February 28, 2014

Lega Perjanjian Air Dimeteraikan: Serlah Kewibawaan Tan Sri Khalid Ibrahim

-->
BBB, 27 Rabiul Akhir 1435 = 27 Februari 2014 (Khamis):

Antara isu penting bagi pilihanraya ke 12 ialah air, minyak dan tol. Minyak dan tol di bawah kerajaan Persekutuan, tetapi air di bawah kerajaan negeri. Apabila Pakatan Rakyat memenangi Pilihanraya Ke 12 di negeri Selangor, maka usaha bagi memiliknegerikan urusan air dijalankan. Setiap kali Sidang Dewan Negeri Selangor diadakan, isu pemilikan air diucapkan oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor dan menjadi soalan-soalan bertulis dan lisan bagi ahli-ahli Dewan Negeri Selangor. Pokok persoalan ialah kerajaan negeri berusaha mengambilalih pentadbiran air dari syarikat-syarikat swasta yang mempunyai kepentingan dengan air Selangor, iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn. Bhd. (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash) dan Konsortium Abass Sdn. Bhd. (Abass). Syarikat Air sebelum 2000 sememang di bawah Jabatan Bekalan Air Selangor. Semasa sindrom penswastaan berlaku yang digalakkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor di bawah pemerintahan BN, maka Jabatan Air Selangor diswastakan yang melahirkan syarikat-syarikat di atas yang memonopoli dari segi pengurusan dan pentadbiran air. Bila PR berkuasa di Selangor pada 2008, maka usaha mengembalikan pengurusan air ke pangkuan negeri Selangor dilakukan. Dari aspek ini Islam sebenarnya melarang memonopoli bahan-bahan utama kepentingan awam sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:


``Manusia berkongsi pada tiga perkara, air, api dan padang ragut.``

Usaha Selangor mau mengembalikan pemilikan air ke tangan kerajaan (rakyat) adalah selari dengan tuntutan Islam, tetapi bukan semudah itu syarikat-syarikat air yang selama ini telah mengaut keuntungan itu untuk menyerahkan kembali kepada negeri Selangor.


Selain daripada itu air di negeri Selangor tidak saja melibatkan Selangor, tetapi juga Kuala Lumpur dan Putrajaya. Isu air bertambah rumit oleh kerana sebelum Selangor dikuasai PR pada 2008, kerajaan Persekutuan telah membuat perjanjian dengan negeri Pahang dan Sebuah syarikat Jepun bagi mengalirkan air dari Pahang melalui saluran di bawah tanah melalui Banjaran Titiwangsa ke Hulu Langat. Kerja-kerja menggali terowong ini telah dilakukan dan Penulis semasa menjadi Adun Bangi bersama Adun-Adun lain telah dibawa melawat ke Terowong Langat 2 ini pada 8.3.2010 dan turut masuk ke dalam terowong berkenaan sedalam 2 km. Bila Kerajaan PR berkuasa di Selangor, kerja-kerja mengorek terowong ini diminta dihentikan. Antara alasan ialah negeri Selangor mempunyai simpanan air yang cukup bagi negeri Selangor dan tidak memerlukan air dari luar Selangor, pengorekan terowong merosakkan alam sekitar, mengalirkan air dari negeri Pahang merosakkan tanah yang dilalui terowong dan juga bangunan-bangunan bila melalui dan disalirkan ke Bandar-bandar dan kawasan perumahan dan sudah tentulah mengalirkan air dari Pahang ke Selangor memakan kos yang tinggi, maka kos air yang akan ditanggung rakyat makin tinggi. Ini adalah bercanggah dengan kerajaan PR yang mau menurunkan harga air, bahkan telah melaksanakan Polisi Air Percuma kepada pengguna-pengguna yang menggunakan air sebanyak 20 kubik meter air ke bawah. Kerajaan negeri Selangor juga tidak mau air di Selangor diambilalih dan ditadbirkan oleh Kerajaan Persekutuan. Air adalah milik negeri. Di samping itu oleh kerana Kerajaan Persekutuan juga mempunyai kepentingan berhubung dengan air, khususnya bagi mendapat bekalan air bagi kawasan Kuala Lumpur dan Putrajaya, maka Projek Langat Dua dijadikan sebagai `cagaran/taruhan` dalam rundingan dengan kerajaan Persekutuan. Kelewatan penyelesaian ialah untuk mendapat persetujuan dari syarikat-syarikat air untuk dibayar pampasan, jumlah pampasan dan juga rundingan dengan Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau & Air yang mempunyai kepentingan. Perlu diingat bahawa sebahagian dari fasiliti yang dimiliki oleh syarikat-syarikat air adalah milik dan hak kerajaan negeri sebelum penswastaan air.


Al-hamdulillah Perjanjian Penstrukturan Semula Pentadbiran Air yang dilakukan pada Rabu 26 Februari 2014 adalah kejayaan bersama antara Kerajaan Negeri Selangor yang mana Tan Sri Dato` Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili Menteri Tenaga, Teknologi Hijau & Air bagi pihakj Kerajaan Persekutuan. Penandatanganan disaksikan oleh YAB Dato` Seri Najib Tun Abdul Razak  Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri dan Tan Sri Dr. Ali Hamsa Ketua Setiausaha Kerajaan Persekutuan bertempat di Kompleks Perbadanan Putrajaya. Antara butir perjanjian ialah Kerajaan Negeri Selangor membenarkan Projek Langat 2 yang bakal membawa air dari Pahang ke Selangor (Hulu Langat) diteruskan, ianya berkuatkuasa serta merta, Kerajaan Persekutuan akan membantu kos pengambilalihan pentadbiran Air dari syarikat-syarikat air sebanyak RM2 bilion. Kerajaan Selangor mencapai persetujuan untuk membayar pampasan kepada syarikat-syarikat air sejumlah RM9.65 bilion. Setelah pengambilalinan, pentadbiran air dikendalikan oleh Kumpulan Darul Ehsan Bhd. (KDEB) anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor. Syarikat bertanggungjawab mengurus kepentingan air di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan kedua-dua kawasan berhak mendapat nikmat kemudahan air percuma yang digunakan di bawah 20 kubik meter sebagaimana dinikmati penduduk di negeri Selangor. Sebelum daripada berlakunya perjanjian ini, kita amat bimbang takut isu ini berlarutan hingga ke akhir pemerintahan PR bagi penggal kedua di negeri Selangor, jika tidak dapat diselesaikan ianya akan menjejaskan kedudukan politik PR di negeri Selangor. Syukur semuanya berjalan lancar. Ianya merupakan kemenangan bagi semua pihak. Ada pihak yang mengkritik tentang kelewatan pengambilalihan (5 tahun), kerumitan masalah dan perundingan menjaga kepentingan semua pihak tidak mudah dilaksanakan. Termeterainya perjanjian juga merupakan kejayaan penting dalam karier politik Tan Sri Khalid yang menyerlahkan kewibawaannya sebagai tokoh politik dan koperat. Persetujuan dicapai adalah tepat pada masanya dalam mana berlakunya krisis air kerana kemarau. Ianya boleh dijadikan contoh terbaik bagi mengatasi masalah air. Apa yang penting ialah perjalanan pentadbiran air hendaklah dilakukan sebaik mungkin oleh KDEB agar ianya menjadi contoh terbaik Pengurusan dan Pentadbiran Air di Negara ini.


Sekian.

No comments:

Post a Comment