April 3, 2015

Sanjungan Dan Penghargaan Terhadap Tokoh-Tokoh Menggunakan Bahasa


BBB,  12 Jamadil Akhir 1436 = 02 April 2015 (Khamis):


Di dalam membicarakan tentang estetika yang kedapatan di dalam bahasa, khususnya di dalam bentuk penulisan kreatif, lebih khusus lagi di dalam penulisan puisi, kita jangan lupa peranan bahasa itu sendiri yang menjadi mekanisme pengucapan yang bersifat kreatif. Peranan bahasa berkenaan mempunyai hubungan dengan tokoh dan pakar bahasa yang menjaga bahasa dari kerosakan dan pencemaran, iaitu dengan memastikan menurut kaedah dan peraturan yang dibina menurut kaedah dan sifat bahasa itu sendiri. Meskipun penulis kreatif kadangkali memusuhi kaedah dan aturan bahasa lantaran dianggap menyekat kebebasan mereka berkreatif, tetapi peranan tokoh dan pakar bahasa mesti dihormati, lantaran dengan kaedah dan aturan yang dibakukan menjaga bahasa dari dirosakkan, bahkan dengan kaedah bahasa – nahu dan linguistik meningkatkan kemajuan dan prestasi bahasa hingga mampu mendukung apa saja bidang, khususnya keilmuan menjadikan bahasa sebagai saintifik, akademik dan kepelbagaian.
Bahasa yang maju adalah bahasa yang luas penggunaannya dan mempunyai kaedah nahu dan bahasa yang mantap. Sebagai contoh ialah bahasa Arab yang maju di dalam bidang keislaman dan luas penggunaan, demikian bahasa Inggeris maju di dalam bidang keilmuan moden dan luas penggunaannya. Di dalam bidang kemajuan bahasa ini apakah kaedah dan keilmuan bahasa mendahului kemajuan penggunaan bahasa itu sendiri ?
Melihat kepada bahasa Arab, bahawa kesedaran menyusun kaedah bahasa hanya selepas kedatangan Islam yang dikatakan sayyiduna Ali k.w. yang memulainya, tetapi puncaknya berkembang pada zaman kerajaan Abbasiyyah yang melahirkan aliran bahasa yang disebut aliran `Kufiyyun` (Aliran bahasa Kufah) dan Basariyyun (Aliran bahasa Basrah). Antara tokoh bahasa yang terkenal Muhammad bin Abdul Malik (600 -672H.) pengarang Matan Al-Fiyah, Ibn `Aqil (698 -769H.) yang mensyarah Matan Al-Fiyah dan Ibn Hisham (m. 761H.) yang terkenal dengan gelaran Sibawayh.
(Abdullah bin `Aqil, Sharh Ibn `Aqil, Juz` al-Awwal, Al-Maktabat al-Tijariyyah al-Kubra, Misr, 1381/1961: 3 & 6).
Keadaan yang sama berlaku di dalam bahasa Melayu dan bahasa-bahasa yang lain, bahawa kesedaran menyusun kaedah bahasa adalah datang lebih kemudian dari perkembangan bahasa apabila ada kesedaran dari tokoh yang prehatin terhadap sesuatu bahasa, termasuklah bahasa Melayu. Di dalam hal perkembangan bahasa Melayu dinyatakan bahawa perkembangan bahasa Melayu ialah selepas kedatangan agama Islam dan didukung perkembangannya oleh agama Islam. Namun dalam proses perkembangan bahasa Melayu, kita tidak dapati dan mewarisi tentang catatan perkaedahan bahasa Melayu sama ada pada zaman kerajaan Pasai, Melaka – tidak disebut oleh Tun Seri Lanang di dalam Sulalat al-Salatin atau pada zaman kerajaan Aceh. Adalah dipercayai ulama-ulama yang mengarang kitab-kitab berbahasa Melayu adalah secara tidak langsung menggunakan kaedah nahu berbahasa Arab, lantaran apa bahasa sekalipun struktur asas bagi bahasa tidak lari dari nama, perbuatan, nama terbitan, mubtada`, khabar, pembuat, yang kena buat dan kata-kata yang lain dari nama dan perbuatan. Dengan kaedah ini diterjemah atau dikarang-karangan menurut struktur susunan yang diterjemahkan. Bermaksud terjemahan bahasa Melayu adalah menurut struktur bahasa Arab dan bila mengarang di dalam bahasa Melayu adalah menurut struktur nahu dan penyusunan menurut bahasa Arab.
