February 6, 2014

Sanjung Dan Sokong Ketegasan Pemuda Pas: Sama Gembeling Tenaga Memenangi Pilihanraya


BBB, 05 Rabiul Akhir 1435 = 05 Februari 2014 (Rabu):

Kenyataan yang mencerminkan ketegasan Pemuda Pas berikutan dari mesyuaratnya semalam (Selasa 4 Februari), bahawa Pemuda Pas menyokong pencalonan Dato` Seri Anwar Ibrahim bagi mempertahankan kerusi Dun Kajang yang telah dikosongkan, tetapi tidak dari segi menjadi Menteri Besar adalah disanjung dan disokong. Ini mencerminkan ketegasan pendirian Pemuda Pas berhubung dengan pilihanraya Kecil Dun Kajang. Namun saudara Suhaizan Kaiat Ketua Pemuda Pas meluahkan rasa kesalnya, bahawa pengosongan kerusi Dun Kajang oleh Lee Chin Cheh adalah satu pembaziran masa dan kewangan. Kenyataan Ketua Pemuda Pas ini berikutan dari Mesyuarat Lajnah Politik Dan Pilihanraya Pas pada Isnin lalu (3 Februari) yang menurut Presiden Pas Tuan Guru Dato` Seri Haji Abdul Hadi Awang, bahawa Pas akan menghantar jenteranya sebagai komponan PR bagi membantu pilihanraya kecil Dun Kajang berkenaan.

Pemerhati melihat, kenyataan tegas oleh Pemuda Pas adalah penting. Dengan kenyataan ini memprojekkan imej Pemuda Pas tegas, bermaruah dan perlu dihormati. Secara tidak langsung mengingatkan, apa-apa tindakan jika melibatkan kepentingan bersama perlu berunding terlebih dahulu agar keputusan yang diambil tidak bercanggah dan membebankan pihak-pihak berkenaan. Kita mau melihat pemuda berada pada `frontline` menjaga dan mempertahankan maruah parti.

Sementara itu pada pagi ini pihak SPR bermesyuarat dan mengeluarkan kenyataan, bahawa pilihanraya kecil N25 Kajang akan diadakan pada 23 Mac 2014. Hari penamaan calon ialah pada 11 Mac dan tarikh pengundian awal ialah pada 19 Mac. Menurut Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz bin Mohd Yusof pengundian akan diadakan di 15 pusat pengundian dan perbelanjaan bagi pilihanraya kecil ini dijangka sebanyak RM1.6 juta. Dengan pengumuman ini parti-parti politik yang mau bertanding mempunyai masa kurang dari seminggu membuat persiapan bagi penamaan calon. Berdasarkan pilihanraya yang lepas 6 calon bertanding bagi merebut kerusi Dun Kajang. Kemungkinan pada kali ini lebih dari dua calon akan bertanding, paling tidak ialah calon  PKR dari PR dan dari BN. Calon bagi PKR telah diumumkan, iaitu Dato` Seri Anwar Ibrahim. Belum ada pengumuman dari parti-parti lain. Adalah dijangkakan pertandingan sengit akan berlaku.

Dengan pengumuman yang dibuat ini kita kira segala perselisihan dikalangan pimpinan PR perlu dihentikan. Tumpuan sepenuhnya ialah bagi mengekal dan memenangi  pilihanraya Dun Kajang pada 23 Mac nanti. Jentera pilihanraya perlu digerakkan. Menurut  Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution bahawa PKR telah melantik Tan Sri Khalid menjadi Pengarah bagi pilihanraya, manakala Timbalannya ialah Ketua Wanita PKR ialah Zuraida Kamaruddin, manakala Pengarah Operasi ialah  Borhan Aman Shah. Pihak Pas juga melantik Pengarah Pilihanranya, iaitu Dr. Hatta Ramli. Pihak Dap juga melantik Pengarah Pilihanraya bagi parti itu. Kita percaya ketiga-ketiga pihak akan bermesyuarat bagi menyelaraskan kegiatan kempen yang akan dijalankan.

Tugas berkempen melibatkan peringkat pusat dan negeri. Paling utama tugas yang dipertanggungjawabkan ialah negeri Selangor. Penyelarasan juga perlu dilakukan pada peringkat negeri dikalangan tiga parti di dalam PR yang pastinya PKR mengepalainya.
Pihak yang mengarah jentera pilihanraya seharusnya tidak lupa dan mengabaikan jentera dan tenaga setempat yang lebih mengetahui tentang lokasi, kedudukan pengundi, keperluan logistic hinggalah keperluan rumah-rumah yang boleh dijadikan bilik gerakan dan penginapan.

Berhubung dengan perkara di atas, Kajang berada di dalam Palimen Hulu Langat, maka pimpinan parti dalam PR, AJK dan cawangan-cawangan di Dun-Dun  di Hulu Langat yang selain dari Kajang ialah Semenyih dan Dusun Tua perlu dimanfaatkan. Jentera-jentera parti mereka telah wujud sebelumnya dan lebih mengetahui keadaan setempat. Jentera parti jiran-jiran dari kawasan seperti Bangi, Balakong dan Sei Serdang juga seharusnya sama bekerjasama. Kita percaya semua ini sudah ada dalam perancangan Pengarah-Pengarah Pilihanraya. Target pilihanraya perlulah mendapat majoriti jauh melebihi jumlah undi yang didapati pada pilihanraya ke 13 yang lepas, iaitu  sebanyak 19,571  dengan majoriti 6,824 undi. Semoga semua berjalan lancar – Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment