April 30, 2015

Hudaibiyah Tanah Barakah-Bersejarah. Perjanjian Pembuka Jalan Kepada Pembukaan Kota Makkah


Hudaibiyah. 25 Jamadil Akhir 1436 = 15 April 2015 (Rabu):
Tanah Hudaibiyah adalah tanah padang pasir yang agak luas dan terbuka dengan terdapat di sana sini pokok-pokok kurma dan pokok-pokok yang tahan panas. Di kejauhan bukit bukau bergondol. Semasa masuk menuju ke Masjid Hudaibiyah dalam imaginasi Penulis terbayang Rasulullah s.a.w. bersama sahabat-sahabat dan pengiring-pengiring berjumlah ribuan orang berhimpun di sini, sambil menunggu kepulangan perutusan mewakli Rasulullah ke Makkah untuk mendapat keputusan dan kebenaran mengunjungi Baitullahil Haram bagi menunaikan umrah.
Destinasi di Hudaibiyah ini ialah Masjid al-Hudaibiyah. Masjid al-Hudaibiyah kini, ialah bangunn yang baru yang ciri seni binanya seperti Masjid Quba`, Ja`ranah dan Tan`im yang ketiga-tiga menjadi miqat bagi menunaikan umrah. Seni bina Masjid Hudabiyah dari segi bangunannya mengambil seni bini Masjid Nabawi dan juga Masjidil Haram. Menara bagi semua masjid berkenaan adalah mengambil bentuk menara-menara Masjid Nabawi dan menara-menara Masjidil Haram.


Apabila rombongan jamaah tiba ke lokasi, selain dari menuju kepada Masjid al-Hudaybiyah, Penulis tertarik kepada runtuhan Masjid al-Hudaybiyah yang lama tidak jauh dari Masjid al-Hudaibiyah yang baru yang kesan dari runtuhan purba ini dikekalkan sebagai  monumen purba yang pernah diguna oleh Rasulullah s.a.w. para sahabat dan pengikut-pengikut. Penulis terlebih dahulu menyaksi runtuhan masjid ini dari pergi ke Masjid al-Hudaibiyah. Kehadiran adalah tiada tekanan, kami datang menziarah dan tidak berumrah, sebaliknya ke masjid bagi solat sunat tahiyyatul Masjid dan solat duha.
Di dalam runtuhan bangunan purba ini (masjid) terdapat beberapa bilik dan ruang terbuka bagi Jamaah. Mungkin kelokasi dan bangunan yang menjadi persinggahan dan rundingan. Pada bulan Zulkaedah akhir tahun ke 6 H. Rasulullh mengumumkan akan menunaika umrah. Kalangan sahabat muhajirin dan Ansar ramai mau menyertai iaitu sejumlah 1,400 orang lelaki dengan membawa 70 ekor unta. Turut dibawa senjata (tanpa memakainya). Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat bermiqat di Zulhulaifah (Bi`r Ali) berniat umrah dalam rangka menuju ke Makkah. Berita Nabi Muhammad dan pengikut-pengikut mau menunaikan `Umrah sampai kepada kaum Quraisy, mereka tidak membenarkan dan rombongan tertahan di Hudaibiyah.


Pihak Rasulullah menghantar perutusan ke Makkah bagi merundingkan kedudukan. Namun perutusan yang diketuai oleh Sayyiduna `Uthman bin Affan tidak muncul kembali, sebaliknya timbul khabar angin, bahawa Sayyiduna `Uthman dibunuh. Dengan tindakan pihak Quraysy ini Nabi mengisytiharkan perang. Semua pemimpin dan pengikut-pengikut membai`ah Rasulullah s.a.w dan bergerak menuju ke Makkah. Berita pergerakan tentera pasukan Islam menuju ke Makkah bagi menuntut bela ini sampai kepada pemimpim Quraisy menimbulkan kegerunan di hati pemimpin Qurayisy seperti Abu Sufyan dan memaklumkan Sayyiduna Uthman tidak dibunuh, tetapi ada didalam jagaan   mereka.   dan menghantar perwakilan untuk berunding dan membuat perjanjian. Pihak Quraisy menghantar perutusan diketua Suhayl bin `Amru. Di dalam  rundingan  dicapi. Antaranya:
1)      Gencatan senjata hendaklah berlangsung selama 10 tahun.
2)      Sesiapa datang dari Makkah ke Madinah, tanpa izin ibu bapanya hendaklah dihantar kembalj
3)      Sesiapa datang dari Madinah masuk ke Makkah, tidak dibenarkan keluar.
4)      Bagi yang lain dari Makkah dan Madinah bebas keluar masuk Makkah dan Madinah
5)      Rsulullah tidak dibenarkan menunaikan haji pada tahun ini, tetapi boleh menunaikannya pada tahun depan, tetapi dalam tempoh tiga hari sahaja.
Perjanjian ini menyebabkan ramai sahabat tidak bersetuju, termasuk Sayyidua Umar bin al-Khattab dan menyifatkan perjanjian sebagai berat sebelah. Namun Rasulullah mengetahui sifat seterunya yang munafik, tidak berpegang teguh pada janji. Dan perkara ini memang terjadi apabila berlakunya beberapa pertikaian kaum dan puak membuat pihak Quraisy melanggar perjanjian yang membuka jalan bagi tentera Islam masuk ke Makkah pada tahun 8H/629M. Nabi Muhammad s.a.w. dengan satu ketiumbukan tentera seramai 10,000  tentera masuk ke Makkah. Ini menggerunkan pihak musuh termasuk Abu Sufyan yang terpaksa menerima Islam.


Penduduk Makkah berada di dalam panik melihat tentera Islam yang datang dan menjangka mereka akan mengambil tindakan membalas dendam, tetapi jangkaan mereka meleset, sebaliknya keamanan ditawarkan kepada mereka. Muamalah dan diplomasi yang ditunjukkan oleh Nabi dan tentera Islam    memukau mereka dan lebih menyegerakan mereka menerima Islam. Dengan itu sekatan yang dilakukan oleh kafir Quraysy dari menunaikan umrah dan haji terungkai dengan sendiri. Ayat Al-Qur`an mengisyaratkan peristiwa bermaksud:
``Sesungguhnya Allah membenarkan kepada Rasulnya dengan mimpinya dengan kebenaran. Selagi mereka akan masuk ke Masjidil Haram insya Allah dengan aman tenteram dengan  menyukur kepala dan mengguntingkan rambut mereka dalam keadaan tiada ketakutan. Allah Mengetahui apa yang kamu tidak mengetahui. Dia menyediakan pembukaan yang hampir.`` (Al-Fath: 27)
Perjanjian Hudaibiyah merupakan peristiwa penting selepas Hijrah al-Rasul s.a.w. Tujuan asal untuk umrah membuka jalan kepada Perjanjian Hudaibiyah dan perjanjian ini pula membuka jalan kepada Fath Makkah yang menyempurnakan dakwah Islam di kedua-dua Tanah Suci dan melepaskan Makkah dari cengkaman kafir Quraisy. Pembukaan Makkah menghancurkan keegoan kafir Quraisy yang selama ini mempertahankan kedudukan mereka atas dasar taassub kepimpinan yang diwarisi dari zaman Jahiliyyah. Mereka sedar tentang kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Dengan pembukaan Makkah tiada ada apa yang dapat mereka pertahankan, bahkan kepimpinan mereka, khususnya Abu Sufyan yang selama ini merupakan musuh ketat Islam turut menerima Islam.
Kesan sejarah Kota Hudaibiyah masih wujud yang merupakan penyaksi Perjanjian Hudaibiyah yang membawa kepada pembukaan Kota Makkah, namun pada satu pihak Hudaibiyah sendiri sedang membangun dengan bertambahnya kawasan kependudukan dan kediaman. Di samping kepesatan pembangunan kota ini terus menjadi destinasi kunjungan bagi yang mau melihat kesan sejarah penting yang dilalui Rasulullah s.a.w. di samping menjadi salah satu miqat bagi mereka yang menunaikan haji, maupun umrah.

Sekian.                                                   

April 29, 2015

Melawat Dua Buah Muzium Di Madinah


Madinah al-Munawwarah,   19 & 25 Jamadil Akhir 1436 = 9 & 15 April 2015: 
Tanggapan Penulis selama ini, bahawa Kerajaan yang menjaga `Tanah Suci` memang mengambil sikap dan polisi tidak memberi perhatian terhadap monumen-monumen sejarah dan permuziuman di negara tersebut agar bahan-bahan sejarah dan monumen-monomen berkenaan tidak menjadi alat dan bahan-bahan pemujaan yang boleh membawa kepada pendewaan dan syirik. Sebenarnya Madinah dan Makkah penuh dengan bahan-bahan sejarah dan permuziuman – termasuklah tapak-tapak dan monumen, tetapi tidak diangkat kepada bahan-bahan sejarah dan permuziuman secara professional, sebaliknya dibiarkan begitu bersahaja. Banyak tempat yang boleh disebutkan seperti Tanah Perkuburan Baqi`, Tanah Perkuburan al-Syahid Sayyiduna Hamzah dan para syuhada` yang gugur di medan peperangan Uhud dan banyak tempat lagi yang mana Madinah dan Makkah adalah `Tanah Sejarah` dan banyak monumen. Bagi pemerintah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sudah cukup bagi umat Islam datang menunaikan ibadat dan menziarah. Lantaran itu tempat-tempat sejarah, walaupun tidak diabaikan, tetap tempat-tempat berkenaan tidak diberi sanjungan apa lagi pemujaan.  


Walau bagaimana terdapat dua muzium di Madinah yang disifatkan sebagai sederhana, sekurang-kurang sebuah daripadanya agak berlainan dari muzium yang difahami selama ini. Sebuah dari muzium berkenaan terletak pada bahagian kanan di luar daripada  kawasan Masjid Nabawi. Bangunan bertingkat ini agak tua dan memanjang di tepi Masjid Nabawi. Penulis berkesempatran menziarah muzium berkenaan  selepas menunaikan solat Asar berjamaah di Masjid Nabawi dan mengambil kesempatan menziarah. Muzium ini dikenali sebagai Muzium Rasulullah yang sebenarnya mempamerkan  keagungan dan keluasan makna Al-Asma` Al-Husna` (99 nama). Tiap kalimat nama diberi huraian dan tafsiran dengan ayat-ayat al-Qur`an dan gambar-gambar yang releven. Contoh Allah menurunkan hujan digambarkan hujan, langit, gambaran air laut dan tumbuh-tumbuhan yang berbagai-bagai lagi. Dapatlah dikatakan gambaran bersifat saintifik  dan artistik. Turut dipamerkan khat-khat yang berhubung dengan ayat-ayat berkenaan seterusnya bagi seluruh nama bag Al-Asma` al-Husna. Walau bagaimana muzium berkenaan banyak dengan gambar-gambar dan khat-khat, tetapi tiada artifek-artifek bagi mengukuhkan pameran. Pendekatan ini adalah merupakan pendekatan yang disengajakan, namun dapat dikatakan kurang mendapat kunjungan pengunjung.


Walau bagaimana sebuah lagi muzium yang Penulis berkesempatan berkunjung ialah  tatkala mengikuti rombongn jamaah secara santai pada 15 April 2015. Pada hari ini ialah merupakan hari pilihan bagi peserta untuk mengikuti ke luar dengan membayar sejumlah bayaran bagi perjalanan dan makan minum. Penulis sekeluarga turut sama dengan rombongan kegiatan luar. Sebahagian kecil mengambil kesempatan menunaikan umrah dari kawasan Hudaibiyyah dengan bermiqat dari sini dan jamaah berkenaan meneruskan amalan umrah secara kumpulan atau secara berseorangan. Hudaibiyah menjadi lokasi menarik. Pertama ialah kerana di sini berlangsung Perjanjian Hudibiayah (7H.) antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan pembesar Quraysy yang dari perjanjian ini membawa kepada pembukaan Makkah pada tahun berikutnya. Keduanya wujud Muzium Al-Haramayn yang merupakan muzium yang teratur dan menarik dan mempunyai barang-barang pameran dan artifek-artifek yang menarik.   Muzium ini dibina di satu kawasan khas dan kami singgah dalam rangka melawat ke Al-Hudaybiyah. Muzium adalah sederhana besar, satu tingkat. Di dalamnya sebagaimana namanya Muzium al-Haramayn adalah menyimpan bahan-bahan lama yang berhubung dengan dua Tanah Haram, iaitu Makkah dan Madinah. Lebih tepat dikatakan bahan-bahan yang berhubung dengan Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi. Semasa lawatan pengunjung-pengunjung dibenar mengambil gambar. Muzium ini merupakan lokasi popular bagi ziarah seperti ziarah Maqam Sayyiduna Hamzah dan Arafah. Kenderaan memenuhi kawasan dan pengunjung begitu ramai yang datang. Antara tarikan utama yang dipamerkan di tengah ruang ialah gambar Masjidil Haram sebelum berlaku pembangunan dan perubahan yang berlaku sekarang. Dipamer juga pintu Masjidil Haram yang lama. Khat yang berhubung dengan ayat  `Al-Hamdulillahi Rabbil alamin, ukiran kayu yang digunakan bagi pemasangan bahagian atas tiang,


