May 31, 2010

"Pecah Tanah" Kompleks Markas Pas Pusat Di Dengkel

Paya Indah, Dengkel, 16 Jamadil Akhir = 30 Mei (Ahad):


Jam 11.00 pagi ini Y.A.B. T.G. Dato' Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat merasmikan "Pecah Tanah" bagi kompleks Markas PAS Pusat di sini pagi ini disertai pemimpin-pemimpin tertinggi PAS Y.B. Dato' Seri T.G. Hj. Abdul Hadi Awang. Y.B. Dr. Hatta Ramli, Haji Abdul Halim Bendahari PAS Pusat, Dato' Haji Husam Musa Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kompleks PAS, Dato' Mustaffa Ali Setiausaha Agung PAS, Y.B. Salahuddin Ayob, Y.B. Dato' Dr Hassan Ali Pesuruhjaya PAS Selangor, pemimpin-pemimpin PAS Pusat, Negeri, kawasan dan ahli-ahli yang turut serta.

Terdahulu dari acara "Pecah Tanah", dalam ucapan alu-aluan Dato' Haji Husam Musa mengucapkan terima kasih terutama kepada Murshidul Am T.G. Dato' Nik Abdul Aziz dapat datang, walaupun semalam beliau uzur dan tak dapat bercakap di dalam majlis PKR di Kota Baru, tapi pagi ini dapat menyertai upacara, begitu juga terima kasih kepada T.G. Hj Abdul Hadi Awang yang baru pulang dari Turki semalam dan berkesempatan hadir.

Menurut Dato' Husam, "Pecah Tanah" merupakan perletakan "Batu Asas" tanda jadi bagi tapak Markas Pusat. Sebelum ini usaha mendapat tapak tetap dilakukan di satu kawasan di hadapan Sekolah Teknik, Sepang. Usaha ini nampaknya tidak jadi. Hari ini semasa upacara "Pecah Tanah" dilakukan, lori-lori keluar masuk menambak tanah sekitar yang agak rendah dan berpaya (berdekatan dengan Wet Land Dengkel).


Menurut Dato' Husam Musa dalam ucapannya, tanah bagi tapak kompleks PAS adalah berjumlah 20 ekar (difahamkan derma dari seorang korporat dan pembelian PAS). 8 ekar daripadanya bagi tapak konvensyen, termasuk tapak yang diadakan upacara pada hari ini, manakala selebihnya 12 ekar bagi Pusat Tarbiah & Latihan, rumah-rumah negeri, lot-lot perumahan dan komersil. Menurut Dato' Husam, kita belum mempunyai dana bagi pembangunan. Satu cara mendapat kewangan ialah dengan menjual dan mewakafkan sekaki persegi lot tanah seharga RM50/= dan diharap semua ahli Pas mengambil peluang bersadakah dan mendapat pahala untuk diri dan keluarga sebanyak yang mungkin. Borang-borang boleh didapati dari urusetia pembangunan.

Selepas Dato' Husam menyampaikan ucapan alu-aluan, Pengacara Majlis Dr. Hatta menjemput T.G, Haji Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapannya. Beliau bertolak ucapannya dari ayat al-Quran (al-Baqarah:261) –"Ibarat orang yang menafakahkan harta benda mereka pada jalan Allah seperti sebiji benih yang tumbuh menghasilkan tujuh tangkai yang setiap tangkai mempunyai 100 biji. Dan Allah menggandakan balasan kepada yang dikehendakinya dan Allah amat luas rahmat kurniaNya lagi meliputi ilmu pengetahuanNya."

Beliau menyifatkan peristiwa hari ini amat penting dan mengajak semua bersyukur kepada Allah kerana berpeluang membuat sumbangan bagi perjuangan Islam. Menurut T.G. Haji Abdul Hadi, projek bukan semata-mata mendirikan bangunan, tetapi lebih dari itu bagi pembangunan insan berlandaskan Islam yang sumbangan merupakan kebajikan berterusan. Beliau mengambil maksud Hadith yang bererti:

"Apabila mati anak Adam, maka terputus amalan baginya, melainkan tiga perkara, iaitu sadakah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan anak yang salih yang mendoakan kepada ibu bapanya."

Beliau juga merujuk kepada sejarah sahabat pada zaman Rasulullah sw.a.w. yang merasa cukup dengan perjuangan yang dilakukan dan mau menumpukan pada kehidupan sendiri dengan berladang dan berurusniaga. Cara ini adalah tidak betul, perjuangan menegakkan Islam tiada noktah pengakhiran dan tiada sekatan bagi mereka berjuang dan menabur bakti dan berjihad.

Selepas tayangan multi media, T.G. Dato' Nik Aziz Mursyidul Am dijemput menyampaikan ucapan. Beliau bertolak dari ayat al-Quran (al-Zalzalah: 7-8) bermaksud: Sesiapa membuat kebajikan walaupun sebesar zarrah nescaya akan dilihatnya dan barangsiapa membuat kejahatan walaupun sebesar zarah nescaya akan dilihatnya.


Dato' Nik Aziz menggalurkan keturunan manusia dari satu keturunan, iaitu daripada Adam. Hakikat semua manusia adalah bersaudara. Beliau optimis melihat kerjasama antara kaum di dalam pakatan – termasuk dengan kaum Cina, Beliau mengingatkan tamadun Islam di negeri Cina jauh lebih tua dari tamadun Islam di alam Melayu. Mereka berhak berbangga dengan Islam. Beliau sukacita orang Cina sekarang rapat dengan Pas. Kalau mereka boleh rapat dengan Pas, mereka tentulah boleh rapat dengan Islam. Kita wajar rapat bagi mendekatkan sesama kita yang berasal dari satu keturunan – Adam.

Tuan Guru juga merujuk kepada peristiwa sejarah tatkala Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah beliau membeli tanah dari penguasa dua anak Yatim – Sahl dan Suhail. Dari tapak ini terdirinya Masjid Madinah yang terus makmur dengan penyebaran Islam. Semasa Baginda tiba di Madinah Baginda disambut dengan nasyid – Naiknya Bulan Purnama. Kita mendirikan kompleks Pas di sini akan menaikkan bulan Purnama. Dan Insya Allah sebagai tempat laluan udara, lambang bulan purnama ini akan lebih jelas dilihat dari atas, sebagaimana jelasnya Bulan Purnama di mana-mana.

Selepas dari berucap Y.A.B. T.G. Dato' Nik Aziz diiringi para-para tetamu kehormat dan mereka yang ada di dalam majlis mengiringi Tuan Guru naik ke atas buldozar dan melakukan upacara "Pecah Tanah".


Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Sekian.

Hadir Ke Jamuan Malam Amal SMK Jalan Reko: Pernyataan Sokongan

Dewan MPKj, Kajang, 16 J. Akhir = 30 Mei (Ahad):


ADNS Bangi, malam ini bersama 6 AJK turut hadir ke Majlis Makan Malam di atas sebagai pernyataan sokongan terhadap usaha PIBG mendapat dana bagi membina Bumbung Dataran Terbuka Sekolah tersebut. Turut hadir sama Y.B. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang dan pengiring-pengiringnya, AJK PIBG dan Guru-Guru. Adalah menjadi hasrat ADNS Bangi mau melihat sekolah-sekolah di DNS Bangi maju di dalam bidang akademik dan sempurna dari segi fizikal dan infra-strukturnya, sesuai dengan Bangi Bandar Ilmu. Masalahnya baik ahli Parlimen maupun ADNS tidak dibenarkan mengadakan hubungan dengan pihak Sekolah – Sekatan oleh pihak Persekutuan. Sebab itu bantuan dan kerjasama terpaksa dilakukan di luar Sekolah. Contoh penyampaian hadiah-hadiah insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang setiap tahun oleh ADNS Bangi, terpaksa dilakukan di luar dari Sekolah seperti dianjurkan melalui Persatuan Penduduk dan majlis-majlis khas diadakan. Untuk kemudahan Sekolah SMK Jalan Reko ini ADNS Bangi mengeluarkan peruntukan 2010 bagi Pembangunan hampir maksimum (RM19,000) bagi menambak dengan batu krikil kawasan lembah di tepi Sekolah bagi kemudahan guru-guru dan pelajar-pelajar di sekolah ini.


Kita memahami sekolah-sekolah sekarang ini kritikal dari segi kewangan, kerana peruntukan dipotong oleh pihak Kementerian. Sekolah-sekolah terpaksa mengambil inisiatif sendiri bagi mendapat dana bagi keperluan kegiatan dan pembangunan Sekolah. Kita memuji YDP PIBG Sekolah Ir Dr. Tuan Suhaimi bin Salleh yang menurut beliau di dalam ucapannya, SMK jalan Reko memerlukan peruntukan dana sebanyak RM250,000 bagi pimbinaan Bumbung Terbuka Sekolah. Ruang ini digunakan bagi kegiatan aktiviti ko-kurikulum pelajar yang berjumlah seramai 2,122 orang, tanpanya, jika berlaku hujan, maka aktiviti ko-kurikulum luar terpaksa dibatalkan. Beliau berterima kasih kepada hadirin yang menderma dan sudi datang memeriahkan majlis.


Menurut Pengetua Sekolah Puan Rosmy bt. Osman yang juga selaku Penasihat PIBG, "Sasaran mendapatkan dana ialah RM300,000. Selain dari Jamuan Makan, derma akan dipohon dari AJK PIBG, pendidik, kalangan korporat, alumi sekolah, ibu bapa, peruntukan zakat dan orang ramai." Menurutnya lagi, "Setakat ini jumlah yang terkumpul di bawah RM50,000."

Semasa jamuan sedang berlangsung dan persembahan kebudayaan oleh pelajar, YDP PIBG Ir. Dr. Tuan Suhaimi b. Salleh dengan cara professional dan berkesan, bergerak dari meja ke meja mengucap terima kasih kepada tetamu yang datang memberi sokongan. Kita berharap usaha murni beliau dan AJK akan berjaya dan SMK Jalan Reko yang didirikan sejak 1994 itu akan terus maju – Insya Allah.

Sekian.

May 30, 2010

Malaysia Moves Toward Bankruptcy ?

BBB, 13th J. Awal = 28th May (Friday):

Despite the government assured that the economy of Malaysia grows 5 percent this year, but we were surprised to read papers today that Malaysia would bankrupted in 2019 unless steps taken to reduced the burdens. One of the proposals introduced by the government is to cut subsidies that government spent RM74 billion yearly. According to the proposal the cutting of subsidies could save 103 billion of debt in the next five years.

More surprisingly that the government in debt about RM326 billion and we Malaysians shouldered the debt 4.6% compared with Indonesia 2.7% and Philippine 0.2%. Before that the government had tried to conceal the debt and overcome and remedy the debt by introducing the GST (Goods, Service and tax) that by GST would get the higher revenue by increase the cost up to 20%. However many NGOs campaigned and against the GST that made the government withdrew the GST for a while.

By now we knew that the economy of Malaysia in sick situation. To remedy the sickness the government suggested to cut the subsidies and raise the tax and cost such as petrol price to go up by 10 to 15 cent in middle of this year. The price of petrol will increase every six months until 2014 when the price at the same level of market price, increase the electricity tariffs to those consuming over 200kWh, increase the price of food items such as sugar price to increase 20 cents per kilo every six month until 2012, toll rates will increase according to agreement, the government hospitals to increase outpatient treatment from RM1 to RM3 and the patient treatment will increase according to wards ( 1 – 3) from between RM3 and RM80 to between RM6 and RM160 and for the education the tuition subsidy to be abolish and no text book loans and no free public examination except only for poor students. The other items will increase accordingly, as the double increase of price the people suffer multiples. We guest the economic problem facing the government because the lack of revenue after the government lost five states (now four) especially Selangor and Penang that both states are considered the rich states and due the government spent lavishly as before especially to recapture the lost states.

The economic problems facing the government are very serious. Our question is, such very serious problems that will effect the whole people, why the government does not bring the above proposal to parliament rather than only Senator Idris Jala The Minister in the Prime Ministers Department delivered the issue by press statement ? The Federal government now is facing either sinking or floating. If the government does not increase the tax the government would trapped under bankruptcy that would sink the government and by implement the tax proposal the government would floating and could survive, but would facing the people in the next 13th general election.

Thank you.

May 29, 2010

Perhimpunan Membantah Judi Bola Sepak Dunia 2010

Pekarangan Masjid al-Hasanah, 13 J. Akhir = 28 Mei (Jumaat):


Satu perhimpunan berlaku di Pekarangan Masjid Al-Hasanah selepas solat Jumaat di sini bagi memprotes cadangan kerajaan membenarkan Syarikat judi – Berjaya Group, menjalankan kegiatan judi sempena dengan Pertandingan Piala Sepak Dunia 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan pada pertengahan Jun hadapan.

Perhimpunan ini dianjurkan oleh Gerakan Membantah Judi (GMJ) di bawah Sekretariat Pemuda Pas Pusat dan perhimpunan di sini mendapat kerjasama dari Pemuda Pas Serdang. Tarikan spontan perhimpunan berlaku kerana isu ini melukakan hati rakyat, khususnya dari kalangan umat Islam dan pendukung PAS. Pekarangan bersesak-sesak dengan peserta dan penonton yang menyokong. Kesesakan bertambah, kerana lokasi membantah berdekatan dengan "Pasar Jumaat" yang memang sesak sebelum dan sesudah Jumaat, setiap hari Jumaat. Takbir Allahu Akbar bergema berulang kali disulami dengan sepanduk dan pamflit diangkat dan dikebarkan oleh peserta yang berhimpun dalam kumpulan. Antara sepanduk mengungkapkan kata-kata seperti, ``Umno Menghalalkan Judi !`` Tarik Balik Judi Bola`, `Satu Malaysia Benar Judi !`, `Bukti Hasil Duit Judi Tidak Berkat`, Katakan Tak Nak pada JUDI`, Terima Kasih Kepada BARISAN NASIONAL (Terutama Pengundi-pengundinya) Kerana Menghalalkan Judi yang banyak meruntuhkan institusi keluarga di Malaysia ini - dan lain-lain.


ADNS Bangi yang dijemput berucap terakhir selaku Tuan Rumah, menegaskan bahawa, judi walau apa bentuknya adalah haram dan bercanggah dengan prinsip Islam. Beliau membaca ayat al-Quran dari Surah al- Maidah, ayat 90 yang beliau juga memberi maksud:
Wahai orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib adalah keji (najis) dari amalan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya!


Beliau kesal terhadap kerajaan (beliau merujuk kepada Awang Adik Timbalan Menteri Kewangan) yang membenar dan mencemarkan Pertandingan Bola Sepak Dunia 2010 dengan amalan judi. Sebagai seorang Islam dan kerajaan yang kononnya mendukung Islam tidak sepatutnya membenarkan Pertandingan Bola Sepak Dunia 2010 sebagai medan perjudian.


Dengan kebenaran yang diberi kerajaan mencampuradukkan cukai biasa dengan yang haram dan hasilnya dihidangkan kepada rakyat. Berhubung dengan perkara haram ini Rasulullah mengingatkan bermaksud permohonan yang pelakunya memakan makanan haram, meminum minuman haram dan memakai pakaian haram, maka bagaimanakah orang sedemikian hendak dimakbulkan doanya?

Banyak perkara yang haram berlaku di dalam Negara dari judi, rasuah dan penyelewengan. Mungkin antara akibatnya berleluasanya gejala sosial – termasuk membuang bayi, penyalahgunaan dadah dan merebaknya penyakit yang kronik. Jika ditambah lagi dengan maksiat dan judi, dibimbangi bala makin bertambah dan hidup rakyat makin susah. Sebab itu Kerajaan seharusnya menarik balik keizinan Judi Bola Dunia 2010 bagi mengelak bala yang lebih besar. Beliau menjangka kerajaan amat terdesak akibat dari kesempitan ekonomi dan sanggup melibatkan rakyat dengan judi dan akan membebankan rakyat dengan cukai yang lebih tinggi. Ini sebagai kesan awal judi dan banyak lagi bala akan berlaku, sebab itu tarik balik kebenaran Judi Bola.


Sebelum daripada itu Saudara Khairuddin Othman, Setiausaha Pas Negeri, mengecam tindakan Kerajaan membenarkan judi Bola Piala Dunia. Ini bercanggah dengan usaha mencegah jenayah di Negara ini. Dengan kebenaran Judi Bola boleh mempurak peranda masyarakat. Dengan judi merosakkan keharmonian keluarga dan mencambahkan kegiatan-kegiatan jenayah yang lain. Manakala Tuan Haji Mazwan Johar Ahli MPKj turut berucap menegaskan, Judi Bola Sepak Piala Dunia adalah bercanggah dengan Seksyen 1 Akta Kerajaan Tempatan yang melibatkan isu kesihatan, keselamatan dan keselesaan. Kerajaan Tempatan adalah menentang Judi Bola Sepak Dunia 2010. Beberapa Majlis Tempatan di Selangor telah mengambil tindakan tidak membenarkan judi ini berlaku di bawah Majlis Tempatan masing-masing seperti tindakan diambil Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Ampang. Menurut beliau Majlis Perbandaran Kajang akan mengambil tindakan yang sama di dalam mesyuarat MPKj yang akan diadakan nanti.

Saudara Adhram Musa AJK Pemuda Pas Pusat dan Ketua Pemuda Pas Serdang menegaskan pemuda menentang sekeras-kerasnya membenarkan judi Bola Piala Dunia beroperasi. Pemuda adalah berada di barisan hadapan menganjur dan menentang judi ini. Menurutnya kita mau membina generasi yang sihat fizikal, mental dan akhlak mereka. Penyalahan pendidikan akan menjerumus golongan muda ke dalam kegiatan merosakkan agama, Negara dan bangsa. Kita mendesak keizinan judi ditarik balik. Turut berucap wakil dari Gamis. Perhimpunan yang bermula jam 2.00 petang itu berakhir 45 minit berikutnya sedang para pendengar masih belum berganjak dari perhimpunan.

Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahu Akbar !

Sekian.

May 28, 2010

Bantu Keperluan Surau

Kg. Bahagia, Bangi, 09 JH. Akhir = 23 Mei (Ahad):

Malam ini ke Surau Al-Hamidiah, Kg. Bahagia Pekan Bangi. Sebulan lepas ADNS Bangi menerima aduan dari Ketua Kampong Encik Norazlan Nordin, bahawa pembesar suara di surau kampong tersebut rosak dan tidak boleh digunakan. Perkara ini telah dibawa ke Mesyuarat AJK Kewangan (AJK Harian) dan bersetuju untuk membekalkan seunit pembesar suara selengkapnya. Pembesar suara ini telah dibeli dan malam ini ADNS Bangi turun ke surau tersebut bagi menyampaikan pembesar suara berkenaan.


Setibanya ADNS Bangi ke surau Ybhg. Ustaz Dr. Abdul Wahab Saleh, sahabat ADNS Bangi sedang mengajar kitab. Beliau adalah Bekas Pensyarah (bersara), Fakulti Islam UKM. Kami mengikuti pengajarannya menjelang Isyak. Selepas pengajaran dan dalam upacara ringkas yang turut hadir Ketua Kampong En. Norazlan Nordin, Pengerusi Surau Tuan Haji Ahmad, Tuan Imam Tuan Sembak, Ustaz Dr. Abdul Wahab, Dr. Azmi, Saudara Abdul Aziz dan ahli jamaah lelaki perempuan, maka pembesar suara dan peralatan yang berhubung dengannya diserah oleh ADNS Bangi kepada Pengerusi Surau Tuan Haji Ahmad. Kami bersembahyang Isyak berjamaah dan menikmati juadah.

Sementara itu pada petang Khamis 27 Mei ini, ADNS Bangi ditemani Saudara Shahrum bertolak dari pejabat ADNS Bangi ke Surau Rumah Pangsa, Cempaka Sari, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Tujuan ADNS ke surau ini adalah kerana ada permintaan dari Surau rumah Pangsa Cempaka Sari ini untuk mendapat sebuah pembesar suara bagi digunakan di surau di situ. ADNS mau pastikan keperluan kepada pembesar suara surau di sini. Perumahan di sini ADNS difahamkan baru dibuka dan telah dihuni sejak tujuh bulan yang lalu. Terdapat 200 unit rumah pangsa bangunan di sini dan 80% daripadanya sudah dihuni. Kami bersembahyang Maghrib berjamaah di surau di sini dan selepas itu beredar ke Dewan bersebelahan surau. Bersama hadir Encik Mustaqim Pengerusi Surau, Encik Shahrum Setiausaha surau dan penduduk lelaki perempuan.


Dalam majlis ringkas, ADNS dimaklumkan keperluan pembesar suara dan juga peralatan bagi Surau dan juga Dewan. Selain daripada itu penduduk juga menyuaraka yuran maintenans agak tinggi iaitu sebanyak RM60/= sebulan, tidak ada pengawal dan mereka tidak dapat menikmati perkecualian bayaran air yang digunakan di bawah 20 cubic meter air, kerana bayaran dibuat secara pukal. ADNS Bangi berjanji untuk menilai segala permohonan dan mengharapkan pihak penduduk menggunakan kemudahan surau dan dewan sebaik mungkin. ADNS membuat pertanyaan, sekiranya pembesar suara dihantar, bagaimana menjaga keselamatannya? ADNS menasihati Pengerusi Surau yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk agar membuat tempat simpan peralatan surau terlebih dahulu, sebelum pembesar suara dihantar, jika terdedah, kemungkinan berlaku kecurian. Selepas pertemuan ringkas ADNS Bangi memohon diri, kerana selepas selepas Isyak kena mempengerusikan mesyuarat Pembinaan Masjid al-Umm Bandar Baru Bangi.

Sekian.

May 27, 2010

Mesyuarat Agung Taman Zamrud & Penghargaan Pelajar Cemerlang

Taman Zamrud, Kajang, 09 J. Awal = 23 Mei (Ahad):


Persatuan Penduduk Taman Zamrud Kajang pada petang ini mengadakan Mesyuarat Agung Kali Ke 7 bagi memilih Jawatakuasa 2010-2012. Untuk itu ADNS Bangi dijemput bagi merasmikan Mesyuarat Agung tersebut bertempat di Balai Raya Taman Zamrud. Sempena dengan Mesyuarat Agung diadakan Majlis Penghargaan terhadap pelajar-pelajar yang berjaya di dalam peperiksaan PMR, SPM, STPM dan Diploma.

Hadir di dalam majlis tersebut ialah En. Md. Shahril Dato` Abd Rani selaku YDP Persatuan Penduduk, En. Che Aziz Musa, Naib YDP, En. Othman Ismail selaku Setiausaha dan AJK. Dewan Balai Raya dipenuhi tetamu, ibu bapa dan anak-anak.

En. Md Shahril dalam ucapannya berterima kasih kepada ADNS Bangi di atas kesudian hadir dan menyebut beberapa bantuan yang ADNS Bangi salurkan ke Taman Zamrud. Beliau berterima kasih kepada penduduk yang telah memberi kepercayaan kepada beliau dan AJK memimpin persatuan. Antara kegiatan yang telah dilakukan oleh AJK selama satu sesi yang lepas Jan. – 2007 – Mei 2010 ialah:
Gotong royong bersama penduduk Taman Zamrud, Menyampaikan Anugerah Cemerlang pelajar 2007, Mengadakan Sambutan Ambang Merdeka 2007, Gotong royong membersihkan kawasan surau Lembah Mewah sebelum bulan Ramadhan, Menganjurkan Pasar Ramadhan, Mengecat bumper jalan Taman Zamrud, Mengadakan rondaan Keselamatan pada waktu malam. Majlis Penyerahan Walkie talkie dari Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar.


ADNS Bangi di dalam ucapan perasmian memuji inisiatif Persatuan penduduk mengadakan berbagai-bagai kegiatan di Taman Zamrud sebagaimana disenaraikan di atas. ADNS tertarik di atas keharmonian penduduk berbagai kaum berada di dalam keadaan aman damai. Kehadiran hari ini juga bersifat berbagai kaum. Dengan keharmonian kita dapat hidup di dalam aman tenteram. ADNS Bangi, mau persatuan terus mengadakan kegiatan bagi kepentingan masyarakat. ADNS Bangi juga mengucap tahniah kepada pelajar-pelajar cemerlang dan berharap mereka mewakili kita dan membawa imej Bangi Bandar Ilmu. ADNS berharap pelajar-pelajar terus mencapai kejayaan cemerlang di dalam pelajaran dan kerjaya masing-masing.


ADNS Bangi menyampaikan Sijil dan Anugerah Cemerlang kepada pelajar-pelajar Nurfarah Adiba Othman, Mohd Izwan Shaharuddin, Luk Sin Ye dan Mohamad Amirul Mohd Yunus. Kesemuanya pada peringkat PMR.


Manakala pelajar cemerlang SPM ialah Yuganeswaran dan Lee Siew Leng. Hadiah-hadiah dan penghargan disampaikan kepada dua pelajar UPSR, 8 orang pada peringkat PMR, 6 orang pada peringkat SPM,dua orang pada peringkat STPM dan dua orang pada peringkat diploma. ADNS berjanji untuk menggantikan peruntukan yang digunakan bagi pelajar cemerlang.

Kita berharap anak-anak terus belajar bersungguh bagi menempah kejayaan pada masa akan datang.


Sekian.

Dialog Bersama Penduduk Bukit Mewah, Kajang

Bukit Mewah, 9 J. Akhir = 23 Mei (Ahad):


Sebuah pertemuan dengan penduduk Bukit Mewah diadakan bertempat di Dewan Orang Ramai Bukit Mewah jam 10.00 pagi bertujuan untuk mendapat maklumat dari penduduk sama ada mereka bersetuju atau tidak cadangan untuk menuntut pihak SILK membuka jalan 7, keluar dari Bukit Mewah ke High Way Silk.


Hadir bersama di dalam dialog Y.B. Saudari Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Dr. Shafie Abu Bakar Ahli Dewan Negeri Selangor, kawasan Bangi dan beberapa Ahli MPKj seperti Saudara Chandra Mohan A/L S. Thambirajah, Encik Lee Learn Eng dan Puan Lee Kee Hiong. Lebih kurang 50 orang penduduk turut hadir.


Permasalahan jalan keluar dari Bukit Mewah melalui Jalan 7 ke High Way Silk bukan baharu. Perkara ini telah banyak kali dibincangkan, bahkan beberapa kali telah diadakan tunjuk perasaan menuntut jalan yang lengkap dengan jalan keluar (pelan asal untuk keluar masuk, tapi ditutup jalan masuk) – perlu di sambung sedikit, membolehkan laluan bagi jalan keluar. Namun di samping tuntutan membukanya, ada kalangan penduduk tidak mahu jalan ini dibuka dengan alasan mengganggu ketenangan yang mereka nikmati selama ini dan meningkatkan kes jenayah jika jalan masuk dibuka.

Sebelum orang ramai diminta menyampaikan pendapat, Y.B.Teo Nie Ching berucap menerangkan tujuan pertemuan diadakan dan meminta penduduk memberi pendapat mereka bagi diambil tindakan selanjutnya. Y.B.Dr Shafie Abu Bakar juga turut berucap mengimbau tindakan pernah diambil dan menerangkan faedah jika jalan dibuka dan sebaliknya. Kebanyakan yang hadir pada pagi ini adalah terdiri dari kaum Cina dan India dan sebahagian kecil dari Kaum Melayu.

Bila peluang menyampaikan pendapat dibuka, lima orang mengambil bahagian bercakap. Semua yang bercakap nampaknya bersetuju dibuka, namun pihak tidak bersetuju tidak ada yang bercakap. Mungkin oleh kerana ramai yang bersetuju, mereka terpaksa mendiamkan diri atau mereka yang tidak setuju ini tidak menghadirkan diri.

Antara pendapat yang diutarakan peserta yang hadir ialah Encik Tan yang menyatakan dengan pembukaan jalan memudahkan lalu lintas, Encik Chin bersetuju dibuka, kerana dengan dibuka akan merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan itu. Kini kedai-kedai yang ada tidak berdaya maju. Setengahnya langsung tidak menjalankan perniagaan. Encik Ku berpendapat dengan membuka jalan memberi banyak kemudahan, menjimatkan perjalanan dan mengurangkan penggunaan petrol serta menggiatkan ekonomi.

Manakala Haji Mohd Yusof memaklumkan sebelum ini tindakan diambil menuntut jalan dibuka, Tanda tangan penduduk termasuk dari Jalan 6, telah dipungut, seramai 198 penduduk telah menandatangani tuntutan supaya jalan keluar dibuka. Beliau menambah alasan, bahawa dengan membuka jalan keluar mengurangkan kesesakan di Jalan Zamrud dan Jalan Bukit dan memendekkan perjalanan. Seorang penduduk membangkitkan, walaupun jalan tidak dibuka sekarang ini, tetapi ada kalangan penduduk menggunakannya untuk jalan masuk. Cara ini membahayakan, terutama pengguna kereta. Bagi motosikal memang penunggangnya menggunakannya bagi jalan masuk. Sebab itu jalan masuk patut dibuka bagi mengurangkan kemalangan. Pendapat-pendapat yang diutarakan penduduk nampaknya semua setuju dibuka. Dengan persetujuan itu sebuah AJK Bertindak ditubuh. Mereka terdiri dari;


Pengerusi Saudara Chandra
Naib Pengerusi: Saudara Tuan Haji Yusof
Naib Pengerusi: Encik Chen
Setiausaha: Miss Chan
Pen. Setiausaha: Encik Mun Kik
Bendahari: Encik Lim

AJK

Encik Halim
Mr. Siow
Mr. Kok
(Akan ditambah kemudian).

Sekian.

May 26, 2010

Ke Surau Nurul Iman Dan Ziarah Ibu-Ibu Tunggal Dan Pesakit

Surau Nurul Iman, Balakong, 08 Jamadil Akhir = 22 Mei (Sabtu):

Menurut jadual yang disusun oleh Lajnah Kebajikan yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Rushdi, pada petang ini jam 3.00 petang adalah turun ke Balakong – ke kawasan rumah-rumah pangsa di sini. Tempat ini adalah asalnya kawasan penempatan sementara penduduk setinggan. ADNS Bangi masih ingat pada 1999 beberapa kali datang ke sini dengan pemimpin-pemimpin pada masa itu (belum ada Pakatan Rakyat) bagi membela penduduk setinggan yang tinggal digobok-gobok di atas tanah yang berdebu. Hasil dari itu rumah-rumah panjang didirikan bagi penempatan sementara mereka. Kini rumah-rumah panjang digantikan dengan kediaman rasmi dengan rumah-rumah pangsa.


Lawatan ke sini memperlihatkan kesedaran sivik rendah dan kebersihan kawasan tidak dijaga, sampah-sampah berlonggok dan ada beberapa penduduk sengaja melonggokkan sampah untuk dijual, menutup ruang angin masuk ke kediaman mereka. Apabila ditanya, "Tidakkah ada persatuan penduduk yang dapat beri perhatian terhadap kebersihan dan kepentingan penduduk?". Jawab mereka, "tidak ada." ADNS Bangi mengesyorkan agar persatuan penduduk ditubuhkan bagi kepentingan penduduk.

Kehadiran kami hari ini ke sini, atas inisiatif AJK Pas yang juga AJK surau berada di sini seperti Tuan Haji Hasan Basri dan AJKnya. AJK Kebajikan kami di bawa menziarah ibu-ibu tunggal dan pesakit di sini seramai 5 orang, iaitu Puan Rokiah bt Abdul Jalil, Puan Rohani Abdullah, Puan Marianah bt Mohd Yahya, Puan Miah bt. Abu dan pesakit Ahmad Zahid bin Shafie.


Semasa lawatan dibuat rata-rata ibu-ibu tunggal dan pesakit mengadu tentang ketidakmampuan mereka membayar ansuran bulanan rumah mereka yang asalnya berharga di dalam lingkungan RM30,000. Hampir kesemua mereka tertonggak dari segi bayaran. Walau bagaimana dari pertanyaan yang dibuat, mereka mendapat bantuan zakat secara bulanan, tetapi tidaklah dapat menampung keperluan mereka dan terpaksa berusaha mendapat sumbar tambahan yang lain.


Pada umumnya, kebanyakan penduduk di sini yang dulunya berstatus setinggan sejak 1990an hingga kini, walaupun sudah mempunyai rumah, kebanyakan mereka masih tidak dapat melepaskan diri dari belenggu kemiskinan. Tempat ini juga banyak berlaku kes-kes jenayah.

Selepas menziarah dan menyampaikan bantuan, kami ke surau Nurul Iman, tempat awal kami singgah dan kembali untuk menunaikan fardu asar secara berjamaah. Surau Nurul Iman ini agak kecil yang didirikan secara gotong royong penduduk di sini. Sememangnya tidak dapat menampung keperluan penduduk di sini. Tapi inilah menjadi pusat kegiatan penduduk, baik dari segi ibadat dan kemasyarakatan. Tapi surau yang ada ini bermasalah, bumbungnya agak uzur dan sering tiris jika hujan agak lebat. Menurut mereka, mereka tidak mendapat sebarang bantuan baik mendirikan surau atau bantuan kegiatan kemasyarakatan, termasuk mengadakan hari keluarga yang sering diadakan termasuk beberapa minggu dulu yang ADNS Bangi juga turut hadir. ADNS Bangi berjanji akan menyampaikan masalah mereka kepada ADNS Balakong untuk mendapatkan bantuan dan tindakan.

Sekian.

Gotong Royong Di Seksyen 8/30 Dan Melawat Warga Mas

Seksyen 8/30 BBB, 08 J. Akhir = 22 Mei (Sabtu):



Jam 8.30 pagi hari ini ADNS Bangi beserta dengan Saudara Azizi tiba di Seksyen 8/30 BBB menyertai penduduk yang sedang bergotong royong membersih kawasan, memotong pokok-pokok yang perlu dipotong dan mengangkat barangan yang perlu dibuang. Gotong royong mendapat kerjasama pihak Alam Flora, lori-lori turut dibekalkan untuk mengangkut sampah.

ADNS Bangi menemui En. Rashid selaku pengerusi Persatuan Penduduk di sini dan Timbalan Pengerusinya En. Taufik serta En. Sayid Ketua Alam Flora bangi Zon Bangi.
Menurut En. Rashid gotong royong di sini merupakan acara bulanan. Sebagaimana hari ini, biasanya mendapat kerjasama yang baik dari penduduk.


Kegiatan penduduk di sini berasaskan surau. Buat sementara dua buah bangunan dua tingkat berdekatan disewa dan dijadikan surau. Menurut En. Rashid dan En. Taufik, "Kami berhasrat untuk mendirikan surau di atas tanah seluas 0.32 ekar", Menurut En. Rashid, "Tanah ini adalah tapak dewan dan kami harap dapat menukar dan menggunakannya sebagai tapak surau dan usaha sedang dilakukan ke arah itu." Katanya. Beliau mengharapkan ADNS Bangi dapat menolong membantu merealisasikan hasrat penduduk.

Sementara itu ADNS Bangi dibawa menziarah seorang warga mas yang sedang uzur dan aduan dari anaknya Puan Rohana bt. Abdul Rahim berkenaan kesempitan hidup yang sedang dihadapi dan masalah persekolahan anak perempuannya. Menurutnya beliau pernah datang mengadu di Pejabat ADNS. Beliau dan keluarga diambil perhatian oleh penduduk dan sering menyampaikan bantuan. Beliau diberi ruang niaga di jalan masuk tidak jauh dari pondok pengawal dan memerlukan modal untuk menjual barang-barang makanan, termasuk dari ADNS Bangi yang berjanji untuk mempertimbangkan.

May 25, 2010

Kes Jenayah Di Kajang Menurun: Kes Rogol Meningkat

Pejabat Daerah Hulu Langat, 10 J. Akhir = 24 Mei (Isnin):

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah Hulu Langat pada hari ini dimaklumkan oleh wakil Ketua Polis Daerah Kajang yang juga meliputi kawasan Dewan Negeri Selangor Bangi bahawa kes jenayah di dalam kawasan Kajang adalah menurun, walau bagaimana kes rogol adalah meningkat.

Statistik yang dibentangkan adalah sebagaimana berikut:

Tahun Jenis Jenayah Bilangan Peratus Penurunan
Sementara kadar jenayah dari Januari 2010 hingga April 2010 juga menunjukkan penurunan dari 2,299 kes kepada 1832 kes, iaitu penurunan 20.31% (467).
Jumlah jenayah kekerasan juga menurun dari Januari hingga April 2010 dari 660 kes kepada 470, iaitu penurunan sebanyak 27.4% (181).
Jenayah harta benda juga menurun dari Januari - April 2010 daripada 1,639 kepada 1353, iaitu penurunan sebanyak 17.45% (286)

Manakala jenayah rogol pada tahun 2009 sebanyak 20 kes.
Jenayah rogol bagi tahun 2010 sebanyak 31.
Jenayah rogol meningkat sebanyak 55% (11).

Ahli mesyuarat melahirkan kebimbangan bertambahnya masalah sosial dan kerosakan akhlak di kalangan pelajar-pelajar Sekolah, khususnya yang terlebat dengan ponteng Sekolah, masalah sosial, merokok dan jenayah. Semua pihak seperti ibu bapa, guru dan orang ramai digesa sama mengambil tanggungjawab menjadi mata dan telinga bagi membendung masalah berkenaan.

Terima kasih.

Merasmikan Perkhidmatan Bas Di Sungai Ramal Luar & Menyertai Kegtiatan Penduduk

Sungai Ramal Luar, 9 J. Akhir = 23 Mei (Ahad):


Menurut Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Mohd Yusof bin Haji Abdul Kadir penduduk di kawasan Sungai Ramal Luar sudah lama memerlukan perkhidmatan bas, terutama para pekerja, suri rumah ke pasar dan tempat membeli belah, juga anak-anak ke Sekolah dan bagi orang yang mau datang ke Sungai Ramal. Lantaran itu usaha telah dilakukan oleh Ketua Kampong berkenaan dengan Syarikat TNT, Kuala Lumpur yang Sub- Officenya di Taman Teknologi, Kajang.



Maka pada pagi ini ADNS Bangi dengan dihadiri sama oleh Tuan Haji Mohd Yusof, saudara Fuad Setiausaha Pas Sungai Ramal Luar, Dato` Shihabuddin, Encik Fauzi, En. Omar dan ramai penduduk keluar termasuk anak-anak ADNS Bangi merasmi dan melancarkan perkhidmatan bas mini dari Pondok Menunggu Bas (Pondok ini dirasmi oleh ADNS Bangi di Taman Kenari di sini dulu). Selepas itu doa turut dibacakan oleh Tuan Imam. ADNS Bangi turut naik ke atas bas selepas perasmian.

Jalan-jalan yang dilalui perkhidmatan bas mini ialah dari Taman Kenari ke Sungai Ramal Baru, Sungai Ramal Indah, Sungai Ramal Luar, Sungai Chua dan ke Kajang dan berpatah balik. Tambang sekali naik sehala ialah RM1.00. Setakat ini syarikat menyediakan dua buah bas bagi perkhidmatan pergi balik. Syarikat berjanji pada masa akan datang akan menggunakan bas yang baru dan lebih baik dari bas yang ada sekarang. Itu pun jika perkhidmatan bas mendapat pulangan yang menguntungkan. Selepas pelancaran perkhidmatan permulaan dan percuma diadakan. Anak-anak yang bergembira berebut-rebut menaiki bas percuma berkenaan. Diharap perkhidmatan mendapat sambutan dari masyarakat yang tinggal dilaluan yang dilalui bas-bas berkenaan. Adalah diharapkan juga pihak syarikat dapat memberi perkhidmatan yang memuaskan dan mementingkan keselamatan..



Sementara itu sempena lawatan ADNS Bangi le Taman Kenari, pada pagi ini juga diadakan berbagai kegiatan di sini, iaitu Hari Keluarga dan Sukanika penduduk rumah pangsa Blok A. Keriangan tergambar di wajah anak-anak yang mengambil bahagian dalam berbagai-bagai sukan Hari Keluarga dan Sukanika ini. Encik Fauzi Selaku Pengerusi penduduk Blok A, menjemput ADNS Bangi berucap ringkas yang menyatakan kegembiraan terhadap kerjasama penduduk dan mengucapkan syabas terhadap penganjur. Hari Keluarga dan Sukanika yang diadakan sudah pasti dapat mengeratkan hubungan mesra dan kerjasama di antara penduduk, khususnya penduduk di Blok A. Selepas itu ADNS Bangi bersama AJK penduduk meninjau kesesuaian tempat dalam mana pihak penduduk memohon sebuah kavin untuk digunakan oleh persatuan penduduk sebagai pejabat dan operasi mereka.


Selepas bersama-sama menyertai keceryaan anak-anak penduduk Blok A, Taman Kenari ini, ADNS Bangi diiringi Ketua Kampong Haji Mohd Yusof, Saudara Fuad, En. Omar Setiausaha Penduduk Taman Kenari dan AJK yang lain ke Taman Permainan berhampiran Surau Taman Kenari. Di sini pada pagi ini juga diadakan gotong royong membersihkan kawasan yang pada pagi tadi ADNS Bangi difahamkan telah dirasmikan oleh Ahli MPKj En. Narayanan. Pada tengahari ini mereka sedang rehat dan menikmati jamuan yang disediakan. Adalah difahamkan oleh Setiausaha, bahawa program gotong royong sedemikian memang sering diadakan, bahkan boleh dikatakan ianya adalah merupakan program bulanan. Ini bererti penduduk di sini amat prihatin dan mementingkan kebersihan dan kesihatan. Syabas dan tahniah kepada Persatuan Penduduk dan penduduk yang aktif bagi menjaminkan kesejahteraan penduduk.

ADNS turut sama menikmati juadah yang disediakan kepada pekerja-pekerja gotong royong sebelum memohon diri untuk ke program yang lain.

Terima kasih.

May 24, 2010

ADNS Bangi Anjur Pertandingan Bola Sepak Kawasan

Stadium Kajang, 09 J. Akhir = 23 Mei (Ahad):


Buat pertama kali ADNS Bangi menganjurkan pertandingan bola sepak kawasan Serdang. Menurut Saudara Dahari Setiausaha Lajnah Sukan, Empat Hadiah disediakan iaitu RM1,000 bagi johan, RM600 bagi naib johan, RM300 bagi tempat ketiga dan RM150 bagi tempat keempat. Sebanyak 10 pasukan menyertai pertandingan berkenaan.

Pertandingan sehari itu bermula jam 8.30 pagi hari ini bertempat di Stadium Kajang dan berterusan sehingga jam 4.00 petang.

ADNS Bangi berkesempatan menonton pertandingan akhir antara bakal johan dan naib johan. Pertandingan berakhir dengan 0 – 0 dan terpaksa diadakan tendangan gol antara kedua pasukan yang menghasilkan keputusan Pasukan MPKj mengalahkan Pasukan Sungai Besi 2 – 1.


ADNS Bangi sebelum menyampaikan hadiah dan menutup pertandingan berucap ringkas.
Dengan penganjuran pertandingan bola sepak ini menambahkan lagi jenis pertandingan tahunan yang dianjurkan oleh ADNS Bangi. Jenis pertandingan tahunan ialah:

1) Pertandingan kejohanan sepak takraw
2) Pertandingan kejohanan table tennis
3) Pertandingan kejohanan futsal & terbaru
4) Pertandingan kejohanan bola sepak


Antara kemungkinan pertandingan yang bakal dianjurkan ialah pertandingan badminton.

ADNS berharap, pada tahun hadapan akan lebih ramai pemain dan lebih banyak pasukan menyertai pertandingan bola sepak dan juga pertandingan-pertandingan kejohanan yang lain. ADNS juga berharap ada dari kalangan peserta kelak dapat mewakili daerah, negeri dan peringkat Negara.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh ADNS Bangi kepada pemenang-pemenang berikut:

Pemain Perseorangan Terbaik:

Sdr. Muhammad Ramli dari MPKj

Pemenang Pasukan


Johan Pasukan MPKj
Naib Johan Pasukan Sungai Besi
Ketiga Pasukan Sungai Tangkas
Keempat Pasukan Impian Ehsan.

Sekian.

ADNS Bangi Bertindak Menyelesaikan Penutup Longkang Pecah Di Kajang Utama

Kajang Utama, 09 J. Akhir = 23 Mei (Ahad):

Berikut dari aduan rakyat di perumahan Town House di Kajang Utama berhubung dengan longkang rosak membahayakan penduduk di kawasan perumahan berkenaan dan beritanya keluar di dalam sebuah akhbar pada hari semalam dan hari ini, maka pada hari ini juga ADNS bertindak segera mengarah kontrektor membaiki penutup-penutup longkang pecah berkenaan. Peruntukan dari ADNS Bangi digunakan.


Bukan setakat mengarah, tetapi di tengah kesebokan tugas ADNS Bangi yang ketat dengan program pada hari ini, beliau mengambil kesempatan turun melihat pekerja-pekerja sedang membaiki penutup longkang yang pecah tersebut. Turut sama hadir Tuan Haji Abdul Razak bersama pengiring-pengiring.


Sementara itu ADNS Bangi juga dibawa oleh Saudara Abu Bakar dan Azman melihat kemungkinan didirikan 'Pusat Islam' di sini di atas tapak kosong yang dikhaskan untuk surau di sini. Perkara tersebut akan dibincang untuk tindakan lanjut.


Sekian.

May 23, 2010

Dari Konsert Diraja Kepada Convention Centre

UKM, 08 J.Akhir = 22 Mei (Sabtu):

Semasa menghadiri Konsert Diraja di Dectar, sempena 40 tahun UKM, pada malam tadi aku dibariskan antaranya dengan Profesor Diraja Dato' Dr Noramly Muslim dan adiknya Puan Norsham Muslim. Prof. Noramly adalah Bekas Timbalan Naib Canselor UKM sejak UKM ditubuhkan. Beliau juga pernah menjadi Pengasas dan Pengarah Pertama (Pusat Tenaga Atom Tun Dr. Ismail –PUSPATI - Pusat ini beberapa kali ditukar nama). Selain dari itu beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Vienna Atomic Energy oleh Bangsa Bersatu (1985-1993). Manakala adiknya Puan Norsham pula Bekas Ketua Pustakawan UKM 1996 – 2000. Kami berbual-bual banyak perkara, tetapi yang penting ditimbulkan oleh Profesor Noramly kepadaku,



"Kita di Bangi mempunyai ramai intelektual yang tinggal di Bangi. Mereka berkhidmat atau telah berkhidmat di berbagai-bagai universiti dan Pusat-Pusat Penyelidikan di sekitar Bangi, tapi kita merasakan kita tidak mempunyai sebarang tempat untuk bertukar-tukar fikiran, berbincang dan mengadakan persidangan-persidangan ilmiah. Tidakkah Y.B. berusaha supaya diwujudkan di Bangi sebuah pusat semacam 'Convention Centre' untuk kegiatan intelektual?"



Aku merasakan soalan yang ditimbulkan oleh Profesor Noramly amat penting, kataku,
"Perkara ini telah saya timbulkan di dalam pelancaran Bangi Bandar Ilmu oleh Y.A.B. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor di KUIS pada 22.6.2008."
"Habis macam mana ?", Tanya Profesor.
"Yalah perkara ini tidak terhenti setakat itu, kita pernah membuat pertemuan dengan Kontroler PKNS membangkitkan hasrat berkenaan." "Bangi Bandar Ilmu adalah sebahagian dari manifesto kami dan mendapat sokongan sama dari Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi." tambahku.
Kata Prof. Noramly, 'Convention Centre' adalah penting bagi Bangi sebagai kawasan akademik, usaha perlu diteruskan."



Kataku, "Kami bersama Persatuan Penduduk mencadangkan agar Convention Center ini didirikan di tepi Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi, kerana berdekatan dengan Pusat Bandar Bangi dan menjadi tumpuan utama penduduk." Profesor menambah, "Bagus dan wajar disegerakan."



Aku menambah, hasrat mahukan sebuah Convention Centre ini kami teruskan, malangnya dalam pertemuan dengan Kontroler PKNS, perkara yang diulang jawaban ialah tidak mempunyai peruntukan. Perkara ini masih dalam cadangan dan akan diusahakan bagi melaksanakannya.

Puan Norsham Muslim mencelah, "Yalah di Bangi ini tidak ada pusat pertemuan dan perbincangan intelektual. Kami terpaksa ke Kuala Lumpur mengadakan pertemuan di kalangan kelompok intelektual dan perbincangan mengenai buku-buku, terutama buku-buku terbaru." Beliau juga menyokong agar Pusat Perbincangan atau persidangan perlu diadakan. Aku mengakui penting dan akan terus menghidupkan perkara ini melalui pertemuan, perbincangan dan permohonan.

Sememang hasrat utama kita maukan sebuah 'Convention Centre'. Ianya menjadi identiti bagi Bangi yang melaluinya mempromosikan Bangi Bandar Ilmu.

Dalam pada itu kita dimaklumi, oleh kerana kawasan Bangi sudah penuh dengan pembangunan dan tidak banyak lagi tanah yang tinggal untuk dibangunkan, bahawa pihak PKNS akan berpindah ke Cyber Jaya dan bangunan PKNS di Bandar Baru Bangi akan disewakan.

Kita berpendapat, oleh kerana hasrat mendapatkan sebuah Convention Centre belum menjadi kenyataan, maka kita mencadangkan bangunan PKNS yang akan ditinggalkan ditukar dan diubahsuai kepada bangunan Convention Centre, sesuai dengan kedudukannya yang central di Bandar Baru Bangi. Bangunan ini hendaklah beridentitikan ilmu seperti bahagian bawah menjadi pusat jualan buku dan perniagaan yang berhubung dengan ilmu, bahagian atas pusat pameran dengan sebahagian sebagai kedai makan, manakala tingkat tiga ke lima sebagai pusat-pusat diskusi, kuliah, ceramah dan persidangan. Pusat ini perlu ditadbir oleh mereka yang pakar, terlatih dan pencinta ilmu. Pihak Kerajaan, khususnya PKNS jangan memikirkan faktor komersil sahaja, tapi utamakan juga kepentingan ilmu, peradaban dan tamadun, khususnya di Bangi.

Kita berharap pihak Negeri, terutama Y.A.B. Tan Sri Dato' Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor dapat menyetujui dan melulusakan hasrat penduduk Bandar Baru Bangi. Kita juga berharap pihak PKNS menyokong cadangan ini. Perkara ini akan diketengahkan kepada pihak-pihak berkenaan secara rasmi – Insya Allah.

Sekian.

Kerajaan Selangor Prihatin Kepada Rakyat

Seksyen 3, BBB, 08 J. Akhir = 22 Mei (Sabtu):


Konsep Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor diteruskan dengan pagi hari ini Majlis Penyampaian Skim Mesra Usia Emas (SMUE) diadakan di Balai Komuniti, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi dengan 90 orang penerima dijemput hadir ke Balai Komuniti berkenaan. Mereka adalah dari kawasan Dewan Negeri Selangor (DNS) Bangi, Kajang, Dusun Tua dan Semenyih. Turut hadir ke Majlis hari ini ialah Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar ADNS Bangi, Y.B. Encik Lee Kim Sin ADNS Kajang, Puan Laraasshy binti Hassan, Ketua Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat yang mewakili Tuan Pegawai Daerah, Puan Zuryati Yassin Ketua Muslimat Pas Serdang, Tuan Haji Mohd. Yusof bin Abdul Kadir, Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan pewaris-pewaris yang menerima SKIM SMUE.


ADNS Bangi di dalam ucapannya memaklumkan tentang prihatin Kerajaan Selangor, pada hari ini saja Kerajaan mengeluarkan bantuan sebanyak RM1,500 x 90 = RM135,000/=. Jumlah ini merupakan sebahgian dari peruntukan bagi SMUE yang telah dikeluarkan.


Di bawah diperturunkan peruntukan Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor

Jenis Jumlah Penerima Faedah Tarikh

1. SMUE RM30 juta 12,000 orang Mei 2010

2. TAWAS RM1.242 juta 12,420 orang 28 Feb 2010

3. Air Percuma RM200.7 juta 1.16 juta penduduk Dis. 2009

4. Masuk IPT RM 9.6 juta 9,600 orang 2010

5. Pekerja Ladang RM1.42 juta

6. OSCC (One Stop Centre) RM0.5 juta

7. Micro Credit RM 50 juta

8. Pinjaman Pelajaran RM80 juta.


ADNS Bangi menyebut setakat ini kerajaan Negeri Selangor dapat memungut hutang dari Syarikat Talam sebanyak RM50 juta dari jumlah hutang semua berjumlah RM300 juta. Jumlah RM50 juta ini digunakan bagi Micro Credit di atas. Banyak lagi syarikat yang berhutang (10 syarikat) dengan jumlah lebih kurang sama dengan negeri Selangor. Hutang ini bila dipungut akan digunakan untuk rakyat.


ADNS Bangi juga menyebut Kerajaan Negeri Selangor berusaha mendapatkan kembali Syarikatr Air dari pihak Swasta Syabas. Kerana harga di bawah syarikat swasta adalah tinggi. Bandingkan Air di bawah tadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang:

Kerajaan Negeri Pulau Pinang harga air bagi satu meter padu 36 sen
Di bawah Syabas – Swasta di Selangor bagi satu meter padu RM1.20


Kerajaan Negeri Selangor akan berusaha lagi mendapat sumber-sumber kewangan untuk dinikmati rakyat. Ini adalah jasa dan khidmat kerajaan Negeri Selangor kepada rakyat. Rakyat akan berterusan menikmati faedah-faedah di atas dan yang lain-lain yang akan diusahakan sekiranya rakyat terus menyokong Kerajaan Pakatan Rakyat. Sebab itu sokonglah Kerajaan Pakatan Rakyat agar faedah-faedah di atas dapat terus dinikmati rakyat.

Sekian.