagi orang Cina adalah berbeza.

Pendekatan dengan kaum Cina antaranya sebagaimana dilakukan bagi pilihanraya ke 10 pada 29 November 1999 ialah melalui turun padang di tempat-tempat perniagaan seperti di Pasar Kajang sebagaimana telah diperkatakan, turut dilakukan secara demikian di Sungai Long, Pasar Suntax Batu 10, Pasar Lama Kwantung Sungai Chua dan pasar-pasar malam yang ramai orang Cina seperti di Jalan Reko (27 November 1999), jika pun diadakan ceramah maka diadakan dilokasi berkenaan, misalnya ceramah dihadiri Penulis yang diadakan bersama Sdr. Lim Guan Eng dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa di Sungai Long pada malam 8 Oktober 1999.


Sejak sebelum pilihanraya ke 10 Penulis mempunyai hubungan yang baik dengan sekelompok pimpinan Dap di Kg. Baru Semenyih yang mempunyai pejabat yang agak uzur di sana. Kelompok ini terdiri dari lebihkurang 10 orang veteren yang diketuai oleh En. Lee, walaupun sudah tua mereka amat gigih. Penulis sering ke pejabat mereka di Kg. Baru di sini. Banyak kegiatan dilakukan di sini. Bila diadakan Kaunter Terbuka mereka turut menolong. Sokongan dan kerjasama mereka banyak menarik pengundi memberi sokongan terhadap Penulis. Mereka berada di dalam ingatan Penulis, walaupun sebahagian mereka telah meninggal.


Bagi mendekati pengundi-pengundi Cina ialah dengan turun ke premis-premis perniagaan mereka. Misalnya selepas penamaan calon pada 20 November 1999 dan Penulis dipastikan sebagai calon Dun Kajang, maka pada Rabu 24 November 1999, maka pada jam 2.00-5.00 petang Pas bersama-sama Keadilan dan Dap turun ke Kajang dan menziarah kedai ke kedai menemui pengundi. Antara penyokong ialah Cikgu Lee Kim Sin pemimpin Ngo dan saudara Foo pemimpin Dap. Ziarah dari kedai ke kedai juga dilakukan selepas kemenangan dan untuk mendapat maklumat pekedai-pekedai Cina dan pekedai-pekedai lain Penulis mengambil kesempatan semasa menziarah mengambil nama dan alamat pekedai, iaitu dengan memperturunkan cop kedai perniagaan mereka yang bukan saja  mempunyai alamat, tetapi juga no. telefon yang memudahkan untuk dihubungi kemudian.


Selain daripada itu ialah mengadakan pertemuan dengan persatuan-persatuan Cina. Persatuan Cina yang paling penting dan berpengaruh bukan saja di Kajang & Selangor, tetapi di Malaysia ialah Dong Jau Zhong (Persatuan Pendidikan Cina) yang bangunan pejabatnya di Jalan Bukit, Kajang. Penulis bersama rombongan membuat appointment dan bertemu beberapa kali dengan persatuan ini, termasuklah sebelum pilihanraya bagi mendapat sokongan. Penulis juga mengadakan pertemuan misalnya pada 3.00 petang pada 25 November Penulis bersama Cikgu Lee dan pengiring-pengiring mengadakan pertemuan dengan Persatuan Penjaja-Penjaja Cina bertempat di Sungai Chua berunding dengan mereka tentang masalah yang dihadapi penjaja-penjaja dan cara-cara yang boleh diatasi. Kehadiran Penulis selaku Calon Dun Kajang diterima baik oleh AJK Persatuan-Persatuan Penjaja Cina.


Turut diadakan pertemuan yang diusahakan oleh Cikgu Lee Kim Sin ialah pertemuan dengan ahli-ahli Kelab Sen Yee di sebuah bangunan di Jalan Mandeling di Bandar Kajang pada petang 27 November 1999. Ahli-ahli terdiri dari kalangan veteran-veteran orang Cina. Penulis diterima baik dan diperkenalkan kepada seorang demi seorang daripada mereka bahawa Penulis sebagai Adun Kajang.


Sebagai calon Pas dari Barisan Alternatif, Penulis agak sukar untuk mendapat publisiti di dalam akhbar-akhbar arus perdana, walau bagaimana sejak dari awal Penulis mempunyai hubungan yang baik, melalui Cikgu Lee dengan pemberita-pemberita akhbar-akhbar Cina di Kajang. Mereka mudah dihubungi dan sering datang ke lokasi-lokasi yang peristiwa berlaku dan juga ke sidang-sidang akhbar yang diadakan dan diberi ruang disiarkan. Ini adalah merupakan cara dan peluang di mana Penulis diperkenalkan kepada masyarakat Cina, khususnya di Dun Kajang.

Satu cara yang dilakukan ialah mengadakan jamuan secara besar-besaran dengan menjemput tokoh-tokoh pemimpin berbagai-bagai parti. Cara ini beberapa kali diadakan di Dun Kajang bertempat di sebuah restoran di Jalan Wan Siew di Sungai Chua. Waktu jamuan bermula jam 7.30 malam, sebab itu kehadiran perlu segera, Bagi peserta-peserta muslim disediakan makanan halal. Jamuan begini pernah dihadiri oleh pemimpin tertinggi seperti oleh Ustaz Fadzil Nor Presiden Pas, Dato` Seri Anwar dari Keadilan dan saudara Lim Kit Siang Ketua Dap dan beberapa pemimpin tertinggi yang lain dari berbagai parti. Semasa jamuan dan sesudahnya diadakan ceramah-ceramah yang disampaikan pemimpin-pemimpin parti dan juga calon-calon yang bertanding. Majlis sedemikian memberi kesan yang besar kepada masyarakat Cina, apa lagi pablisiti diberi secara besar-besaran termasuk melalui akhbar-akhbar di dalam bahasa Cina dan postar-postar berbagai bahasa.


Penulis yang pada awal dipilih sebagai calon di Kajang pada peringkat permulaan merasa bimbang, kalau-kalau tidak mendapat sokongan dari masyarakat Cina, tetapi mula berubah melihat kepada sokongan masyarakat Cina dan harapan semakin cerah. Sokongan orang Cina bukan setakat moral sahaja, tetapi material. Penulis pernah bersama-sama saudara Foo pemimpin Dap Kajang pada masa itu pergi dari kedai ke kedai menjual tiket bagi jamuan seperti diperkatakan. Pekedai-pekedai Cina tidak membeli atas harga tiket yang dijual semata-mata, tetapi mereka menyumbang berganda dari harga tiket, walaupun kebanyakan dari mereka tidak hadir, tetapi memberi sokongan.

Di dalam pertemuan dengan masyarakat Cina dari berbagai pendekatan kita tidak bercakap kepada mereka soal-soal seperti Negara Islam, persoalan hudud dan sebagainya, tetapi lebih bercakap tentang kerjasama dan kesediaan Penulis untuk berkhidmat sebaik mungkin jika diberi mandate menjadi Wakil Rakyat Kajang. Motto bagi Dun Kajang yang kami war-warkan `Anda Memberi Mandate Kami Memberi Khidmat`.

Melihat kepada sokongan masyarakat Melayu dan Cina yang amat positif sebab itu bila menang di Dun Kajang di luar dari jangkaan Penulis sebagai Adun merangka bersama AJK Beretindak Adun pendekatan terbaik memberi khidmat kepada semua masyarakat.

Sekian.

February 23, 2014

Pasar Kajang Pusat Pertemuan Rakyat - Politik, Kemasyarakatan Dan Kebajikan

-->
BBB, 22 Rabiul Akhir 1435 =22 Februari 2014 (Sabtu):

Pasar Kajang adalah pusat strategik bagi `Pertemuan Rakyat` baik yang bersifat politik, kemasyarakatan dan kebajikan. Ini ialah kerana Pasar Kajang yang berada di tengah Bandar Kajang terdiri dari peniaga-peniaga berbagai kaum menyediakan berbagai-bagai keperluan harian dari ikan, sayur, daging, buah-buahan, sayur-sayuran dan berbagai keperluan dapur. Pasar Kajang  dikunjungi oleh berbagai kaum bagi mendapat keperluan masing-masing. Pengunjung bukan setakat penduduk dari Bandar Kajang, tetapi berbagai tempat sekitar Kajang.