Antara koleksi lain  berhubung dengan Masjidil Haram ialah seperti gambar telaga zam-zam yang terletak di tengah bangunan. Telaga berbentuk bulat dipagari dengan tembok keliling dan jeriji besi pada bahagian atas. Pada bahagian atas ialah timba yang diguna bagi mengambil dan mengeluarkan air zam zam. Terdapat sebuah batu Bersurat yang dikirim oleh seorang pemerintah Islam kepada pihak berkuasa yang menguasai Masjidil Haram pada masa itu, terdapat juga salinan naskhah Al-Qur`an pada zaman Sayyiduna Uthman yang terkenal dengan Mushaf `Uthman. Walaupun tulisan adalah terang dan jelas, agak sukar juga bagi membaca dan memahami  Mushaf Sayyiduna `Uthman.  Terdapat juga `shajarah` berhubung dengan keturunan Rasulullah s.a.w. yang merupakan nasab yang paling mulia. Terdapat juga tiang dan bahagian rawdah di Masjid Nabawi yang lama dipindahkan ke sini setelah diganti dengan yang baharu, begitu juga dengan mimbar Masjid Madinah yang lama yang agak tinggi dan banyak anak tanggi bagi menaikinya melalui pintu gerbang kecil sebelum dapat naik ke atas. Gambar Masjid Nabawi yang popular ialah yang pada bahagian atasnya berkubah hijau yang kubah ini masih dipertahankan di Masjid Nabawi. Pendek kata Muzium al-Haramayn menarik ramai pengunjung. Walau bagaimana sebagai sebuah Muzium al-Haramayn muzium agak kecil dan bahan-bahan koleksi juga agak terhad dan lebih merupakan bahan-bahan baru. Sebagaimana termaklum, bahan-bahan pameran yang berhubung dengan Dua Haramayn ini telah banyak dipindahkan ke Turki pada masa kerajaan Khalifah Uthmaniyyah memerintah negara Islam. Bahan-bahan berkenaan masih tersimpan di Muzium di Istanbul Turki. Walau bagaimana Muzium al-Haramain ini adalah antara yang  terbaik dan boleh ditingkatkan lagi dari segi bahan dan persembahan. Melalui pameran adalah merupakan cara terbaik bagi mendidik dan menyampaikan maklumat kepada pengunjung tentang perkembangan Islam. Pada masa melawat muzium ini, penulis tercari-cari sekiranya terdapat buku atau katelog yang menerangkan tentang koleksi di muzium ini. Pada pendapat Penulis wajar disediakan buku katelog yang dapat dijadikan panduan bagi memahami bahan-bahan yng ada di muzium dan boleh dibeli oleh pengunjung, Bukan setakat itu sahaja, bahkan muzium perlu banyak menyediakan dan menjual buku-buku yang berhubung dengan dua Tanah Suci, bahkan buku yang berhubung dengan sejarah dan keterangan berhubung dengan Islam.
Sebagaimana disebut Muzium Al-Haramayn ini terletak antara Bandar Madinatul Rasul ke Hudaibiyah, selepas menikmati pameran di Muzium al-Haramayn, kami bertolak ke Hudaibiyah yang merupakan  lokasi yang mencetus perjanjian penting antara Rasulullah dengan pemimpin Quraisy Makkah. Perjanjian Hudaybiyah membuka jalan ke arah pembukaan Kota Makkah.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                       

April 28, 2015

Selang Seli Umrah, Tawaf Dan Ziarah


Makkah al-Mukarramah. 22-28 Jamadil Akhir 1436 = 12-18 April 2015:


Berada di Makkah, sebagaimana juga semasa berada di Madinah dalam masa yang tidak sampai seminggu pada setiap tempat, maka di dalam masa terhad ini rasanya ingin mengisi dengan kegiatan terbaik dengan ingatan ini mungkin adalah peluang terakhir dapat menziarah ke dua-dua Tanah Suci ini. Lantaran itu adalah menjadi hasrat bagi menggunakan sebanyak masa beribadat di masjid. Jika pulang ke penginapan adalah tujuan membersih diri, menukar pakaian dan makan. Walau macam mengingatkan diri sudah lanjut usia perlu menjaga kesihatan. Perlu mengganti masa berjaga dengan tidur ganti terutama selepas makan pagi sehingga menjelang zohor. Sebenarnya adalah menjadi hasrat untuk berada di masjid dalam tempoh yang lama, misalnya dari jam  3.00 – 6.00 pagi atau waktu dari jam 6.00-10.00 malam, tetapi keadaan diri yang sudah lanjut usia perlu ke bilik air (tandas) dalam tempoh tertentu. Bila ke tandas bererti meninggalkan ruang yang sedia ada dan bila datang sudah tidak ada tempat dan mungkin terpisah dari keluarga dan dibimbangi sesat.
Tumpuan tidaklah terhadap solat di masjid sahaja, kedatangan adalah bertujuan utama ialah untuk menunaikan umrah, di samping ziarah. Pihak penganjur (Andalusia) sebenarnya lebih dari mahir di dalam mengatur jadual bagi umrah dan juga ziarah dan menjangka kemampuan ahli-ahli jamaah mengikutinya, terutama bagi umrah, ziarah dan program tambahan yang lain. Program umrah yang diatur secara rasmi ialah tiga kali. Pertama adalah Umrah Wajib bagi mereka yang belum pernah datang sama ada umrah atau Haji. Amalan umrah ini telah dilakukan sejak dari 12 April (dari Madinah) dan selesai ke pagi esoknya dengan berkesempatan berimam solat Subuh bersama imam di Masjidil Haram. Dalam masa enam hari para jamaah disusun dalam program melakukan umrah dibimbing mutawwif sebanyak 3 kali dengan ekstra tambahan melakukan umrah ketika melawat Hudaibiyah. Peserta boleh bermiqat berniat umrah dari sana dan bila pulang ke Masjid al-Haram akan meneruskan ibadat umrah secara bersendirian, sama ada dengan teman sekumpulan atau keluarga atau sendirian sahaja. Sebagai peserta Penulis dan keluarga memenuhi program umrah yang dianjur oleh pihak syarikat secara berselang seli, iaitu sehari selepas Umrah pertama turut mengikuti umrah kedua apabila pihak rombongan membawa jamaah ke miqat kedua, iaitu di Ja`ranah pada 14 April dan umrah ketiga pada 16 April apabila jamaah dibawa bermiqat di Tan`im. Melakukan amalan umrah yang dipimpin oleh mutawwif berpengalaman adalah licin dan tiada masalah. Sebenarnya sebagaiman disebutkan bahawa pihak penganjur memberi peluang jamaah menunaikan Umrah tambahan apabila pada 15 April diadakan program tambahan dalam mana peserta ditawarkan penyertaan lawatan ke Hudaybiah pada 15 April dengan sedikit bayaran tambahan. Tidak semua jamaah di bawah penganjur turut serta dan yang turut serta ada yang mengambil kesempatan membuat umrah tambahan dan lebih ramai menyertai lawatan tanpa melakukan Umrah. Penulis tiga beranak juga memilih menyertai sebagai lawatan bagi meninjau kedudukan tempat (Penulis belum datang ke sini pada kunjungan-kunjugan yang lepas) dan kehadiran juga bagi menyaksikan bangunan-bangunan, khususnya Masjid Hudaibiyah itu sendiri.


Sebenarnya dengan usia yang sudah agak lanjut, faktor tenaga dan kesihatan adalah menjadi perkiraan. Dengan selang sehari Umrah sudah sesuai dengan tenaga yang ada, kerana setiap umrah memerlukan tenaga untuk berjalan. Berjalan dari miqat, berjalan ketika tawaf dalam keadaan bersesakan dan puncak berjalan ketika bershair antara Safa dan Maruah yang perjalanan di sini saja memakan jarak sejauh 3 kilometer. Orang berumur melebihi 70an tentulah kekurangan tenaga dan perlu azam yang kuat bagi menyelesaikannya. Keadaan yang dialami kini – dari segi kecergasan amat jauh berbeza dari kehadiran-kehdiran Penulis pada 1985 dan 1994 dalam mana pada kehadiran tersebut tubuh masih lagi kuat umrah dilakukan seturut hari dan kadang-kadang lebih dari sekali sehari. Pemergian dilakukan sendiri sama ada dengan bas atau menyewa kenderaan.


Pengisian masa, walaupun tidak begitu kerap melakukan Umrah, tetapi hari berselang yang tidak dilakukan Umrah diisi dengan bertawaf di Ka`abah sekali bagi hari berselang yang tidak ada aktiviti umrah. Pada hari tidak melakukan umrah sebenarnya dapat digunakan untuk memulihkan otot-otot seperti kejang betis dan sakit pada tapak-tapak kaki, antaranya pecah dan pedih bila berpijak.
Berbanding antara kunjungan secara berpekej dan secara di bawah muassasah Tabung Haji – Sebelum dari itu tidak ada istilah muassasah, tetapi sebagai jamaah Tabung Haji jauh berbeza. Cabaran dan pengalaman serta ujian jauh kental dan mencabar. Kehadiran 1985 tinggal secara berkumpulan di dalam ruang yang bila tidur mengatur tubuh dan kepala sahaja, kerana kesempitan ruang. Keadaan yang sama bagi jamaah perempuan yang diasingkan. Air pula sering tidak cukup. Air dibekal lori dari masa ke masa. Rasa airnya payau. Kami membuat giliran memasak dan membeli barang-barang dari pasar. Berbagai gaya masakan dapat dirasa dari kumpulan jamaah biasanya dari berbagai negeri. Kehadiran pada 1994 adalah sedikit lebih baik, dan tidak sesesak 1985. Makan juga secara ramai-ramai, tetapi tidaklah dimasak sendiri, tapi dengan mengupah tukang masak yang menghantar makanan setiap masa.
Ini jauh beza dengan kehadiranb secara berpekej dan bukan musim haji. Tinggal di hotel yang dekat dengan masjid baik di Madinah (Al-Mubarak Perak) atau di Makkah (Hilton Makkah). Paling dekat dengan masjid, turun saja sudah di laman masjid, bahkan bila kelewatan dapat saja bersolat dianjung hotel yang dikira sebagai bahagian dari masjid. Pendek kata terlalu banyak kemudahan dan kurang cabaran. Cabaran lebih kepada keadaan diri. Misalnya keuzuran-keuzuran yang diakibatkan oleh usia. Kadang-kadang terasa kehadiran sebagai `Pelancongan Ibadah` oleh kerana banyak kemudahan-kemudahan yang dinikmati, baik dari segi pengangkutan, penginapan, makan minum dan mengikuti bimbingan dari mutawwif sehingga terasa begitu mudah dan kurang kesungguhan datang dari diri sendiri. Lantaran itu kurang dapat menikmati kemanisan dugaan yang dihadapi diri kletika menghadapi cabaran-cabaran. Walau bagaimana dengan kemudahan-kemudahan yang ada banyak memberi manfaat kepada mereka yang lanjut usia dan uzur. Dengan kemudahan yang ada memudahkan mereka yang tidak ada kemudahan berkenaan, jika tidak sukar bagi mereka untuk datang berumrah dan ziarah. Perbandingan yang dibuat tidak sangat tepat, kehadiran bagi menunaikan haji agak berbeza dari kehadiran luar musim haji, iaitu bagi tujuan umrah sahaja. Walau bagaimana cabaran dan kesusahan yang dilalui dalam kunjungan lebih manis dan berkesan berbanding dengan kehadiran secara agak mewah dan mudah.

Sekian.

April 27, 2015

Masjidil Haram Masjid Teragung Umat Islam


Makkah,  26  Jamadil Akhir 1436 = 16 April 2015 (Isnin):
Melihat dari segi Takmilah terhadap masjid, maka sudah pastilah bahawa Masjidil Haram adalah masjid agung yang tertinggi dari segi hirarki yang selepas daripadanya ialah Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Walau berkedudukan terkeatas, bahawa tidak semua aspek di masjid itu menjadi tiruan dan ikutan.  Ada perkara-perkara yang khusus bagi masjid dan tidak ada pada masjid yang lain dan tidak boleh dipindah atau ditiru, lantaran aspek-aspek berkenaan adalah khusus pada masjid itu, seperti Ka`abah, dan tempat shair, namun ada yang menerima perubahan dan menjadi ikutan dan contoh tauldan bagi masjid-masjid yang lain. Contoh dari segi seni bina fizikalnya.


Pada dasarnya  Masjidil Haram adalah puncak tempat ibadat bagi umat yang ianya adalah satu-satunya dan tidak ada tempat lain seumpamanya dan tidak boleh diadakan pada tempat lain sepertinya. Masjidil Haram adalah tempat menunaikan haji dan umrah. Bagi menunaikan haji dan umrah melibatkan rukun-rukun, wajib-wajib dan sunat-sunat. Bagi haji ialah melibatkan wuquf di Arafah, bermalam di Mina dan Muzdalifah, tawaf di Ka`bah dan sai antara Safa dam Maruah dn tahallul dan keperluan-keperluan yang lain. Bagi Umrah pula melibatkan miqat mengikut kedudukan seperti di Ja`ranah, Tan`im, Hudaybiyyah, Bi`r Ali, Yalamlam dan sebagainya. Takmilah bagi ibadat adalah melibatkan pembelajaran dan pengajian yang harus didalami oleh yang menunaikan haji dan umrah. Selain daripda itu adalah hidayah dan persediaan hati rohani dalam mengisi ibadat-ibadat yang berkenaan setinggi yang mungkin. Dalam kata yang lain infra-struktur bagi semua hendaklah berlaku pada tempat asal menurut masa yang berkenaan.

Adapun perkembangan aspek-aspek fizikal yang lain memang sentiasa berlaku dan terus berlaku perubahan menurut keperluan zaman. Contoh binaan bagi keliling Ka`bah telah berkali-kali berlaku perubahan dari dulunya kecil. Dari atas tanah biasa kepada binaan yang mempunyai lantai marmar dan kelilingnya bangunan – antaranya bertingkat dan bagi memasukinya adalah melalui pintu-pintu yang dijenamakan. Mutakhir adalah berlaku pembangunan besar-besaran yang melibatkan pembesaran kawasan solat keliling Ka`bah. Perubahan akan terus berlaku, misalnya bagi memungkinkan lebih ramai jamaah bertempat, mungkin kawasan ruang keliling Ka`bah dipereluaskan dan keluar masuk lebih eficien dengan menggunakan sistem pengangkutan LRT aliran ringan yang datang dari berbagai penjuru dan jamaah dapat bergerak keluar masuk dengan lebih pantas. Manakala tempat shair dan umrah, agak tidak berubah dan masih kekal dengan fizikalnya sejak 30 tahun yang lalu. Pembesaran dan perubahan melibatkan juga kawasan padang `Arafah, Mina dan Muzdalifah serta juga tempat-tempat miqat yang telah disebutkan, terutama dari segi pembinaan masjid-masjid sebagai tempat bermiqat.
Apa yang mau disebutkan dan dari hasil pemerhatian Penulis, bahawa bangunan-bangunan masjid di tempat-tempat disebutkan di atas dan juga masjid-masjid yang baru, bahawa ciri seni bina Masjidil Haram terutama dari segi tiang-tiang masjid, lebih khususnya menara-menara adalah mengambil reka bentuk dan ciri seni bina Masjidil Haram. Ambil dan perhatikan pada seni bina tiang dan menara Masjid Quba`, Masjid Qiblatayn, Masjid Ja`ranah, Hudaybiyah dan Tan`im ada semacam keserupaan dan mengambil gaya seni bina Masjid al-Haram. Bahkan dari segi gerbang, tiang, menara dan pintu ada kesamaan antara Masjid al-Haram dan Masjuid Nabawi, Tapi tidak dapat dipastikan yang mana mengambil dari yang mana. Tapi dapat dikatakan bahawa pengaruh seni bina Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mempengaruh seni-seni bina masjid-masjid yang lain. Dalam kata yang lain tidak menjadi kesalahan misalnya bagi mempertahankan seni bina umat Islam tertua dan juga bagi budaya Arab, maka  seni bina terutama, tiang, gerbang dan dekorasi bagi keduanya diambil dari seni bina Masjid Umawi di Damshiq Syria.


Dalam perkembangan lanjutan ada unsur ambil mengambil dari seni bina masjid terkenal di kalangan umat dengan wujudnya unsur-unsur kreasi dan tambahan. Kreativiti dan inovasi berlaku misalnya diakibatkan oleh suasana tempatan. Misalnya masjid-masjid di Alam Melayu mengambil kayu sebagai bahan pembinaan yang memang banyak kedapatan di kawasan berkenaan. Di kawasan Afrika masjid dibina dari tanah yang mernjadi bahan binaan setempat. Pada satu peringkat tamadun dan peradaban umat mencapai tahap yang tinggi. Mereka menghasilkan seni bina masjid yang menarik dan menjadi monumen umat. Misalnya Masjid Baitul Maqdis, Masjid Agung Damshiq, Masjid Sumarra, Masjid Qairawan, Al-Azhar, Masjid Ibn Talun, Masjid Samanid, Bukhara, Masjid Ghazni, Masjid Jami` Isfahan, Masjid Qurdova, Masjid Qutubiyyah Murakish, Masjid Sultan Salem di Turki dan sebagainya. Bagi kawasaan tertentu, misalnya negeri Cina mempunyi masjid ala Pagoda dan masjid-masjid di alam Melayu mempunyai bentu  V terbalik bagi mengatasi cuaca yang sering hujan.
Sebenarnya perkembangan seni bina masjid masih berkembang dan kreatif. Ada yang mengikut misalnya seni-seni bina masjid yang sudah terkenal dengan pengubahan dan tambahan yang bersesuaian. Kemampunan teknologi dan pemindahan bahan-bahan dari satu tempat ke tempat yang lain menyebabkan bentuk seni bina masjid semacam boleh dibina di mana-mana. Misalnya Masjid Shah Alam , Putrajaya adalah mengambil elemen seni bina masjid dari umat Islam dengan penambahan-penambahan.


Pembinaan dan pengambilan elemen seni bina antara masjid terus berlaku, di samping ada yang beruaha membina masjid menurut ciri dan identiti tersendiri. Walau bagaimana elemen masjhid adalah tempat solat dan ibadat, walaupun canggih dari segi seni bina tidak boleh lari dari fungsi ini di samping fungsi pengajian dan kegiatan kemasyarakatan. Dari sejarah pembinaan masjid yang panjang, sebenarnya masjid sebagai tempat ibadat telah mewujudkan ciri dan identi masjid yang ciri-ciri Islamiknya amat tebal. Ia merupakan hasil estetik dan warisan budaya umat yang unggul, kudus dan rohani umat yang kukuh dengan pegangan Islam. Semua masjid adalah berkiblatkan Masjidil Haram yang melambangkan penyatuan umat. Ciri-ciri dominan yang menjadi identiti masjid yang ketara ialah wujudnya ruang solat, kubah, menara, mihrab, mimbar, pintu gerbang, tempat wudhu`, bilik jenazah dan sebagainya, namun ada perubahan dan perbezaan antara satu masjid dengan masjid yang lain yang menjadi identiti bagi masjhid berkenaan. Masjid memberi ruang bagi kreativiti dan inovasi terutama yang melibatkan aspek kreativiti dan inovasi, lebih-lebih lagi yang bersifat kudus dan rohani.


Sekian.


April 26, 2015

Menuju Umrah


Di pagi hari terakhir di Madinah
Sekali lagi mengelilingi menghayati Masjid Nabawi
Dan berpeluang ke Raudah bersama jamaah
Mengakhiri kunjungan dengan zohor dan pamitan
Ada kesedihan, kiranya adalah terakhir kunjungan
Mohon diri ya Rasulallah.


Beretolak tiga petang dengan berpakaian ihram
Menuju Zulhulaifah miqat ihram dikenali Bi`r Ali
Tokoh dermawan mewaqafkah sumber air
Banyak kebajikan dikenang jamaah berterusan
Jika permulaan datang ke Madinah membelah gelap malam
Kini suasana petang tenang perjalanan ke Baitillahil Haram
Naik perumahan kebanyakan tempat kiri kanan perjalanan.
Perjalanan 6 jam itu hingga ke tengah malam
Singgah untuk solat dan memenuhi tuntutan
Tanpa aral melintang tiba jam 12.15  tengah malam
Makkah dan Masjidil Haram tidak sunyi dari kunjungan.

Untuk melengkapkan Umrah yang telah diniatkan
Selepas menurunkan barang ke penginapan
Mutawwif Aiman memimpin melengkapkan amalan
Kini setelah dua dekad berlalu kujejak kakiku ke Tanah Suci
Sungguhpun struktur asal bangunan tiada perubahan
Tetapi perubahan berlaku dari segi perluasan ruang
Dengan kerancakan pembangunan berjalan
Sedikit sebanyak mengganggu kelicinan ibadat berjalan
Walau bagaimana dengan tawaf bermula tengah malam
Tujuh tawaf dipimpim muatawwif al-hamdulillah mudah diselesaikan
Setelah solat sunat tawaf dilakukan di pinggiran dan doa dipanjatkan
Jamaah di bawah Andalusia termasuk dari Palimbang berlainan mutawwif
Bergerak berarak menuju kawasan Sa`i yang digambar ayat:
``Dan Safa dan Marwh adalah dari shair-shair Allah``
Pada dasarnya tidak berubah daripada ziarah-ziarah silam
Selain dari bersebelahan kawasan dikosong dan dibersihkan
Sudah tentulah bagi lebih luas dan keselesaan
Selepas mendapat taklimat mutawwif
Maka perjalanan antara Safa dan Maruah bermula
Dengan doa dan bacaan pada setiap keperluan
Penuh, tertib dan melicinkan
Amal yang dilakukan dengan tenang dan tidak teregesa
Lengkap amalan menjelang subuh tiba
Lantaran itu kesempatan diambil dengan pengisian
Hingga akhirnya pertama berpeluang berjamaah di Masjidil Haram.


Sesungguhnya sebelum menjelang subuih
Amal utama dapat disempurnakan dalam kunjungan
Ianya juga merupakan permulaan
Meneruskan amalan-amalan menurut susunan
Bagi memenuhinya pada hari-hari mendatang.

Shafie Abu Bakar,
Masjidil Haram,
22-23 Jamadil Akhir 1436

12-13 April 2015.

April 25, 2015

Ziarah Menjejaki Sejarah Juga Ke Pasar Tamar


Kunjungan baik ke Makkah atau Madinah
Tidak lengkap tanpa menelusuri sejarah
Mengukuh keyakinan selama ini hanya pembacaan
Di Madinah selain dari ziarah dalaman
Seperti maqam Rasulullah, perkuburan Baqi`
Muzium al-Asma` al-Husna Masjid Madinah
Ialah kunjungan luaran yang mempunyai daya tarikan
Ialah Masjiq Quba` pertama didiri Rasulullah semasa Hijrah
Sebelum mendirikan Masjid Nabawi di Madinah
Yang ciri menaranya mengambil bentuk menara Masjid Nabawi
Ziarah selain dari menaggapi kawasan
Turut bersolat tahiyyat dan duha
 Masjid yang sering dikunjungi Rasulullah
Selepas Hijrah ke Madinah al-Munawwarah
Turut menjadi lawatan Masjid al-Qiblatayn
Tempat Rasulullah menerima arahan
Menukarkan Qiblat dari Masjid al-Aqsa ke Masjid al-Haram
Tapi ziarah hanya sekadar dari luaran.


Turut menjadi tarikan lawatan Maqam Sayyiduna Hamzah
Syahid peperangan Uhud yang maqamnya di kaki bukit tersebut
Namun untuk mengelak dari `pendewaan` maqam dibenteng
Hingga tiada apa kelihatan dari luaran
Kecuali untuk kefahaman ada peta lakar setempat
Memberi keterangan bagaimana peperangan berlaku
Termasuk sejumlah syahid bersama Sayiduna Hamzah di situ
Dapat dikatakan tempat-tempat sejarah dibiar bersahaja
Tidak diberi penampilan menarik lantaran bertujuan
Bagi menolak elemen pujaan boleh menyelewengkan.


Dengan ziarah luaran meluaskan pandangan alam
Tidak terhad berulang alik antara penginapan dan masjid
Bandar Madinah bandar membangun relatifnya tenang
Pembangunan perumahan jelas kelihatan
Di samping di sana sini perlembahan bertanah hitam
Adalah lokasi-lokasi subur bagi pertanian terutama tamar
Lantaran kebun-kebun tamar hijau berselang antara perumahan
Di samping terdapat ladang-ladang tamar luas
Untuk dikunjung pengunjung dan menikmati buah secara langsung.

Demikianlah pada sesi ziarah luaran
Kami berkesempatan berkunjung di pasar kurma di ladang
Di sini kami berpeluang menikmati kurma baru dipetik
Terlalu banyak jenis kurma di sini dengan berbagai nama
Tamar, al-karam. al-balah, al-rutab menurut perkembangan
Manakala jenis pula seperti al-ajwad dan maryami
Dan berbagai lagi dengan harga juga berbagai
Semurah sepuluh rial hinggalah ratusan bagi sekilo.


Meskipun pengujung diperingatkan
Harga di ladang lebih mahal dari kebiasaan pasaran
Tapi tertarik kepada kesegaran buah langsung dari ladang
Masing-masing berlumba membeli dengan jumlah banyak
Sudah tentulah sebagai cenderahati bila pulang nanti
Yang pada tanggapan lebih asli.

Shafie Abu Bakar,
Madinah al-Munawwarah,
19 Jamadil Akhir 1436

09 April 2015.

April 24, 2015

Fokus Ibadah Di Masjid Nabawi


Kunjungan jamaah dari berbagai negara
Meski di luar daripada musim haji
Baik di Madinah atau di Makkah untuk ibadat
Lantaran itu dalam belasan hari keberadaan
Diharapkan tiada suatu waktu ketinggalan
Lantas sebaik tiba dan taklimat panduan
Segala peluang ibadat di masjid tidak dipersiakan.


Berada di Madinah dari segi takmilah
Memberi ruang dan peningkatan kualiti
Dari segi lahiri dan maknawi
Bukankah berada di Madinah
Peluang berada di samping Rasulullah
Di sini tanah lempah firman dan sabda
Masjid adalah dari bekas tangan Baginda membina
Baginda mengimami solat-solat fardu dan jamaah
Kepada mereka Baginda menyampaikan khutbah
Mereka juga mendapat pengajaran Baginda sampaikan
Dari masjid Baginda menyusun pentadbiran
Dari masjid Baginda menyusun strategi perang
Dari masjid Baginda menyusun diplomasi dan hubungan
Bahkan bersebelahan masjid menjadi tempat kediaman
Lantaran perlu diambil peluang memahami-menghayati situasi.

Bayangkan setiap imam memimpin solat sekarang
Adalah proksi dari Baginda meneruskan kepimpinan
Lantaran itu tiada waktu masjid kosong dari kunjungan
Lebih-lebih lagi pada setiap solat fardu didirikan
Sejak tiga pagi kebanyakan bergegas keluar ke masjid
Bertahajud, hajat, witir, berzikir dan bertilawat Al-Qur`an
Mereka juga datang berjam mendahului zohor dan asar
Dan berterusan antara Maghrib dan Isyak
Pulang ke rumah tumpangan memenuhi tuntutan
Bagi kembali ke masjid mesra berlamaan
Meningkatkan kualiti maknawi diri.


Berada di masjid dari satu segi
Interaksi dengan masyarakat umat berbagai turunan
Adalah peluang memahami Islam diterima semua bangsa
Dari Arab, Turki, Parsi, Mesir, Melayu, Indonesia, India
Pakistan, Bangladish, Afghanistan, Turkimistan, Afrika,
Thailand, Filipino, Eropah, Amerika dan berbagai
Mereka disatukan oleh akidah meski berlainan lughah
Mereka sama bersolat dan sama membaca Al-Qur`an
Sekali sekala bertembung dengan mereka perlu bercakap
Menggunakan bahasa yang dapat atau secara isyarat
Menambah mesra sebagai saudara ukhuwwah umat.

Tidak jarang selain dari tilawat dan solat
Ada yang mengikuti kumpulan-kumpulan kecil pengajian
Dipimpin oleh guru bertauliah dari berbagai keturunan
Demikian aku mempelbagaikan pengisian
Selain dari solat dan tilawat mendekati
Dan mengikuti pengajaran yang disampaikan
Bahkan pada satu malam turut memperbetulkan bacaan
Secara kumpulan seorang demi seorang membaca
Dengan guru Isa Ali Isa dari Afrika.

Berada di bawah lindungan Masjid Nabawi
Memberi ketenangan bersama jamaah beribadah
Dan ceria di luaran bermuamalah.

Shafie Abu Bakar,
Masjid Nabawi, Madinah al-Munawwarah.
22 Jamadil Akhir 1436

12 April 2015.


April 23, 2015

Ceria Berseri Sekitar Masjid Nabawi


Bangunan masjid di atas dataran itu
Luasnya sejam keliling sederhana perjalanan
Dengan 100 pintu keluar-masuk jamaah
Begitu berseri dipancar suria pagi
Jamaah yang mulai memenuhi
Beriktikaf sejak 3.00 pagi menjelang subuh
Kini begitu indah begitu meriah
Keluar memenuhi ruang kelilingan
Ada kelompok-kelompok berjibab hitam
Mengalir mengikut arah bertalian ke penginapan
Manakala kelompok-kelompok berjubah putih
Bergerak ke arah-arah songsang bertentangan
Sedangkan pekerja-pekerja binaan
Berunifom biru, kelabu dan ungu
Memecah arus menuju tapak bangunan
Adapun warga emas dan yang keuzuran
Disorong kerusi roda oleh anak dan keluarga
Begitu indah mesra, kasih sayang dan ceria.

Paling indah pagi yang mula menampakkan mentari
Yang sejak petang ratusan payung kuncup bagai tiang
Mengembang diri bagai khemah para badui
Menyediakan lindungan bagi yang lalu-lalang
Di bawahnya kelompok-kelompok jamaah secara santai
Bercakap dan menjamah bekalan dinikmati bersama
Mereka sekeluarga termasuk anak dibawa bagai berkelah
di samping menikmati fenomena Masjid Nabawi indah
tidak kurang yang berzikir salawat luar Masjid mengadap.

Sementara itu sebaik bubar jamaah di waktu pagi
Pekerja kembali mencuci, kerja yang tiada henti-henti
Di dalam bangunan mereka menggulung carpet-carpet
Diikuti menyedut habuk dan membersih lantai
Manakala di luar di ruang terbuka
Mesin-mesin pembersih bergerak berpasukan
Mempastikan bersih segala ruang
Manakala pasukan mengurus air zam-zam
Menukar tong-tong baru untuk diminum yang datang
Turut sama dibersihkan daun-daun khemah
Dengan pasukan pembersih menggunakan crane
Setiap payung dibersih paling minimum sekali setengah tahun.


Manakala setiap selesai solat hingar jamaah kedengaran
Di pintu pagar laluan ke rumah-rumah tumpangan
Para penjual kecil memperagakan barang-barang jualan
Jubah, kupiah, berbagai hiasan, pakaian, mainan dan makanan
5 rial. 10 rial, 20 rial dan berbagai tawaran harga
Menarik jamaah membeli dari berbagai negara
Cenderahati dibawa pulang untuk keluarga tersayang
Berebut mereka membuat pilihan terutama wanita
Lebih banyak tawar menawar sebelum membuat keputusan.

Demikian cerianya Madinah
Destinasi ibadat dan ziarah
Menyediakan peluang membeli belah.

Shafie Abu Bakar,
Madinah al-Munawwarah,
19 Jamadil Akhir 1436

09 April 2015.

April 22, 2015

Kembali Menziarah Rasulullah S.A.W.



Setelah dekad-dekad berlalu
Untuk sekian kali kalbu diketuk rindu
Menggerak diri kembali menziarah Rasulullah
Di tanah Yathrib Madinah al-Munawwarah.

Pertama kesampaian berusaha mendekati Baginda di Raudah
Tapi tidak kesampaian oleh halangan kecuali di pinggiran
Tapi percubaan kedua sebelum berakhir ziarah
Allah mempermudahkan diri ke dalam Raudah
``Assalamu `alaika ya Rasulallah``
``Hamba umatmu dari jauh yang datang
Mengukuh kesetiaan pertingkat keimanan
Semoga mendapat syafaat di hari kemudian.``

Berpeluang menjejak tanah Madinah al-Munawwarah
Adalah penyaksiaan rentetan jihad Rasulullah
Model Takmilah fizikal dan maknawi pengisian
Antara iman dan kufur
Antara hak dan batil
Antara makruf dan mungkar.


Di tanah Madinah al-Munawwarah
Tanah lempah wahyu di samping Makkah
Serta sabda-sabda Junjungan kepada sahabat
Diterjemah kepada amalan dan sokongan
Dari sahabat Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali
Para mujahid Hamzah, Ja`afar, khalid bin Al-Walid
Para ilmuan Ibn Abbas, Ibn Umar, Ibn Ishak dan Abu Said
Perawi Abu Hurairah, Anas bin Malik dan Aisyah
Serta yang lain-lain seumpama mereka
Adalah pengukuh Islam dan penegak tamadun-peradaban
Takmilah ikutan.

Tanah Madinah al-Munawwarah
Adalah tanah damai-tenang di sukai Rasulullah
Buminya berlembah menghijau dengan pohon tamar
Penduduknya bermanis mesra bertegur sapa
Kesan penyatuan dilaku Rasulullah
Antara Aus Khazraj para Ansarin
Bersaudara dengan kalangan Muhajirin
Kemesran ini masih terus terasa
Walaupun setelah satu setengah milinium berlalu
Madinah yang bersemadi padanya Rasulullah dan sahabat
Tetap mesra penduduk menyapa setiap pengunjungnya.

Shafie Abu Bakar,
Madinah al-Munawwarah,
21 Jamadil Akhir 1436

11 April 2015.

April 21, 2015

Takmilah Bagi Masjid



Tiada lain dari masjidil Haram & Masjid Nabawi
Yang menjadi Kiblat dan puncak Ibadat piawayan tertinggi
Pengasas Masjidil Haram Nabi Ibrahim al-Khalil
Pendiri bagi Masjid Nabawi Rasulullah sendiri
Doa Nabi Allah Ibrahim yang basah terus barakah
Mencetus rindu di hati-hati pengunjung terus ziarah
Patuh mesra menunaikan tuntutan rukun Islam
Memakmurkan sama tanah Bakkah Mubarakah
Mengisi masjid dengan solat tawaf dan shair
Ruang dan masanya sentiasa diisi
Oleh gelombang yang datang bergantian.

Masjid Nabawi
Lambang kejayaan Rasulullah menegak Islam
Setelah 13 tahun gawat menghadapi kuffar Makkah
Menyebabkan baginda mengambil pendekatan berhijrah
Masjid dibina pusat ibadat, pentadbiran dan masyarakat
Asas bagi pembinaan dan pentadbiran sebuah negara
Meluas wawasannya ke seluruh dunia.

Takmilah kedua masjid dari segi ibadat
Piawayan tertinggi ditawarkan dari segi fadilat
Terpulang kepada individu dari segi pengisian
Ikhlas dan kemurnian di sisi Tuhan.
Adapun kedua masjid dari segi fizikal
Tiada piawayan maksimum dari segi perkembangan
Lampau, kini dan mendatang terus berubah dan diperluas
Menurut kepentingan ruang dan keselesaan pengisian.

Dari Masjidil Haram dan Masjid Nabawi
Ciri-ciri fizikalnya menjadi ikutan
Dari ruang solat, mihrab dan mimbar
Kepada kubah, menara, sutuh dan atap
 tiang dan ragam hias, muqaranah dan ukiran
berhiaskan ayat-ayat al-Qur`an di mana bersesuaian
hingga lantai dinding dan keperluan pembersihan
juga landskap dan kedudukan ruang kelilingan
menjadi ikutan pembinaan masjid di mana didirikan
di samping dua masjid juga dipengaruhi fizikalnya
dari senibina masjid terkenal seperti Masjid Umawi.


Bayangkan berpusat dan berkiblat Masjidil Haram
Betapa jutaan masjid dibina di bumi Tuhan
Berceratak berjejaran mengadap Kiblat
Dengan menara dan kubah menengadah langit kekuasaan
Mengagung dan membesarkan Tuhan
Bayangkan sebagai pusat dan arah Kiblat
Azan bermula dan iqamah terus berdengung berkesinambungan
Dari negara ke negara dan benua ke benua tiada berputusan
Bahkan gemanya melantun ke ruang angkasa berterusan
Lihatlah hamba-hamba yang patuh berduyung keluar ke masjid-masjid
Menunaikan ibadat, mendirikan solat dan berbagai kegiatan
Bayangkan ulangan tilawah, zikir dan salawat berterusan kedengaran
Tiada hentinya memuji Ilahi dan berselawat kepada Nabi
Penyatuan yang mengukuhkan keimanan dan kepatuhan.

Masjid sebagai pusat ibadat juga pusat pendidikan
Betapa anak-anak generasi muda mendapat pelajaran
kepada generasi lebih tua juga mendapat pengajian
Secara mengiringi solat atau waktu-waktu ditetap
Semua pihak dengan pengajian mendapat manfaat.

Masjid adalah rumah utama penghidupan muslim
Dari kelahiran aktiviti ibadat kepada pendidikan
Kegiatan masyarakat berbagai sambutan
Masjid institusi utama umat menyatukan
Masjidil Haram Masjid Nabawi terus dikunjungi
Memantap keimanan mengukuhkan penyatuan.

Shafie Abu Bakar,
Madinah – Makkah
17-29 Jamadil Akhir 1436

07-19 April 2015.

April 7, 2015

Keberangkatan


Setiap kita dalam perjalanan
Lahiri dan maknawi
Menuju destinasi.

Hari ini
Aku juga sama berangkat
Setelah bersiap seringkas dapat
Menuju destinasi lahiri
Insya Allah akan tiba
Petang nanti.

Perjalanan adalah kesementaraan
Dari destinasi ke destinasi
Hakikatnya menjejak pulang
Ke titik maknawi
Suatu kepastian.

Perjalanan adalah penyimpangan
Dari rutin kebiasaan
Tidak kurang dari ujian
Berbagai kemungkinan
Kupanjatkan mohonan
Semoga perjalanan
Di atas jalan lempang
Pergi dan pulang
Dalam pemeliharaan
Amin.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
17 J. Akhit 1436

07 April 2015.

April 6, 2015

Kubah


Adalah seri masjid kami
Berbentuk bulat bujur telur
Terakhir diangkatletakkan
Menyempurnakan binaan
Estetika kekudusan.

Menaikkan rangka ke puncak
Begitu susah-payah
Crane berat digunakan
Tapi pun begitu lebih ringan
Dari berat mencari dana
Membiayai bangunan.

Kubah
Sedang dilengkap kepingan
Puncak fizikal kedudukan
Diapit dua menara
Gandingan Jelas kelihatan
Tapi tegaknya lebih ketara
Oleh utuhnya keikhlasan
Taqwa para dermawan
Berterusan menghulurkan.


Kubah
Menjunjung langit keagungan
Bila siap kelak
Di bawahnya para jamaah
khusyuk bersolat penuh kepatuhan
juga asyik-mesra dengan pengajian.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
15 J. Akhir 1436

05 April 2015.