Di dalam perkembangan bahasa Melayu ini kita dapat bahagikan perkembangan bahasa kepada dua tahap:
1)      Tahap pembinaan bahasa secara tidak langsung
2)      Tahap pembinaan kaedah bahasa secara langsung.
Tahap pertama adalah tahap dalam mana pengarang menggunakan bahasa tanpa nerujuk kepada keilmuan bahasa atau nahu secara langsung, lantaran pada masa itu belum ada lagi karangan yang berhubung dengan kaedah nahu Melayu. Pengarang mengarang menurut kelancaran bahasa lisan yang digunakan dan diangkat kepada bahasa tulisan dan bagi pengarang ulama, mereka adalah terpengaruh dengan gaya bahasa Arab yang mereka kuasai dan terbawa-bawa kaedah bahasa Arab ini ke dalam tulisan mereka.
Di dalam kategori pertama ini kita menghargai terhadap tokoh-tokoh penulis peringkat awal seperti Bukhari al-Jauhari, Hamzah Fansuri, Shamsuddin al-Sumatrani, Nuruddin al-Raniri, Shaykh Abdul Rauf Singkel, Shaykh Abdul Malik bin Abdullah (Tuk Pulau Manis), Shaykh Daud bin Abdullah al-Fatani, Shaykh Zainal Abidin al-Fatani, Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari,  Shaykh Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani,  Syed Muhammad bin Zainal Abidin Terengganu, Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad Terengganu (Tuan Paluh), Raja Ali Haji Riau, Abdullah bin Abdul Kadir Munshi dan ramai lagi.
Sebagaimana dikatakan, bahawa pada peringkat selepas menerima Islam dan karya-karya dihasilkan oleh ulama-ulama, maka karya-karya mereka adalah dipengaruhi gaya bahasa Arab. Sebagai contoh dipetik karangan Shaykh Nuruddin al-Raniri yang dianggap pemula yang mengarang kitab fiqh di dalam bahasa Melayu yang berjudul Sirat al-Mustaqim:
``(Fasal) pada menyatakan air yang najis apabila jatuh suatu najis ke dalam air yang kurang daripada dua kolah  maka air itu najislah sama ada berubah air itu atau tiada dan apabila ada air itu dua kolah maka jatuh ke dalamnya najis tiada jadi najis air itu melainkan jika berubah rasanya atau warnanya atau baunya jika sedikit sekalipun maka air itu najislah.``
(Nuruddin al-Raniri, Sirat al-Mustaqim, dlm. Muhammad Arshad al-Banjari, Sabil al-Muhtadin, Juz` I, Maktabat Nur al-Thaqafah al-Islamiyyah, Jakarta, tt: 13).
Bahasa di atas selain dari bersifat undang-undang (syariah) adalah menurut struktur bahasa Arab., baik dari segi susunan mubtada` dan khabar, syarat dan jawab syarat dan fi`il dan fail.
Contoh lagi dipetik dari kitab Matla` al-Badrayn wa Majma` al-Bahrayn karangan Shaykh Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani:
``Dan wajib atasnya pula bahawa ia mengetahui akan aqa`id al-iman dan iaitu segala sifat yang wajib bagi Allah Ta`ala dan yang mustahil atas Nya dan yang harus pada hak Nya dan segala sifat yang wajib bagi segala Rasul `alayhim al-salat wa al-salam dan yang mustahil atas mereka itu dan yang harus pada hak mereka itu.``
(Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani, Matla` al-Badrayn wa Majma` al-Bahrayn, Matba`ah Dar al-Tiba`ah al-Misriyyah al-Kubra, Singapura, tt: 5).
Perhatikan istilah teknikal dalam bahasa Arab bagi ilmu aqidah seperti  `wajib bagi Allah`, `mustahil atas Nya` dan `harus pada hak` - demikian juga digunakan bagi Rasul-Rasul`.
Walau bagaimana keterikatan kepada gaya bahasa Arab makin berkurang dengan perluasan dan perkembangan bahasa Melayu, khususnya bagi pengarang-pengarang yang bukan ulama atau topik pembicaraan yang tidak berkait dengan Islam. Lebih-lebih lagi apabila disusun kaedah dan nahu Melayu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment