BBB, 06
Rabiul Akhir 1436 = 27 Februari 2015 (Jumaat):
`Kreativiti dan Inovasi`
Kreativiti dan inovasi adalah penting dan
merupakan elemen di dalam skema Takmilah. Kreativiti ialah sesuatu penghasilan
oleh pengkarya hasil dari idea segar dan sentuhan seni berinovasi – meneroka, dalam penghasilan dan
mempunyai kelainan dari yang lain secara kreatif. Penghasilan seperti
penggubahan sebuah puisi, sebuah rekabentuk bangunan, rekacipta kenderaan, sebuah
lagu nasyid dan sebagainya yang masing-masing mempunyai kelainan berciri dan
beridentiti sendiri.
Elemen yang penting, ialah pengkarya,
mempunyai idea yang segar dan penghasilan yang kreatif.
Apakah hasil kreatif dapat dikatakan sebagai
asli, tiruan atau baru ?
Pada hakikatnya manusia tidak dapat mengadakan
sesuatu lain dari yang telah ada. Apa
yang dilakukan bukan tiruan per se. tapi ialah perubahan, penyimpangan,
pembentukan dan penglahiran kembali melalui daya kreatif dan inovasi sehingga
ia merupakan sesuatu yang baharu dan lebih baik.
Dari dahulu hingga kini perubahan dari yang
bersifat tabi`i ialah hasil dari sentuhan manusia terhadap alamiah tabi`i ini
melalui jasmani, akli, qalbi dan rohani. Sentuhan (penggunaan) adalah akibat
dari keperluan dan desakan yang mengubah tabi`i dan asli seperti mengubah
batang kayu kepada tiang dan lantai, kulit kayu kepada dinding dan daun kepada
atap yang menjadikannya apa yang dipanggil `pondok` bagi kediaman. Menyebut
tentang sentuhan jasmani di atas, sebenarnya turut melibatkan akli dan qalbi
yang ramuannya menghasilkan sesuatu yang kreatif `pondok`. Penghasilan pondok
bukan diambil dari bahan yang luar dari yang sedia ada, iaitu sesuatu yang
sedia ada – pokok dari hutan. Desakan alami ialah keperluan dan timbulnya
ikhtiar untuk mendapat lindungan dan keselamatan dengan menggunakan elemen yang
ada yang paling dekat ialah pokok. Elemen akli sebenarnya bergerak bersama
desakan keperluan dan ikhtiar dan dalam masa pembinaan bergerak sama elemen
sentuhan akli dan qalbi yang menghasilkan sebuah hasil seni. Contoh dapat
dilihat juga idea yang lebih maju misalnya apabila dapat mengira batang-batang
kayu dengan angka yang lebih memudahkan pengurusan. Pola yang sama berlaku di
dalam kehidupan moden berhubung dengan penghasilan barang-barang, rekacipta,
gubahan-gubahan dan sebagainya.
Pergerakan kemajuan manusia sebenarnya amat
lambat, walaupun ada banyak keperluan-keperluan. Masalahnya sukar mendapat
mereka yang berakli dan kreatif untuk mendepani yang lain bagi menghasilkan
sesuatu yang baru. Apa yang biasa ialah meniru dan meneruskan apa yang ada.
Misalnya di dalam satu masyarakat komuniti kampung yang mempunyai budaya dan
pola kehidupan sudah diwarisi dan menjadi budaya turun menurun, mereka
meneruskan kehidupan dengan mengikut dan meniru pola kehidupan dan budaya yang
sedia ada. Misalnya bila membina rumah mereka mengikut binaan rumah yang sedia
ada di dalam masyarakat – rumah kayu berumah ibu ada kelek, rumah dapur, anjung
atau selasar dan sedikit halaman di hadapan rumah. Mereka bertani mengikut
kaedah pertanian yang diwarisi atau menjadi nelayan yang diwarisi. Jadi
kehidupan adalah berterusan streotaip.
Perubahan kehidupan kepada yang lebih baik
bila ada agen-agen perubahan. Misalnya ada anak kariah keluar dan mendapat
pendedahan baru melalui pendidikan, perusahaan dan cara hidup baru yang dibawa
balik ke kampung dan dia menjadi salah satu agen perubahan. Atau dia berada di
luar dan menerima perubahan yang lebih positif. Sifat statik dan maju dapat
dibanding antara kampung yang tidak banyak berubah dengan bandar yang banyak
mempunyai agen perubahan - kemajuan.
Point yang hendak ditekankan tidak banyak yang
muncul dalam masyarakat yang membawa idea bernas dan bersifat kreatif yang
boleh membawa kepada kemajuan. Ini sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan
budaya pendidikan yang diamalkan. Pendidikan ialah perulangan penyampaian
persis apa yang telah diajar dan disampaikan sebelumnya dan mengeluarkan
lulusan yang sama polanya dengan apa yang telah dikeluarkan sebelumnya dan
kelulusan sama ada pada peringkat universiti atau lebih rendah dari itu akan
keluar melamar pekerjaan yang layak baginya dan mereruskan cara dan gaya kerja
yang telah dilalui oleh mereka yang sebelumnya.
Tidak ada penampilan idea dan kreativiti yang membawa perubahan kepada
yang lebih positif. Idea dan jiwa kreatif adalah pasangan yang penting bagi
mencetuskan sesuatu pendapat yang bernas dan kreatif dan berinovatif dengan
pengiktirafan diberi kepada yang berkenaan.
Apa yang merugikan ialah pengasingan yang
mempunyai kemampuan idea tinggi kepada aliran sains, sedang yang lain kepada
aliran sastera dan yang lain termasuk agama dan teknikal. Pelajar yang tinggi
fikiran (sains) berkembang tanpa disertai kemampuan kreatif, sebab itu mereka
walaupun lulus dengan baik, tetapi tidak mempunyai daya kreatif. Mereka
sebenarnya meneruskan pola pekerjaan sebagaimana mereka yang terdahulu dan
kering dari daya kreativiti. Begitu juga dialirkan kepada bidang yang lain dari
sains, ada pengajaran yang berdaya kreatif, tetapi tidak berdaya mencetuskan
kebernasan idea, maka kelompok ini juga meneruskan pola pekerjaan dan kehidupan
sebagai penerusan budaya semasa yang didukung.
Kreativiti adalah penting bagi pengkarya
sebagaimana dilihat di dalam skema Takmilah, bahkan ianya dilihat sebagai
`Tiang Seri` di dalam skema Takmilah yang sama bergerak dengan dokongan elemen
akliah secara bertahap dan berperingkat kepada piawayan tertinggi dan bersatu
pada puncaknya. Elemen ini penting dan perlu diaplikasikan di dalam bidang
pendidikan, pentadbiran, industri, bahkan di dalam semua bidang.
Adalah sesuatu yang ideal mengharapkan semua
pihak beridea bernas dan berdaya kreatif, tetapi jika pendidikan dapat
melahirkan 10% keluaran pengajian beridea bernas dan berkreatif sudah cukup
untuk membawa perubahan. Mereka sering mencetuskan idea segar berdaya kreatif
dan inovatif sejajar dengan negara-negara yang rakyatnya terkenal beridea
bernas, berdaya kreatif dan inovatif.
Sekian.