Pasar Kajang yang ada sekarang baru dibina pada pertengahan 1990an. Sebelum daripada itu Pasar Kajang bertempat di tapak Pasar Raya Metro Kajang sekarang. Di tapak itu ada station  minyak Shell, Perhentian Bas bagi Syarikat Foh Hup – bas berwarna hijau yang menjalankan khidmat dari Kajang ke Kuala Lumpur dan Bas Sum yang menjalankan khidmat dari Kajang ke Pekan Bangi dan sebelah Hentian Bas ialah Pasar Kajang yang agak kotor dan becak. Bandar Kajang asal ialah baris kedai di Jalan Besar Utama, Jalan tengah dan Jalan Mendiling. Kedai-kedai di Jalan Pasar Sekarang dan Jalan Haron dibina pertengahan 1980an. Pasar Kajang siap agak lewat. Bila Penulis menjadi Adun Kajang (1999-2004), Pasar Kajang sekarang baru mula digunakan.


Pasar Kajang amat strategic bagi segala pertemuan. Misalnya semasa kempen pilihanraya Penulis dan pembantu-pembantu serta penyokong-penyokong menjadikan Pasar Kajang sebagai satu Tempat Pertemuan Rakyat yang penting, khususnya bagi parti-parti dalam Barisan Alternatif pada masa itu yang sukar mendapat tempat dalam media-media perdana. Dengan turun ke Pasar Kajang kita dapat menemui rakyat dan pengundi-pengundi dari berbagai lapisan masyarakat. Pemberita-pemberita kadang-kadang turut ikut, tetapi biasanya dari akhbar-akhbar Cina, iaitu Nanyang Siang Pau, China Press dan Sin Chew Jit Poh.


Untuk kempen Pilihanraya (29 November 1999), kita turun bersama penyokong-penyokong Alternatif termasuk Dap bersama bendera masing-masing. Turun terakhir sebelum pilihanraya ialah pada Rabu 24 November 1999. Penulis dan pengiring bertemu pengunjung pasar dan mengedar kepada mereka kad pengenalan diri sebagai calon, bahan-bahan edaran. Selepas menemui pengunjung-pengunjung turut ditemui peniaga-peniaga di pasar berkenaan dan meminta sokongan mereka. Mereka menerima dengan hati terbuka dan menyatakan sokongan ! Kami turun setakat berjumpa dan bermesra, tetapi tidak pernah menyampaikan ucapan.


Apabila Penulis memenangi kerusi Dun Kajang, maka pada Ahad 5 Disember 1999  Penulis sekali lagi dengan diiringi satu jamaah Pas ke Pasar Kajang mulai jam 8.30 pagi dibantu oleh kaum Cina dari DAP turun mengedarkan `Kad Ucap Terima Kasih`  kepada pengunjung-pengunjung dan peniaga-peniaga di Pasar Kajang kerana mengundi Penulis sebagai Adun Kajang – Wakil Rakyat mereka. Pertemuan berterusan hingga jam 11.00 pagi. Selepas itu Penulis selaku Adun pulang ke Markas Mawaddah Seksyen 2, Bandar Baru Bangi kerana ada Majlis  Kesyukuran yang dihadiri oleh Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor pada masa itu, iaitu Ustaz Hassan Shukri.

Pasar Kajang juga dijadikan tempat bantahan bagi satu-satu isu bagi kepentingan rakyat. Misalnya bila pihak MPKj bercadang untuk menaikkan Cukai Pintu bagi semua kediaman di bawah MPKj, Penulis dan pendukung parti di dalam Barisan Alternatif mengadakan bantahan dengan mengedarkan risalah-risalah menyatakan bantahan. Tindakan sedemikian mempunyai kesan positif, Cukai Pintu di bawah MPKj tidak dinaikkan sejak 1995 hingga kini. MPKj mendapat cukai melalui cari lain. Beberapa bantahan yang lain turut diadakan – termasuk kenaikan minyak dan tol yang turut diadakan demonstrasi di tol berkenaan.


Dari segi kemasyarakatan dan kebajikan setiap kali sambutan raya Idil Fitri, Tahun Baru Cina dan Ponggal kami turun ke Pasar Kajang mengedarkan kad jemputan bagi Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Hari Ponggal ke tempat-tempat jamuan yang diadakan yang biasanya diubah lokasi dari satu tempat ke tempat yang lain dalam Dun Kajang. Pada hari-hari sambutan berkenaan disampaikan bantuan kepada fakir, miskin, warga emas dan OKU. Bagi kanak-kanak setiap sambutan disampaikan duit raya atau ang pau atau duit Ponggal bagi memeriahkan suasana- terutama bagi anak-anak.


Selain daripada itu Penulis sendiri selaku Adun Kajang menganjurkan gotong royong bagi membersihkan Pasar Kajang termasuk dengan kerjasama MPKj. Sebagaimana juga telah disebut bila Penulis dipilih menjadi Adun Kajang Pasar Kajang menjadi tempat utama bagi Penulis membuka Kaunter Adun dari bulan ke bulan. Pada masa itu Penulis adalah selaku Adun Pembangkang, jadi ianya merupakan satu pendekatan yang efektif bagi Penulis mendekati dan menjalankan khidmat kepada masyarakat. Tetapi bila kita menjadi pemerintah (Adun Bangi 2008-2013) di Selangor dan kita mempunyai peruntukan, pendekatan diubah kepada berbagai khidmat masyarakat berperuntukan.


Namun, walaupun sesudah PR memerintah di Selangor dan kini untuk mengadakan PRK di Kajang `Turun Padang di Pasar Kajang` masih tetap releven bagi menemui rakyat bagi menyampaikan maklumat dan harapan untuk mendapat sokongan. Pengunjung dan peniaga di Pasar Kajang sebagaimana pengalaman-pengalaman yang lepas tidak pernah menolak kehadiran mana-mana pihak.

Sekian.

February 22, 2014

Pukulan Awal Terhadap BN - PRK Kajang


BBB, 21 Rabiul Akhir 1435 = 21 Februari 2014 (Jumaat):

Dalam masa segala media pro-BN sedang menggerakkan arus maklumat meyakinkan rakyat, khususnya pengundi di Kajang, bahawa tindakan PKR mengosongkan kerusi di Kajang bercanggah dengan amanah yang diberi pengundi Kajang dan membazirkan wang rakyat, media-media berkenaan juga meyakinkan bahawa Dato` Seri Anwar tidak akan dapat menjadi Menteri Besar Selangor dan meningkatkan kempen dan meyakinkan pengundi bahawa BN sama ada dari MCA atau Umno mampu mengalahkan Dato` Seri Anwar, tiba-tiba kelmarin 20 Februari (Khamis) badan Akademik yang berkecuali dan diyakini, iaitu UMCEDEL (Pusat Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya) yang diketuai Pengarahnya Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman mengumumkan melalui sidang medianya dapatan awal UMcedel berhubung dengan PRK Kajang yang bakal berlangsung pada 23 Mac 2014 - hasil dapatan yang mengejutkan terutama bagi pihak BN atau MCA yang dalam persediaan untuk mengumumkan calon bagi PRK Kajang bagi pihak BN. Dapatan mungkin sedikit sebanyak merencatkan semangat BN-MCA dan meruntuhkan semangat dan daya juang mereka.

Kajian yang dibuat terhadap responden berbagai peringkat. Antara dapatan bahawa:

Pengundi di Kajang mau memberi laluan terhadap Dato` Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangot dan mereka mau Dato` Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor. Pecahan dapatan adalah diberi sebagaimana berikut:

50% responden setuju memberi laluan Dato` Seri Anwar menjadi Menteri Besar
17% tidak bersetuju
24% tidak pasti

Keputusan agak menarik, dalam masa media perdana mewar-warkan Dato` Seri Anwar tidak layak, maka rakyat Kajang yang intelek dan bebas berfikir tidak terpengaruh dengan arus maklumat media-media perdana dan membuat keputusan secara bebas bercanggah dengan apa yang dianjurkan oleh media perdana. Dilihat dari segi ethnic pendapat tentang Dato` Seri Anwar menjadi Menteri Besar:

Kaum Cina

68 %  setuju
12%   tak setuju

Kaum Melayu

50 %  setuju
22 %  tak setuju
28 %  tak pasti
Dilihat dari lokasi pula

60 %  orang kampong setuju
50 %  penduduk Kampung Baru takpasti
70%  kalangan berijazah (intelektual) setuju.

Banyak isu yang mempengaruhi responden termasuklah barangan makin mahal dan rakyat terbeban, apa lagi jika GST dilaksanakan, harga minyak dan tol membebankan, keselamatan yang makin tidak terjamin, system pelajaran yang bercelaru dan berbagai lagi.

Kesimpulan bahawa lebih dari 60% penduduk Kajang bersetuju memberi laluan kepada Dato` Seri Anwar Ibrahim bertanding di dalam PRK Kecil dan bersetuju beliau menjadi Menteri Besar.

Rasional:

1)      Sokongan terhadap PR kekal sebagaimana PR bertapak di Kajang beberapa penggal sebelumnya
2)      Pengundi Melayu yang sebahagian besar penyokong Pas dan Cina yang sebahagian besar penyokong Dap akan terus memberi kepercayaan terhadap PR
3)      Rakyat Kajang tidak mau Wakil Rakyat mereka menjadi pembangkang dalam Kerajaan Negeri Selangor yang dikuasai PR, kerana ianya akan bermasalah dan kehilangan peruntukan dan kemudahan
4)      Gandingan Menteri Besar dengan Dato` Seri Anwar, jika pun tak menjadi Menteri Besar akan memperkukuhkan kerajaan PR
5)      Selangor perlu menjadi model negeri terbaik sebagai cerminan Kerajaan Persekutuan  yang bakal diperintah.
6)      Rakyat Kajang menerima rasional Kajang adalah Pangkalan logistic bagi bergerak ke Putrajaya
7)      Kerajaan Negeri Selangor kini kelihatan lesu dari daya kreatif memajukan negeri Selangor dan banyak bergantung dan mengitari pendekatan lama, sebab itu ia perlu dikocak dengan perubahan dari dalam agar dapat menghasilkan pendekatan yang lebih kreatif dan lebih bernas. Rakyat mau melihat Kerajaan Negeri lebih segar dan cerdas.

Dapatan yang dikemukakan oleh Amcedel sebagai arus balik yang menyekat arus yang digerakkan oleh BN melalui media perdana mereka dan memberi lebih keyakinan kepada PR, tetapi seharusnya tidak lalai. Pihak BN, walaupun terasa terpukul mundur akan berusaha mengubah persepsi rakyat Kajang kepada memberi sokongan kepada mereka. Mereka akan menggunakan segala cara – termasuk, kalau dapat menyekat Dato` Seri Anwar dari menjadi calon PRK Kajang.

Sekian.

February 21, 2014

Cemburu Terhadap Kejayaan Arkeologis Di Perak Dan Pahang - Bagaimana Di Selangor ? Ada Potensi Maju Dalam Bidang Arkeologi Jika Ada Kemahuan !

-->
BBB, 20 Rabiul Akhir 1435 = 20 Februari 2014 (Khamis):

Mutakhir kita  mendapat maklumat bahawa ditemui di Pahang gigi dinosaur yang merupakan bukti pertemuan pertama wujudnya dinosaur di Malaysia. Pertemuan adalah pada bulan Ogos 2013 lepas. Ia adalah jenis spesis Spinosaurid bermaksud jenis dinosaur memakan ikan. Fosil yang dikenali sebagai sample UM10575 berukuran 35 milimiter panjang dan 10 milimiter lebar yang ditemui dalam mendepan batu sejak zaman  Mesozoik yang dijangka berusia antara 145 hingga 75 juta tahun lalu. Penemuan ini melonjakkan negeri Pahang sebagai tapak dinosaur terawal ditemui yang memecahkan pendapat selama ini dinosaur tidak hidup di Negara ini. Lokasi sebenar di Pahang tidak diumumkan untuk menjaga dari segi keselamatan lokasi yang menjadi tempat bertolak bagi kajian lebih lanjut. Sudah tentu penemuan ini dan penyelidikan akan datang mempopularkan Pahang secara khusus dan Malaysia secara am merupakan kawasan pernah hidupnya dinosaur.


Malaysia makin popular dari segi sejarah dan arkeologi. Penemuan di Pahang adalah menambahkayakan Malaysia sebagai tapak arkeologi purba, lantaran sebelum dari itu penemuan yang disifatkan sebagai bersejarah dan menakjubkan dengan penemuan rangka manusia purba  di Lembah Lenggong yang dikenali dengan nama `Perak Man`. Tokoh Penyelidik berwibawa berhubung dengan penemuan `Perak Man` ini ialah Profesor Datuk Dr. Zuraina Majid (kini Pesuruhjaya Jabatan Warisan Malaysia) dan juga Prof. Dr. Mokhtar Saidin Profesor dari Universiti Sains Malaysia. Dengan penemuan ini Lembah Lenggong diiktiraf oleh UNESCO Bangsa Bersatu sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia. Ianya Tapak Warisan kelima yang diiktiraf UNESCO di Malaysia, selepas Penang, Melaka, Gunung Kinabalu dan Gunung Niah. Dengan penemuan ini memecah rekod yang selama ini dijangka asal usul manusia adalah dari Utara Afrika – Sekitar Habashah. Ianya membuktikan bahawa Malaysia juga adalah merupakan tapak bagi penyebaran manusia purba yang bergerak di Asia Tenggara dan merebak ke Asia dan tempat-tempat yang lain.


Bagaimana dengan Selangor ? Pahang dan Perak adalah dua buah negeri terbesar yang menghimpit Selangor, Pahang dari sebelah Timur dan Perak dari sebelah utara. Dari segi geografi kedudukan dua buah negeri – Pahang dan Perak tidaklah berbeza dari Selangor, bermaksud apa yang ada dan berlaku di Pahang dan Perak mungkin ada dan berlaku di Selangor. Jika di Pahang dan Perak ada kelompok gajah-gajah yang masih belum pupus, maka gajah seperti berkenaan wujud juga di Selangor. Oleh kerana negeri Selangor berdekatan dengan Pahang dan Perak, maka dinosaur yang hidup pada zaman purba ada atau bergerak di Selangor dan Perak, begitu juga manusia purba peringkat awal yang hidup di Perak tidak mustahil bergerak atau sudah tersebar di Selangor dan Pahang dan sekitar tempat-tempat lain.



Selangor dalam kata lain mempunyai potensi dari segi arkeologi. Tempat-tempat seperti di perlembangan sungai yang banyak di Selangor seperti Sungai Kelang, Kuala Selangor dan Sungai Langat sebagai tempat kegiatan manusia purba peringkat awal mungkin mempunyai khazanah simpanan arkeologi yang berharga, begitu juga perbukitan batu kapur dan kaki Banjaran Titiwangsa yang berdekatan dengan Pahang itu kemungkinan merupakan antara tempat kediaman manusia purba. Tapak-tapak yang mempunyai kandungan bijih yang menjadi bahan kegunaan manusia zaman Neolitik memang banyak terdapat di Selangor sebagaimana penemuan alatan kegunaan manusia pada zaman itu di Jenderam, Selangor.


Apa yang perlu pihak Muzium Negeri dan Warisan memberi tumpuan terhadap arkeologi dan membuat kajian dilokasi-lokasi yang berpotensi. Semasa Penulis diberi amanah menjadi Pengerusi Muzium Negeri Selangor (2012-2013) memang Penulis memberi tumpuan utama terhadap bidang arkeologi. Kajian telah dibuat di Bukit Jugra dan menemui artifek-artifek, walaupun agak baharu, tetapi sebagai pemulaan adalah berjaya. Sememangnya untuk melakukan kerja-kerja arkeologi perlu kepada pakar-pakar dalam bidang berkenaan. Kejayaan penemuan gigi dinosaur di Pahang tidak dilakukan oleh pakar tempatn sahaja, tetapi dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang dengan Penyelidik dari  Jabatan Geologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya bersama dengan Institut-institut Pengajian Tinggi Jepun, iaitu Universiti Waseda dan Universiti Kumamoto Jepun.
Pada masa Penulis menjadi Pengerusi Muzium Selangor juga Perjanjian kerjasama telah dibuat dengan pihak Jabatan Sejarah Universiti Malaya untuk meluaskan usaha carigali di Selangor, tetapi usaha permulaan ini telah terhenti. Sepatutnya kajian di dalam bidang arkeologi diperluas dan diperbesarkan dengan berbagai pihak, terutama dengan universiti-universiti di Negara ini, juga dengan universiti-universiti dan pusat-pusat kajian arkeologi terkenal di luar Negara. Selangor sebagai negeri maju ada potensi maju di dalam bidang arkeologi. Yang perlu adalah kemahuan dan tindakan.

Sekian.

February 20, 2014

Mula Berdepan Pemberita-Pemberita Sebaik Menjadi Adun Kajang

-->
BBB, 19 Rabiul Akhir 1435 = 19 Februari 2014 (Rabu):

Salah satu cara menjalan dan memaklumkan khidmat kepada rakyat ialah melalui akhbar-akhbar. Laporan yang dibuat setelah pemberita-pemberita dijemput ke tempat-tempat yang diadakan kegiatan, atau mereka hadir ke lokasi-lokasi peristiwa berlaku secara mengejut. Contoh berlaku kebakaran atau kemalangan.


Sejak penulis rasmi menjadi Adun Kajang pada 29 November 1999, Penulis selaku Adun mula berdepan dengan pemberita ialah pada Rabu 8 Disember 1999 apabila Penulis ke Kampung Baru Semenyih yang termasuk di bawah Dun Kajang dalam rangka mengedarkan kad-kad terima kasih kepada pengundi-pengundi di Kg. Baru Semenyih kerana mengundi Penulis sebagai Adun mereka. Semasa di Kg. Baru ini Penulis dan pengiring-pengiring didatangai pemberita-pemberita. Pemberita-pemberita yang sering datang membuat berita adalah dari Akhbar Cina seperti China Press, Nanyang Siang Pau & Sin Chew Jit Poh di samping Metro, The Star, Harakah dan beberapa yang lain, tapi yang biasa memberi liputan adalah akhbar-akhbar Cina. Sebagai Wakil Rakyat Pembangkang berita Penulis tidak diberi liputan di dalam akhbar-akhbar aliran perdana.


Pada 8 Disember ini Penulis selaku Adun diikuti pemberita-pemberita dari China Press yang pemberitanya ialah En. T.S.Chen (Mendiang) yang menjaga bahagian Kajang. Beliau menjadi sahabat baik Penulis dan sering hadir bila dijemput atau sekurang-kurangnya jika terpaksa hadir tempat lain beliau menghantar wakilnya, turut hadir ialah Cik Lim Hai Har Pemberita Nanyang bahagian Kajang, pemberita dari Sin Chew Jit Poh ialah Mr. Yong dari kawasan Kajang. Mereka biasanya datang bertiga serentak.  Pada pagi 8 Disember ini Penulis ditanya pemberita-pemberita mengenai masalah di Kampung Baru Semenyih tentang kekotoran Bandar Semenyih, longkang yang tersumbat dan rumput yang tidak dipotong. Mereka mengambil kesempatan untuk menghighlightkan masalah di Kg. Baru dan juga Semenyih dan Penulis juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa tentang masalah di Semenyih, khususnya di Kg. Baru yang jalannya sempit dan banyak rosak, kekurangan tempat parking di kawasan pasar, longkang tersumbat dan rumput tidak dipotong. Keadaan ini bukan saja di kawasan Pasar Kg. Baru, Semenyih, tetapi juga sampai di Perling Jaya. Di sini juga – di Perling, Penulis menerima aduan tentang pokok-pokok yang tidak dipotong dan berjanji kepada mereka untuk mengambil tindakan.


Selepas daripada mengunjungi kawasan Kg. Baru Semenyih, Penulis bersama pengiring-pengiring ke Bukit Mewah Kajang, turut sama pemberita-pemberita berkenaan. Masalah besar yang mulai berdepan dengan Penulis sebagai Adun, bahawa perumahan di Jalan 20, Bukit Mewah – tidak jauh dari Surau Al-Na`im di sini, bahawa berlaku pergerakan tanah di lereng Bukit Mewah berkenaan, kerana ada aliran air berterusan meresap dari atas bukit ke bawah bangunan rumah teres setingkat di sini – bermaksud rumah-rumah di Jalan 20 dan sekitarnya berada di jalan larian air di bawahnya yang dapat disaksikan terus mengalir walaupun sedikit kelihatan, tapi berterusan. Pada masa Penulis hadir hanya beberapa buah rumah sahaja yang mulai retak. Perkara ini kemudiannya dibawa kepada pengetahuan pihak MPKj dan kepada kerajaan negeri. Isu rumah retak yang pertama kali dihadapi Penulis berterusan. Sebelum tindakan diambil rumah retak bertambah hingga berjumlah belasan rumah. Pembaikan dilakukan oleh pihak anak syarikat Metro – Cekap Cooperation, masalah retak makin bertambah dan jumlah rumah retak juga makin bertambah. Perkara ini dibawa ke berkali-kali ke mesyuarat pada peringkat MPKj dan juga pada peringkat kerajaan Negeri Selangor. Ada cadangan agar dirobohkan saja semua bangunan berkenaan dan digantikan rumah tempat lain dan tapak berkenaan dijadikan tapak rekreasi. Sementara itu tanah rekah juga berlaku dibahagian atas bukit dan rumah-rumah bungalow juga turut retak termasuk jalan juga pecah. Rumah retak ini berterusan menjadi isu menggugat dan memakan masa selama 15 tahun daripada masa Penulis menjadi Adun Kajang (1999-2004) hingga ke masa Penulis menjadi Adun Bangi (2008-2013). Tindakan mutakhir diambil oleh kerajaan negeri Selangor ialah meruntuh rumah-rumah yang benar-benar rosak dan membina kembali dan mana yang rosak kecil yang tidak melibatkan kerosakan struktur dibaiki sahaja.


Ironi bagi Penulis sebagai Adun Kajang mula-mula berdepan dengan isu rumah retak di Bukit Mewah Kajang (8 Dis. 1999) dan terakhir sebelum tempoh akhir Penulis menjadi Adun Bangi 2013 ialah melawat rumah-rumah berkenaan pada 1 Mei 2013 bersama saudara Azizi beberapa hari sebelum pilihanraya ke 13 (5 Mei 2013) setelah diperbaiki oleh kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat dengan kos berjuta-juta ringgit ! Bererti masalah rumah rentak yang menjadi isu besar dan berlarutan mulai dari Penulis jadi Adun Kajang akhirnya dapat diselesaikan pada bahagian akhir tempoh Penulis menjadi Adun Bangi.


Pada 8 Disember ini juga Penulis menerima kunjungan Pemberita dari Majalah Detik pada jam 12.00 tengahari di Pejabat Penulis selaku Adun Kajang pada masa itu. Pemberita ialah saudara Zulkifli. Apa yang ditanya ialah tentang latarbelakang Penulis, tentang kemenangan yang baru dicapai selaku Adun Kajang dan program-program yang akan dijalankan di Dun Kajang.


Akhbar-akhbar yang melaporkan tentang Penulis di atas, turut dibeli Penulis, walaupun di dalam tulisan Cina, tak memahaminya – turut dibeli ialah Majalah Detik yang dikeluarkan berikutnya.

Sekian.